Sabtu, 26 Disember 2009
Semalam...
Ahad, 29 November 2009
Biro Tatanegara
Sembang-sembang forum - PERAK CRISIS with YB Dato' Seri Nizar Jamaluddin
Krisis Perak: Pengajaran Menuju Sistem Dua Party di Malaysia
- Forum Speaker: YB Dato' Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Perak)
- Date: Dec 4, 2009 (Friday)
- Time: 8.30pm
- Venue: Kompleks Penyayang
Jalan Utama, Pulau Pinang
- Free! All Are Welcomed.
Rabu, 4 November 2009
Generasi Gelombang Kebangkitan Asia
Selepas melalui beberapa peringkat tarbiyah, bersenjatakan motosikal honda itu, saya dan rakan-rakan sering ke Kuala Lumpur untuk menyertai demonstrasi. Baik demonstrasi tersebut menyanggah kewujudan sebuah kerajaan yang diterajui Umno -Barisan Nasional ataupun membantah aktiviti dan acara, yang pada pendapat kami bertentangan dengan hukum syarak. Negara Islam wajib ditegakkan, dan Anwar Ibrahim yang masih merengkok dalam penjara bukanlah tokoh yang wajar dipercayai. Kecurigaan ini, mengikut perkiraan saya, adalah mirip kecurigaan al Ikhwan al Muslimoon terhadap Gammal Abdel Naser. Apa yang pasti kami sentiasa bergelora, idealistik dan yakin, kemenangan pada suatu hari milik kami.
Di pertengahan jalan, saya tertewas, hilang pertimbangan, lalu menamatkan pengajian undang-undang saya di UKM. Beberapa ketika, saya pulang ke Alor Setar, tetap setia bersama motosikal EX5. Buat menenangkan hati, sering saya berulang alik, sudah tentu bersama motosikal setia, ke pondok Dehrang mendengar kuliah Ustaz Nuruddin Al Banjari dan Ustaz Fahmi Zam Zam. Memperoleh ketenangan dan sokongan ibu bapa, permohonan memasuki kuliah undang-undang Uitm diajukan. Tahun 2002, ianya bermula kembali. Saya ke Shah Alam menjadi pelajar fakulti undang-undang walaupun minat untuk menjadi seorang peguam sudahpun padam.
Ketika masa 'pemulihan' di Alor Setar, oleh kerana kemaruk mendapatkan bahan bacaan, Berita Keadilan yang dipimpin Khalid Jaafar adalah antara bacaan wajib selain dari kitab-kitab fiqh dan Tafsir al Azhar. Minat itu saya teruskan ketika di Shah Alam. Ligat saya mengelilingi bandar tersebut mencari Berita Keadilan buat menghilangkan ketagihan. Tulisan dan wacana yang dicetus menggasak saya memikirkan kembali beberapa keyakinan serta sikap perjuangan. Saya mulai menaruh minat untuk mengenali Anwar Ibrahim. Tapi melalui apa? Makanya berbekalkan duit, sekitar RM 30 dan motosikal itu, saya mencapai nashkah "Asian Renaissance," karya versi Inggeris mantan timbalan perdana menteri, yang dihumban ke dalam penjara, di toko buku berdekatan. Dan buku itu menemani saya siang dan malam.
Secara tiba-tiba perasaan cemburu menyerang saya. Bibliografinya mengejek-ngejek saya. Senarai nama seperti Syed Naguib al Attas, Syed Hussein al Attas, Karl Popper, Tagore, T.S Elliot, Sutan Takdir dan Dead European Males lainnya menerbitkan resah berpanjangan. Perpustakaan diserbu, mencari buku-buku yang ditulis oleh mereka semua dengan nafsu yang bergelojak. Kerap kali pemburuan berakhir dengan kekecewaan dan sumpah seranah. Misalnya The Open Society and Its Enemies karya Karl Popper, pemikir dari Vienna, langsung tidak terdapat di rak-rak buku perpustakaan. Bagi saya ianya adalah antara mehnah dan tribulasi yang paling besar pernah saya hadapi.
Perlahan-lahan gagasan Nahdah Asia Anwar Ibrahim menjelma. Meratib saya mengingati di antara pesan Gelombang Kebangkitan Asia(judul versi Melayu); "the cultivation of good taste take the place of mediocrity and philistinism." Mengunyah bab demi bab seperti Keunggulan Budaya, Ekonomi Manusiawi, Timur dan Barat serta Demokrasi dan Masyarakat Madani, merubah saya menjadi insan yang yakin. Kini saya menyendiri ber 'usrah' dengan membedah dan menghadam satu demi satu faham yang terkandung di dalam Gelombang Kebangkitan Asia. Ke 'Melayu' an dan Ke 'Islam' an tidak menghalang saya dari menerobos tembok khusus intelektualisme yang selalu dikaitkan dengan golongan kelas menengah dan tinggi. Akar budaya dan juga agama menjadi jendela meneropong Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Hamlet, John Keats, perdebatan seputar sekularisme, Ibsen dan FA Hayek.
Gelombang mempertemukan saya dengan sekelompok anak muda ataupun yang berhati muda. Dengan motosikal EX5 itulah saya berulang alik dari Shah Alam ke Telawi, meredah kedinginan malam dan kehangatan petang. Kami yang datang baik dari utara, timur dan selatan tanah air, membentuk komuniti kecil para seniman, penulis, wartawan dan pelajar. Akal, tradisi, kebebasan, moraliti, budaya, kuku besi dan agama menjadi tema perbincangan dan renungan. Usrah baru saya terdiri dari mereka yang fanatik berbahasa Melayu, sering menyeru agar menguasai, bukan sahaja bahasa Inggeris, bahkan bahasa Jerman, Mandarin, Pali dan Greek kuno serta menyanggah ketuanan perkauman yang meminggirkan etnik lainnya.
Rasa rendah diri disingkir jauh-jauh. Syarahan Karamah Insaniah, Pico della Mirandola bahawa 'tiada yang lebih dikagumi selain manusia' bagaikan petir dan guruh yang berdentum di langit. Bingit dan mengejutkan. Gelombang memaksa sekaligus meyakinkan saya bahawa dikotomi di antara timur dan barat semakin kabur. Manakala Kebebasan dari regim yang tirani dan mengangkat martabat Budaya bangsa dari kelaihan berpanjangan merupakan tanggungjawab generasi perubahan; Generasi Gelombang Kebangkitan Asia.
Mulai saat itu saya mengenali, ataupun dengan lebih tepatnya, cuba mengenali sosok Anwar Ibrahim. Sudah tentu tidak sepenuhnya. Akan tetapi saya tidak perlu untuk bersekolah dengannya ataupun mengaku mengenali beliau selama berpuluh-puluh tahun. Cukup buat saya, menyedari serta memahami gagasan-gagasan beliau. Tidak perlu untuk membandingkan Anwar Ibrahim dengan tokoh-tokoh silam seperti Dr. Burhanuddin al Helmy, Dato' Onn ataupun Alexander dari Macedonia itu!
