Orang Melayu adalah mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan sebahagian kepulauan Sumatra, di pesisiran Borneo dan kepulauan kecil lain. Ahli antropologi telah berjaya menjejak leluhur orang Melayu yang berasal dari masyarakat yang berada di barat utara Yunnan di China. Mereka ini dikenali sebagai Melayu-Proto atau lebih dikenali sebagai Jakun adalah terdiri dari orang laut. Pengembara Portugis, Godinho de Eredia menggambarkan orang Melayu sebagai
Saletes atau Orang Selat.
Asal-usul nama Melayu itu terdiri dari beberapa teori. Antaranya mengatakan bahawa nama Melayu itu berasal dari nama sebuah sungai dalam kerajaan Jambi yang berpusat di kaki gunung Batang Hari. Teori yang lebih popular di kalangan orang Jawa Indonesia adalah teori peristiwa pelarian Parameswara ke semenanjung Tanah Melayu. Teori ini disokong oleh sejarawan Portugis, Tome Pires kerana perkataan 'melayu' itu bermaksud lari di dalam bahasa Jawa.
Orang Melayu secara dasarnya yang ada pada hari ini adalah orang Melayu yang terdiri dari leluhur yang berbagai-bagai. Dari pengaruh India, China, Jawa, Arab dan juga Siam, masyarakat Melayu hari ini wujud. Di Malaysia, orang Melayu menurut perlembagaan ditafsirkan sebagai seorang warganegara yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu. Orang Melayu di Malaysia merangkumi hanya 48.7% daripada jumlah penduduk Malaysia hari ini.
Dalam tempoh 50 hari lebih selepas keputusan Pilihan Raya ke-12 diumumkan, isu hak istimewa orang Melayu, perpaduan orang Melayu dan kedaulatan Raja Melayu terus berkumandang di corong-corong media perdana mahupun alternatif di negara ini. Mengapa ianya terjadi? Beberapa teori yang akan saya kemukakan demi untuk tatapan pembaca Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya;
1.
Kurangnya sokongan terhadap UMNO - Parti yang ditubuhkan hasil permuafakatan semua kesatuan-kesatuan Melayu pada lebih 60 tahun lepas ini, selama ini telah dipandang sebagai parti teras kepada orang Melayu. Pemikiran ini terjadi secara tak langsung adalah hasil muslihat British yang ingin memastikan kepentingan mereka dan dasar mereka 'pecah dan perintah' terjamin di Tanah Melayu pada waktu ketika itu. Bangsawan-bangsawan di dalam UMNO bisa 'dipujuk' untuk bertolak-ansur dengan British pada ketika itu. Padahal ketika itu terdapat PKMM - sebuah parti haluan kiri orang Melayu (digelar haluan kiri kerana tidak sebulu dengan British) dan beberapa angkatan Melayu lain contohnya API, AWAS dan lain-lain, telah mendapat sokongan orang Melayu bawahan dan juga telah didokong oleh AMCJA (pakatan persatuan-persatuan kaum lain).
Mereka telah mewujudkan pakatan Putera-AMCJA dan mengemukakan Perlembagaan Rakyat kepada British. Perlembagaan yang menjurus ke arah kemerdekaan dan hak rakyat Malaya yang bebas ini telah menyebabkan British menolak cadangan Putera-AMCJA dan tidak lama selepas itu mewujudkan undang-undang Darurat kononnya untuk menentang komunis tetapi persatuan yang pertama-tama diharamkan adalah persatuan-persatuan yang bergabung di dalam Putera antaranya PKMM, API, AWAS dan banyak lagi. Seterusnya mereka yang bergabung di dalam AMCJA dan propaganda mengatakan mereka ini komunis telah disebarkan oleh British. Seramai 29,857 orang telah ditahan British tanpa bicara dan 10,000 daripadanya adalah orang Melayu. Dari peristiwa ini, UMNO telah berjaya diangkat sebagai jaguhan orang Melayu. Mereka telah memacu kebangkitan orang Melayu dan orang Melayu yang tiada pilihan (kerana naif di dalam isu politik dan kurang berpendidikan pada ketika itu) telah menyerahkan segala jiwa dan raga mereka kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa. Apabila Perikatan berjaya mencapaikan kemerdekaan untuk Malaya, populariti UMNO pun terus naik sebagai satu-satunya pejuang bangsa Melayu. Dasar PAS sebagai sebuah parti Islam menyebabkan parti itu tidak dipandang sebagai tunjang kepada orang Melayu. Tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan orang Melayu bertambah kuat bersama UMNO kerana rusuhan kaum ini terjadi apabila Perikatan tewas dalam pilihan raya di Kuala Lumpur. Populariti UMNO kembali naik dan selepas pembentukan Barisan Nasional, PAS secara licik telah di'tekan' dan menyebabkan parti itu langsung tidak dipandang sebagai pembela bangsa Melayu. Berbalik kepada isu kini, mereka-mereka yang menjuarai isu perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu ini adalah mereka yang lahir pada zaman atau waktu yang saya sebutkan di atas. Mereka ini secara ideologi politiknya telah diterapkan bahawa hanya UMNO yang selayaknya memperjuangkan nasib orang Melayu dan kewujudan PAS dan PKR dipandang sebagai perpecahan kepada orang Melayu. Oleh kerana usia yang semakin tua, maka ramai dari golongan di zaman 'kegemilangan' UMNO ini telah kembali menemui Allah. Secara tidak langsung undi-undi yang selama ini berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional semakin lama semakin berkurangan.
2-
Pengundi muda Melayu, Cina dan India tidak mengundi UMNO dan Barisan Nasional - Fenomena ini terjadi kerana kebanyakkan mereka yang datang mengundi buat kali pertama adalah mereka yang lahir atau mula sedar mengenai politik di saat zaman 'kegelapan' UMNO dan Barisan Nasional. Di saat mereka ini terdedah kepada arus media alternatif terutamanya internet dan rakan-rakan, banyak kepincangan dan salah laku UMNO dan Barisan Nasional didedahkan. Tahap pendidikan yang semakin tinggi, kesedaran akan hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dan konsep kerajaan yang bersih dan adil kepada rakyat juga mempengaruhi ideologi pemikiran anak muda dalam memilih parti mana yang mereka ingin sokong dan akhirnya melihatkan banyak undi anak muda Malaysia berpihak kepada parti-parti Pakatan Rakyat.
3-
Orang Melayu mula mengundi DAP - Parti pelbagai kaum, namun mempunyai majoriti ahli dari kaum Cina ini terkenal dengan propaganda 'Malaysian Malaysia'. Propaganda mereka ini ditafsirkan sebagai mengugat hak keistimewaan orang Melayu dan berjuang untuk hak dan peluang yang sama rata untuk semua kaum di Malaysia. Pada Pilihan Raya ke-12 yang lepas, orang Melayu, banyaknya di kawasan bandar atau mempunyai majoriti penduduk bukan Melayu telah bertindak memilih calon DAP pada pilihan raya itu. Fenomena ini dilihat sebagai satu 'ancaman' kepada orang Melayu. Oleh itu, para 'pejuang bangsa' (walau pada hakikatnya kita sendiri tidak tahu apa yang mereka perjuangkan) bertungkus-lumus memerah keringat dan otak bagaimana untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Inilah diantara pandangan saya dalam isu Melayu yang sedang hangat dicanang sekarang ini. Namun dalam kita sibuk membahaskan isu ini, mungkin adalah lebih elok jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih ilmiah dan berhati-hati agar tidak menguris hati dan perasaan saudara-saudara kita dari kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Buat 'pejuang-pejuang' bangsa saya yang telah dihujung usia ini, saya sarankan agar mereka berhenti dari terus mengemukakan idea-idea atau mewujudkan resolusi-resolusi yang tidak lebih dari sekadar omong kosong sahaja di kemudian hari (melainkan pemimpin-pemimpin Melayu di dalam UMNO sanggup untuk mengubah pemikiran dan sanggup berlaku adil kepada orang Melayu dari PAS, PKR dan DAP). Generasi muda hari ini bukan lagi hanya berfikir untuk orang Melayu tetapi untuk semua bangsa Malaysia, berfikir untuk rakyat yang miskin dan dinafikan hak mereka tanpa mengira bangsa atau agama. Kerajaan yang bersih, adil dan menjadi 'hamba' kepada rakyat adalah kerajaan yang menjadi tuntutan kami golongan muda anak bangsa Malaysia.