Selasa, 29 April 2008

Anwar "kembali" ke Parlimen

Setelah 10 tahun, kembali jua pemidato, pejuang dan pembela terulung negara ini ke Parlimen walau hanya sebagai pasangan kepada Ketua Pembangkang yang baru iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sesungguhnya saya mengenali tokoh ini dari sejak umur 12 tahun lagi. Mula kenalnya saya pada tokoh ini bukanlah pada jasanya pada rakyat. Bukan juga kerana jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Kenalnya saya akan tokoh ini adalah pada perkataan yang diungkapkannya - anjakan paradigma. Kebetulan saya ketika itu terlibat dalam kumpulan debat di sekolah rendah, maka frasa ini telah diperkenalkan kepada saya oleh guru debat dan yang saya ingat perkataan ini diungkapkan oleh tokoh ini ketika membentangkan belanjawan pada tahun 1997. Anjakan paradigma secara kasarnya bermaksud berubah ke arah satu tahap yang baru dan lebih baik. Disitulah saya mula mengenali tokoh ini.

Setahun selepas itu, tika tahun Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sukan Komanwel 1998, sekali lagi saya mengenali tokoh ini. Semuanya berlaku sejurus selepas beliau dipecat dan diaibkan oleh Tun Dr Mahathir. Saya yang dikenalkan dengan beliau melalui frasa anjakan paradigma, kali ini ditemukan sekali lagi dengan tokoh ini melalui perkataan - Reformasi.

Dalam kekalutan rakyat ketika itu dengan isu pemecatan beliau, tanpa saya sedari naluri saya dengan sendiri mengatakan beliau tidak mungkin bersalah atas semua tuduhan yang dilemparkan. Di saat umur saya yang sibuk bertarung dengan banyak lagi isu remaja lain, saya terus mengikuti perkembangan politik negara ketika itu dengan rapat. Semua demonstrasi dan tangkapan ISA yang dilakukan saya rekodkan dalam jurnal dan risalah-risalah reformasi saya kumpul (yang entah kemana menghilang). Perbicaraan beliau saya ikuti dan disaat saya yang masih mentah itu pun saya sudah dapat membezakan antara yang benar dan konspirasi jahat.

Apabila tokoh ini dipenjarakan, semangat saya juga ibarat 'terpenjara'. Walaupun masih mengikuti perkembangan beliau, namun di saat saya bersekolah di luar Kuala Lumpur - semangat itu terkubur. Tika saat beliau dibebaskan dari penjara pada 2 September 2004, saya sudah memulakan pengajian tahun pertama saya di universiti. Melihat beliau diusung keluar dari kamar mahkamah dengan kerusi roda ketika itu, ibarat melihat satu susuk tubuh yang tidak mampu berbuat apa-apa lagi, namun hati saya ibarat disuntik satu sinar semangat yang baru. Masih ada harapan.

2008 menjadi detik sejarah buat saya. Buat pertama kali bertentang mata dengan beliau. Saat itu adalah ketika beliau mengadakan rapat umum untuk Pilihan Raya ke 12 di ibu negara. 11 tahun masa yang saya ambil untuk bertemu muka dengan tokoh yang saya kagumi ini. Hari ini beliau kembali ke Parlimen setelah 10 tahun disingkirkan. Harapan yang saya lihat pada 2004, semakin terang bersinar dan dengan doa dan tawakkal, harapan ini akan membawa satu Reformasi buat negara Malaysia yang teramatlah saya cintai ini.


2 ulasan:

Najwan Halimi berkata...

Afif,

Aku selalu singgah di sini tapi jarang menitipkan ulasan. Tapi kali ini, selepas membaca coretan kau yg ini, aku kira kita berkongsi semangat dan nostalgia yang sama.

Barangkali cara kita melihat dan mengenali Anwar cukup berbeza. Ada yg mengenalinya sebagai wira, pejuang dan politikus. Aku anggap Anwar lebih dari semua itu.

Melihat Anwar meski pun sekadar dari jauh sudah cukup untuk melonjakkan kegembiraan dalam hati kita barangkali. Dan momen sebegitu mungkin berlaku kala kita mulai berdepan dgn Anwar utk kali pertama.

Kini, Anwar Ibrahim ibarat ada di mana-mana. Namanya kembali bergema. Bukan lagi tabu seperti dulu.

Aku menanti saat itu. Saat mimpi kita jadi realiti bila mana Anwar dinobatkan ke Putrajaya. Aku menanti saat itu.

Najwan Halimi

r_feev berkata...

Saudaraku Najwan,

Memang tokoh yang kita sanjung ini adalah harapan kita untuk melihat satu perubahan drastik akan sistem politik dan sosial di negara kita ini. Aspirasi perjuangan beliau dan pakatan yang dipimpinnya diharap mampu untuk mengembalikan kepercayaan aku dan berjuta lagi rakyat malaysia bahawa masih ada harapan untuk negara kita ini..

Teruskan perjuangan ini.. insyallah kejayaan akan muncul jua kerana perjuangan itu pangkal kejayaan...