Anwar adalah Anwar. Beliau melakar Gagasan Gelombang dan terbukti ampuh meroboh bongkah-bongkah Nilai-nilai Asia anutan beberapa pemimpin tua yang gusar legasi mereka akan lenyap dimamah keyakinan baru. Mentaliti pasca kolonialisme sudah tidak relevan. Sikap secara borongan membenci barat hanya menjadi alasan buat kebanyakan diktator memungkinkan kezaliman di tanah air sendiri. Manakala kita mengkritik pusat tahanan Guantanamo, pada ketika yang sama, negara ini juga memiliki pusat tahanan versinya sendiri di Kamunting.
Sekian lama kita berhadapan dengan politik hipokrasi. Dasar yang menguntungkan sebilangan kecil samada hanya untuk kepuasan elit pemerintah bumiputera ataupun tauke tauke kaya seharusnya ditolak tanpa ragu. Tidak ada justifikasi munasabah untuk kita menerima dalih membantu bangsa sedangkan hanya dua tiga kerat pimpinan barisan nasional sahaja yang kaya raya. Itulah manifestasi tertinggi politik perkauman sempit. Hakikatnya ianya cerita lama yang sudah basi.
Rakyat Malaysia terutamanya anak muda dari segenap lapisan masyarakat, merentasi sempadan agama dan etnik mempunyai kesedaran yang lebih baik dari apa yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Pembentukan politik baru sesungguhnya tidak terelakkan. Acuan baru itu akan mengambil tempat, lalu bersaing dan mengalahkan politik lama yang bergantung kepada ketakutan, kecurigaan dan pemisahan antara kaum di negara ini. Kezaliman bukanlah hak milik mana-mana kaum, dan Keadilan adalah untuk semua.
Syaratnya ialah untuk terus beriltizam dengan Perubahan yang mengakar kepada hasrat untuk memelihara keluhuran perlembagaan, membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, menjamin kedaulatan undang-undang, pengukuhan masyarakat demokratik dan berakhirnya politik perkauman.
Abad baru akan menjadi saksi, warisan pemerintah yang sekian lama "tahu apa yang terbaik untuk kita" sudah berakhir. Generasi Gelombang adalah kekuatan anak muda, suaranya, suara anak muda dan ianya arus deras yang mampu merubah lanskap politik serta sejarah negara ini. Anak muda mahukan sesuatu yang menyegarkan. Bahasa politik parokial perlu disisihkan. Perubahan yang luhur akan melibatkan semua untuk berbicara. Conversational Democracy adalah ciri penting penciptaan sebuah negara demokratik. Perdebatan dan wacana tidak menjurus kepada ungkapan seperti "pengkhianat bangsa" dan "agen yahudi."
Generasi Gelombang tidak perlu menjadi apologetik dan mesti berani untuk mengaku bahawa bahasa demokrasi, kebebasan, keunggulan budaya dan pertumbuhan ekonomi yang mampan bukanlah monopoli mana-mana peradaban. Berbekalkan semangat baru, akan kita buktikan ungkapan Kipling bahawa, "There is too much in Asia and it is too old" adalah tidak benar sama sekali. Generasi Gelombang perlu merebut peluang mencipta dan menempa haluan baru buat negara ini.
Namun ini tidak beerti kita berhasrat mencipta yang baru dan terlepas dari pesan-pesan leluhur mahupun tradisi. Penggalian teks-teks klasik bagi saya menemukan kita dengan anjuran dasar untuk mengolah pandang dunia yang segar dan bertepatan dengan semangat zaman. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja untuk menderhakai perintah Sultan misalnya, menyelamatkan Melaka dari hangus diberengus Jebat. Penulis Hikayat Hang Tuah menganyam cerita dan peri membiarkan pembacanya menilai di antara kesetiaan Hang Tuah, keterlanjuran Jebat, sikap tanpa usul periksa Sultan Melaka dan penderhakaan Bendahara Paduka Raja. Ternyata akhirnya penderhakaan Bendahara jualah yang menyelamatkan rakyat serta kerajaan.
Saya menyanggah beberapa telahan kononnya teks klasik ini menganjurkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah. Saya juga menolak untuk mengagung-agungkan perbuatan Jebat. Hikayat Hang Tuah adalah antara karya yang menampilkan kejelikan pemerintahan tanpa batasan. Ianya menjadi iktibar kepada kita untuk mencipta sebuah negara yang mempunyai batas-batas jelas untuk melindungi hak rakyat dari digasir pemimpinnya. Ini menguatkan hujah kita untuk menuntut sebuah negara dan masyarakat yang demokratik.
Kecurigaan di antara agama juga perlu dikikis. Islam tidak sewajarnya dipandang sebagai sebuah agama yang kuno, mandul daya intelektualismenya dan zalim semata-mata. Kegagalan penguasa dan sesetengah pemikir Melayu-Islam untuk mengangkat harakat agama adalah antara punca kecurigaan ini bertunas. Keilmuan Islam dan kekayaan tradisi kepustakaan Melayu dibiarkan usang kerana kebanyakan mereka lebih berminat untuk mengejar kerusi-kerusi empuk di institusi pengajian tinggi dan terpasung kerdil menjadi jiwa hamba. Manakala taraf keilmuan dan intelektualisme jauh merosot tatkala wacana-wacana falsafah, ekonomi dan agama yang rancak di luar negara langsung tidak dipedulikan. Kita masih menanti siapakah bakal mampu menandingi Syed Muhammad Naguib al Attas dan Syed Hussein al Attas.
Pilihanraya umum ke 12 menyaksikan Anwar Ibrahim dengan dokongan rakyat berbilang kaum dan agama, berjaya memimpin permuafakatan politik yang berjaya menafikan majoriti dua pertiga barisan nasional. Berbekalkan mesej Perubahan, permuafakatan tersebut berjaya menambat jiwa raga para pengundi. Perubahan secara mendadak menjadi komoditi hangat di pasaran. Saya rasa ini lah kali pertama dalam sejarah moden negara, rakyat Malaysia berada di kedudukan untuk menentukan 'harga' dan 'tawaran' siapa yang terbaik.
Inilah juga masanya buat kita, Generasi Gelombang menawarkan pakej yang terbaik untuk rakyat. Jelmakan keyakinan kita terhadap sebuah negara madani yang berpaksikan masyarakat demokratik, keluhuran perlembagaan, keunggulan budaya dan kemakmuran ekonomi. Jelaskan kepada rakyat mereka berhak kepada yang terbaik, makanya menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi yang terbaik. Sudah tiba masanya kita menjayakan cita-cita "the cultivation of good taste take the place of mediocrity and philistinism."
Eekmal Ahmad adalah kakitangan Pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan sering mendengar ulasan majalah Monocole, Wired dan Technological Review dari adik lelakinya.
Khamis, 29 Oktober 2009
Sembang - sembang
Topic: 2-Party System for Malaysia
Speaker: Datuk Zaid Ibrahim
Pakatan Rakyat coordinator
Date: 2 Nov 2009 (Monday)
Time: 8.30 - 11.00pm
Venue: Kompleks Penyayang (Penang Caring Society
Complex)
Jalan Utama, Penang.
(next to the Governor's Residence)
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Sabtu, 17 Oktober 2009
Mengapa yang kaya dan miskin mesti wujud?
Di satu petang Jumaat, Hirmuz bertemu Professor Tota Inzar di terataknya untuk bertukar pendapat.
"Sekarang Hirmuz, beritakan pada diriku ini akan apa yang membuatkan dirimu kagum pada sosialisme?"
"Sebenarnya, Tota, kebanyakkan ideanya adalah perkara naluri asas"
"Jikalau begitu, berikan aku satu contoh, Hirmuz"
"Mengapa tidak Tota, mari kita lihat, Karl Marx dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa kemiskinan itu wujud akibat ketidakseimbangan dalam pembahagian kekayaan. Lihat saja pada jurang besar antara golongan berada dan miskin. Orang berada berbelanja habis-habisan untuk kenduri-kendara sedangkan jiran mereka hidup dalam kebuluran. Anak orang berada walau terencat akal sekalipun akan tetap dihantar ke sekolah yang terbaik sedangkan anak-anak yang sihat akalnya masih ramai terbiar tanpa sebarang pendidikan. Si pemilik kilang hidup dalam serba kemewahan, dengan beban kerja yang paling sedikit tetapi tetap mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Sebaliknya, si buruh (baca : golongan pekerja) terpaksa bekerja dari subuh hingga senja, tetapi yang paling kurang mendapat pulangannya. Mereka (baca: golongan berada) tidak perlu bekerja, tetapi memiliki hampir kesemua faedah dan keuntungan manakala si buruh terpaksa bekerja ibarat hamba abdi tetapi kekal miskin selamanya. Maka sekarang menurut sosialisme, jika semua harta ini dibahagi sama rata, maka tidak akan ada lagi istilah kemiskinan dan kita bakal mengecapi keadilan ekonomi yang sejati. Ini bakal menamatkan layanan dianaktirikan terhadap golongan miskin, tidak begitu Tota?"
Prof Tota Inzar duduk di kerusi malasnya sambil menghisap paip dan memandang Hirmuz dengan satu pandangan yang tajam.
"Sekarang beritakan padaku, Hirmuz, apakah yang dimaksudkan dengan kekayaan itu?
"Baik, yang dimaksudkan dengan kekayaan itu bagi diriku adalah kilang – kilang, tanah, wang ringgit dan pelbagai macam lagi"
"Katakanlah, Hirmuz, kerajaan mengambil semua wang dari semua bank kepunyaan orang kaya dan diagihkan sama rata kepada orang miskin. Dan bayangkan jika kerajaan rampas semua tanah, kilang, kenderaan dan lain – lain aset kepunyaan orang kaya lalu diagihkan kepada seluruh masyarakat. Sekarang beritahu aku, adakah semua anggota masyarakat ini bakal memiliki jumlah wang yang sama selepas satu minggu?"
"Sudah tentu tidak"
"Mengapa tidak, Hirmuz?"
"Kerana setiap individu berbelanja dengan cara tersendiri. Sesetengah akan berbelanja dengan cara yang menguntungkan manakala yang lain akan membazirkannnya."
"Kamu betul. Dan sahabatku Hirmuz, adakah kamu bersetuju bahawa sesetengah orang adalah effisien manakala yang lain tidak; sesetengah tahu akan ilmu dalam menggandakan wang mereka, manakala yang lain terlampau cuai sehingga mereka membazirkan wang mereka itu?
"Sudah tentu Tota, saya setuju"
"Dan tidakkah sesetengah orang menjimatkan wang mereka manakala yang lain membazirkannya?"
"Ya, benar."
"Dan tidakkah sesetengah orang itu begitu aktif dan bertenaga manakala yang lainnya malas?"
"Ya, tentu sekali, Tota."
"Maka tidakkah kita lihat, Hirmuz, bahawa semua individu sebenarnya tidak menyumbang jumlah produktiviti yang sama. Tidakkah begitu?"
"Ya, benar."
"Maka tidakkah terlintas dalam fikiran kamu bahawa kekayaan yang dibahagi sama rata di kalangan populasi sesebuah negara lambat laun akan kembali menjadi tidak sama rata?"
"Sudah pasti"
"Dan tidakkah kita akan kembali mempunyai golongan kaya dan miskin di kalangan kita semula?"
"Mungkin betul, Tota. Tetapi bagaimana pula buat mereka yang bekerja dengan jumlah sumbangan yang sama, tidakkah mereka layak untuk diberikan ganjaran yang sama rata juga?"
"Baiklah, apa kata kita lihat dari sudut ini, Hirmuz. Andaikan seorang buruh kasar bekerja 12 jam sehari, adakah mereka layak menerima ganjaran yang sama rata dengan seorang pakar bedah bahkan jurutera yang bekerja untuk jumlah masa yang sama?"
"Sosialisme percaya mereka yang bekerja jumlah jam yang sama wajar menerima jumlah ganjaran yang sama"
"Baiklah Hirmuz, biar saya perjelaskan lagi perkara ini untuk anda. Andaikan seorang buruh yang mahir dan buruh yang tidak mahir diberikan ganjaran yang sama, maka adakah perlu untuk si buruh yang tidak mahir menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjadikan dirinya seorang buruh yang mahir. Bukankah lebih mudah dan senang sekiranya dia terus kekal sebagai seorang buruh yang tidak mahir?"
"Ada logiknya di situ akan apa yang Tota perkatakan"
"Mari juga kita andaikan bahawa ada dua orang buruh, Hirmuz, dan andaikan salah seorang dari mereka menemui permata 30 karat manakala yang seorang lagi menemui secangkul arang batu. Wajarkah mereka diberi ganjaran yang sama?"
"Tentulah tidak, Tota."
"Dan mengapa tidak, Hirmuz?"
"Kerana majoriti orang menganggap permata lebih bernilai dari arang batu"
"Jawapan yang cemerlang. Sekarang Hirmuz, jika orang tidak menghargai nilai permata, adakah mereka masih akan menawarkan harga yang tinggi walaupun kerja yang berat diperlukan untuk melombong permata?"
"Tidak, tentu tidak jika orang tidak menginginkan permata lagi."
"Baik. Maka sekarang adakah anda bersetuju, Hirmuz, bahawa orang perlu menginginkan sesuatu itu barulah mereka rela untuk membayar harga yang ditentukan. Maka mengapa sosialisme mahu memberikan jumlah ganjaran yang sama, walaupun kerja yang dilakukan itu diinginkan atau tidak?
