Ahad, 31 Ogos 2008

Salam Ramadhan Al Mubarak


"Sahaja aku berpuasa esok hari fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala"


Moga Ramadhan ini kita dilimpahkan dengan rahmatNya yang tak terhingga dan amalan kita diterimaNya. Kemenangan Badr akan terus membakar semangat kita dalam membina sebuah Malaysia Baru. Salam Ramadhan Al Mubarak.


Kemerdekaan...


31 Ogos 1957 - Tanah Melayu diisytihar Merdeka

28 tahun selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, aku dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Lahirnya di Malaysia, sempat dibesarkan di Amerika Syarikat hingga cecah umur empat sebelum kembali ke Malaysia dan menetap terus hingga sekarang. Malaysia menjadi tempat saya menimba ilmu, mengumpul pengalaman, mencari makan, membina masa depan dan berjuang demi Malaysia yang bebas Merdeka dalam erti kata sebenar.

10 tahun pertama dalam hidupku, 31 Ogos setiap tahun tidak lebih dari sekadar cuti umum buat diriku. Hari itu juga menjadi saat dimana aku menonton perbarisan kemerdekaan di hadapan televisyen atau masih berdengkur dibuai mimpi. Begitulah kemerdekaan dirayakan aku saat masih muda mentah.

10 tahun kedua dalam hidupku, aku mula mengenali tokoh kemerdekaan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T Sambathan dan ramai lagi. Perjuangan tokoh-tokoh seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi pendekar Melayu yang menentang penjajahan menjadi bahan bacaan sejarah kegemaranku. Hari Merdekaku diisi dengan menonton dokumentari, filem mengenai merdeka mahupun membaca buku-buku merdeka. Aku juga pernah melakukan 'lawatan rasmi' ke Memorial Tunku Abdul Rahman ketika hari Merdeka pada beberapa tahun lepas.

Namun tahun-tahun kebelakangan ini dalam hidupku, persepsi aku akan kemerdekaan individu seorang warga Malaysia mula aku pertikaikan. Persoalan demi persoalan timbul, benarkah aku Merdeka? Bagaimana aku bertanggungjawab mengisi kemerdekaan ini? Aku juga mula terdedah kepada perjuangan tokoh-tokoh haluan kiri seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan banyak lagi. Mereka yang berjuang di dalam PKMM, API, AWAS, GERAM, gerakan buruh dan banyak lagi telah lebih lama menuntut kemerdekaan dari British. Aku juga membaca dengan minat mengenai gerakan PUTERA-AMCJA yang menganjurkan hartal pada 20 Oktober 1947, 10 tahun sebelum kemerdekaan yang digapai oleh Perikatan hasil pimpinan Tunku. Aku lantas tersedar dari dakyah-dakyah mengeksklusifkan usaha kemerdekaan hanya kepada Umno, MCA dan MIC.

Perkara-perkara asas mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia di Malaysia mula mempengaruhi mindaku. Dalam ruang yang serba sempit, perkembangan idealisma aku menghadapi cabaran besar untuk berkembang. Aku mula terdedah kepada idea-idea liberal, sosialis dan islamis yang dari hari ke hari terus mempengaruhi pandanganku akan keadaanku sebagai individu di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kemerdekaan minda kita dari segi intelektual, budaya mahupun bermasyarakat masih memerlukan percambahan yang giat. Kepompong yang mengongkong jiwa dan minda kita selama ini seharusnya telah bercambah menjadi rama-rama indah dan mampu untuk menghiasi hidup kita sebagai warga Malaysia yang merdeka. Mungkin selepas 51 tahun kita merdeka, sudah tiba masanya kita melakukan islah terhadap cara kita berfikir, berkerja dan bebas membuat pilihan.

Sempena merdeka ini, marilah kita renung sejenak. Merdekakah minda kita? Merdekakah jiwa kita? Merdekakah kita untuk berdikari sendiri? Merdekakah kita untuk mempertahankan kemerdekaan ini?


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 51

31 Ogos 2008



Perutusan Kemerdekaan Dato' Seri Anwar Ibrahim

video


Rabu, 27 Ogos 2008

Tahniah YB Anwar Ibrahim...


10 tahun lalu Anwar di'tendang' keluar dari Parlimen Malaysia dek kerana fitnah jahat yang diatur puak konspirator, hari ini rakyat Permatang Pauh bangkit mempertahankan beliau walau ada usaha untuk mewujudkan semula fitnah jahat dan kotor ke atas diri beliau. Beliau menang dengan majoriti yang lebih besar menunjukkan betapa majoriti rakyat percaya akan kredibiliti beliau untuk menerajui dan memacu pertumbuhan Malaysia kelak andai beliau ditakdirkan menjadi Perdana Menteri menjelang 16 September ini. Kemenangan ini mengingatkan saya pada ungkapan ini lebih 10 tahun lalu;


"Tak minggu ini, minggu depan. Tak bulan ini, bulan depan. Tak tahun ini, tahun depan. Lawan Tetap Lawan!!"

- Datuk Seri Anwar Ibrahim -


Kepada pengundi Permatang Pauh, terima kasih saya ucapkan.

Kepada YB Anwar Ibrahim, Tahniah dan Selamat Kembali Bertugas. Moga Allah sentiasa bersama kita bagi membawa satu Kemerdekaan Baru untuk Malaysia Kita yang Baru.

Kepada petugas Pakatan Rakyat, Terima Kasih dan Tahniah. Jasa anda telah memungkinkan kemenangan yang diidamkan bakal tercapai.

Kepada Najib Tun Razak, tak nak ikut Mahathir pindah luar negara ke??


Selasa, 26 Ogos 2008

Kemaafan dari Ramlang Porigi...

video


Alhamdulillah usaha fitnah terhadap Anwar dari hari ke hari semakin menemui jurang kegagalan. Semalan, Ramlang Porigi, imam ketika upacara sumpah Saiful Bukhari di Masjid Wilayah telah tampil untuk menjelaskan isu sebenar dan membersihkan nama beliau yang telah 'tercemar' di dunia siber.

Saya selaku seorang manusia yang tidak sempurna, ingin menggunakan ruang ini untuk meminta keampunan dari Ramlang kerana mempertikai kredibiliti beliau dalam entri saya sebelum ini. Saya juga berasa bangga masih ada imam muda di Malaysia ini yang berani bangun menyatakan pendiriannya dan menegakkan kebenaran yang hak. Jauh lebih berani dari kebanyakkan imam-imam, ustaz-ustaz dan alim ulama yang ada di Malaysia muktahir ini.

Moga Allah melindungi kita semua dari balaNya yang Maha Dahsyat kerana lahirnya ramai pesumpah-pesumpah palsu dan haprak sejak akhir-akhir ini bagai tumbuhnya cendawan selepas hujan.

Isnin, 25 Ogos 2008

Kemerdekaan bersama Akademi Merdeka..


dari kiri : Tom, Abidin, Wan Saiful, Wan Firdaus

Sempena bulan Kemerdekaan ini, saya berpeluang menyertai satu akademi yang dianjurkan oleh Malaysia Think Tank dengan kerjasama Institut Kajian Dasar dan Open Dialogue Center. Akademi ini dilangsungkan di Hotel Residence Uniten dari 22 Ogos hingga 24 Ogos.

Akademi berlangsung yang menampilkan Dr Tom Palmer dari Cato Institute dan juga tim utama Malaysia Think Tank membincangkan perkara pokok mengenai idea liberitarian atau liberal di dalam sistem kehidupan manusia. Teori-teori liberal di persembahkan pada para peserta dan juga hangat diperdebatkan di antara semua peserta dan juga penganjur. Satu wacana bebas untuk bertukar-tukar ide dan juga pandangan mengenai satu-satu isu.

Alhamdulillah program ini selain memberi perspektif baru ianya juga telah menjana minda ini untuk terus berfikir dan mampu melatih diri ini untuk bersetuju di dalam tidak setuju. Wacana ilmu seperti ini yang saya rasakan masih kurang di Malaysia dan dengan memperbanyakkan program-program seperti ini insyallah kita mampu untuk mewujudkan masyarakat yang berfikiran terbuka dan menghormati hak dan kemerdekaan seseorang individu.


Jumaat, 22 Ogos 2008

Khamis, 21 Ogos 2008

Alumni MRSM Lenggong...

-di ulang papar dari Friendster Group MRSM Lenggong-

Salam


We are in the process of forming our school's alumni.

In order, we need to have 50 peoples who have finished their studies to fill in the form.Anyone who is still studying in any institution cannot sign for ansaral yet.But, you can sign for ansara.A fee of rm20 per person is needed to register for ansara.

Everyone who graduate's from MRSM is an ansara, but you need to register to be a member.<--correct me if i'm wrong.
Ansaral which stands for anak sains mara lenggong is our school's alumni.Ansaral was proposed by sir azha...korang ade name lain lagik best ka? give ur ideas..sementara belom register ni

So now, we would like to know whether we have enough 50 people for this. We need your feedback asap. If possible, we'd like to register latest by January 09.Post your reply here for headcount...

View http://qanunfiatdunia.blogspot.com/2008/07/alumni-mrsm-lenggong-chenderoh.html for our school's database.

Very Happy

And btw, who is the current BWP president now? Can you please PM me?
Thanks


Rabu, 20 Ogos 2008

Ramlang Porigi - Imam Sumpah Saiful


Ingin mengenali imam sumpah Saiful Bukhari Azlan lebih dekat; klik pada link-link di bawah yang dipaut pada blog Riwayat Hayat:-



Terpulang kepada pembaca blog ini untuk menilai sejauh mana kredibiliti upacara sumpah tempoh hari - dari cara kaedah, imam, hingga individu yang bersumpah. Saya tegaskan berhentilah 'bertopeng' menggunakan Islam. Moga kita semua di Malaysia ini dijauhi dari laknat bala Allah.


Dato Arif Shah Omar Shah - Siapa anda?


Calon BN bagi menentang DSAI dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh ini mempunyai latar belakang yang 'menarik'. Melalui panggilan telefon dari blogger Riwayat Hayat, latar belakang Arif Shah bisa diragui. Arif Shah mengatakan beliau melanjutkan pelajaran di Graber International yang terletak di California, Amerika Syarikat dalam bidang pengajian Kejuruteraan Awam. Saya taipkan kata cari Graber International di Google Search, namun tiada link universiti atau kolej yang muncul. Beliau juga katanya sedang mengejar ijazah kedoktoran sekarang ini. Ada baiknya pembaca melawat link ini untuk menimbangkan kredibiliti dakwaan Arif Shah mengenai usaha PhD beliau.

Arif Shah juga merupakan adik kepada Amin Shah, seorang ahli perniagaan yang mempunyai kasus penyelewengan bersama Najib Tun Razak seperti yang didedahkan oleh blogger Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong di dalam blognya. Amin Shah juga telah ditarik gelaran Datuk yang diberikan kepadanya oleh Sultan Selangor pada 2 Febuari 2008 seperti yang dilaporkan dalam akhabar The Star.

Arif Shah juga menyatakan dalam web rasmi beliau bahawa beliau telah pergi melawat banyak negara dan berjaya mengumpulkan banyak pengalaman dari segi politik untuk di aplikasikan dalam karier beliau. Buat semua pengundi di Permatang Pauh - pilihlah calon yang betul - Penipu Rakyat atau Pejuang Rakyat?


Selasa, 19 Ogos 2008

Seribu Pengajaran - Iklan Merdeka Petronas 2008

video



Inilah yang saya katakan untuk sekian lama. Sanggupkah kita orang Melayu menolak kemewahan dan kesenangan sementara demi pendidikan anak-anak kita? Renungkanlah.

Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan 2008


Isnin, 18 Ogos 2008

Sumpah Saiful

Jumaat lepas menjadi detik bersejarah buat negara kita Malaysia. Lahir lagi satu sumpahan yang datangnya daripada Saiful Bukhari Azlan. Jika lapan keturunan lepas Mahsuri telah mengenakan sumpahan ke atas Pulau Langkawi dan negeri Kedah, Jumaat lepas satu lagi sumpahan dilakukan oleh seorang 'mangsa ketidakadilan' . Mahsuri mengenakan sumpahan ke atas pelaku kekejaman ke atas dirinya, tetapi sumpah Saiful di kenakan ke atas dirinya sendiri. Islamkah cara Saiful bersumpah? Saya tidak tahu. Banyak pendapat diantara ulama dan ilmuwan Islam yang berbeda-beda hingga saya sendiri tidak tahu betulkah cara dia bersumpah.

Saya hanya sempat menonton rakaman dia bersumpah, malang juga kerana tiada tayangan secara langsung untuk 'majlis bersejarah' ini. Upacara ini cukup bersejarah kerana selepas ini Insyallah semakin ramai orang akan mengunjungi masjid untuk bersumpah. Lebih-lebih lagi yang fasik dan munafik. Mereka yang cintakan fitnah akan lebih kerap ke masjid bukan untuk bersembahyang atau beribadat tetapi untuk bersumpah. Datang pulak semakin ramai nanti imam-imam yang dibayar upah untuk menjadi 'tok dalang' acara sumpah. Pesanan saya buat mereka yang ingin jimat kos perbicaraan mahkamah boleh ke masjid dan angkat sumpah untuk membersihkan nama anda.

Sejarah lalu telah banyak mengajar kita apabila mendepani berita fasik mahupun fitnah. Nabi Allah Yusuf as, pernah difitnah ketika hidupnya oleh seorang wanita bernama Zulaikha. Baginda difitnah telah melakukan rogol namun kerna kebijaksanaan Gabenor Mesir ketika itu, baginda Yusuf as bebas dari tuduhan itu kerana dari segi rasionalnya tidak mungkin bajunya akan terkoyak belakang jika baginda yang ingin merogol Zulaikha. Dalam sejarah lain juga, isteri Rasulullah saw sendiri pernah difitnah oleh golongan munafik. Saiditina Aishah as dituduh berzina dengan seorang muslim lain ketika dalam perjalanan pulang dari satu peperangan. Fitnah itu terhapus bila baginda Rasulullah saw menerima wahyu daripada Allah swt. Allah berfirman dalam Surah An-Nurr dari ayat 11 hingga 13, maksudnya;


"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar."

"Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata."

"Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang yang dusta"


Inkonsistensi di dalam plot fitnah ini saya lihat adalah perkara pokok yang bakal memakan semula diri tuan-tuan konspirator dalam fitnah jahat ini. Jika dilihat kepada sumpah laknat yang dilakukan, maka selepas ini hanya Allah saja dalam kekuasaanNya yang dapat menunjukkan kebenaran yang hakiki. Ianya menjadi hak Allah yang mutlak samada untuk menunjukkannya sekarang di dunia ini atau di akhirat kelak. Berdoalah kita agar kebenaran itu tertegak jua akhirnya.

Jumaat, 15 Ogos 2008

Muktamar Pemuda Pas ke 54...

Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung pada 14 Ogos 2008 di Ipoh telah memperlihatkan perdebatan hangat antara perwakilan Pemuda dari negeri-negeri. Isu muqabalah, hubungan dalam Pakatan dan ketidakpuasaan hati ahli Pas terhadap pentadbiran kerajaan negeri Pakatan. Tiga usul yang diterima adalah; mengukuhkan hubungan dalam Pakatan, memantapkan peranan penyokong bukan Islam dalam Pas dan isu kedaulatan negara mengenai Pulau Batu Puteh dan Pulau Pisang.

Tahniah saya ucapkan pada dewan Pemuda kerana berani membahaskan isu-isu penting terutama mengenai hubungan sesama ahli Pakatan yang pada pendapat saya amat penting dalam mengukuhkan lagi hubungan sesama parti Pakatan Rakyat. Pemuda juga berani untuk mencadangkan agar pimpinan tertinggi Pas yang mengatur pertemuan dengan Umno untuk diambil tindakan disiplin merupakan satu budaya yang sihat dalam satu jamaah perjuangan kerana ahli bawah berani menegur malah menyuarakan bantahan terhadap pemimpin mereka. Budaya ini penting untuk memastikan hala tuju perjuangan yang dipimpin tidak lari dari tujuan asalnya.
Walaupun sedikit terkilan dengan saranan Yang Dipertua Dewan Ulama agar Tuan Guru Hadi Awang dipilih menjadi Perdana Menteri andai Pakatan Rakyat membentuk kerajaan kelak, saya hormati pendirian mereka namun isu ini tidak patut timbul buat masa ini. Saya setuju dengan ulasan blogger Minta Masa 5 Minit mengenai peri pentingnya Pas mengukuhkan lagi slogan Pas for All. Maka dengan ini imej Pas sebagai parti Islam yang bersifat universal dan mampu untuk memperjuangkan semua umat manusia tanpa mengira latar belakang akan terus bergemerlapan. Syiar Islam sebagai rahmatal lil alamin mampu kita hidupkan di Malaysia ini andai Pas dan banyak lagi tokoh agama mampu untuk menonjolkan ciri-ciri kesaksamaan dan keadilan Islam yang sejati. Namun saya sangat mengkagumi akan komen Dato' Daud Iraqi bahawa mereka hanya mencadangkan namun menyerahkan urursan itu kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menentukannya.
Syabas buat Pas dan saya ucapkan Selamat Bermuktamar.... PAS FOR ALL

Selasa, 12 Ogos 2008

Universiti Teknologi Mara - 10% bukan Bumiputera (2)


Melihat kepada isu ini, saya rasakan cadangan membuka UiTM untuk bukan Bumiputera buat masa ini tidak harus timbul. Saya difahamkan bahawa integrasi nasional dan demi mewujudkan daya saing di kalangan pelajar menjadi asas kepada cadangan membuka peluang kemasukan ke UiTM buat bukan Bumiputera. Saya rasa ada eloknya saya ulas perkara ini satu-persatu.

Integrasi nasional - tidak mungkin akan wujud jika sejak peringkat sekolah rendah lagi sudah wujud sekolah-sekolah berasaskan kaum. Mengapa masih perlu wujud sekolah kebangsaan jenis Cina mahupun India? Jika sistem ini tidak dapat diubah, maka tidak perlulah kita bicara soal mahu membuka kemasukan ke UiTM buat bukan Bumiputera. Perpaduan satu bangsa harus dipupuk dari sekolah lagi bukannya apabila di universiti. Integrasi nasional ini harusnya menjadi tanggungjawab sekolah bukannya universiti. Tugas membentuk masyarakat pada masa depan adalah tugas semua pendidik di sekolah-sekolah bukannya pensyarah di universiti. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apa salahnya jika matapelajaran bahasa Cina, India dan Bahasa Melayu diajarkan kepada semua pelajar di sekolah rendah? Bukankah ini lebih menguntungkan dan sedikit sebanyak merapatkan lagi jurang ketidakfahaman antara sesama kita. Jika dilihat kepada UM, UKM, UPM dan IPTA lain, saya sendiri perhatikan tidaklah kelihatan sangat integrasi itu kerana di kafe-kafe universiti, pelajar Melayu akan hanya bersama pelajar Melayu dan pelajar bangsa lain juga hanya duduk dengan rakan-rakan sebangsa mereka. Maka jangan dek kerana UiTM sahaja, beban isu kegagalan integrasi nasional dihempapkan pada UiTM.

