Isnin, 26 Mei 2008

CheguBard pula dikatakan bakal menyertai UMNO...


Selepas desas-desus akan penyertaan Ezam ke dalam UMNO dalam tempoh terdekat ini, seorang lagi tokoh dari Parti Keadilan Rakyat pula diperkatakan bakal menyertai UMNO. Beliau adalah Badrul Hisham Saharin, yang merupakan calon PKR bagi PRU12 yang lalu untuk Parlimen Rembau bagi menentang Khairy Jamaluddin. Beliau yang memang terkenal sebagai 'veteran' dalam demonstrasi jalanan dikatakan bakal menyertai UMNO dengan mengikut jejak langkah pengerusi Gerak, Saudara Ezam Mohd Nor.

Saya pun tidak berani mengesahkan khabar angin ini yang sedang bertiup kencang di kalangan aktivis-aktivis PKR. Kita tunggu dan lihat sahaja. Apakah tujuan sebenar penyertaan mereka ke dalam UMNO? Saya tidak tahu. Namun situasi ini cukup meresahkan di saat kita perlu merapatkan barisan Pakatan Rakyat dalam usaha membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan berkebajikan.

Saya hanya mampu berdoa.....

Sabtu, 24 Mei 2008

Komen Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai kedaulatan Pulau Batu Putih...



Catatan ini hanyalah satu lawak jenaka. Ingatan ini bukan kenyataan rasmi Datuk Seri S. Samy Vellu. Ampun Datuk Seri....=)

Khamis, 22 Mei 2008

Ezam masuk UMNO...


Hari ini didalam sebuah akhbar bahasa Inggeris, satu artikel menyatakan akan penyertaan semula Ezam Mohd Nor yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat ke dalam UMNO. Beliau yang meninggalkan PKR tahun lepas kerana mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim mengamalkan politik diktator di dalam PKR dan juga pengaruh YB Azmin Ali yang mengawal Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ezam dijangka akan menyertai semula UMNO paling awal adalah 1 Jun depan.

Apakah ini satu tamparan kepada PKR? Mungkin ya. Apakah agenda beliau? Saya harap untuk cuba merubah UMNO dari dalam. Saya doakan Ezam akan berjaya. Ezam selaku pengerusi GERAK, sebuah NGO yang berjuang untuk menentang rasuah mungkin adalah 'tenaga pakar' yang sangat diperlukan UMNO di saat ini bagi memulihkan imej mereka dan menghapuskan rasuah hingga ke akar umbi.

Buat Ezam saya ucapkan Selamat Maju Jaya jika beliau benar-benar kembali ke pangkuan UMNO.

Si Setan Merah - Raja Eropah!!!


Manchester United ditabal sebagai juara Liga Juara-juara Eropah untuk edisi 2007/2008 setelah mereka berjaya menewaskan Chelsea melalui penentuan sepakan penalti. Perlawanan yang terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan mengakhiri perhitungan dengan sepakan penalti yang berkesudahan 6-5. Perlawanan akhir yang cukup dramatik. Tahun ini tahun Manchester United - JUARA BERGANDA!!


Rabu, 21 Mei 2008

Tun Dr Mahathir menjawab isu surat kepada PM Israel..



Hari ini di dalam blog beliau, Tun Dr Mahathir menafikan penglibatan beliau di dalam sepucuk surat yang dihantar kepada PM Israel, Ehud Barak. Mungkin ada benarnya surat ini telah ditulis atau di'rencana'kan demi memburukkan nama Tun Dr Mahathir. Namun disini ingin saya memberi satu saranan buat Tun agar menyerahkan perkara ini kepada pihak polis. Lakukanlah laporan polis dan biarkan satu siasatan menyeluruh dapat dibuat.

- perenggan akhir telah dikeluarkan -


Selasa, 20 Mei 2008

"Japanese Obsessive Disorder"


Setelah dua minggu pelajar-pelajar dari Jepun berada bersama-sama kami untuk kelas dan hampir setiap masa siang dan malam, akhirnya mereka pulang ke tanah air mereka bagi meneruskan penghidupan mereka di sana. Namun yang 'ditinggal' masih mempamerkan simptom-simptom 'kurang sihat' mungkin akibat keakraban yang dapat dibina dalam masa tak sampai dua minggu bersama pelawat-pelawat ini. Pelajar dari Jepun ini telah berjaya meninggalkan impak yang mendalam di fakulti ini. Perkenalan pasti akan menemui perpisahan jua akhirnya.

Namun, pendapat peribadi saya, alangkah baiknya jadi orang Jepun. Mengapa mereka yang tidak seagama dan sebangsa dengan kita, kita sanggup untuk berkorban masa dan tenaga demi keselesaan mereka namun untuk kita yang sama saudara seagama dan sebangsa di fakulti masih gagal untuk mempamerkan ukhuwah sebenar mereka yang bergelar Islam dan Melayu. Kita mengenali sesama sendiri sudah hampir memasuki tahun kelima tetapi 'perpaduan' yang saya harapkan untuk dilihat dalam komuniti fakulti ini masih jauh dari gapaian....


Al-Fatihah buat Pak Long..

- gambar sekadar hiasan -

Al Fatihah buat Hashim bin Baharum, 62 tahun yang merupakan bapa saudara sulung sebelah bapaku. Beliau kembali menemui Allah pada malam tadi lebih kurang jam 12.30 pagi, 20 Mei 2008. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Wad 8D Hospital Selayang setelah dimasukkan ke wad selama seminggu. Beliau selamat dikebumikan pagi ini di Tanah Perkuburan Hj Mad Said, Seremban. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan bertakwa. Amin...


Isnin, 19 Mei 2008

Menjawab tuduhan Mukhriz terhadap DSAI...



Muhriz yang dengan angkuh telah mengkritik DSAI dengan berbagai tohmahan yang memang jelas datang dari mulut bapanya sendiri. Keluarga ini yang tidak kurang 'hebatnya' dari keluarga Badawi dalam membolot harta negara selama ini cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap mereka. Semua pekung mereka sekeluarga akan terbuka jua satu persatu untuk tatapan rakyat Malaysia seluruhnya. Ada eloknya rakyat Malaysia disedarkan dengan apa yang sedang dilakukan oleh DSAI dengan penglibatannya dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang aktif dalam usaha mempertahankan hak asasi manusia dan mempromosi keamanan sejagat.

Sila klik sini bagi mendapatkan penjelasan bertulis Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.


Jumaat, 16 Mei 2008

Selamat Hari Guru!!


Selamat Hari Guru. Terima Kasih buat semua guru yang telah mendidik saya selama ini dari Tadika Ihsan di Seksyen 3, Shah Alam, SK Raja Muda, SMK Seksyen 9, dan MRSM Chenderoh. Namun terima kasih yang tidak terhingga saya adalah buat Papa dan Mama yang telah menjadi guru, cikgu dan pendorong saya selama ini. Terima Kasih buat semua cikgu dan hanya Allah yang boleh membalas jasa baik cikgu sekalian. Sempena menghayati semangat Hari Guru, ada baiknya kita melihat kepada nasib guru-guru kita di Malaysia. Jika 30 tahun dahulu guru diberi 'kuasa penuh' oleh ibubapa dalam mendidik anak mereka, hari ini tidak lagi. Ibubapa lebih memanjakan anak dan kisah guru 'diserang' ibubapa boleh kedengaran dimana-mana sahaja dewasa ini. Sikap kurang ajar anak-anak kita hari ini juga semakin menjadi-jadi dimana guru tidak lagi dihormati seperti satu masa dahulu. Jasa guru tidak seharusnya dipandang sepi oleh masyarakat dan juga pihak berkuasa kerana tanpa guru, tak akan mungkin sebuah negara memiliki Perdana Menteri, tanpa guru tak akan mungkin sebuah hospital memiliki doktor, tanpa guru tak akan mungkin sebuah mahkamah memiliki hakim dan banyak lagi kejayaan yang tamadun manusia kecapi hari ini adalah dari titik peluh mereka yang bernama guru kerana berkat usaha mereka melahirkan insan yang berguna. Namun di satu sudut, adakah guru-guru hari ini layak mendapat pengiktirafan sama yang pernah mereka kecapi sebelum ini? Isu ini saya timbulkan kerana dari pengalaman saya sendiri, walau tidak ramai, tetapi cukup untuk meninggalkan kesan buat diri saya akan guru-guru yang tidak menjaga profesionalisma pekerjaan mereka sehinggakan hari ini profesion perguruan tidak lagi dipandang mulia seperti satu masa dahulu. Hari ini kebanyakkan guru masih gagal untuk menjadi agen kepada aspirasai pendidikan nasional. Antara sebabnya adalah, guru hari ini yang sebahagiannya (bukan semua), bersikap seperti 'suri rumah' yang bekerja. Mereka tidak memiliki jiwa dan semangat untuk mendidik anak bangsa kerana pada mereka, mereka hanya ke sekolah untuk 'membacakan' apa yang ada dalam buku teks dan kemudian pulang ke rumah dan menunggu gaji bulan-bulan. Guru hari ini kebanyakkannya gagal untuk menjadi pendorong buat anak bangsa agar mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi. Mereka gagal untuk mewujudkan suasana yang kondusif dan interaktif buat anak murid untuk mereka menimba ilmu di sekolah. Ini secara tidak langsung menyebabkan masalah gejala ponteng dan lepak semakin meningkat. Saya berani jamin, masih ramai guru di luar sana yang tidak tahu atau fasih bagaimana cara dan haluan untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya pernah bertanya pada seorang guru tentang berapa tahunkah pengajian matrikulasi sekarang ini dan guru itu gagal untuk menjawab. Maka pada siapa pelajar mahu merujuk? Lebih teruk dari itu, awal minggu ini saya bertanya pada seorang guru Bahasa Inggeris yang mempunyai tiga orang anak bilakah cuti sekolah pertengahan tahun bermula, guru itu juga gagal menjawab. Adakah ini tahap guru yang negara kita miliki hari ini? Tidak hairan jika pusat tuisyen tumbuh bagai cendawan hari ini kerana guru gagal untuk memberikan standard pendidikan yang diharapkan oleh ibubapa moden Malaysia hari ini. Ini adalah antara sebab-sebab yang dapat saya usulkan pada catatan kali ini. Amatlah tidak adil buat saya mengemukakan lebih banyak komen pada hari ini kerana takut-takut membunuh semangat sambutan Hari Guru itu sendiri. Namun jauh di lubuk hati saya, masih ramai guru di luar sana yang berkorban sepenuh jiwa dan raga mereka untuk mendidik anak bangsa. Untuk mereka ini saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana usaha anda bakal melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang lebih berjaya di masa hadapan. Buat Menteri Pelajaran Malaysia, hentikanlah mempolitikkan sistem pendidikan negara. Tumpukanlah usaha dalam memulihkan imej profession perguruan itu dan urustadbir duit rakyat dengan berhemah dan bebas dari korupsi kerana pada saya dan juga berjuta lagi rakyat Malaysia, dana pendidikan negara haruslah 'bersih' dari segala unsur-unsur 'keji dan jijik'. Terima Kasih sekali lagi buat semua cikgu dan Selamat Hari Guru buat semua guru di Malaysia.

Khamis, 15 Mei 2008

Nakbah Palestin..


"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan kepadanya ayat-ayat (tanda-tanda) kebesaran Kami, sesungguhnya Dialah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Surah al-Isra': 1

Tanggal 15 Mei 2008, genap 60 tahun pendudukan haram bumi Palestin oleh rejim Israel laknatullah. Bumi yang menempatkan kiblat pertama umat Islam ini, saban hari terus dicemari dengan kekejaman, penindasan dan kezaliman rejim Israel laknatullah ke atas umat Islam Palestin. Saya hairan. Kenapa kita umat Islam yang mempunyai pertubuhan OIC dan juga Liga Arab masih gagal untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin terutamanya di Gaza. Hamas terus ditekan. Pemimpin Islam yang korup terus diangkat dan disanjung. Umat Islam terus dilemahkan dengan perpecahan dan sikap ala-yahudi. Sampai bila perkara ini harus berlaku?

Sedarlah wahai teman! Bangkitlah saudaraku! Penuhkan ilmu di dadamu! Kuatkan iman dan ketakwaanmu! Mari kita sama-sama bangun menentang kezaliman ini dan mengembalikan syiar Islam di muka bumi Allah ini!

ALLAHUAKBAR!!!



Selasa, 13 Mei 2008

Ulangtahun ke-23...


Alhamdullilah.. setahun lagi dalam hidup ini bakal ditempuhi. Terima kasih buat teman-teman yang mendedikasikan ucapan ulangtahun. Semoga Allah memanjangkan usia kita semua dan memberi kita kesihatan untuk terus melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di mukabumi ini. Buat teman-teman maafkan diri ini atas segala dosa-dosa yang lepas dan halalkan segala makan, minum dan jasa yang telah dicurahkan buat diri ini yang lemah. Terima Kasih Semua.


Khairy = BABI NEGARA!!!!


Melihat telatah bapa mentuanya sudah cukup geli hati tapi bila melihat telatah anak menantu yang seorang ini amat menjijikan... mengalahkan melihat babi sedang terberak cirit...hendak menghina orang tetapi diri sendiri yang ditempelak.. Selamat Maju Jaya wahai Khairy dan Projek Babi Negara (PBN)!!!





Isnin, 12 Mei 2008

Si Setan Merah Juara Lagi!!!


Manchester United ditabal sebagai juara Liga Perdana Inggeris buat kali ke 17 dalam sejarah pertandingan itu. Manchester United mengatasi Chelsea di tempat kedua dengan perbezaan dua mata. Tahniah buat Manchester United terutama sekali semua penyokong Si Setan Merah di Malaysia. Mari kita ganyang Chelsea di Moscow pula!!!


Bersabar di Melaka...


Sabtu, 10 Mei - Melaka menjadi destinasi pilihan dalam membawa pelajar Jepun bersiar-siar. Menyeronokkan dan penuh rintangan namun sabar mengatasi segalanya. Seronok dan puas.


Sabtu, 10 Mei 2008

Sate buat Orang Jepun...


Minggu ini dan minggu hadapan menjadi minggu yang menarik buat kami di fakulti. Pelajar dari Jepun seramai 5 orang(Michihiro, Sinya, Michio, Mahiro dan Atsuko) hadir untuk program pengajian lanjutan di Malaysia. Malam Rabu lepas kami dengan baik hatinya telah membawa mereka menikmati sate di kedai makan hadapan Menara Celcom Jalan Tun Razak. Sate sini sedap-sedap belaka dan berbaloi kerana satenya besar-besar tidak seperti sate yang di jual 'pak Haji' yang dari hari ke hari semakin kurang kualitinya. Mereka gembira dan sangat menghargai layanan baik yang kami berikan kepada mereka. Alangkah baiknya kalau jadi orang Jepun....=)


Khamis, 8 Mei 2008

Polis Merampas Kuasa.....RAKYAT!!!!


Tanggal 8 Mei 2008, sekali lagi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) melakukan 'rampasan' kuasa. Dan acap kali juga 'rampasan' ini dilakukan di Dataran Merdeka. Dataran yang menyaksikan kemerdekaan Malaysia pada lebih 51 tahun yang lepas.

Kuasa RAKYAT untuk berhimpun, bersuara bahkan mengkritik telah sekali lagi di'rampas' oleh PDRM dengan arahan pihak kerajaan BN. Jika kebebasan suara Raja Petra disekat dengan kononnya dakwaan hasutan, malam ini tadi kuasa rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Raja Petra pula di'rampas'.

51 tahun dahulu Dataran Merdeka menjadi saksi kepada pembebasan rakyat Malaya ketika itu dari cengkaman penjajahan British. Malam ini rupa-rupanya rakyat Malaysia sesudah 51 tahun merdeka masih lagi berada dalam cengkaman pemerintahan kuku besi yang diamalkan oleh kerajaan pewaris penjajah ini.

Namun TAHNIAH buat semua pejuang-pejuang sekalian yang berhimpun di hadapan Penjara Sungai Buloh bagi menyatakan sokongan kepada Raja Petra. Hidup KUASA RAKYAT!!!



Saya berharap sesudah lebih 51 tahun menanti, tanggal 16 September 2008 nanti, satu era baru akan muncul menggantikan pemerintahan kuku besi yang ada sekarang ini.

REFORMASI!!

Risaunya saya akan keselamatan RPK...


Apalah 'salah' isteri RPK hinggakan beliau tidak mahu menemui isterinya?? Benarkah pegawai penjara yang mengatakan bahawa RPK enggan menemui sesiapapun termasuk isterinya?? Saya risau!! Sedangkan gadis yang bebas dan bukan dalam tahanan pun bisa dibom sampai hancur inikan pula RPK yang dibawah 'jagaan' mereka. Sedangkan bekas Timbalan Perdana Menteri pun boleh dibelasah sampai lebam matanya tambah lagi diracun dengan arsenik.. Saya AMAT risau! Lihat lah video ini yang memaparkan pengalaman seorang mangsa tahanan ISA dan mungkin anda faham dan akan berkongsi kerisauan dengan saya...

video

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah melindungi diri RPK dari segala bentuk seksaan fizikal dan mental.... Amin


Selasa, 6 Mei 2008

Raja Petra ditahan di Sungai Buloh kerana 'menghasut'...


Raja Petra Kamaruddin, pengendali blog Malaysia Today telah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana menyiarkan artikel berunsur hasutan pada 25 April dalam Malaysia Today. Artikel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' itu mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes berprofail tinggi pembunuhan Altantuya Shariibuu.

Kes tersebut akan didengar pada 6 hingga 10 Oktober depan dan Raja Petra dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000. Beliau bagaimanapun enggan membayar ikat jamin dan telah ditahan di Penjara Sungai Buloh, sehingga tarikh kesnya bermula.

Adakah ini antara langkah awal kerajaan BN dalam usaha menyekat blogger di Malaysia?? Nampaknya sinar kebebasan bersuara di Malaysia ini masih samar dan keterbukaan yang dijanjikan oleh kerajaan hanyalah omong-omong kosong. Bila dilihat akan kes terbaru ini, saya teringat akan ungkapan Raja Petra sendiri dalam rancangan Blog di RTM pada dua minggu lepas....

"Nabi Muhammad tidak mungkin dapat sebarkan Islam jika terus berada di Makkah kerana kebebasan bersuara baginda disekat. Apabila baginda berhijrah ke Madinah barulah Islam itu dapat disebarkan ke seluruh dunia hingga ke hari ini kerana adanya - kebebasan bersuara."

-Raja Petra Kamaruddin-
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang dana untuk mengikat jamin Raja Petra, sila klik sini.

Ahad, 4 Mei 2008

Melayu....


Orang Melayu adalah mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan sebahagian kepulauan Sumatra, di pesisiran Borneo dan kepulauan kecil lain. Ahli antropologi telah berjaya menjejak leluhur orang Melayu yang berasal dari masyarakat yang berada di barat utara Yunnan di China. Mereka ini dikenali sebagai Melayu-Proto atau lebih dikenali sebagai Jakun adalah terdiri dari orang laut. Pengembara Portugis, Godinho de Eredia menggambarkan orang Melayu sebagai Saletes atau Orang Selat.

Asal-usul nama Melayu itu terdiri dari beberapa teori. Antaranya mengatakan bahawa nama Melayu itu berasal dari nama sebuah sungai dalam kerajaan Jambi yang berpusat di kaki gunung Batang Hari. Teori yang lebih popular di kalangan orang Jawa Indonesia adalah teori peristiwa pelarian Parameswara ke semenanjung Tanah Melayu. Teori ini disokong oleh sejarawan Portugis, Tome Pires kerana perkataan 'melayu' itu bermaksud lari di dalam bahasa Jawa.

Orang Melayu secara dasarnya yang ada pada hari ini adalah orang Melayu yang terdiri dari leluhur yang berbagai-bagai. Dari pengaruh India, China, Jawa, Arab dan juga Siam, masyarakat Melayu hari ini wujud. Di Malaysia, orang Melayu menurut perlembagaan ditafsirkan sebagai seorang warganegara yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu. Orang Melayu di Malaysia merangkumi hanya 48.7% daripada jumlah penduduk Malaysia hari ini.

Dalam tempoh 50 hari lebih selepas keputusan Pilihan Raya ke-12 diumumkan, isu hak istimewa orang Melayu, perpaduan orang Melayu dan kedaulatan Raja Melayu terus berkumandang di corong-corong media perdana mahupun alternatif di negara ini. Mengapa ianya terjadi? Beberapa teori yang akan saya kemukakan demi untuk tatapan pembaca Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya;



1. Kurangnya sokongan terhadap UMNO - Parti yang ditubuhkan hasil permuafakatan semua kesatuan-kesatuan Melayu pada lebih 60 tahun lepas ini, selama ini telah dipandang sebagai parti teras kepada orang Melayu. Pemikiran ini terjadi secara tak langsung adalah hasil muslihat British yang ingin memastikan kepentingan mereka dan dasar mereka 'pecah dan perintah' terjamin di Tanah Melayu pada waktu ketika itu. Bangsawan-bangsawan di dalam UMNO bisa 'dipujuk' untuk bertolak-ansur dengan British pada ketika itu. Padahal ketika itu terdapat PKMM - sebuah parti haluan kiri orang Melayu (digelar haluan kiri kerana tidak sebulu dengan British) dan beberapa angkatan Melayu lain contohnya API, AWAS dan lain-lain, telah mendapat sokongan orang Melayu bawahan dan juga telah didokong oleh AMCJA (pakatan persatuan-persatuan kaum lain).


Mereka telah mewujudkan pakatan Putera-AMCJA dan mengemukakan Perlembagaan Rakyat kepada British. Perlembagaan yang menjurus ke arah kemerdekaan dan hak rakyat Malaya yang bebas ini telah menyebabkan British menolak cadangan Putera-AMCJA dan tidak lama selepas itu mewujudkan undang-undang Darurat kononnya untuk menentang komunis tetapi persatuan yang pertama-tama diharamkan adalah persatuan-persatuan yang bergabung di dalam Putera antaranya PKMM, API, AWAS dan banyak lagi. Seterusnya mereka yang bergabung di dalam AMCJA dan propaganda mengatakan mereka ini komunis telah disebarkan oleh British. Seramai 29,857 orang telah ditahan British tanpa bicara dan 10,000 daripadanya adalah orang Melayu. Dari peristiwa ini, UMNO telah berjaya diangkat sebagai jaguhan orang Melayu. Mereka telah memacu kebangkitan orang Melayu dan orang Melayu yang tiada pilihan (kerana naif di dalam isu politik dan kurang berpendidikan pada ketika itu) telah menyerahkan segala jiwa dan raga mereka kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa. Apabila Perikatan berjaya mencapaikan kemerdekaan untuk Malaya, populariti UMNO pun terus naik sebagai satu-satunya pejuang bangsa Melayu. Dasar PAS sebagai sebuah parti Islam menyebabkan parti itu tidak dipandang sebagai tunjang kepada orang Melayu. Tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan orang Melayu bertambah kuat bersama UMNO kerana rusuhan kaum ini terjadi apabila Perikatan tewas dalam pilihan raya di Kuala Lumpur. Populariti UMNO kembali naik dan selepas pembentukan Barisan Nasional, PAS secara licik telah di'tekan' dan menyebabkan parti itu langsung tidak dipandang sebagai pembela bangsa Melayu. Berbalik kepada isu kini, mereka-mereka yang menjuarai isu perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu ini adalah mereka yang lahir pada zaman atau waktu yang saya sebutkan di atas. Mereka ini secara ideologi politiknya telah diterapkan bahawa hanya UMNO yang selayaknya memperjuangkan nasib orang Melayu dan kewujudan PAS dan PKR dipandang sebagai perpecahan kepada orang Melayu. Oleh kerana usia yang semakin tua, maka ramai dari golongan di zaman 'kegemilangan' UMNO ini telah kembali menemui Allah. Secara tidak langsung undi-undi yang selama ini berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional semakin lama semakin berkurangan.



2- Pengundi muda Melayu, Cina dan India tidak mengundi UMNO dan Barisan Nasional - Fenomena ini terjadi kerana kebanyakkan mereka yang datang mengundi buat kali pertama adalah mereka yang lahir atau mula sedar mengenai politik di saat zaman 'kegelapan' UMNO dan Barisan Nasional. Di saat mereka ini terdedah kepada arus media alternatif terutamanya internet dan rakan-rakan, banyak kepincangan dan salah laku UMNO dan Barisan Nasional didedahkan. Tahap pendidikan yang semakin tinggi, kesedaran akan hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dan konsep kerajaan yang bersih dan adil kepada rakyat juga mempengaruhi ideologi pemikiran anak muda dalam memilih parti mana yang mereka ingin sokong dan akhirnya melihatkan banyak undi anak muda Malaysia berpihak kepada parti-parti Pakatan Rakyat.



3- Orang Melayu mula mengundi DAP - Parti pelbagai kaum, namun mempunyai majoriti ahli dari kaum Cina ini terkenal dengan propaganda 'Malaysian Malaysia'. Propaganda mereka ini ditafsirkan sebagai mengugat hak keistimewaan orang Melayu dan berjuang untuk hak dan peluang yang sama rata untuk semua kaum di Malaysia. Pada Pilihan Raya ke-12 yang lepas, orang Melayu, banyaknya di kawasan bandar atau mempunyai majoriti penduduk bukan Melayu telah bertindak memilih calon DAP pada pilihan raya itu. Fenomena ini dilihat sebagai satu 'ancaman' kepada orang Melayu. Oleh itu, para 'pejuang bangsa' (walau pada hakikatnya kita sendiri tidak tahu apa yang mereka perjuangkan) bertungkus-lumus memerah keringat dan otak bagaimana untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Inilah diantara pandangan saya dalam isu Melayu yang sedang hangat dicanang sekarang ini. Namun dalam kita sibuk membahaskan isu ini, mungkin adalah lebih elok jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih ilmiah dan berhati-hati agar tidak menguris hati dan perasaan saudara-saudara kita dari kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Buat 'pejuang-pejuang' bangsa saya yang telah dihujung usia ini, saya sarankan agar mereka berhenti dari terus mengemukakan idea-idea atau mewujudkan resolusi-resolusi yang tidak lebih dari sekadar omong kosong sahaja di kemudian hari (melainkan pemimpin-pemimpin Melayu di dalam UMNO sanggup untuk mengubah pemikiran dan sanggup berlaku adil kepada orang Melayu dari PAS, PKR dan DAP). Generasi muda hari ini bukan lagi hanya berfikir untuk orang Melayu tetapi untuk semua bangsa Malaysia, berfikir untuk rakyat yang miskin dan dinafikan hak mereka tanpa mengira bangsa atau agama. Kerajaan yang bersih, adil dan menjadi 'hamba' kepada rakyat adalah kerajaan yang menjadi tuntutan kami golongan muda anak bangsa Malaysia.


Jumaat, 2 Mei 2008

Anwar ke-85 paling berpengaruh di dunia..


Dato' Seri Anwar Ibrahim pada minggu ini mencipta dua sejarah baru buat dirinya di mana beliau kembali ke Parlimen selepas 10 tahun dinafikan hak beliau dan juga dipilih sebagai orang yang ke-85 berpengaruh di dunia oleh majalah Time. Beliau disifatkan sebagai seorang tokoh Islam yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dan juga dipandang sebagai tokoh yang bertoleransi. Tahniah Dato' Seri!


Al-Fatihah buat Tan Sri S.M Nasimuddin


Allahyarham Tan Sri S.M Nasimuddin nama yang cukup gah di dalam industri korporat negara adalah salah satu contoh anak Melayu yang berjaya di dalam bidangnya. Allahyarham memulakan usaha membina Syarikat Kumpulan Naza dengan modal sebanyak RM80,000 pada tahun 1974. Sekarang beliau telah berjaya menjadikan Kumpulan Naza sebagai sebuah syarikat yang bernilai jutaan ringgit. Kumpulan Naza sekarang mempunyai 14 bahagian perniagaan termasuk perdagangan motor, motosikal, pembuatan, perkhidmatan pengangkutan, peralatan mesin/kelengkapan kejuruteraan, perladangan, pengedaran rokok, kredit dan pajakan, kraf air, hartanah, operasi perhotelan dan agensi insurans.

Beliau yang sedang menerima rawatan kanser paru-paru sejak Januari lepas di sebuah hospital di Los Angeles menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun kira-kira jam 9 pagi Khamis waktu tempatan di hadapan isteri beliau dan anak-anak.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia. Beliau yang tegas di dalam urusan perniagaan beliau wajar dicontohi oleh usahawan-usahawan muda Malaysia dalam mengembangkan sayap perniagaan masing-masing. Al-Fatihah buat Allahyarham dan moga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan bertakwa....Amin


Khamis, 1 Mei 2008

Kecewa....


Nyata saya kecewa dengan sidang Parlimen semalam di mana ahli parlimen bertelagah dan menggunakan bahasa-bahasa atau panggilan-panggilan yang tidak beretika. Tindakan melebihkan soalan dari pihak penyokong kerajaan dan mengenepikan suara ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga amatlah menjijikkan dimana BN masih lagi mahu meneruskan sikap lama mereka yang terus menekan dan tidak berlaku adil.