"Cuba, Tota, lihat, sosialisme adalah satu sistem ekonomi yang adil; ia tidak menyisihkan yang miskin dan yang memerlukan. Slogan sosialisme adalah : "Dari setiap pada kemampuan mereka dan kepada setiap pada keperluan mereka". Bukankah ini satu slogan yang adil, Tota?"
"Mari, Hirmuz, kita fahami slogan ini: Ambil mana – mana dua individu, adakah mereka suka akan jenis makanan yang sama?"
"Tidak, tidak semestinya, Tota."
"Dan adakah mereka akan memakai pakaian yang sama?"
"Tentu sekali tidak"
"Dan adakah mereka menghidap jenis penyakit yang sama?"
"Tidak semestinya, Tota"
"Dan adakah mereka memerlukan jenis ubatan yang sama untuk sembuh?"
"Tidak semestinya."
"Dan adakah mereka gemar membaca jenis buku yang sama"
"Tidak semestinya"
"Maka dari soalan – soalan tadi tidakkah anda nampak, Hirmuz, bahawa setiap individu itu unik dan keperluan dan keinginan mereka itu juga unik. Maka dalam semua bentuk kesamarataan, bolehkah sebuah kerajaan sosialis menemui kaedah untuk mengetahui setiap keinginan dan keperluan setiap individu, dengan hakikat bahawa setiap individu itu unik dan berlainan dari individu yang lain?"
"Saya khuatir itu adalah mustahil"
"Dan tidakkah jumlah mereka yang memerlukan, Hirmuz, adalah melebihi daripada mereka yang mempunyai kemampuan dan kemahiran?"
"Ya, tentu sekali."
"Dan andai kita ambil dari mereka yang berkemahiran dan berkemampuan untuk diberikan kepada yang memerlukan, tidakkah ini akan menjadikan mereka (baca : yang memerlukan) lebih malas dan kurang produktif?"
"Tentu sekali, Tota"
"Dan tidakkah mereka yang berkemahiran akan menyembunyikan kemampuan dan kemahiran mereka supaya mereka tidak perlu menampung segerombolan 'parasit'?"
"Benar, anda betul"
"Dan tidakkah nanti setiap individu akan berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang tidak diperlukan pun?
"Benar sekali, Tota"
"Dan tidakkah ini bakal menyebabkan ketidakcekapan dan produksi ekonomi yang rendah?"
"Benar."
"Oleh itu tidakkah lebih baik, Hirmuz, jika slogan sosialis ini digantikan dengan: "Berikan ganjaran kepada mereka setara dengan sumbangan mereka kepada produksi."
"Baiklah, Tota."
Negara Islam
Prof. Dr. Yusof Qardhawi mengambil pengiktibaran daripada sirah Nabi s.a.w. dalam Perjanjian Hudaibiyah apabila Baginda s.a.w. bersetuju untuk menggugurkan nama Rasulullah s.a.w. sebagaimana dituntut oleh wakil kelompok lain. Gelaran Rasulullah s.a.w. ini bukanlah gelaran yang diberikan manusia melainkan pilihan Allah s.w.t.. Itupun Rasulullah s.a.w. sanggup gugurkan demi mencapai persetujuan dalam perjanjian tersebut.
DS Anwar, dalam pengucapan politiknya kepada khalayak ramai di Malaysia selalu mengungkapkan bahawa beliau tidak menerima label negara Islam walhal pada masa sama berlaku kezaliman dan kemunduran yang jenuh dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, DS Anwar tidak mahu mengambil risiko membiarkan label Islam diasosiasikan dengan segala bentuk yang tidak sesuai dengan mesej Islam itu sendiri.
Mengambil pengiktibaran sirah, ternyata Rasulullah s.a.w. sendiri tidak menamakan Madinah atau Mekah sebagai negara Islam. Malah, tidak kurang ilmuan Islam yang melihat bahawa agenda negara Islam hanyalah pengucapan politik Islam pasca kejatuhan Turki Uthmaniyyah, dan asasnya kabur.
Saya fikir DS Anwar seorang yang pragmatik dalam mengusung wacana kepada khalayak.
Suka atau tidak, bicara soal negara Islam ini diangkat ke ruang awam oleh PAS, untuk saya sekurang-kurangnya, masih terlalu asas dan kadangkala kabur. Dan ia menjadi titik pertembungan dalam banyak urusan kerjasama dengan DAP, PKR, UMNO bahkan masyarakat awam!
Tempelak UMNO untuk mengetahui apakah blue-print Negara Islam sebagaimana dakwaan PAS itu ternyata telah mengasak PAS ke sudut sempit kerana mereka tidak pernah ada blue-print ini dan hanya sekadar mengeluarkan buku nipis dengan penghujahan yang boleh didapati daripada mana-mana buku yang mendokong agenda Negara Islam ini. Untuk saya, ini adalah tragedi. Dakwaan YB TG Haji Hadi bahawa hudud hanya tidak sampai 1% daripada agenda Negara Islam ini juga telah menimbulkan rasa kurang senang kepada masyarakat yang melihat PAS tergamak menjadikan apa yang tidak sampai 1% ini sebagai titik tolak rasa tidak selesa dalam masyarakat.
Tidak ada penerangan tuntas dibuat kepada awam terutama dalam bentuk wacana terbuka untuk mereka bertanya langsung kepada pemimpin PAS, terutama mereka yang mungkin bercita-cita menjadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar atau EXCO. Jika ada mereka yang selalu tampil dalam wacana terbuka ini, mereka inilah daripada kalangan yang digelar Erdogan dalam Muktamar PAS yang terakhir. Itupun, dalam inklusif sikap mereka, ia masih belum dapat mengungkap idealisme PAS sebagai sebuah parti politik secara tuntas melainkan masih berlegar kepada titik perbezaan dengan kata "masyarakat tidak faham", "masyarakat tidak beri peluang" dan sebagainya.
Saya mahu berlaku adil kepada PAS. Eloklah saya kemukakan asas pemahaman saya tentang agenda Negara Islam oleh PAS ini. Hujah ini bagi saya absah, namun ia tidak menjawab semua persoalan yang muncul sesudahnya.
Dalam kaedah usul fiqh ada disebut "mala yatimul wajib illa bihi fahuwa wajib" atau dalam mantiknya lebih kurang begini:
1. B adalah wajib.
2. B tidak dapat dilakukan tanpa adanya A.
3. Maka, untuk mengadakan A adalah wajib.
Justeru, PAS dan gerakan Islam yang percaya kepada agenda Negara Islam ini berpendapat bahawa Hukum Islam itu wajib, untuk melaksanakannya memerlukan kuasa pemerintahan dalam kenegaraan. Justeru, mereka perlu mendapatkan kuasa ini.
Asas yang sama dipegang oleh banyak jemaah Islam, cuma kaedahnya mungkin berbeza. Sesetengah berpegang keras bahawa terlibat dalam demokrasi Pilihan Raya bukanlah cara yang Islami. Sesetengah pula berkata wajib atau harus.
Ada kata mahsyur Saidina Uthman al-Affan tentang persoalan ini iaitu: "Allah s.w.t. melengkapkan agama ini melalui tangan pemerintah". Dalam bahasa perbincangan, saya menyebutnya "sistem tidak bergerak sendiri, manusia yang menggerakkan sistem". Jika robot atau komputer digunakan untuk menggerakkan sistem, formatnya masih dibina oleh manusia.
Saya berpendapat sistem pemerintahan itu punya evolusi. Pemilihan khalifah pertama dalam sejarah Islam menunjukkan bahawa tidak ada hujah agama dibawa oleh para sahabat dan penduduk Mekah pada waktu itu untuk menunjukkan bahawa calon mereka adalah yang paling layak menjadi pemimpin. Jika ada, ia mungkin daripada mereka yang mendokong Saidina Ali k.w. di mana ia akhirnya berlanjutan sehingga ke hari ini dalam bentuk apa yang kita kenal sebagai konflik Sunni-Syiah.
Ia kompleks dan tidak mudah. Saya tidak pula mahu membelakangi wacana panjang yang ikut muncul bersamanya. Cuma saya fikir PAS perlu menterjemahkan hasrat mereka dengan lebih jelas dan tidak menggunakan mantik mudah bahawa:
1. Hukum Islam adalah wajib.
2. Jika kita tidak menyokong menggunakan hukum Islam, maka kita kafir.
3. Mereka yang tidak menyokong PAS untuk melaksanakan hukum Islam adalah kafir.
Suka atau tidak, perkara ini berbekas dalam masyarakat. Ramai generasi lama yang merasa sakitnya bila kisah solat 2 imam terjadi, cerai berai, pergaduhan keluarga dan sebagainya atas faham ini.
Sebab itu saya boleh memahami apa yang cuba Dr. Asri sampaikan dalam tulisannya baru-baru ini (rujuk http://drmaza.com/home/?p=752).
Jujurnya, persoalan yang sama telah sering saya bincangkan bersama teman-teman yang ikut berdialog dalam kelompok Diskusi Enak Wilayah Ilmu (DEWI), Pentas Ilmuan Muda Malaysia – sebuah kumpulan diskusi yang kami asaskan di sekitar Serdang, Kajang, Bangi, Putrajaya dan Cyberjaya.
Ketika Khawarij menggesa Saidina Ali k.w. menghukum pembunuh Saidina Uthman r.a., mereka menggunakan hujah penegakan hukum Allah s.w.t. dan Saidina Ali k.w. mengatakan ia BENAR namun bertujuan BATIL. Timbul polemik bahawa kerana ia benar, namun pada masa yang sama bertujuan batil kerana ia mengundang soalan tentang apakah ia benar maka perlu ditegakkan dan ia menjadi batil kerana terikat dengan konteks?
Persoalan yang akan muncul daripada yang melihat ia sebagai benar ialah kenapa tidak dilaksanakan? Jika ia dihujahkan dengan konteks, persoalan lain yang akan datang ialah sekurang-kurangnya gubal dulu kerana ia benar dan konteksnya boleh diwujudkan satu pengecualian dalam perundangan sebagaimana kebiasaannya.
Dr. Asri untuk saya tidak cukup berlaku adil kepada PAS kerana tidak memberi jalan alternatif dalam konteks hujah melainkan hanya seolah menyatakan "jangan buat begitu kerana kesannya buruk". Sebagai ilmuan agama yang ternyata beza dengan saya yang hanya belajar ilmu pengurusan taman dan rekreasi, beliau harus pergi kepada duduk persoalan yang lebih dalam.
Saya sendiri tidak punya jawapan melainkan pandangan dan sejumlah persoalan tentang Negara Islam. Oleh kerana itu, saya fikir elok saya menjadi seorang yang pragmatik berbanding kuat melaungkan apa yang saya tidak dapat pertahankan kemudiannya.
Apa yang saya tulis ini tidak bermaksud menyerang atau membela PAS melainkan penegasan agar bahasa politik PAS mesti lebih baik kerana suka atau tidak ia telah mengundang banyak kecelaruan dan menyemai banyak fanatisme.
Saya percaya ruang harus dibuka dan prasangka yang ada itu harus disimpan sementara memanfaatkan ruang berwacana yang ada.
–
Tulisan ini adalah sebahagian daripada Isu-Isu Islam dalam Kenegaraan Malaysia yang akan diterbitkan bersama tajuk lain dalam buku saya, insyaAllah akan diterbitkan pada pertengahan tahun hadapan.
Rabu, 7 Oktober 2009
Gelombang Kebangkitan Asia, oleh Anwar Ibrahim
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Isnin, 21 September 2009
Eid Fitri...
Ahad, 2 Ogos 2009
Bila mengeluh tak mahu memandang, tak mahu merasa?
Terdetik aku untuk bertanya kepada para peniaga dan kaki 'shopping' yang gagal menjalankan rutin harian mereka semalam. Apakah mereka tinggal di dalam gua atau tidak pernah langsung menatap akhbar dan menonton televisyen bahawa akan berlangsung pada 1 Ogos? Dan tidakkah mereka sedar bahawa selama ini sejak 1998, pihak PDRMlah yang telah menimbulkan keadaan huru-hara dengan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air, melakukan sekatan jalan yang menimbulkan kesesakan jalan berjam lamanya?
Jika para pengeluh ini ingin menyatakan keresahan dan ketidakpuasan hati mereka akan apa yang mereka lalui semalam, seharusnya mereka harus kembali merenung kesengsaraan yang ditanggung oleh tahanany ISA yang ditahan bertahun lamanya tanpa mengetahui apa sebab mereka di tahan? Tanpa sebarang perbicaraan untuk mereka? Tiada ruang untuk membela diri? Disoal siasat dan disekat kebebasan mereka sebagai warga yang bebas dan merdeka? Dipisahkan dari keluarga, isteri dan anak, kerjaya dan kehidupan mereka? Terpenjara tanpa sebarang sebab yang boleh dibuktikan oleh pihak polis mahupun kerajaan? Ditahan bertahun lamanya dan kemudian dibebas tanpa sebarang pembelaan diberi? Maka justifikasi apakah yang para pengeluh ini layak untuk menggelar diri mereka sebagai mangsa jika dibandingkan dengan apa yang mereka lalui semalam yang tidak sampai separuh hari pun jika dibanding dengan penderitaan mereka yang ditahan ISA bertahun lamanya?
