Rabu, 20 Februari 2008

Lapan dalil mengapa perlu tolak BN..


Nukilan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras)


Sesudah 50 tahun merdeka tidak dapat dinafikan kita sangat perlu kepada perubahan politik. Jika ada lagi pemikiran bahawa hanya BN sahaja yang layak berada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, adalah suatu sikap yang kuno dan tidak lagi realistik.


Soalnya kita dipaksa berhadapan dengan nafsu pemimpin-pemimpin yang begitu selesa dalam tahta memegang kuasa sekian lama sehingga kini dijangkiti penyakit sangat berkeberatan untuk melepaskan kedudukan.


Bagi golongan yang telah memerintah selama 50 tahun, tidak akan terbayang jika segala gedung yang mewah dan membazir yang dibina di Putrajaya dan pejabat-pejabat kerajaan negeri tiba-tiba, diduduki oleh orang lain. Ini akan menjadi mimpi ngeri buat mereka yang pasti tidak akan dibenarkan menjadi kenyataan. Seolah mereka mahu semua gedung dan keselesaan di pundak pemerintahan akan berada di tangan mereka sehingga dunia kiamat! Akan tetapi hakikatnya keghairahan mereka yang beraspirasi untuk menjadi wakil rakyat kini sedang disaksikan oleh rakyat dengan rasa muak dan mual. Rupa-rupanya menjadi wakil rakyat dianggap sebagai rezeki mengikut kelompok yang ingin menjadikan kedudukan politik sebagai lompatan meraih kemewahan. Jika inilah yang semakin terserlah, kami berpendapat kita tidak punya pilihan melainkan politik negara perlu dirubah segera.

Maka PRU ke-12 ini bagi kami adalah barometer yang penting untuk kita meneruskan sama ada negara ini terus berada dalam dunia politik yang pincang atau memulakan suatu islah yang besar demi menyelamatkan negara ini daripada berada di tangan mereka yang gelojoh dan mabuk kuasa. Kini yang ditunggu-tunggu adalah senarai pencalonan dimuktamadkan pada 24 Februari 2008 ini. Kecuali PM dan TPM, yang lain dikatakan tidak lagi tentu nasib mereka. Lantaran itu, maka berlumba-lumbalah mereka mencari broker yang berkesan untuk mendapat tempat di hati PM. Kini strategi melobi yang sangat tegang sedang berlaku di pelbagai perjumpaan sulit di seluruh negara.

Oleh itu kepedulian terhadap rakyat sebenarnya hanya menjadi gimik sementara. Jika ditanya apa matlamat mereka untuk bertanding, jawapan yang sering diungkap adaah kerana mereka mahu berkhidmat. Akan tetapi yang tersirat ialah sememangnya menjadi YB adalah idaman mereka untuk menaikki tangga politik yang menjaminkan masa depan. Bukan berkhidmat untuk rakyat tetapi memijak rakyat untuk mendapat perkhidmatan teristimewa untuk mereka atas nama seorang wakil rakyat. Paling tidak hidup mereka buat seketika akan menjadi lebih senang apabila bergelar YB. Kecuali segelintir, inilah yang menjadi hakikat perlumbaan untuk menjadi YB di negara ini.


Dengan yang demikian kami ingin menyatakan lapan sebab kenapa perubahan politik negara perlu diusahakan oleh semua yang mencintai amanah dan mandat suci yang akan diserahkan kepada mereka melalui PRU ke-12 kali ini.


Pertama, sebuah pemerintahan yang menguna kuasa selama 50 tahun secara mutlak tanpa dapat dibendung akan membahayakan negara. Dengan membiarkan sesuatu parti membolot kuasa terlalu besar akan menyukarkan rakyat untuk mendapat pembelaan yang berkesaan apabila mereka menggubal dan melaksanakan sebarang polisi itu sendiri mempunyai kepentingan lain dari apa yang dikehendakki oleh rakyat. Parti yang terlalu jenuh membolot kuasa menyebabkan tuntutan rakyat menjadi perkara sampingan apabila berdepan dengan kepentingan mereka yang hanya mengutamakan tembolok masing-masing.


Kedua, penyalahgunaan kuasa oleh sebuah pemerintah yang tidak menghormati undang-undang perlu ditolak. Dengan mempunyai kuasa yang terlalu besar di Pusat atau negeri, akan mendedahkan pemerintah itu menjadi sebuah kerajaan yang autokratik. Bermakna sebarang ketidakpuasan hati rakyat tidak akan dilayan kerana tidak ada suara yang seimbang untuk menghalang sebarang ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan. Rasuah yang berterusan akan berkembang tanpa banyak harapan untuk dibanteras. Malah BPR yang sepatutnya bertanggungjawab kepada Parlimen nampaknya tidak akan menjadi kenyataan apabila PM secara mutlak akan menentu siapa yang akan didakwa dan siapa yang jangan disentuh. Dalam hal ini kerajaan yang sarat dengan kuasa lebih memperhitungkan pemodal politik daripada rintihan rakyat.


Ketiga, pemerintah yang memberi peluang yang lebih kepada golongan elit hendaklah ditolak. Dewasa ini rakyat terbanyak maseh berada di dalam kehidupan yang sulit, walaupun waktu singkat dalam kempen PRU ke-12 akan dijadikan masa untuk melambakkan bantuan kepada rakyat, namun kesengsaraan rakyat bawahan akan terus menjadi kenyataan apabila pilihan raya selesai. Apakah penderitaan hidup petani dan nelayan kecil serta peneroka dan pekebun kecil akan banyak berubah? Ini banyak bergantung kepada wujud atau tidak suara pengimbang dalam Parlimen dana Dewan Undangan Negeri. Segala janji yang dilontarkan kepada rakyat akan menjadi sia-sia kerana mereka yang menang selepas PRU ke-12 ini tidak akan terlalu prihatin kepada nasib rakyat yang tersepit dengan kenaikan kos hidup kerana yang penting peluang keemasan untuk mengaut kesenangan akan menjadi keutamaan dalam tempoh menjadi YB.


Keempat, pemimpin-pemimpin yang hanya memperkayakan diri dan sanak saudara tidak boleh diberi mandat untuk memerintah. Rakyat perlu mengenepikan golongan yang secara jelas mengamalkan kronisme dan nepotisme. Parti yang mengkayakan seseorang wakil rakyat daripada kalangan kroni perlu ditolak. Mereka yang jelas menunjukkan bahawa menjadi wakil rakyat adalah peluang untuk mengaut keuntungan lumayan tidak boleh diterima sebagai pilihan rakyat. Pertanggungjawaban mereka lebih terikat kepada tuan-tuan mereka daripada parti politik yang mereka wakili, bukan kepada rakyat daripada mana mereka dipilih.


Kelima, pemerintah yang mewujudkan sistem, yang menyuburkan korupsi dan dengan itu berlaku pembaziran berleluasa tidak boleh diterima sebagai pilihan kepada rakyat. Pemerintah yang lebih menonjolkan pembangunan yang bersifat projek mega tanpa melihat keutamaan yang diperlukan bukan sahaja untuk golongan bawahan tetapi juga untuk keperluan generasi masa depan perlu diketepikan.


Keenam, rakyat perlu benar-benar faham bahawa sebuah parti politik yang akan membentuk kerajaan melalui bilangan wakil rakyat yang terlalu besar majoritinya akan terdedah kepada manipulasi kuasa yang tidak sihat. Hanya dengan mengharapkan Kelab Penyokong Kerajaan untuk bersuara tidak akan membantu mendedahkan penyelewengan kerajaan. Yang paling penting tanpa pengimbang wakil rakyat daripada kelompok lain akan tidak memungkin tindakan berkesan diambil apabila sesuatu penyeleweangan didedahkan.


Ketujuh, parti politik yang bersikap liberal terhadap kerosakan akhlak tidak boleh diberi mandat untuk memerintah. Akhlak rakyat dan pemimpin yang kian rosak dan kini berkembang kepada jenayah yang yang semakin berleluasa adalah akibat daripada pemerintah yang tidak mampu membendung rasuah. Memilih pemimpin yang mewakili kerajaan yang meluluskan lesen yang jelas mungkar seperti lesan arak, judi dan hiburan yang melanggar batas agama tidak boleh diterima oleh rakyat. Dengan menolak mereka yang mewakili parti yang cenderung untuk menghalalkan yang haram sama ada dalam bentuk budaya atau benda hanya dengan alasan pertumbuhan ekonomi adalah suatu keputusan yang wajar.


Kelapan, pemerintah yang berkuasa selama 50 tahun dan menunjukkan tanda kelemahan dalam menjamin system kehakiman yang telus dan adil perlu ditolak rakyat. Jaminan institusi kehakiman yang adil adalah rukun kepada sebuah negara yang dapat melindungi hak rakyat terutama hak golongan bahawan. Apabila jelas wujud penyelewangan yang ketara sehingga sistem kehakiman menjadi porak peranda, maka rakyat perlu menolak pemerintah yang ada.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Look here

Tanpa Nama berkata...

mintak copy and paste