Daya saing pelajar - Saya akui dengan wujudnya UiTM, banyak graduan-graduan Melayu mampu untuk bekerja di bidang-bidang kritikal contohnya perakaunan, undang-undang, pembinaan, senibina, farmasi dan perubatan. Bidang-bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh bangsa Cina dan India sebelum ini berjaya ditembusi bukan dengan niat untuk menafikan hak bangsa lain tetapi untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara semua kaum di Malaysia. Usaha UiTM inilah yang melahirkan profesional Melayu yang berdaya saing, fasih berkomunikasi dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi adalah amat penting dalam melahirkan generasi bangsa Melayu yang mampu untuk merubah mentaliti orang Melayu di dalam komunitinya. Jika dilihat pada pasaran pekerjaan juga, graduan UiTM yang banyak 'laku' di pasaran berbanding graduan universiti lain, sebagai contoh graduan senibina UiTM akan ditawarkan pekerjaan oleh banyak syarikat-syarikat senibina sebelum mereka menamatkan semester akhir kerana kualiti arkitek yang dihasilkan UiTM tidak boleh diragui lagi. Jika benar ingin membuka 10% kepada bukan Bumiputera, ada eloknya dibuka untuk kursus-kursus tidak kritikal seperti Seni Persembahan, Perhotelan dan juga Muzik.

Maka saya 100% tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka 10% peluang kemasukan kepada bukan Bumiputera. Sekarang ini belum tiba masanya lagi. Ada baiknya kita fokuskan kepada membina kualiti bangsa Melayu itu sekarang ini kerana pada saya mentaliti masyarakat Melayu terhadap pendidikan masih jauh terkebelakang. Pada hemat saya dengan hanya pendidikan sahaja kita bisa merubah nasib bangsa kita sendiri.


p/s - Undi pada ruang 'poll' yang disediakan


Isnin, 11 Ogos 2008

Universiti Teknologi Mara - 10% bukan Bumiputera...

Hari ini saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari seorang siswa UiTM yang mengatakan esok (12 Ogos 2008) satu demo akan diadakan di Bangunan SUK Kerajaan Negeri Selangor sebagai membantah cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim agar UiTM membuka 10% kemasukan kepada bukan Bumiputera. Cadangan ini sedikit sebanyak telah menyentuh satu lagi isu sensitif kaum Bumiputera terutamanya orang Melayu kerana UiTM dianggap sebagai hak Melayu yang masih terpelihara 'keterunaannya'.

Bila kita sebut tentang Bumiputera, saya berani jamin masih ramai mahasiswa di UiTM pada masa ini yang kita bisa ragui taraf Bumiputera mereka. Bagaimana dengan mereka yang berketurunan India Muslim, adakah mereka Bumiputera? Status sebahagian mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak, adakah semuanya Bumiputera? Bagaimana dengan anak angkat Tun Dr. Mahathir yang berbangsa Pakistan namun menuntut di bidang undang-undang di UiTM?

Dari sumber dalaman kampus, saya diberitahu bahawa trend pengambilan pelajar di UiTM mengalami perubahan sejak beberapa tahun lalu apabila Datuk Seri Ibrahim Abu Shah melancarkan misi menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia. Maksud perubahan trend ini adalah demi mencapai standard dunia, UiTM perlu memiliki pelajar antarabangsa di kalangan mahasiswanya. Maka ramai pelajar dari negara Arab, Mauritius, malah Afrika mulai didaftarkan sebagai pelajar di UiTM sedangkan mereka ini bukanlah Bumiputera tetapi dikatakan diambil atas kapasiti mereka ini Islam. Ini dari segi kesaksamaan telah menunjukkan diskriminasi kaum yang jelas. Contohnya jika ada pelajar dari Tanah Besar China yang beragama Islam ingin menyertai UiTM, adakah kita akan benarkan? Maka pada saya, kemasukan bukan Bumiputera ke UiTM selama ini telah lama berlaku. Namun ini hanya pendapat peribadi saya. Ibarat kata pepatah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Saya secara jujur tidak bersetuju jika 10% terus dibuka kepada bukan Bumiputera kerana saya sebagai orang Melayu harus akui bahawa bangsa saya masih belum bersedia. Mengapa saya katakan belum bersedia? Ini kerana tahap pemikiran majoriti ibubapa Melayu masih tidak mementingkan pendidikan di kalangan anak-anak. Contoh mudah adalah jika kita pergi melihat akan anak-anak muda di kawasan setinggan mahupun PPRT. Mereka menjadi penyumbang utama kepada kewujudan masalah rempit dan gagal menamatkan pelajaran. Ibubapa Melayu majoritinya tidak sanggup berhabis belanja untuk pendidikan anak-anak tetapi lebih gemar menghabiskan wang untuk membeli motorsikal dan telefon bimbit untuk anak-anak mereka. Maka kewujudan UiTM masih perlu dan pada saya umat Melayu masih belum bersedia majoritinya.