Hujah yang lebih memalukan apabila ada antara mereka yang bijak pandai ini mengatakan bahawa apa perlu tentang ISA kalau diri sendiri tidak melakukan kesalahan. Persoalannya bukan rakyat takut mereka di ISA, tetapi persoalannya adalah kekhuatiran rakyat akan mereka yang bernama pemerintah yang bila-bila masa sahaa tanpa sebarang sebab bisa menggunakan ISA untuk memenjarakan rakyat hanya kerana mereka tidak bersetuju ataupun tidak menyokong pemerintah. Itu adalah apa yang paling ditakutkan oleh majoriti rakyat yang tahu akan hak dan kehendak mereka untuk hidup sebagai warga Malaysia yang bebas dan merdeka.
Buat mereka yang benar-benar menyokong ISA, satu persoalan untuk kalian. Apakah Tuhan tidak membicarakan Adam dan Hawa sebelum mereka dihukum dengan penyingkiran dari syurga? Bukankah Tuhan itu Maha Mengetahui, tetapi mengapa Tuhan perlu bicarakan dulu Adam dan Hawa sebelum disingkir dari syurga? Jika Tuhan mengajar kita untuk berlaku adil, maka mengapa kita masih mengingkarinya?
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Demonstrasi Anti ISA
Ketua Polis Negara dengan pantas mengesahkan bahawa mereka dari pihak Pro-ISA tidak terlibat dengan perhimpunan ini. Media massa pula seperti yang dirancang terus memaparkan rakaman keluhan peniaga yang kerugian dan beberapa orang awam yang tidak dapat mengunjungi jualan murah di Sogo. Penganjur dipersalahkan kerana menimbulkan kacau-bilau dengan merusuh.
Persoalan yang bermain di minda saya adalah, adakah demonstran yang merusuh atau pihak polis yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan dan ketenteraman yang telah 'merusuh'? Apakah peniaga akan terganggu dan kaki 'shopping' kesangapan jika demonstran dibenarkan berarak secara aman? Jika polis tidak mengepung jalan dan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air; apakah yang dipanggil kacau-bilau ini akan berlaku?
Nyata sekali lagi dalam sejarah, dari semua bukti video dan gambar yang ada pada hari ini, pihak gerombolan dengan mewakilkan PDRM telah dihantar untuk 'merusuh' dengan menghalalkan kezaliman dan kekejaman terus berlaku. Rakyat ingin terus diperbodohkan dan ditipu.
Nyata hari ini telah terus mengubah persepsi saya mengenai Malaysia. Malaysia di bawah kerajaan Barisan Nasional bukanlah sebuah negara muslim yang dimiliki orang Malaysia dan demokratik, tetapi Malaysia adalah sebuah - Negara POLIS! Dan jika ditanya lagi, maka siapa yang memerintah Malaysia - dengan bangga saya akan menjawab PRDM - Polis RAJA Di Malaysia!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Jumaat, 31 Julai 2009
Al-Fatiha buat Adun Permatang Pasir
Dengan pemergian Allahyarham, bakal menyaksikan satu lagi Pilihan Raya Kecil bakal berlangsung. Pas hampir pasti akan mempertahankan kerusi ini. Dengan isu kematian Teoh Beng Hock dan perhimpunan anti ISA esok, akan menjadi bahan kempen yng ampuh untuk pemilihan kali ini.
Semoga dengan kehadiran Pilihan Raya Kecil ini bakal mengekalkan momentum Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Selasa, 28 Julai 2009
Ahad, 26 Julai 2009
Sabtu, 25 Julai 2009
Sabtu, 18 Julai 2009
Cilaka
Jika diimbau, kekejaman pemerintah Malaysia (baca:Umno dan BN), terhadap rakyat - seperti Peristiwa Memali, Black 14, membelasah rakyat di jalanan dan ketika dalam tahanan, ISA untuk menangkap mereka yang tidak sehaluan dengan pemerintah, membuktikan bahawa kerajaan Umno dan BN ini wajib digulingkan pada PRU akan datang.
100 hari DS Najib sebagai Perdana Menteri, terus dikaburi dan dibayangi dengan skandal penyelewengan dan terbaru tragedi yang menimpa mendiang Teoh. Altantuya mati tidak terbela. Istana Bali langsung tidak dicuit. Ali Rustam terus dibenar menjadi KM Melaka. Dimanakah SPRM atau Polis dalam kes-kes ini. Linggam dan Tun Dr Mahathir masih bebas walau keputusan suruhanjaya menunjukkn hal yang sebenar.
Cilakalah - SPRM dan Polis Di Raja Malaysia!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Khamis, 16 Julai 2009
Manek Urai - tamparan buat PAS
Melangkah ke arah 'pesta' PRK Manek Urai, persediaan PAS dan peragaan diri mereka sebagai parti pilihan untuk memenangi PRK ini, telah dimulakan dengan langkah sumbang. Kenyataan seperti pengundi Manek Urai tidak memerlukan calon yang berpelajaran tinggi nyata adalah satu kenyataan yang bod dan tidak sensitif. Tindakan merendahkan ekspitasi pengundi pastinya telah menjejaskan trend pengundian terutam golongan muda yang rata-rata ke sekolah (sekurang-kurangnya SPM). Langkah sumbang yang pertama.
Seterusnya menuju proses pemilihan calon dan penamaan, PAS menampilkan seorang anak tempatan berserban dan berkerjaya sebagai pemborong ikan manakala calon BN pula merupakan seorang professional. Dibayangi isu pergeseran dalam PAS, pihak Umno bermati-matian menggunakan isu ini untuk menyerang PAS dalam kempen mereka. Tuan Guru Nik Aziz juga bermati-matian memulangkan semula bom-bom hidup yang dilontarkan Umno.
Namun mujur Nasharudin hadir setelah sihat dari satu pembedahan, memberikan sokongan kepada kempen PAS di Manek Urai. Isu royalti menjadi bahan jajaan PAS manakala 'ugutan' jambatan menjadi janji Umno untuk pengundi Manek Urai. Hasil dari pengundiaan ini menunjukkan, kedua-dua agenda yang dibawa parti bertanding, berada di minda setiap pengundi. Dengan keputusan 65 undi yang membezakan kedua-dua parti, pimpinan PAS pantas melatah menyatakan amalan politik wang merupakan penyebab utama kepada penurunan majoriti PAS dalam PRK ini. Tidak kurang dengan itu, pengundi muda juga disalahkan kerana terpengaruh dengan janji dan sogokan Umno.
Saya tidak terkejut jika kenyataan ini hadir dari pimpinan Umno kerana ini sememangnya budaya mereka selama ini yang mengugut dan menghukum pengundi, namun amatlah aya dukacita apabila ianya hadir dari pimpinan PAS sendiri. Janganlah terikut dengan budaya politik Umno yang menyalahkn pengundi. Cermin diri kita dulu sebelum menghukum mahupun mengecam pengundi. Apakah kita benar-benar layak untuk diberi kuasa? Kerana sepanjang tempoh setahun lebih yng lepas, kita lebih banyak bertelagah menentukan siapa lebih berpengaruh dan siapa lebih berkuasa. PAS ingin teraju, ditambah lagi dengan idea perpaduan, bibit perpecahan di kalanhan pimpinan ini yang sebenarnya merugikan rakyat kerna rakyat bermatian tetapi pemimpin senang-lenang 'mengkhianati' amanah yang diberi.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Selasa, 7 Julai 2009
Sembah Ampun...
Jumaat, 12 Jun 2009
Kekalutan
Setiausaha PAS yang baru, Datuk Mustafa Ali, juga tidak semena-mena meminta supaya isu kerajaan perpaduan ini tidak dibincangkan lagi. Melihat kepada ulasan terbaru pemimpin PAS ini dan juga beberapa usul (SIS dan kuota 30% Bumiputera) ahli PAS pada muktamar lepas telah membuktikan bahawa pemikiran majoriti ahli PAS masih lagi seperti ahli Umno yang telah mereka 'neraka'-kan sebelum ini. Di saat ini, dengan pimpinan terbaru nyata yang beza antara Umno dan PAS adalah apa yang dipakai di kepala sahaja - kopiah dan songkok.
Perlantikan Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan juga menunjukkan betapa lemah dan tidak berkualitinya pimpinan PAS yang terbaru ini. Saya yang hampir tiga tahun mengikuti siri khutbah Jumaat Idris Ahmad, tidaklah dapat saya tuai walau sedikit karisma dan kredibiliti dari Ketua Penerangan ini. Maka saya tidak nampak apakah kualiti yang ada pada Idris Ahmad sehingga dilantik menjadi Ketua Penerangan. Atau mungkin perlantikan ini adalah untuk mendiamkan suara-suara sumbang dalam parti yanh menghentam pimpinan.
Perlantikan Datuk Mustafa Ali membuktikan lagi bahawa ada usaha tersusun untuk menyisihkan mereka yang memiliki pendirian yang pro-Pakatan Rakyat. Sehingga timbuk desas-desus bahawa pada pemilihan lepas telah berlaku 'kecurangan' dalan proses pengiraan undi. Mengukuhkan lagi teori konspirasi ke atas beberapa pimpinan PAS yang pro-Pakatan Rakyat.
Jika beginilah rupa bentuk PAS baru yang mengimpikan peranan lebih besar dalam Pakatan Rakyat, saya khuatir rakyat terutama yang bukan Melayu akan kembali mengundi Barisan Nasional kerana gabungan alternatif yang terhidang di hadapan mereka masih dalam kekalutan berantakkan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Rabu, 10 Jun 2009
PAS - Dilema antara Ketuanan Rakyat atau Ketuanan Melayu
Dalam arena politik, ianya tidak jauh berbeza dari seni peperangan. Strategi dan pelaksanaan taktik amat penting dalam memastikan kemenangan dan kejayaan. Namun jika strategi sehebat manapun, tetapi musuh tidak dikenali, tiadalah berguna segala persiapan, pengorbanan dan perjuangan. Musuh itu tidak semestinya yang berada di garisan musuh, tetapi boleh juga jadi musuh di dalam selimut yang bisa terdiri daripada 'jeneral' angkatan itu sendiri. Dan kebiasaannya yang cepat melatah menuduh kumpulan lain sebagai pengkhianat dan penjahat adalah sebenarnya pengkhianat dan penjahat itu. Musuh yang nyata janganlah dilepas pandang. Dalam konteks sekarang, pimpinan PAS perlu kembali memperjelas fokus mereka bahawa siapa musuh sebenar mereka dalam 'peperangan' ini. Apakah mereka yang bukan beragama Islam tetapi berminat untuk mengenali Islam atau mereka yang akidahnya Islam tetapi menggunakan segala kuasa autoriti untuk menyekat kebebasan kehidupan beragama (baca:Umno)?
Bila isu kerajaan perpaduan ini timbul, ironinya yang mencadangkan gagasan ini adalah dari pimpinan PAS sendiri, parti yang memiliki jumlah ahli Parlimen yang lebih rendah berbanding Umno. Maka apa faedahnya Umno ingin berpadu dengan PAS. Faedah yang saya boleh nampak untuk Umno hanyalah, dalam jangka masa menjelang PRU13, gabungan Pakatan Rakyat dapat digagalkan dan dimusnahkan. Caranya adalah ini. Melaga-lagakan pimpinan dan tawaran kuasa menggunakan agenda perpaduan nyata telah berjaya 'mempersonakan' dua tiga orang pimpinan PAS.
Dalam keadaan fitnah seperti ini, saya cukup tertarik pada kisah Perang Siffin yang dibawa oleh Yang DiPertua Shah Alam, YB Khalid Samad, dimana tentera Muawiyah yang dipimpin oleh Panglima Amr ibn Al-aas telah tanpa sedikit rasa hormat menggunakan helaian Al-Quran di hujung tombak untuk memperdaya tentera Saidina Ali as. Maka perpaduan apa dan penyatuan apa yang sibuk dibicarakan oleh mereka yang bergelar ulama PAS ini. Musuh itu di depan mata tidak pernah pun menghulur salam perpaduan. Mereka (baca:Umno) yang selama ini menzalimi dan menindas, tidakkah pelik PAS yang selama ini ditindas dan dizalimi, PAS pula yang menghulurkan apa yang dipanggil ranting zaitun. Dan saya mula tertanya, apakah dua pimpinan tertinggi PAS ini pernah ditangkap dan ditahan oleh organ kerajaan? Apakah sumbangan besar mereka kepada perjuangan Reformasi Malaysia?
Namun tidaklah dapat saya persalahkan mereka berdua sahaja kerana yang meletakkan mereka di puncak kuasa parti adalah ahli-ahli PAS sendiri. Seluruh ahli yang bertanggungjawab terhadap maju jatuhnya Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti. Pada pandangan saya, PAS tidak lagi menunjukkan keikhlasan mereka apabila bergerak dalam ruang lingkup demokrasi. Mereka masih tidak demokratik dan tidak mengiktiraf erti kebebasan yang telah dijamin oleh Islam dan Perlembagaan Malaysia. Pendek kata andai PAS memerintah, PAS bakal hanya menyalin kulit yang ditinggalkan Umno kelak.
Ahli PAS perlu sedar, PAS tidak mungkin sampai ke tahap sekarang sekiranya tiada Reformasi tahun 98. Reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Bukanlah saya meminta kita semua taksub kepada beliau, tetapi sebagai aktivis pembangkang, sedarlah, tanpa kegigihan dan kecekalan Anwar Ibrahim, Almarhum Fadhil Noor beserta keizinan Allah, PAS dan Pakatan Rakyat tidal mungkin dapat menonjolkan diri mereka seperti hari ini.
Ayuh seluruh aktivis Pakatan Rakyat! Tidak kira dari PAS, PKR, DAP mahupun tidak berparti, sahutlah keluhan dan keresahan rakyat Malaysia yang megimpikan sebuah kerajaan yang lebih baik dan memerdekakan rakyat. Perteguhkan barisan, kuatkan tekad, kerana semakin kita menghampiri kemenangan, semakin kuat cabarannya. Semakin kuat dugaannya. Teruskan perjuangan kerna rakyat mengharapkan kita. Selamat Berjuang!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Isnin, 8 Jun 2009
Khamis, 4 Jun 2009
Roboh... Roboh..
Isnin, 1 Jun 2009
Mari Masuk.. Banyak Kosong Lagi....
Khamis, 28 Mei 2009
BeriHitam Ribut... Milikku jua...
Isnin, 25 Mei 2009
Bubar DUN Perak....
Khamis, 21 Mei 2009
Penanti - Jangan menanti...
Selasa, 19 Mei 2009
Parti Makkal Sakhti Malaysia (MMSP)
Tidaklah dapat saya baca ke mana hala tuju parti ini dalam arena politik Malaysia. Di saat Barisan Nasional dengan slogan 'Satu Malaysia' dan Pakatan Rakyat dengan slogan 'Ketuanan Rakyat', saya tidak faham apa perlu MMSP hadir sebagai sebuah parti berasaskan kaum. Di saat identiti bangsa Malaysia begitu hangat bergolak, kehadiran MMSP nyata tidak hadir sebagai pemangkin mahupun perencat kepada proses ini. Saya tidak nampak apa fungsi MMSP dalam senario politik semasa. Mahukah Barisan Nasional bekerjasama dengan MMSP? Apakah Pakatan Rakyat mahu menerima kehadiran sebuah parti berasaskan kaum dalam gabungan mereka? Apakah ini bermakna sokongan kaum India selama ini kepada PKR akan beralih arah? Atau adakah MMSP akan hanya menjadi sebuah parti politik yang hangat-hangat tahi ayam?
Rabu, 29 April 2009
Pas dan Umno...
Tenggelam.. Timbul.. Tenggelam.. Timbul
Bukanlah saya bercerita mengenai buah kelapa yang hanyut di pantai ataupun kapal layar yang hampir karam di'belasah' taufan. Apa yang tenggelam dan apa yang timbul adalah isu berkenaan isu 'penyatupaduan' Pas dan Barisan Nasional. Mula timbul beberapa bulan selepas tsunami 8 Mac, isu ini ternyata belum surut dan sejuk. Perjanjian-perjanjian sulit dan bermacam lagi kelihatannya menjadi permainan di antara politikus Pas dan Barisan Nasional (baca: Umno).
Ternyata dua pendekatan berbeza - pro-penyatuan Pas-Umno menentang pro-Pakatan Rakyat - kelihatannya masih tidak selesai. Pro-penyatuan, kelihatannya dipelopori Presidennya dan Timbalan mewakili kumpulan ortodoks dan konservatif Pas, menghadapi tentangan sengit dari pro-Pakatan Rakyat yang dipelopori oleh Naib Presidennya, Husam Musa dan didokong oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mewakili kumpulan profesional di dalam Pas.
Saya selaku pemerhati luar dari Pas, yang pernah yakin bahawa perjuangan Pas akan membawa diri penyokongnya ke 'syurga', mula sangsi akan pimpinan (baca: pro-penyatuan) yang ada sekarang. Saya tidak dapat melihat apakah yang sebenarnya mereka inginkan dari perjuangan ini. Kuasa? Harta? Pangkat? Kedudukan? Apakah mereka ini, yang menggelar diri mereka ulama, pewaris nabi, sebenarnya tidak ubah seperti manusia lain yang tamak pada harta dan kuasa. Tidak salah ulama mengimpikan kuasa, namun bukan begini caranya - penyatuan dengan 'anjing yang tersepit'. Perjuangan yang selama ini berlandaskan prinsip keadilan dan kesaksamaan, yang menuntut istiqamah yang tinggi, wajar diteruskan. Jangan dek kerana terlampau cepat menginginkan kuasa, segala maruah dan kesetiaan sanggup digadaikan. Jangan terlampau gopoh. Tuan Guru Presiden harus ingat kesilapan beliau yang lampau apabila gagal merampas kembali Terengganu dari Barisan Nasional pada 8 Mac, kerana tindak-tanduk beliau dan pimpinan beliau yang tidak diterima rakyat Terengganu. Sedarlah.
Dengan kehadiran Muktamar Pas Jun ini, wajar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dicabar. Logiknya - pertembungan dua kelompok ini berlaku sehingga ke pihak teratas dalam Pas - maka elok dipertandingkan dua jawatan tertinggi parti ini. Melalui pertandingan, akar umbi Pas akan dapat membuat keputusan samada untuk terus pro-penyatuan atau pro-Pakatan Rakyat. Anggapkan ia satu pertandingan kalah mati. Perwakilan harus bijak untuk memilih dan memastikan siapa yang harus dikuburkan dan siapa wajib dinaikkan.
Gandingan yang saya rasakan wajar menjadi pertimbangan adalah Datuk Kamaruddin Jaafar - Datuk Husam Musa bertanding melawan Tuan Guru Hadi Awang - Ustaz Nasaruddin Md Isa. Walau ada pendapat mengatakan Tuan Guru Nik Aziz wajar dilantik menjadi Presiden, saya rasakan kredibiliti Tuan Guru Nik Aziz lebih dari sekadar menjadi seorang Presiden. Beliau wajar meneruskan tanggungjawab memegang jawatan Mursyidul Am Pas. Naib Presiden Pas pula wajar menyaksikan pertandingan diantara, Mat Sabu, Dr. Syed Azman, Ustaz Taib Azamuddin, Khalid Samad, Hassan Ali, Mustafa Ali, Hatta Ramli dan Salahuddin Ayub. Pilihan calon yang saya rasa menampilkan gabungan antara calon pro-penyatuan dan pro-Pakatan Rakyat.
Saya mengharapkan perwakilan Pas akan menimbang sebaik-baiknya dalam muktamar akan datang ini dalam memastikan hala tuju Pas dalam arena politik Malaysia. Mereka bisa saja ber'kuasa' dengan bersatu di bawah komponen Barisan Nasional dimana Pas bakal menjadi tak ubah seperti Gerakan yang ada sekarang, atau mereka boleh terus bersama Pakatan Rakyat dan menggembeleng usaha untuk menjadi alternatif yang terbaik untuk rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Saya doakan agar Allah memberikan petunjuk sebenar-benarnya kepada para perwakilan dan pimpinan Pas kerana sinar harapan yang saya taruhkan selama ini kepada Pas sejak mula mengenali parti ini (15 tahun lepas) kelihatannya semakin - kelam dan malap.