Tanggal 22 Mac hingga 25 Mac lepas, saya dan rakan-rakan seramai lapan orang kesemuanya telah bercuti 'jalan-jalan Malaysia ke Pulau Kapas, Terengganu. Ahli kembara ekspedisi ini terdiri daripada saya, Pobear, Azim, Izzad, Nous, Faiz Zul, Iki dan Amir.
Kami memulakan perjalanan pada jam 10.30mlm dari Greentown, Gombak dengan menggunakan bas ekspress Sendi Mutiara dengan harga tiket RM30 untuk satu perjalanan. Perjalanan bermula dengan lancar walaupun tempat duduk agak sempit. Kami tiba di Cherating pada jam 1.30 pagi dan berhenti rehat. Selepas satu jam, perjalanan diteruskan. Namun dalam 'separuh masa' kedua perjalanan, pengalamannya agak mengerikan. Pemandu bas yang memandu lebih dari had laju dan juga memandu secara merbahaya 'menganggu' tidur saya dan penumpang-penumpang yang lain.
Alhamdulillah jam 4 pagi kami tiba di Marang, Terengganu. Sementara menunggu siang, kami mengambil keputusan untuk berehat di Masjid Sultanah Nur Zahirah dan menunaikan solat Subuh di masjid yang indah ini. Selesai sarapan, kami menunggu lagi untuk bot di jeti Marang. Jam 9.30 pagi, kami menaiki bot dan bergerak menuju ke arah Pulau Kapas. Perjalanan dengan bot ke Pulau Kapas hanya mengambil masa 30 minit.
Tiba di jeti Kapas Island Resort, kami disambut dengan air laut yang jernih, pasir yang memutih seperti kapas dan sinaran matahari yang menyegarkan. Walaupun saya pernah hadir ke pulau ini ketika masih kecil dulu, seingat memori saya keindahannya masih terpelihara dan sedikit pun tidak tercalar. Mungkin kerana pulau ini kurang terkenal, menyebabkan ianya kurang dikunjungi orang. Namun untuk mereka yang pernah kesini sahaja tahu akan keistimewaan pulau ini. Tidak terlalu ramai orang dan tiada deruman jet ski menyebabkan pulau ini sungguh aman dan damai. Pulau ini saya syorkan buat warga kota atau pasangan bulan madu yang ingin mencari ketenangan dan privasi sebagai salah satu pilihan destinasi percutian.
Pakej yang telah kami pilih dengan bayaran RM250 kepada resort memudahkan percutian kami disini. Jumlah bayaran itu merangkumi sewa chalet (untuk dua malam), dua aktiviti 'extreme', makanan (3 kali sehari) dan sewa bot dari jeti ke pulau.
Selesai daftar masuk ke chalet yang cukup dengan kelengkapan dan berhawa dingin, tanpa membuang masa kami semua telah bersiap dengan pakaian renang masing-masing. Kami berjalan di pantai pada saat sang suria tegak di atas kepala. Mandi-manda dan me'legam'kan diri menjadi aktiviti pertama kami. Sedang kami berendam dalam air Laut China Selatan ini, Azim dan Nous malangnya telah disengat obor-obor hingga habis merah-merah belakang badan mereka. Selesai makan tengah hari di resort, kami mengambil keputusan untuk berehat di chalet bagi persediaan untuk 'aktiviti malam' yang telah dirancangkan.
Jam 5 petang kami berkumpul di jeti untuk 'aktiviti malam' kami. 'Pengangkutan' yang dinantikan tiba dengan nakhodanya, Pak Umar. Kami di bawa ke sebuah lubuk di tengah Laut China Selatan untuk memikat sotong-sotong yang memang banyak di situ dan terkenal dengan tabiinya yang mencari makan di waktu malam.
Selepas sedikit-sebanyak taklimat dari Pak Umar, kami terus 'dilepaskan' untuk memikat sotong-sotong yang banyak di situ. Faiz Zul adalah hero pada malam itu bila tak sampai 1 minit, seekor sotong berjaya ditumpaskan. Selain faktor air laut yang sedikit bergelora, hayunan bot mengikut arus ombak telah 'menumbangkan' beberapa rakan (yang tak perlu disebut siapa) dan aku juga hampir tewas (jujur 3 kali saya muntah - tapi tetap teruskan aktiviti).
Jam 9 malam kami pulang ke jeti semula. Kesudahannya, 29 ekor sotong berjaya ditumpaskan dan Faiz Zul paling handal dengan 8 ekor sotong berjaya dinaikkan (saya dapat 2 ekor sahaja).
Isnin, 24 Mac - hari kedua di Pulau Kapas, selesai Subuh, saya berjalan disekitar pantai menyaksikan matahari terbit dan selesai sarapan, kami bermandi-manda di laut dan melepak di pantai. Jam 10 pagi, kami berkumpul lagi di jeti untuk aktiviti kedua kami yang telah dirancang - snorkelling. Aktiviti ini kami jalankan di sebuah taman laut Pulau Gemia. Pulau peribadi kepunyaan arkitek terkenal tanahair, Raja Bahrin ini dikelilingi oleh taman laut. Melihat akan keindahan batu karang dan fauna marin yang masih tidak terusik amatlah menakjubkan.
Tengahari kami pulang ke resort untuk makan tengahari dan berehat selepas Zuhur. Petangnya aktiviti riadah lebih kepada di pantai dan mengumpul cengkerang dan serpihan-serpihan batu karang yang menarik. Sebelah malamnya adalah saat menjamu hasil tangkapan kami di Warung Pak Ya. Sotong-sotong itu digoreng tepung dan kami menikmati hasi tangkapan ini walaupun ianya agak liat. Setelah perut kenyang, kami semuanya beradu untuk mengumpul semula tenaga untuk perjalanan esoknya.
Hari terakhir di Pulau Kapas, selesai sarapan, jam 9.30 pagi kami daftar keluar dari Kapas Island Resort. Jam 10.30 pagi kami tiba di Jeti Marang dan dengan menggunakan bas awam, kami teruskan ekspedisi kami ke Kuala Terengganu. Tiba di stesen bas Kuala Terengganu, kami membeli tiket untuk pulang ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada malamnya. Beg-beg disimpan di stesen bas, kami mengorak langkah untuk menjejaki Bas Bandar untuk membawa kami ke Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal yang terletak di Pulau Wan Man. Dengan caj RM1, kami tiba di perkarangan Masjid Kristal pada jam 12.30 tengahari.
Walaupun masjid ini telah dirasmikan, namun sebenarnya masih banyak lagi infrastruktur yang belum disiapkan termasuk lah jalan utama ke arah masjid. Kami juga melawat Taman Tamadun Islam yang berjiran dengan Masjid Kristal. Walaupun ianya telah dibuka kepada orang ramai, namun masih banyak bahagian taman ini yang belum siap. Taman ini dipenuhi dengan miniatur-miniatur masjid dari seluruh dunia. Agak kecewa kerana sudah bulan ketiga dalam tahun 2008 yang juga Tahun Melawat Terengganu, projek perlancongan negeri masih gagal disiapkan. Senario ini membuatkan saya berfikir adakah kerajaan negeri benar-benar serius dalam menganjurkan Tahun Melawat Terengganu.
Selesai solat Zuhur di Masjid Kristal (walaupun tiada jemaah tetap), kami terpaksa menumpang van Mrsm Kota Putra untuk keluar dari kawasan Pulau Wan Man. Tiba di hadapan Muzium Negeri, Bas Bandar yang kami naiki sebelumnya tiba. Kami membatalkan hasrat kami untuk ke Muzium Negeri kerana pemandu tidak mahu kembali ke kawasan itu untuk mengambil kami.
Kami kembali ke pusat bandar Kuala Terengganu dan meneruskan perjalanan ke Pasar Payang. Pelbagai jenis keropok lekor dan makanan tempatan dijual dan yang paling menyedihkan telur penyu terus dijual walaupun diharamkan oleh kerajaan. Di hadapan Pasar Payang, sebuah Bazar Warisan telah dibina namun kelihatan kosong tanpa peniaga - tak lebih dari satu lagi projek 'gajah putih' kerajaan BN Terengganu.
Setelah letih berjalan, kami mengambil keputusan untuk berehat di dataran Bandar Warisan Pesisir Air. Masuk waktu solat Asar, kami mengambil keputusan untuk menghabiskan masa kami di Masjid Negeri Sultan Zainal Abidin. Iktikaf dan membersihkan diri menjadi aktiviti kami di situ sementara menanti untuk waktu Maghrib. Setelah solat Maghrib berjemaah, tanpa disangka kami dapat bertemu dengan Dr. Syed Azman, yang merupakan adun Batu Buruk dari Pas. Setelah bertegur sapa seketika dan bergambar kenangan, kami kembali ke stesen bas untuk makan malam dan menaiki bas.
Jam 10 malam, bas Sani Ekspress yang menjadi pilihan kami untuk perjalanan pulang pun tiba. Jam 10.30 malam kami meninggalkan Kuala Terengganu dan menuju pulang. Kami tiba di Hentian Putra pada jam 4.45 pagi dan semua di antara kami turun di hentian ini kecuali saya yang meneruskan perjalanan untuk pulang ke Shah Alam.
Demikianlah sedikit sebanyak log perjalanan kami ke Pulau Kapas pada 22 hingga 25 Mac lepas. Insyallah ekspedisi seterusnya yang dirancang adalah untuk ke Taman Negara Endau Rompin pula.
4 ulasan:
Afif and the gang,
Takkan korang tak skodeng awek omputeh yang bertenggek kat tepi pantai kat Pulau Kapas... biar betul..? oo.. gambar pergi kat Masjid letak.. gambar gi skodeng tak letak... haha... !!
Woit... gambar last tuh korang bergambar dengan Idris Jusoh ker??
Dr Azwan,
Hehe.. bukan tak nak skodeng.. tapi semuanya omputeh warga emas..hehe.. tapi yang syok waktu kami disana ialah kerana kurangnya pengunjung di sana menjadikan pulau itu tidak sesak.. seronok.. gmbr akhir tu adalah bersama Dr Syed Azman, Adun Batu Buruk dan juga AJK Pas Pusat merangkap pengerusi lajnah Hubungan Diplomatik dan Antarabangsa...
r_feev .... gile trendy name... wahahahhaha.. anyway, yg izzad tu bukan ke izzad kelas aku form 5? lain plak rope die ek... berisi sket dah..ok la kalo btol die kim salam bg pihak aku ok......
Catat Ulasan