Isnin, 29 September 2008

Salam Eid Fitri 1429H..



1 Syawal bakal menjelang. Anak perantau di kota-kota besar telah ramai pulang ke kampung halaman bagi merayakan Eid Fitri. Di penghujung Ramdahan ini, janji Lailatul Qadar dengan ghairah dicari mereka yang mengimpikannya. Inflasi lebih 8.5%, harga tiket bas mahal, kos minyak dan harga barang keperluan yang tinggi membelenggu majoriti kita pada musim perayaaan ini. Waima, ia akan membantut sambutan kita tahun ini, aku harap tidak. Semangat Eid Fitri itu bukanlah pada aspek material perayaan itu, tetapi yang penting adalah semangat muhibbah dan maaf-memaafi itu diraikan sebagai warga yang bebas dan matang. Moga segala perselisihan faham, keterlanjuran kata atau tabii yang menjengkelkan selama ini, aku dahului dengan ribuan maaf dan halalkan segala yang terlebih atau terkurang dalam selama kita berkenalan...



Salam Eid Fitri dan moga bergembira dalam limpahan kasih
sayang Allah dan keluarga hendaknya...



Jumaat, 26 September 2008

Pemilihan UMNO ditangguh ke Mac...


Seperti yang dikhabarkan oleh cakap-cakap politik, ternyata pemilihan Umno telah ditangguhkan ke Mac 2009 setelah mesyuarat MT Umno berlangsung pagi tadi. Membuka ruang kepada perubahan kepimpinan parti dan meredakan keadaan kurang tenang dalam Umno diberikan sebagai alasan penangguhan pemilihan Disember ini. Di saat hari-hari terakhir Umno yang sememangnya nazak lagi menghampiri ajalnya ini, setiap langkah mereka menyaksikan mereka semakin lemas dalam arus gelombang perubahan yang dibawa oleh rakyat. Hayat politik mereka akan mengalami kesuraman yang panjang atau terus terkubur dengan ideologi perkauman dan politik sempit yang mereka dukung. Jasa mereka satu masa dulu memang tidak dinafikan, namun sudah menjadi fitrah manusia, mereka mahukan yang terbaik dan sentiasa mencari perkara yang baru untuk diri mereka. Telah tiba masanya Umno melakukan reformasi kepada dasar perjuangan, cara kerja, integriti dan imej parti dan pimpinannya terutama sekali. Dalam masa yang serba singkat lagi menjerut ini, Umno wajib berubah atau memilih untuk terus rebah.

p/s - Khairy, masih bolehkah dirimu menjadi Ketua Pemuda andai bapa mertuamu 'bersara awal'?


Peralihan senyap...




"Biar kita bekerja ibarat diam-diam ubi, kelak nanti
berisi. Bukan diam-diam besi, akhirnya besi berkarat hilang nilai"


-Anwar Ibrahim-



Rabu, 24 September 2008

Revolusi '48...



video


Filem arahan pengarah 10 Tahun Sebelum Merdeka, Fahmi Reza, ini memang sudah lama dinantikan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui sejarah Malaysia dari perspektif bukan norma umum. Filem dokumentari mengisahkan saat penubuhan kumpulan-kumpulan gerila bagi menentang British sekitar tahun 1948 hingga 1957 bisa menyanggah pandangan sesetengah sejarahwan dan politikus geblek tanah air yang menyatakan bahawa usaha menuntut kemerdekaan tanah air tidak disulami dengan pertumpahan darah. Filem 'panas' ini bakal menemui penonton pada 20 Oktober 2008. Sama-sama kita nantikan kemunculannya.




Selasa, 23 September 2008

Rasuah Malaysia di mata dunia...



Carta diatas adalah senarai indeks terbaru rasuah di Malaysia bagi tahun 2008. Kedudukan Malaysia merosot ke tangga 47 dari 180 buah negara setelah berada pada tangga 43 pada tahun 2007. Gagalkah Pak Lah menentang rasuah? Saya serahkan pada pembaca untuk menilai. Saya tidak mahu dituduh memanipulasi data pula. Untuk baca lebih lanjut sila klik pada pautan ini.


Isu Air Selangor - Melayu jenis ini yang merosak bangsa...


Saya tidak tahu akan kesahihan maklumat ini. Namun inilah produk Melayu yang lahir apabila dia berfikir dialah tuan kepada bumi bertuah ini. Biar kita berlainan parti, ideologi, mahupun agama - namun Ketuanan Rakyat harus terus dipertahankan.

Klik sini untuk pendedahan eksklusif ini.


Isnin, 22 September 2008

Esok 23 September 2008..

Genap sudah tempoh masa yang diberikan Anwar kepada Pak Lah. Sidang tergempar Parlimen yang dipinta kelihatannya akan dipandang sepi oleh Pak Lah. Surat dihantar tidak di balas. Niat untuk bertemu dibiar melaung tanpa sahutan. Gelanggang media dijadikan medan berbalas tohmahan dan sindiran. Keyakinan meluap-luap di antara dua seberang; satu yakin membentuk kerajaan dan satu yakin kuasa dimiliki bakal kekal.

Percaturan politik ini menjadi semakin menarik. Ramai orang terus melatah mengatakan Anwar telah gagal, sedangkan dia masih terus berjuang menunaikan janjinya. Masih ramai juga menaruh keyakinan kerajaan baru bakal berkuasa tidak lama lagi. Namun masih ada segelintir yang terus berada dalam keadaan state of denial walaupun banyak indikasi telah diberikan oleh orang kebanyakkan.

Sama-sama kita nantikan kesudahan kepada pencoretan sejarah baru Malaysia ini yang bakal 'memerdekakan' kita semula setelah 51 tahun bebas dari penjajah Barat. Merdekakan minda kita untuk satu bangsa Malaysia yang lebih gemilang.

Tanggal 22 September 2008..


16 September 2008 sudah hampir seminggu meninggalkan kita. Di kem Pakatan Rakyat, usaha masih giat dan perancangan rapi masih diatur. Kem Barisan Nasional juga rancak mengatur strategi dan helah untuk menangkis usaha Pakatan Rakyat menggulingkan mereka.

Untuk pengunjung blog ini, saya menyediakan ruangan undian untuk anda semua. Sudilah untuk menyatakan pendirian anda, hanya sebagai fakta statistikal buat renungan kita semua rakyat Malaysia yang matang....


Drama minggu ini...



video


Rabu, 17 September 2008

Mengapa perlu kita tukar kerajaan?


Sepuluh tahun lamanya agenda pembaharuan atau reformasi dimulakan di Malaysia sejurus selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari jentera kerajaan. Begitu jugalah lamanya semangat untuk melakukan perubahan di bumi Malaysia ini membara di dalam jiwaku. Prinsip demokrasi, hak asasi dan kebebasan bersuara menjadi rukun asas kepada matlamat perjuangan yang aku dokong selama sepuluh tahun ini. Aku tertarik pada komen pengunjung blog ini dalam entri sebelum ini yang telah 'menegur'ku kerana mengatakan kerajaan BN sekarang adalah rejim yang zalim. Beliau mengambil perbandingan rejim Zionis di Israel dan menyatakan bahawa 'celaan' aku terhadap kerajaan BN sekarang adalah tidak patut kerana kita tidak berbunuh-bunuhan di Malaysia ini.

