Khamis, 11 September 2008

Dakyah Perkauman - Senjata Usang...

Isu perkauman sekali lagi dimainkan oleh parti komponen Barisan Nasional. Ahmad Ismail dengan keterlanjuran bahasanya dan tindakan biadap penyokong-penyokong beliau juga antara ribuan insiden perkauman yang dimainkan Barisan Nasional. Namun saya tidak mahu mengambil jalan singkat dengan hanya menyalahkan mereka yang bermain dengan isu perkauman.

Sebenarnya isu perkauman didasarkan pada sistem politik itu sendiri. Negara kita merdeka dengan dipaksikan pada kesinambungan dasar pecah dan perintah yang diaplikasi oleh puak Imperialis ketika negara kita dijajah. Tunku, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan adalah pemuka-pemuka utama dalam mencorak sistem politik yang kita ada sekarang. Dek kerana isu perkauman yang dimainkan oleh semua parti-parti berasaskan kaum, negara kita mencatat detik hitam pada 13 Mei 1969 walaupun pada pandangan peribadi saya itu adalah antara taktik kotor Perikatan untuk memastikan survival kekuasaan mereka di Malaysia ketika itu. Singapura juga pernah menghadapi detik hitam angkara isu perkauman.



Saya suka untuk menyebut disini, pada pandangan saya Dato' Onn adalah orang yang selayaknya dianggap sebagai intelektual Melayu yang benar-benar merdeka dan demokratik. Walaupun beliau bertanggungjawab menubuhkan UMNO, tetapi beliau berfikir jauh bahawa sistem politik negara dan pentadbiran negara akan menghadapi satu Zaman Kegelapan yang panjang jika ianya terus didasarkan pada sistem politik perkauman. Maka disaat itu beliau telah mengemukakan idea untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Namun mungkin kerana pendekatan yang diambil, Dato' Onn gagal untuk membuka mata masyarakat ketika itu bahawa pada masa hadapan, pemerintah akan menghadapi masalah besar dalam menyatukan semua kaum di Malaysia sebagai bangsa Malaysia.

Setelah 51 tahun merdeka, saya mengagaskan agar semua parti komponen Barisan Nasional dibubarkan dan membentuk menjadi satu parti iaitu Barisan Nasional. Pengabungan ini amat penting dalam merealisasikan perpaduan nasional dalam erti kata sebenar. Saya tidak nampak kenapa penggabungan ini tidak boleh berlaku. Makanya semua ahli parti akan mempunyai hak yang sama rata untuk bersuara dan ini akan melancarkan lagi perjalanan sistem demokrasi di dalam parti. Melalui cara ini juga ianya dapat mengukuhkan jentera parti dan menghapuskan tanggapan dominasi oleh sesetengah pihak dalam parti pada pandangan masyarakat. Namun untuk mencapai ini, saya tidak taruhkan harapan saya pada pimpinan yang ada sekarang. Saya mengimpikan ianya akan terjadi sebelum tahun 2020 dan dilaksanakan oleh generasi muda parti yang benar-benar komited ingin membawa perubahan dalam sistem parti Barisan Nasional. Isu kronik ibarat tumor yang bernanah seperti rasuah, kronisma dan nepotisma harus dihapuskan secara total dari Barisan Nasional agar penjenamaan semula Barisan Nasional bisa menarik semula sokongan kepada mereka.


Tiada ulasan: