Syawal menjelma lagi. Kali ini aku menyambut Syawal buat pertama kali sebagai seorang yang bekerjaya. Mula terasa akan 'kepayahan' berbelanja untuk Eid Fitri. Wang upah yang aku terima telah ku belanjakan bagi mendapatkan pakaian baru, biskut raya, menanggung kos perjalanan dan juga berbelanja untuk duit raya - namun ini hanyalah perbelanjaanku sebagai seorang yang bergelar bujang. Keperitan ini sedikit sebanyak bisa membuat jantung ku berdegup kerisauan.
Syawal ini membuatkan aku terbayang akan kesusahan dan kepayahan sesetengah dari warga masyarakatku yang mengharungi keperitan yang aku sebutkan tadi. Pakaian anak - anak, juadah raya, keperluan raya yang lain semestinya menuntut komitmen wang ringgit yang tinggi. Namun aku yakin ramai teman-teman di luar sana masih berhemah berbelanja dan sentiasa berpegang kepada peribahasa - mengukur baju di badan sendiri.
Tetapi yang mengecewakan adalah apabila kerajaan mengumumkan akan kesediaan kerajaan menubuhkan satu pasukan Formula 1 Satu Malaysia, kononnya bagi mempromosikan jenama permotoran negara. Alasan yang sama sentiasa diberi - untuk menjana ekonomi negara dan mempromosikan negara. Namun di saat dan suasana yang serba runcing ini, kerajaan tidak harus menjerumuskan diri mereka dalam segala bentuk perbelanjaan mega yang bakal hanya menguntungkan dua tiga kerat kroni-kroni dan kaum kerabat pemerintah.
Dengan kehadiran Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang tidak lama lagi, tidak dapat saya gambarkan berapa banyak pula wang rakyat bakal ditabur bagi memancing undi untuk mengekalkan kerusi Dun ini. Beras, kain pelikat dan sampul duit raya akan diedar kepada orang kampung. Ketua -ketua Cawangan dan Bahagian juga bakal tebal poket mereka dengan 'gula-gula' Pilihan Raya.
Kemanakah hala tuju ekonomi negara ini tidak dapat saya pastikan? Dengan agenda liberalisasi ekonomi dan 1 Malaysia, beserta dengan pakej ransangan ekonomi yang lepas masih tidak menampakkan hasil, apakah Malaysia bakal mencapai Wawasan 2020 masih menjadi tanda tanya. Ternyata dengan kepimpinan sedia ada dan corak ekonomi yang diamalkan saya tidak percaya bahawa kita mampu untuk menjadi sebuah negara maju yang kita impikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan