Malam Tahun Baru Cina 2008, aku penuhkan dengan memancing bersama ari, mirol dan ain. Kami bertolak dari rumah mirol jam 8.30pm menuju ke arah pantai berdekatan Bayu Beach Port Dickson. Dalam kegelapan kami berjalan menuju ke arah jeti yang menghubungkan pantai ke arah sebuah pulau yang berdekatan. Cuaca yang dingin ditambah angin sepoi-sepoi bahasa hinggap di muka kami menambahkan lagi ketenangan dan kenyamanan malam. Bintang di langit menambahkan lagi keceriaan malam yang sememangnya ceria dengan gurauan kami berempat. Laut kelihatan tenang sepi dari deruan ombak yang deras.
Tiba sahaja di laluan masuk, halangan yang pertama pun tiba. Laluan jeti telah ditutup dengan papan. Mulanya agak kecewa, namun bila difikirkan, alang-alang menyeluk perkasam... aku dengan beraninya (padahal takut gak) mula meniti di tepi jeti dan dengan sedikit aksi 'spiderman' berjayalah aku melepasi halangan itu. Aksiku itu menjadi 'pembuka' jalan kepada semua 'ahli' ekspedisi kami.
Setelah tiba di tempat yang sesuai di tengah jeti, kami mula membuka bekas masing-masing dan menyediakan joran pancing kami. Dengan berbekalkan sinaran dari lampu picit, kami menyiapkan joran masing-masing. Kami mula menyiapkan mata kail. Mata kail diikat dengan teliti agar tidak mudah putus atau terbuka. Batu ladung juga diikat bagi menambahkan berat pada tali pancing. Punpun, sejenis cacing yang boleh didapati di paya-paya tepi pantai digunakan sebagai umpan. Rupanya yang seperti cacing pipih dengan panjangnya dalam 8 ke 10 cm pasti mendatangkan kegelian kepada mereka yang tidak biasa mamancing. Umpan di pasang dan dengan beberapa lafaz 'ayat keramat', lontaran pertama dilepaskan. "Plup!" bunyi mata kail dan batu ladung memecah permukaan air. Bermulalah penantian untuk sang mangsa menyambar umpan yang disediakan.
Dalam menanti umpan mengena, tiba-tiba lampu picit yang dibawa membuat hal. Halangan kedua tiba. Kegelapan menyukarkan kami melihat. Mirol pun dengan sukarela ingin pergi mendapatkan lilin. Selepas 20 minit menanti, mirol kembali membawa lilin dan mancis. Kembali terang 'pengkalan operasi' kami malam itu. Setelah hampir jam 12 mlm, kelihatan air laut semakin surut. Walaupun tiada ikan yang berjaya ditewaskan, namun dua ekor ketam yang berjaya ditangkap (padahal banyak lagi tapi terlepas) sudah cukup untuk memuaskan kami berempat. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dengan tekad untuk datang lagi di lain hari. Akhirnya ketam-ketam itu di masak masam manis oleh ain. Kenyang jugak la...
Memang benar bila orang kata memancing itu menguji kesabaran kita. Mengajar kita bagaimana untuk menahan diri dan bersabar bagi mendapatkan sesuatu. Namun selain bersabar, kita juga perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Halangan dan cabaran adalah asam garam dalam sesuatu pencarian. Kita tak mungkin berjaya jika kita tidak menghadapi cabaran dan tanpa rasa jemu berusaha untuk mengatasinya. Terus berjuang adalah satu matlamat hidup yang mesti kita pegang agar satu hari nanti kita mampu mendabik dengan bangga bahawa kita telah mancuba. Biar gagal, kerana dari kegagalan kita akan belajar lebih banyak tentang kelemahan diri kita....
'Perjuangan pangkal kejayaan' - Masuri S.N.
4 ulasan:
gile ahh..starting cite ko cam blue jek..haha
huhu..best memancing..aku g menjala kat sungai jasin n kolam kat belakang umah nenek kat jasin. giler best redah sungai..mmg kampong betul..next time kita g ramai2 best!!..ari tu g ngan pak man n ayah jer.
gambar cun.. huhu.. ada ke x ikan sebenarnya kat tempat tu? kalau ada, nk suruh ayh n pakcik try mancing kat situ..
Catat Ulasan