Mungkin pandangan zalim saudara hanya pabila pertumpahan darah berlaku, tapi pada aku yang mendokong prinsip demokrasi, hak asasi dan kebebasan bersuara merangkumi kebebasan media, negara kita jauh terbelakang dari Israel. Untuk makluman saudara juga, Israel tak bunuh rakyat dia sendiri, yang dibunuh adalah rakyat Palestin (saya menentang juga kekejaman ini). Jika dibanding di Malaysia, rejim kerajaan BN menangkap rakyat mereka sendiri dan ditahan dibawah ISA atau lebih tepat mereka yang tidak sebulu dengan parti pemerintah. Tahanan ISA kita dibelasah dan dilanyak sepuasnya ketika dalam tahanan. Assyahid Ibrahim Libya dan pengikutnya dibunuh oleh PDRM atas arahan kerajaan BN dalam Peristiwa Memali. Pada 13 Mei 1969, rakyat pelbagai kaum dibiarkan berbunuhan sesama sendiri selama beberapa hari sebelum askar dan polis benar-benar mengawal keadaan. Ketika tahun 1998, 'pejuang jalanan' teruk dibelasah dan ditangkap. Wanita kita dipaksa ketuk-ketampi dalam keadaan bogel dan anak-anak dara kita adanya yang dirogol oleh polis sendiri. Tidak cukup dengan itu, wanita Mongolia dibunuh oleh anggota UTK kita sendiri. Anwar Ibrahim dibelasah dan dimalukan dengan begitu teruk sekali semata-mata kerana ingin membawa perubahan dan agenda menjamin kesejahteraan rakyat. Indeks rasuah kita bagi tahun 2007 adalah pada tangga ke 44 yang mana lebih corot dari Israel. Malahan di Israel sekarang Perdana Menteri mereka sendiri disiasat berkenaan rasuah, bagaimana dengan Malaysia? Israel rampas tanah Palestin untuk bina penempatan bagi rakyatnya, tapi di Malaysia, tanah wakaf ditukar milik jadi hak persendirian untuk dibina mahligai lengkap dengan lorong bowling. Wang rakyat disalahguna dan digelapkan demi memenuhkan poket dua tiga kerat 'perompak' bertaraf menteri dan ahli parlimen yang kita miliki. Pelajar universiti diperbodohkan minda mereka dengan akta dan kursus bina negara yang tidak lebih dari satu propaganda untuk memalukan Anwar dan pembangkang. Media dikawal dan baru-baru ini blog pun disekat. Tidak cukup dengan itu, Buku Teks Sejarah pun mahu diolah bersesuaian dengan citarasa mereka. Memang benar rejim Zionis Israel membunuh orang Palestin secara fizikal, namun rejim zalim BN di Malaysia ini lebih kejam kerana bukan hanya membunuh rakyat sendiri, tetapi juga 'membunuh' minda rakyatnya dan terus menghimpit pandangan rakyat agar menjadi begitu jumud dan taksub.

Rasulullah saw ketika ingin memerdekakan umat Arab dahulu dari kejahilan, baginda ambil masa 23 tahun untuk melakukannya dan penuh dengan cabaran, ancaman dan dugaan. Cabaran dan dugaan dari dalam jamaah sendiri, munafik dan musyrik tidak pernah putus tiba ketika Rasulullah saw menyampaikan Islam pada umatnya. Itulah lumrah seorang pejuang yang ingin membawa perubahan, Allah akan terus duga dan duga semata-mata untuk meningkatkan lagi ketakwaan kita kepadaNya. Moga Allah bakal me'merdeka'kan kita semua dari konkongan minda dan jiwa yang telah kita tanggung selama ini. Amin.....

16 September 2008...

Selamat Hari Malaysia


Moga dalam beberapa hari yang akan datang, satu lembaran baru dalam lipatan sejarah Malaysia akan tercipta. Rejim zalim Barisan Nasional akan ditumbangkan dan mereka yang korup, rendah moral, tiada etika dan salahguna kuasa akan dijatuhkan oleh rakyat dari kerusi pemerintahan. 16 September 2008 bukanlah tarikh dimana Anwar akan jadi Perdana Menteri, tetapi tarikh menandakan bermulanya desakan rakyat yang mahukan satu perubahan drastik dalam saf kepimpinan negara dan memindahkan kuasa pemerintahan kepada Pakatan Rakyat yang akan membawa Malaysia ke satu tahap yang baru.

Buat pejuang rakyat yang mahukan perubahan - bersabarlah. Kemenangan ini semakin hampir kepada kita. Terus perbanyakkan doa dan hajat pada Allah swt. Persiapkan mental dan fizikal kita. Sesungguhnya yang paling kuat antara kita adalah mereka yang lebih berilmu dan bertakwa. Tanggungjawab kita bukan sekadar menubuhkan kerajaan tetapi sebaliknya amanah yang diberikan kepada kita kelak adalah tanggungjawab kita pada Allah, rakyat dan generasi masa depan kita dalam mewujudkan sebuah Malaysia baru. Yakinlah dan terus berdoa.

Sabtu, 13 September 2008

Pak Lah Vader.... Mastermind of Ops Lalang 2


Malam yang paling Gelap 2008 - 12 September

Tahanan-tahanan ISA setakat ini....


Raja Petra
-ditahan jam 13.10 tengah hari-



Tan Hoon Cheng (wartawan Sin Chew Daily)
-ditahan jam 20.30 malam-


Teresa Kok
-ditahan jam 23.18 malam-

Jumaat, 12 September 2008

Tahanan ISA lagi - Ops Lalang 2???

12 September 2008, 13.10 tengah hari - Raja Petra ditahan ISA di rumahnya di Sungai Buloh.

12 September 2008, 20.30 malam - Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng ditahan ISA di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

12 September 2008, 23.43 malam - Teresa Kok, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh (DAP) dikatakan ditahan ISA juga.

seterusnya ......????

Malaysia Baru - 15 September 2008

Raja Petra dan Tan Hoon Cheng ditahan ISA...


Empat hari lagi menjelang 16 September, Raja Petra dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta yang diwariskan British ini kepada kita sekali lagi diguna pakai sebagai 'senjata' untuk menakutkan dan memadamkan api kemaraan rakyat untuk melakukan perubahan. Episod terbaru kekejaman dan kebobrokan pimpinan negara yang ada sekarang tidak lebih dari satu langkah terakhir yang cukup terdesak dari mereka bagi menyelamatkan 'sampan bocor' mereka yang semakin karam dilanda badai ombak kebangkitan agenda perubahan yang didokong oleh majoriti rakyat.

ISA digunakan sekali lagi oleh kerajaan Selamat, Aman, Makmur (baca : Bangsat, Bodoh, Bacul) untuk menahan mereka yang berani menyangah penguasa yang zalim dan korup. Raja Petra dituduh menghina Islam padahal yang dipertikai adalah kredibiliti dan integriti anggota institusi agama itu sendiri dan Tan Hoon Cheng ditahan kerana melaporkan kenyataan biadap Ahmad Ismail (baca : Samseng Bacul) yang berbaur perkauman. Inilah namanya keadilan dan prinsip undang-undang yang dijunjung oleh Nabi Islam Hadhari dan ulama-ulamanya. Maka dengan cara ini syiar Islam Hadhari akan terus bersinar di bumi Malaysia ini.

Taktik kotor mereka ini, saya rasakan adalah antara langkah-langkah licik untuk mewujudkan keadaan seperti 13 Mei 1969 yang mana membawa kepada tercetusnya rusuhan kaum. Provokasi demi provokasi akan terus dilancar untuk menimbulkan ketegangan antara anggota masyarakt di Malaysia. Kekacauan bakal timbul dan ini akan memberi peluang kepada kerajaan zalim ini mengisytiharkan darurat dan membunuh terus demokrasi yang sememangnya sudah nyawa-nyawa ikan di Malaysia ini.

Saya menyarankan pada teman-teman yang masih cintakan akan negara ini agar bertenang dan bersabar. Janganlah kita cepat melatah dengan dakyah perkauman dan ketidakstabilan yang dijaja oleh Umno dan BN (baca : B*** Negara). Berhajatlah pada Allah dan terus istiqamah dalam perjuangan memerdekakan negara kita ini dari belenggu kekejaman, penindasan dan kezaliman Umno dan BN (baca : B*** Negara). Sesungguhnya perjalanan mencari kebenaran itu tidak akan pernah sunyi daripada cabaran, dugaan dan ancaman.

Buat Raja Petra dan Tan Hoon Cheng, saya doakan anda berdua dalam keadaan selamat dan moga Allah terus memberikan anda berdua kekuatan dan semangat untuk terus menyatakan yang benar dan menyanggah apa yang salah.


Khamis, 11 September 2008

Dakyah Perkauman - Senjata Usang...

