Khamis, 7 Februari 2008

Din Merican : Masa untuk perubahan!!!

Kepada rakan seperjuangan, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia.
Biarlah apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Abdullah Badawi mengenai tarikh Pilihanraya Umum ke-12 (meski beliau masih menunggu tibanya ilham), saya, kamu dan semua penyokong sekarang perlu bersiap-sedia untuk menghadapinya. Ianya mungkin diadakan diantara sambutan Tahun Baru Cina hingga pertengahan bulan Mac 2008 atau mungkin juga lebih awal lagi, bergantung kepada, mimpi dan ragam ilham Perdana Menteri.
Sehubungan dengan itu, saya, Din Merican menjemput semua anak muda Malaysia yang dinamis untuk sama-sama menjadi sukarelawan, penolong bangsa dan duta rakyat untuk bersama-sama melakukan perubahan. Saya berani berjanji bahawa pengalaman yang akan diperolehi dari perjuangan mengubah nasib rakyat, bangsa dan masa hadapan negara tercinta ini akan memberi satu transformasi yang luar biasa apabila anda berpeluang mengambil bahagian dalam perjuangan politik nasional di peringkat akar umbi kelak.
Buat mereka yang berani menyambut cabaran saya, sila hubungi saya di alamat email dan nombor telefon yang tertera di blog ini. Tugas kita bukan mudah kerana kita akan menempuh banyak cabaran selama 2-3 bulan yang akan datang.
Bersama-sama dengan rakan-rakan politik kita dalam PAS dan DAP, barisan rakyat akan mencabar UMNO dan Barisan Nasional yang mempunyai banyak faedah dan kelebihan sebagai kerajaan memerintah. Umpamanya, mereka menguasai arus media perdana. Mereka menggunakan media tersebut untuk menyebarkan propaganda mereka dan putar belit serta pelbagai tipu helah untuk menipu dan membodohkan rakyat.
Mereka mulai mengeluarkan iklan-iklan negatif terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan pembangkang dengan menggambarkan kita sebagai pengganas dan suka membuat kacau-bilau. Tujuannya ialah untuk menakut-nakutkan rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian antara kaum. Mereka sudah menunjukkan dengan jelas bahawa mereka akan menggunakan polis dan anggota cawangan khas serta undang-undang rimba seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam mengekang kebebasan rakyat.
Oleh kerana mereka benar-benar terdesak untuk menang pada kali ini, mereka akan menggunakan bermacam-macam cara seperti melakukan penipuan di dalam pilihanraya termasuk menggunakan orang yang telah kembali ke rahmatullah untuk mengundi, undi pos dari tentera dan polis serta melakukan gerrymeandering. Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman dan organisasinya jelas berat sebelah kepada pihak UMNO dan Barisan Nasional. Pilihanraya kali ini seperti yang lampau, umpamanya 2004 jelas akan berlaku banyak penipuan, tetapi atas nama perjuangan menuntut demokrasi dan kesejahteraan rakyat, kita akan lawan!
Kita mesti mengambil peluang ini untuk menggembeleng ketidakpuasan hati rakyat terhadap dasar-dasar pemerintah dan sikap sombong serta bongkak pemimpin-pemimpin mereka. Kita boleh mendapat sokongan rakyat dengan merapati mereka serta menyebarkan maklumat yang benar dan jelas terus kepada mereka tentang perubahan dan harapan yang baik bagi semua melalui cara dan teknik berkaitan dengan politik pilihanraya yang canggih dan inovatif.
Saya telah berkunjung ke seluruh ceruk negara ini dengan tujuan untuk mendampingi rakyat dan berasa amat bangga atas sambutan yang kami diterima. Sokongan akar umbi amat hebat sekali, biar pun dalam cuaca yang kurang memuaskan untuk mendengar penerangan dari pihak kami yang tidak pernah disiarkan oleh media milik pemerintah. Mereka juga merasakan daripada pengalaman sebelum ini bahawa pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional tidak dapat mengubah kehidupan mereka, keluarga serta komuniti sekitar.
Mereka mendengar kisah rasuah dan salahguna kuasa, pengangguran, kadar jenayah yang tinggi dan pembaziran perbelanjaan serta pengurusan ekonomi yang lembab dan mereka sangat prihatin tentang kenaikan harga barang seperti minyak masak, gas, petrol dan lain-lain bahan keperluan yang menjadi asas kehidupan.
Kami sangat-sangat memerlukan sukarelawan dan pembantu sebagai tenaga sokongan kepada jentera pilihanraya kami yang sedang bekerja keras untuk menghadapi cabaran pilihanraya yang mendatang. Kami ingin menyampaikan maklumat, memantau perjalanan pilihanraya dan membantu calon-calon di seluruh negara.
Kepada anda dan rakan-rakan seperjuangan dalam parti, kami ingin menyatakan bahawa kita boleh mencapai kemenangan yang baik jika kita ada azam, fokus dan komitmen. Ketabahan, kesanggupan dan sikap berani menghadapi cabaran perlu, jika kita ingin membangunkan negara kita semula. Sudah bertahun lamanya, terutama sejak 2003, kita masih lagi sebuah negara yang tertinggal berbanding dengan potensi yang kita ada. Mari kita semua bergerak dan bekerja keras ke arah satu perubahan yang lebih baik dan adil untuk semua rakyat Malaysia.
Masa untuk perubahan telah tiba! Ubah sebelum parah, ubah demi maruah!
DIN MERICAN
*Buat teman-teman yang bersemangat untuk membantu dan menyumbang bakti sebagai sukarelawan rakyat, boleh menghubungi saudara Din melalui email beliau di dinobeano@yahoo.com atau melalui talian 017-3660897.

Tiada ulasan: