Sabtu, 9 Februari 2008

Kelip-kelip hingga ke atas Bukit Melawati...




Perjalanan ke Kuala Selangor bermula dari tempat aku 'bersemayam' di Shah Alam pada jam 3 petang selepas Solat Jumaat semalam. Tujuan utama adalah untuk ke Firefly Resort di Bukit Belimbing untuk melihat kelip-kelip (nama saintifiknya Photuris lucicrescens) pada sebelah malamnya.

Perjalanan kami melalui jalan Meru-Kuala Selangor, kira-kira sejauh 38km. Sepanjang perjalanan dihiasi dengan bendera parti pembangkang dan poster-poster ceramah berikutan lawatan Tuan Guru Hadi Awang pada Ahad ini di Batu 7, Meru. Memang terasa akan bahang pilihanraya yang dijangka dilangsungkan pada Mac ini. Kami tiba di Firefly Resort Bukit Belimbing pada jam 4.20pm. Setelah check-in, chalet yang disediakan sememangnya unik. Chalet dibina di atas sebuah kolam ikan dan dihiasi dengan teratai di segenap penjuru kolam. Menarik sekali. Lepas sahaja letak beg dan barang di dalam bilik, aku terus mencapai 'kerepek' yang dibawa dan dilempar ke dalam kolam. Talapia, Keli, Lampam, Baung dan juga seekor kura-kura besar datang berebutkan makanan yang diberi. Paling best bila dapat suap potato chip kat mulut kura-kura. Puas memberi makan, kami berehat menunggu waktu untuk menaiki bot bagi melihat kelip-kelip pada jam 7.45pm.

Selesai solat Maghrib, kami beratur di jeti untuk menaiki bot yang dijanjikan. Kagum melihat betapa ramainya orang termasuk pelancong asing dari Eropah, Hong Kong dan juga Jepun menunggu untuk menaiki bot masing-masing. Giliran kami tiba dan kami menaiki bot bersama satu keluarga Cina Malaysia dan sekumpulan pelancong Mat Saleh. Bot yang menggunakan kuasa bateri memulakan perjalanan menyusuri tebing Sungai Selangor. Malangnya sungai yang kotor dengan sampah sarap mencacatkan pemandangan. Meredah sungai tak sampai seminit kami sudah dapat melihat sinaran-sinaran kecil di celah-celah daun pokok berembang. Memang cantik. Unik dan menarik. Pokok berembang menjadi habitat buat kelip-kelip ini. Memang banyak dan kalau dilihat hampir persis dengan pokok krismas yang dihiasi lampu kelip. Satu anugerah Allah yang harus setiap individu di dunia ini lihat betapa agungNya ciptaan Allah. Serangga kecil yang mampu mengeluarkan cahaya dari badannya tidak mungkin terjadi sendiri jika tiada kuasa yang lebih besar mencipta. Subhanallah cantik dan menginsafkan.


Selesai perjalanan bot lebih kurang 40 minit sepanjang tebing Sungai Selangor, kami menuju ke arah restoran seafood untuk makan malam. Kenyang yang tak terhingga. Pulang ke chalet, selepas beberapa round permainan kad pakau, kami pun melabuhkan diri diatas katil untuk belayar ke alam mimpi.

Keesokan paginya, selesai bersarapan di chalet, kami menuju ke Bukit Melawati. Untuk mendaki tram telah disediakan, satu pembaharuan yang menarik berbanding beberapa tahun dulu. Dengan bayaran RM2 seorang, kami menaiki tram untuk ke puncak bukit. Melalui perigi beracun, tempat yang digunakan untuk menghukum pesalah dahulu kala dengan mencampak pesalah ke dalam perigi dan dipenuhkan perigi dengan racun hingga ke paras dagu. Pesalah akan mati dalam keadaan yang terseksa. Tiba di puncak bukit, kami disambut oleh sejenis monyet hitam yang aku pun tak pasti (ungka ke lotong??). Ada beberapa meriam dan juga Baitul Hilal- dimana tempat untuk melihat anak bulan terletak di puncak bukit ini. Dihadapan kami terdampar Selat Melaka dan Taman Alam Selangor. Sebuah rumah api yang dibina pada tahun 1907 juga tersergam indah di puncak bukit ini. Rumah api ini dibina sebagai panduan buat pelayar-pelayar yang melalui Selat Melaka dan masih digunakan hingga ke hari ini. Sebuah muzium Bukit Melawati juga telah dibina. Muzium diisi dengan sejarah Kuala Selangor dan Selangor termasuk salasilah Kesultanan Selangor sekarang yang bermula dari Raja Lumu.


Perjalanan turun dari puncak bukit adalah dengan menggunakan tram juga. Kami melewati Batu Hampar tempat di mana pada zaman dahulu adalah tempat bermain catur untuk kerabat Di-Raja namun telah digunakan sebagai tempat pancung oleh tentera Jepun semasa pendudukan mereka di Tanah Melayu. Sebuah busut juga menarik perhatian pengunjung di sini kerana dipercayai di bawah busut ini ada sebuah gua yang tersimpan harta Sultan Ibrahim yang bersemayam di puncak Bukit Melawati dahulu. Di hujung perjalanan turun kami melalui hadapan makan Sultan Ibrahim yang telah bertanggungjawab menewaskan Belanda di Bukit Melawati pada Mei 1746.

Tiba di pekan Kuala Selangor semula kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Shah Alam. Sesungguhnya percutian ini membuktikan banyak tempat-tempat menarik untuk kita lawati di negara kita. Menarik dan informatif serta mendidik kita untuk lebih mencintai negara kita. Malaysia is Truly Asia.....


Tiada ulasan: