Melihat kepada isu ini, saya rasakan cadangan membuka UiTM untuk bukan Bumiputera buat masa ini tidak harus timbul. Saya difahamkan bahawa integrasi nasional dan demi mewujudkan daya saing di kalangan pelajar menjadi asas kepada cadangan membuka peluang kemasukan ke UiTM buat bukan Bumiputera. Saya rasa ada eloknya saya ulas perkara ini satu-persatu.
Integrasi nasional - tidak mungkin akan wujud jika sejak peringkat sekolah rendah lagi sudah wujud sekolah-sekolah berasaskan kaum. Mengapa masih perlu wujud sekolah kebangsaan jenis Cina mahupun India? Jika sistem ini tidak dapat diubah, maka tidak perlulah kita bicara soal mahu membuka kemasukan ke UiTM buat bukan Bumiputera. Perpaduan satu bangsa harus dipupuk dari sekolah lagi bukannya apabila di universiti. Integrasi nasional ini harusnya menjadi tanggungjawab sekolah bukannya universiti. Tugas membentuk masyarakat pada masa depan adalah tugas semua pendidik di sekolah-sekolah bukannya pensyarah di universiti. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apa salahnya jika matapelajaran bahasa Cina, India dan Bahasa Melayu diajarkan kepada semua pelajar di sekolah rendah? Bukankah ini lebih menguntungkan dan sedikit sebanyak merapatkan lagi jurang ketidakfahaman antara sesama kita. Jika dilihat kepada UM, UKM, UPM dan IPTA lain, saya sendiri perhatikan tidaklah kelihatan sangat integrasi itu kerana di kafe-kafe universiti, pelajar Melayu akan hanya bersama pelajar Melayu dan pelajar bangsa lain juga hanya duduk dengan rakan-rakan sebangsa mereka. Maka jangan dek kerana UiTM sahaja, beban isu kegagalan integrasi nasional dihempapkan pada UiTM.
Daya saing pelajar - Saya akui dengan wujudnya UiTM, banyak graduan-graduan Melayu mampu untuk bekerja di bidang-bidang kritikal contohnya perakaunan, undang-undang, pembinaan, senibina, farmasi dan perubatan. Bidang-bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh bangsa Cina dan India sebelum ini berjaya ditembusi bukan dengan niat untuk menafikan hak bangsa lain tetapi untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara semua kaum di Malaysia. Usaha UiTM inilah yang melahirkan profesional Melayu yang berdaya saing, fasih berkomunikasi dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi adalah amat penting dalam melahirkan generasi bangsa Melayu yang mampu untuk merubah mentaliti orang Melayu di dalam komunitinya. Jika dilihat pada pasaran pekerjaan juga, graduan UiTM yang banyak 'laku' di pasaran berbanding graduan universiti lain, sebagai contoh graduan senibina UiTM akan ditawarkan pekerjaan oleh banyak syarikat-syarikat senibina sebelum mereka menamatkan semester akhir kerana kualiti arkitek yang dihasilkan UiTM tidak boleh diragui lagi. Jika benar ingin membuka 10% kepada bukan Bumiputera, ada eloknya dibuka untuk kursus-kursus tidak kritikal seperti Seni Persembahan, Perhotelan dan juga Muzik.
Maka saya 100% tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka 10% peluang kemasukan kepada bukan Bumiputera. Sekarang ini belum tiba masanya lagi. Ada baiknya kita fokuskan kepada membina kualiti bangsa Melayu itu sekarang ini kerana pada saya mentaliti masyarakat Melayu terhadap pendidikan masih jauh terkebelakang. Pada hemat saya dengan hanya pendidikan sahaja kita bisa merubah nasib bangsa kita sendiri.
p/s - Undi pada ruang 'poll' yang disediakan
8 ulasan:
Bagus artikel anda:-).
engko pun macam anwar tu. cakap pusing-pusing. sekejap sokong, sekejap tak sokong...
Kepada tanpa nama,
Sokong bukan dengan membuta tuli. Tidak menyokong pun bukan dengan membuta tuli. Baiknya dibuka ruang rasional untuk memberi peluang buat minda berfikir dan menilai..
salam...
kenapa lah orang melayu ni tak sedar2 juga. dulu masa kejatuhan kesultanan melayu orang kata orang putih punya pasal. suka campur tangan. tapi pernah ke kita pikir betul2 dan teliti pasal sejarah tu??
masa tu orang melayu (sultan2 melayu) yang berebut2 kuasa lah yg 'minta' orang putih tu jadi orang tengah. akhirnya orang tengah tu yang untung benor. gara2 orang melayu yang berebut kuasa. gila kuasa.
nak jadi macam tu juga ke?? sekarang nak USA pula masuk campur. saya tak paham kenapa lah DSAI nak juga berkawan 'rapat' dengan orang yahudi amerika, the neo-conservative people.
rasanya orang2 yang ada 'orang dalam' dan banyak pengaruh macam brader ni tak risau pasal hak orang melayu/bumiputera kat uitm.
maklumlah brader masuk uitm pun ada orang dalam, jadi tak hairan lah kalau brader tak mampu memahami betapi payahnya orang lain nak berebut peluang nak masuk universiti. dan universiti macam uitm ni saja lah yg mampu dimasuki olah kebanyakkan orang melayu/bumiputera yang masih tak cukup hebat untuk bersaingan untuk memasuki universiti lain. lain lah kalau guna orang dalam kan.
kalau jadi juga usul 10% tu maka maknanya brader ni pun adalah salah seorang yang menyokong 'Menafikan' hak seramai 10% orang melayu/bumi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
pikir2 kan brader. brader juga yang kata sokong atau tak sokong pun jangan membuta tuli kan.
Salam,
Saya rasa terpanggil untuk menjawab ulasan terbaru dari tanpa nama.
Kenyataan saya dalam entri ini jelas. Saya tidak menyokong cadangan 10% kemasukan ke UiTM buat bukan bumiputera kerana pada saya ini belum masanya lagi. Pernyataan ini sama seperti di dalam blog saya. Mengapa saya berkata demikian kerana jelas 10 tahun atau 20 tahun akan datang saya rasakan kuota 10% ini MUNGKIN relevan untuk dibuka kepada bukan bumiputera demi memberi peluang pelajaran yang berkualiti untuk semua warga Malaysia.
Saya tidak tahu dari sumber mana mengatakan kemasukan saya ke universiti menggunakan orang dalam. Saya rasa sedikit terhina kerana tanpa nama memandang rendah usaha saya ketika di sekolah menengah dan matrikulasi bagi mendapatkan keputusan yang baik bagi melayakkan diri untuk masuk ke universiti. Saya rasa kenyataan dari tanpa nama tidak lebih dari kenyataan cemburu.
Saya tegaskan disini, kemasukan ke IPTA bukanlah perkara mudah. Melalui peperiksaan SPM, STPM mahupun Matrikulasi dan seterusnya perlu bersaing dengan calon lain apabila berada di dalam carta UPU. Di saat dunia yang semakin terbentang luas dan persaingan antara pelajar yang semakin meningkat, saya rasa saya layak untuk berbangga kerana berjaya memasuki universiti dengan hanya menggunakan keputusan peperiksaan saya tanpa perlu bantuan orang dalam. Saya hanya orang biasa yang bersaing seperti orang lain untuk merebut peluang yang tersedia. Namun itu cerita lama dan saya bersyukur Allah memberikan kekuatan untuk saya terus menuntut ilmuNya yang seluas lautan.
Pesan saya untuk mereka yang ingin memasuki universiti dan mampu untuk mengikuti pengajian yang menjadi pilihan hati - berusahalah bersungguh-sungguh agar keputusan peperiksaan yang diperolehi meletakkan kita di tahap yang selesa untuk memohon bidang pengajian yang diminati. Jika keputusan teruk, alamatnya anda akan tercampak ke kursus-kursus yang tidak berkenan di hati. Hentikanlah mentaliti 'cable' dan subsidi ataupun hak istimewa. Bersainglah secara sihat dan yakinlah bahawa anda mampu berjaya kerana anda memang seorang yang berjaya... bukannya kerana anda ada hak istimewa atau dapat subsidi...
Catat Ulasan