Isu perkauman sekali lagi dimainkan oleh parti komponen Barisan Nasional. Ahmad Ismail dengan keterlanjuran bahasanya dan tindakan biadap penyokong-penyokong beliau juga antara ribuan insiden perkauman yang dimainkan Barisan Nasional. Namun saya tidak mahu mengambil jalan singkat dengan hanya menyalahkan mereka yang bermain dengan isu perkauman.

Sebenarnya isu perkauman didasarkan pada sistem politik itu sendiri. Negara kita merdeka dengan dipaksikan pada kesinambungan dasar pecah dan perintah yang diaplikasi oleh puak Imperialis ketika negara kita dijajah. Tunku, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan adalah pemuka-pemuka utama dalam mencorak sistem politik yang kita ada sekarang. Dek kerana isu perkauman yang dimainkan oleh semua parti-parti berasaskan kaum, negara kita mencatat detik hitam pada 13 Mei 1969 walaupun pada pandangan peribadi saya itu adalah antara taktik kotor Perikatan untuk memastikan survival kekuasaan mereka di Malaysia ketika itu. Singapura juga pernah menghadapi detik hitam angkara isu perkauman.



Saya suka untuk menyebut disini, pada pandangan saya Dato' Onn adalah orang yang selayaknya dianggap sebagai intelektual Melayu yang benar-benar merdeka dan demokratik. Walaupun beliau bertanggungjawab menubuhkan UMNO, tetapi beliau berfikir jauh bahawa sistem politik negara dan pentadbiran negara akan menghadapi satu Zaman Kegelapan yang panjang jika ianya terus didasarkan pada sistem politik perkauman. Maka disaat itu beliau telah mengemukakan idea untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Namun mungkin kerana pendekatan yang diambil, Dato' Onn gagal untuk membuka mata masyarakat ketika itu bahawa pada masa hadapan, pemerintah akan menghadapi masalah besar dalam menyatukan semua kaum di Malaysia sebagai bangsa Malaysia.

Setelah 51 tahun merdeka, saya mengagaskan agar semua parti komponen Barisan Nasional dibubarkan dan membentuk menjadi satu parti iaitu Barisan Nasional. Pengabungan ini amat penting dalam merealisasikan perpaduan nasional dalam erti kata sebenar. Saya tidak nampak kenapa penggabungan ini tidak boleh berlaku. Makanya semua ahli parti akan mempunyai hak yang sama rata untuk bersuara dan ini akan melancarkan lagi perjalanan sistem demokrasi di dalam parti. Melalui cara ini juga ianya dapat mengukuhkan jentera parti dan menghapuskan tanggapan dominasi oleh sesetengah pihak dalam parti pada pandangan masyarakat. Namun untuk mencapai ini, saya tidak taruhkan harapan saya pada pimpinan yang ada sekarang. Saya mengimpikan ianya akan terjadi sebelum tahun 2020 dan dilaksanakan oleh generasi muda parti yang benar-benar komited ingin membawa perubahan dalam sistem parti Barisan Nasional. Isu kronik ibarat tumor yang bernanah seperti rasuah, kronisma dan nepotisma harus dihapuskan secara total dari Barisan Nasional agar penjenamaan semula Barisan Nasional bisa menarik semula sokongan kepada mereka.


Selasa, 9 September 2008

Hang Jebat tak ajar kita macam ni...


Gambar : Penyokong UMNO Pulau Pinang mengoyakkan gambar Tan Sri Koh Tsu Koon sebagai tanda protes konfrantasi beliau terhadap Dato' Ahmad Ismail.

Apalah beza kita dengan bangsa kulit putih di Afrika Selatan dan Amerika Syarikat satu masa dulu? Kita marah Anwar kawan dengan Amerika dan Yahudi, tetapi perangai kita saling tak tumpah seperti Amerika dan Yahudi.... Hang Jebat kalau masih hidup pun rasa malu nak mengaku Melayu..

Khamis, 4 September 2008

Al-Fatihah buat Tan Sri Abdul Samad Ismail...


Tan Sri Abdul Samad Ismail
24 April 1925 - 4 September 2008


Tokoh kewartawanan tanah air ini bukan hanya seorang journalis biasa. Beliau adalah lebih dari itu. Beliau adalah pejuang dalam membawa perubahan kepada masyarakat yang dikasihinya melalui tulisan-tulisan beliau. Beliau juga yang bertanggungjawab dalam merangka Perlembagaan Rakyat yang disyorkan oleh PUTERA-AMCJA pada 1947. Beliau juga merupakan anggota pengasas GERAM dan juga People Action Party (PAP) di Singapura. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara adalah sebagai Editor New Straits Times.

Beliau telah meninggalkan kita semua hari ini, 4 Ramadhan 1429H bersamaan 4 September 2008 pada jam 5.58 petang di Pusat Perubatan Pantai. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.....


Rabu, 3 September 2008

16 September 2008- Percayakah Anda??


16 September 2008 menjadi tarikh keramat pilihan Anwar Ibrahim untuk me'merdeka'kan Malaysia dari sebuah kerajaan diktator yang mengamalkan sistem politik perkauman yang telah ketinggalan zaman. Caranya adalah dengan 'memindahkan' seramai mungkin ahli parlimen parti pemerintah menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk satu majoriti mudah. Benarkah perkara ini bisa terjadi Selasa, 16 September 2008?

Aku menyorot kembali masa ke Mac 2008, saat sebelum Pilihan Raya ke-12. Aku menonton sebuah wawancara Anwar bersama Al-Jazeera, Anwar dengan yakin menyatakan barisan pembangkang ketika itu mampu untuk menafikan dua pertiga majoriti parti pemerintah. Aku skeptikal dengan kenyataannya, tetapi nyata rakyat Malaysia menyahut impian Anwar itu dengan menghadiahkan 82 kerusi parlimen kepada pembangkang dan menafikan dua pertiga majoriti parti pemerintah. Empat buah negeri dihadiahkan kepada barisan pembangkang sambil Kelantan dikekalkan di bawah pentadbiran pembangkang. Ternyata nujum Anwar menjadi kenyataan.

Beberapa bulan lalu, Anwar kembali menyatakan harga minyak mampu diturunkan. Debat menjadi gelanggang Anwar untuk mengulangi keyakinan beliau. Aku yang juga sibuk berdebat dengan teman-teman, orang terpelajar dan golongan pekerja; akhirnya tak mampu mencapai konklusi samada kerajaan bisa menurunkan harga minyak. Namun rupa-rupanya pemimpin kerajaan mengambil langkah berani untuk menurunkan harga minyak walaupun sebagai satu tindakan populis sempena meraih undi ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Ketika Permatang Pauh menjadi pentas pertarungan antara Anwar dan hulubalangnya dengan seluruh jentera kerajaan parti pemerintah, aku nyaris sesak dengan segala propaganda dan dakyah yang dihidangkan oleh media massa. Aku sendiri hampir yakin bahawa majoriti Anwar dalam Pilihan Raya Kecil ini pasti lebih kecil dari yang diperoleh oleh isterinya. Aku juga kaget apabila pada hari pengundiaan, pesanan sms yang aku terima menyatakan peratusan keluar mengundi amat rendah. Namun menurut sumber-sumber dari mereka yang berada di samping Anwar, beliau begitu yakin akan mampu menang dengan majoriti 15,000 undi. Akhirnya nujum Anwar sekali lagi terbukti benar.

Dari Permatang Pauh menuju ke Putrajaya, menjadi tema Anwar dalam merealisasikan perjuangan me'merdeka'kan Malaysia saat tanggal 16 September ini. Maka dilihat dari trek rekod Anwar sepanjang tahun ini, maka tidak salah jika kita menaruh sekelumit kepercayaan akan kemampuan Anwar dalam merealisasikan perjuangannya ini. Untuk mereka yang rasa kerusi kekuasaan mereka terancam, mereka tidak seharusnya memandang enteng akan hasrat Anwar dan hulubalangnya. Anda sekalian ada tidak lebih dari dua minggu untuk berubah atau terus rebah.