Selain itu, mengikut cerita 'orang dalam', polisi UiTM menyebut bahawa pensyarah-pensyarah bukan Bumiputera di UiTM tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana (masters) mahupun kedoktoran (phD) di dalam UiTM. Saya ingin menyarankan agar polisi ini dikaji semula dengan mengambil kira jasa mereka yang sanggup untuk mengajar anak Bumiputera dan sikap prejudis mereka yang telah mereka buang jauh kerana pada saya mereka ini selayaknya diletak sama taraf dengan pensyarah Bumiputera lain di UiTM. Ini adalah salah satu cara menghargai jasa mereka dan juga melatih pensyarah yang lebih berkualiti dan berpengetahun demi kebaikan mahasiswa UiTM juga kelak.


Ahad, 10 Ogos 2008

Forum 'Memeluk Islam..

Isu murtad memang sudah lama menghantui umat Islam di Malaysia semenjak pra-merdeka lagi. Kes Natrah, Lina Joy dan banyak lagi sering menjadi isu kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Isu ini juga menjadi pertembungan utama antara Islam dan agama lain di Malaysia ini.

Forum Memeluk Islam yang dianjurkan Majlis Peguam telah mencetuskan bantahan dari banyak pihak terutamanya badan Islam di Malaysia. Forum ini akhirnya ditamatkan setelah bantahan dari beberapa NGO Islam dan badan politik terutamanya dari Pas dan segelintir dari PKR di hadapan bangunan Majlis Peguam semakin tidak terkawal. Saya tidak mahu mengulas samada forum wajar diteruskan atau tidak tetapi yang pasti jika pada masa depan forum seperti ini ingin dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak yang benar-benar alim dalam hal ini tanpa mengambil kira agama atau bangsa kerana pada saya ianya penting demi melahirkan perpaduan bangsa Malaysia yang mutlak.

Setelah mengikuti kes-kes murtad di Malaysia selama ini, saya berpendapat kesilapan utama terletak pada Perlembagaan itu sendiri. Pada hemat saya isu ini bisa diselesaikan jika usul untuk menghalang umat Islam dari murtad dibawa ke Parlimen dan semua Ahli Parlimen yang beragama Islam menyokong usul ini, kerana dari segi kuantiti ahli parlimen Islam dari BN mahupun Pakatan Rakyat cukup untuk mendapatkan 2/3 majoriti. Namun harus difikirkan komplikasi tindakan ini adalah kecaman dan ancaman dari negara-negara demokrasi Barat yang akan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini. Namun dari risaukan kecaman luar, ada baiknya kita lebih tumpu pada kesejahteraan umat di Malaysia dan membela Islam selayaknya jika benar Malaysia sebuah negara contoh Islam.

Khamis, 7 Ogos 2008

Hipotesis 10 September

Melihat kepada keputusan mahkamah hari ini saya sedikit kaget akan apakah langkah sebenar kerajaan Barisan Nasional dalam menghadapi ancaman Anwar yang mengakui memiliki cukup jumlah ahli parlimen yang ingin bertukar gelanggang bagi membolehkan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan persekutuan.

Saya sempat berbicara dengan teman, Najwan Halimi, melalui telefon membincangkan akan apakah strategi yang cuba dipasang oleh puak konspirator dalam memastikan Anwar gagal dalam usahanya menjadi Perdana Menteri. Maka Najwan telah berkongsi satu hipotesis yang menarik yang saya rasa wajar saya kongsi dengan pembaca blog ini.

10 September adalah tarikh dimana umat Islam sudah masuk hari ke 10 berpuasa dalam bulan Ramadhan. Hari ini juga merupakan hari pembicaraan Anwar bersabit tuduhan liwat tanpa rela ke atas Mohd Saiful Bukhari. Andai kata Anwar menang di Permatang Pauh pada 26 Ogos, maka Anwar akan kembali ke Parlimen dan usaha perpindahan ahli-ahli parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat akan lebih giat dan mungkin berjaya direalisasikan. Maka dengan meletakkan tarikh pembicaraan pada 10 Spetember, maka peluang untuk melucutkan jawatan Anwar sebagai ahli parlimen Permatang Pauh bisa dijalankan dengan menjatuhkan hukuman bersalah atas semua pertuduhan Anwar. Anwar akan dipenjara sebelum 16 September dan dilucutkan jawatan sebagai ahli parlimen. Maka usaha Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan akan tergendala.



Akuan Bersumpah Doktor dari Hospital Pusrawi

Akuan bersumpah Dr. Osman Abdul Hamid mengenai pemeriksaan perubatan yang dilakukan oleh beliau ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan ('mangsa liwat' Dato' Seri Anwar Ibrahim). melihat kepada perkembangan kes ini masih banyak kemusykilan yang belum terjawab dan cara kronologi kes ini berjalan memperlihatkan seolah-olah wujud terlampau banyak kebetulan. Contohnya apabila Datuk Seri Wan Azizah umum sahaja perletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, saat itu juga kertas siasatan kes liwat ini selesai dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara. Notis ke mahkamah juga diserahkan pada Anwar pada hari SPR mengumumkan tarikh pilihanraya kecil Permatang Pauh. Perdana Menteri juga mula membuat kenyataan-kenyataan di luar mahkamah yang pada hemat saya bisa menganggu prosiding mahkamah.

Pada saat entri ini dicatat, mungkin ramai pembaca tahu bahawa Anwar dibenar ikat jamin RM20,000 dan pasport beliau tidak ditahan. Anwar mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes ini dijadualkan pada 10 September depan (6 hari sebelum rancangan perpindahan beramai-ramai ahli parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat)










Sila klik pada gambar untuk imej lebih besar


Ahad, 3 Ogos 2008

Proton - Jenama kebanggaan Pak Lah..


"Saya peminat setia Proton"
- Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi -


Semalam Proton meraikan kenderaan ke-3 juta pengeluarannya. Tujuan entri ini bukanlah untuk saya menceritakan mengenai sejarah Proton atau mengagungkan Tun Dr. Mahathir yang mewujudkan Proton lebih 20 tahun lalu. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai seorang yang menggunakan kenderaan keluaran Proton - Satria Neo 1.6 dengan transimisi manual.

Saya mula menggunakan kenderaan ini dari akhir tahun 2006 hingga sekarang. Pada ketika itu boleh saya katakan, bahawa kenderaan ini menjadi model idaman saya. Saya memilih transmisi manual kerana saya rasa lebih stylo kalau pakai manual dan daya pecutan kenderaan manual adalah lebih dari auto. Prestasi kereta ini berjaya mencuri hati saya. Saat mula menggunakannya saya sudah cukup berpuas hati walau bapa saya sendiri menunjukkan kurang berkenan beliau akan 'menantu' baru ini. Beliau mengatakan bahawa dari segi rekabentuk dan beberapa ciri dalaman kenderaan ini agak kurang canggih dan tidak kemas. Namun saya tidak setuju dan menganggap kereta ini telah mampu mengubah persepsi saya kepada Proton sebagai sebuah syarikat yang mula mementingkan kualiti produknya.

Namun disaat kali pertama saya menghantar servis kenderaan ini ke Eon Service Centre Glenmarie untuk servis 1000km pertama, barulah tembelang syarikat 'telur busuk' ini mengeluarkan aromanya. Saya menghantar servis kenderaan saya dengan hati berbunga-bunga kerana kereta masih baru. Layanan mesra juga diberikan, dan saya rasa bagai diri ini seorang pelanggan yang cukup bertuah. Namun disaat kereta saya selesai di servis, sesampainya saya ke pintu bahagian penumpang, terpandang akan saya kesan calar yang tidak hadir sebelum ini pada bahagian pembuka pintu. Bapa saya yang perasan akan kesan itu juga mula mengeluarkan semula hujah-hujah akan ketidakkualitinya Proton. Saya masih bersabar.

Sehingga saat ini saya telah menghantar servis ke Eon Glenmarie sebanyak tujuh kali. Dalam pertengahan tahun ini, tali keselamatan bahagian penumpang hadapan kereta saya pula yang rosak. Maka pada servis yang terakhir iaitu Julai lepas, saya minta kerosakan ini diperbaiki. Malangnya ianya tidak dibaiki kerana tiada stok bahan ganti. Namun begitu perkara yang benar-benar menyebabkan saya sakit hati adalah perkara itu langsung tidak diberitahu ketika saya melangsaikan bil dan hanya tahu akan kerosakan yang kekal itu bila saya mendapatkan kereta saya selepas servis. Perkara ini terjadi pada pertengahan Julai dan pegawai yang bertanggungjawab memberi jaminan bahawa saya akan menerima satu panggilan telefon apabila stok bahan ganti ini sampai dan hingga ke hari ini masih tiada panggilan telefon saya terima. Sebagai sebuah pusat servis utama untuk Proton siap dengan akademi Proton di Glenmarie, saya hairan kenapa stok bahan ganti itu gagal didapatkan secepat mungkin sedangkan kilang alat ganti Proton dan pusat servis ini terletak dalam satu kawasan perindustrian yang sama.

Antara masalah lain yang saya hadapi di pusat servis ini adalah mengenai jadual servis dan baiki kerosakan. Pusat servis ini hanya boleh membaiki kerosakan pada hari bekerja Isnin hingga Jumaat. Sabtu tidak ada perkhidmatan membaiki, yang ada hanyalah servis. Saya tidak tahu pihak pengurusan apa yang membuat polisi kurang bijak ini. Sepatutnya untuk membolehkan bisnes berkembang dan lebih banyak keuntungan diperolehi, perkhidmatan-perkhidmatan kritikal patut disediakan pada hari hujung minggu untuk keselesaan pelanggan yang sememangnya bercuti dan mempunyai masa untuk ke pusat servis pada hari berkenaan. Masalah utama saya setakat ini dengan pusat servis ini adalah, kegagalan menembusi panggilan. Saya sering kali telefon ingin bertanyakan mengenai servis dan bahan ganti yang dijanjikan, namun hingga hari ini panggilan saya masih tidak dijawab. Saya sebagai pelanggan rasa tertipu dan terhina kerana saya bukannya minta benda percuma pada mereka tapi saya membayar perkhidmatan mereka. Saya rasa selepas ini, saya tidak akan menghantar lagi kenderaan saya ke Pusat Servis Eon Glenmarie.

Satria Neo 1.6 yang saya miliki sekarang ini Insyallah akan menjadi kereta terakhir saya dari keluaran Proton... Amin


Tahniah Pas...

Melihat kepada sidang media Tuan Guru Presiden Pas pada 31 Julai lepas membenarkan saya menghembus nafas lega berkenaan desas-desus pengabungan Pas dan Umno. Pertemuan umum telah dijadikan langkah pendekatan dan bukan hanya untuk Umno, tetapi juga untuk semua parti politik dan juga badan NGO yang berminat membincangkan isu Islam dan ummah.

Saya sendiri terpaksa akui dengan berat hati pada kali ini media-media arus perdana berjaya mengugat emosi saya dengan memainkan isu kononnya ada usaha pengabungan Pas dan Umno yang sedang dirancang secara sulit. Walaupun saya tahu ianya satu 'desperate call' Umno namun yang saya risau adalah di pihak pimpinan Pas. Saya pernah nyatakan dahulu, kuasa yang hadir bukan hanya sebagai amanah, tetapi nafsu yang mengikuitnya juga maha dahysat. Alhamdulillah Allah melindungi semua pimpinan Pas dari melakukan langkah-langkah politik yang mengikut hawa nafsu. Latah saya ini tidak lebih dari latah seorang yang terlampau sayang akan sesuatu itu. Saya mengenali Pas ketika berumur 9 tahun lagi dan menyokong terus perjuangan Islam yang dibawa dari zaman sebelum Reformasi hinggalah kepada penubuhan Pakatan Rakyat. Maka rasa kasih akan perjuangan ini telah menebal dalam diri saya hinggakan apabila isu pengabungan ini dimainkan media perdana, saya terus melatah tanpa merasionalkan dahulu isu sebenarnya.

Tahniah buat Pas...ALLAHUAKBAR!!

Sabtu, 2 Ogos 2008

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail - Satu Tribut buat Srikandi Reformasi


Datuk Seri Wan Azizah Ismail, lambang kepada semangat perjuangan kental seorang wanita Islam Melayu yang bangun mempertahankan suaminya sejak lebih sepuluh tahun lalu. Srikandi ini yang lahir pada 3 Disember 1952 dan berketurunan Peranakan Cina mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nicholas di Alor Setar. Melanjutkan pengajian menengah di Kolej Tengku Kursiah dan menuntut di Royal Collage of Surgeons Ireland, dan berkhidmat sebagai doktor kerajaan selama 14 tahun dan beliau merupakan seorang pakar mata (opthalmologist).

Karisma Srikandi Reformasi ini bukanlah hanya bermula pabila beliau terjun secara aktif dalam bidang politik. Disaat suaminya masih seorang Timbalan Perdana Menteri, beliau telah menjadi contoh sebagai seorang wanita Islam yang berbudi pekerti mulia. Beliau menjaga adabnya sebagai seorang isteri dengan menjaga auratnya diluar dan membatasi pergaulannya dengan penuh sopan santun dan hikmah. Saat suaminya difitnah dahsyat pada tahun 1998, beliau setia disamping suami dan sanggup memikul tanggungjawab untuk meneruskan idealisma perjuangan sang suami yang telah terpenjara selama 6 tahun secara zalim.

Srikandi ini dalam penuh kesetiaan dan rasa kasih pada suaminya sanggup untuk menggantikan tempat suaminya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya 1999 dan kekal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu hingga 31 Julai 2008 lepas untuk memberi peluang kepada suaminya kembali ke Parlimen.

Jasamu Srikandi Reformasi, tidak mungkin akan terbalas oleh suamimu mahupun kami sekalian rakyat. Engkaulah lambang kepada satu sinar harapan akan satu perubahan dalam sistem politik Malaysia disaat kami semua sengsara ditekan pemerintah zalim dan rakus. Terima Kasih tidak terhingga kami kepadamu, yang telah memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan ini selama 10 tahun. Berehatlah Srikandi, akan kami galas pula amanah perjuangan ini bersama-sama Si Rajawali yang telah kembali.

Wan Azizah.. nama yang telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian, bisa juga mengoncangkan dunia...Terima Kasih dan doa kami sentiasa bersamamu agar terus setia disamping Rajawali dan terus diberikan limpah nikmat kesihatan dan rezeki.