Rabu, 23 April 2008

"From Small-Town Boy to World-Class Surgeon" - Inspirasi buat yang mencari


Sempena Hari Buku Sedunia pada hari ini 23 April (seperti yang diiktiraf UNESCO), saya mengambil peluang untuk mengulas mengenai buku yang sedikit sebanyak memberi makna baru dalam usaha saya mengejar cita-cita. Sebuah buku yang telah diterbit sejak September 2007 ini saya kenali hasil membaca ulasan buku ini dalam buletin MMA di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin lepas, yang telah membawa saya kepada membelinya di Borders, Times Square pada hari yang sama juga. Buku biografi yang mengisahkan akan perjalanan hidup Dato' Dr Balasegaram Manickavasagar, salah seorang pakar bedah tempatan terawal di Malaysia.

Buku ini menceritakan dari awal kehidupan beliau yang telah berhijrah bersama keluarganya dari Jaffna, Sri Lanka ke Malaya ketika itu bagi membina penghidupan yang lebih baik. Segala susah payah beliau dalam mendapatkan pendidikan (ketika sebelum Perang Dunia ke-Dua, Pendudukan Jepun dan pasca Perang Dunia ke-Dua) dan pengorbanan yang terpaksa beliau lalui demi bergelar sebagai seorang doktor dan seterusnya menjadi pakar bedah yang diiktiraf dunia, dengan mencipta instrumen baru di dalam pembedahan hati dan beberapa pencapaian lain yang meletakkan Malaysia dalam peta perubatan surgeri dunia.

Pengalaman beliau berkerja melalui saat-saat pembentukan negara Malaysia yang merdeka dan seterusnya menjadi pakar bedah di Hospital Kuala Lumpur. Tragedi 13 Mei, detik hitam dalam sejarah negara sebenarnya telah melahirkan ramai hero yang tidak didendang selama ini. Antaranya Dr Balasegaram sendiri yang telah berjuang habis-habisan bersama pasukannya di Hospital Kuala Lumpur ketika saat negara dalam keadaan kucar-kacir. Tragedi ini juga telah membawa beliau ke satu tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya beliau apabila dari tragedi itu dengan dikumpul segala hasil kerja penyelidikan beliau sebelum itu, beliau telah berjaya menghasilkan satu tesis bertajuk "Modern Concepts in The Surgery of the Liver - With Special Reference to Hepatic Surgery During Large-Scale Civil Disturbances" yang akhirnya melayakkan beliau menerima Jacksonian Prize daripada Royal College of Surgeons England (satu penghargaan tertinggi dalam dunia pembedahan). Beliau adalah orang Asia pertama untuk menerima penghargaan ini. Dengan undangan syarahan dari seluruh dunia, beliau telah memberi syarahan di lebih 40 negara dan telah melatih ramai pakar bedah tempatan yang seterusnya menerajui bidang pembedahan negara.



Buku ini yang ditulis sendiri oleh anak perempuannya, Mangai amat sesuai untuk dibaca bagi mereka yang mencari inspirasi dalam mencapai apa jua yang dicita-citakan. Moga dengan ulasan ini lebih ramai rakan-rakan yang sedang menuntut dalam bidang perubatan dan bercita-cita untuk menjadi seorang pakar bedah akan meluangkan sedikit masa untuk membaca buku biografi ini untuk memperoleh sedikit sebanyak inspirasi dan menghayati pergorbanan dan susah payah orang yang lebih terdahulu dari kita untuk menjadi seorang doktor. Selamat Membaca dan Selamat Hari Buku!


1 ulasan:

Ah Jun berkata...

perghh...nih bace buku world greatest surgeon nih...bile lagik nak bace world's greatest physician...?