Sabtu, 2 Ogos 2008

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail - Satu Tribut buat Srikandi Reformasi


Datuk Seri Wan Azizah Ismail, lambang kepada semangat perjuangan kental seorang wanita Islam Melayu yang bangun mempertahankan suaminya sejak lebih sepuluh tahun lalu. Srikandi ini yang lahir pada 3 Disember 1952 dan berketurunan Peranakan Cina mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St. Nicholas di Alor Setar. Melanjutkan pengajian menengah di Kolej Tengku Kursiah dan menuntut di Royal Collage of Surgeons Ireland, dan berkhidmat sebagai doktor kerajaan selama 14 tahun dan beliau merupakan seorang pakar mata (opthalmologist).

Karisma Srikandi Reformasi ini bukanlah hanya bermula pabila beliau terjun secara aktif dalam bidang politik. Disaat suaminya masih seorang Timbalan Perdana Menteri, beliau telah menjadi contoh sebagai seorang wanita Islam yang berbudi pekerti mulia. Beliau menjaga adabnya sebagai seorang isteri dengan menjaga auratnya diluar dan membatasi pergaulannya dengan penuh sopan santun dan hikmah. Saat suaminya difitnah dahsyat pada tahun 1998, beliau setia disamping suami dan sanggup memikul tanggungjawab untuk meneruskan idealisma perjuangan sang suami yang telah terpenjara selama 6 tahun secara zalim.

Srikandi ini dalam penuh kesetiaan dan rasa kasih pada suaminya sanggup untuk menggantikan tempat suaminya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya 1999 dan kekal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu hingga 31 Julai 2008 lepas untuk memberi peluang kepada suaminya kembali ke Parlimen.

Jasamu Srikandi Reformasi, tidak mungkin akan terbalas oleh suamimu mahupun kami sekalian rakyat. Engkaulah lambang kepada satu sinar harapan akan satu perubahan dalam sistem politik Malaysia disaat kami semua sengsara ditekan pemerintah zalim dan rakus. Terima Kasih tidak terhingga kami kepadamu, yang telah memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjuangan ini selama 10 tahun. Berehatlah Srikandi, akan kami galas pula amanah perjuangan ini bersama-sama Si Rajawali yang telah kembali.

Wan Azizah.. nama yang telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian, bisa juga mengoncangkan dunia...Terima Kasih dan doa kami sentiasa bersamamu agar terus setia disamping Rajawali dan terus diberikan limpah nikmat kesihatan dan rezeki.


Tiada ulasan: