Selasa, 11 Mac 2008

Menteri Besar Kedah yang baru - Ustaz Azizan Abdul Razak

Alhamdulillah negeri Kedah yang selama ini di bawah kekuasaan Barisan Nasional telah berjaya ditawan oleh Barisan Alternatif dan telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan baru di negeri jelapang padi Malaysia ini.

Ustaz Azizan Abdul Razak - nama buat Menteri Besar baru negeri Kedah setelah Barisan Alternatif berjaya menubuhkan kerajaan. Secara peribadi saya sendiri tidak begitu mengenali Ustaz Azizan melainkan hanya sebagai pesuruhjaya Pas negeri Kedah. Namun hasil sedikit kajian mengenai diri beliau, bolehlah kiranya sedikit sebanyak profil beliau dikongsi bersama.

Ustaz Azizan Abdul Razak yang telah memenangi kerusi dun N20 Sungai Limau di dalam Parlimen Jerai dengan majoriti 1,080 undi mengatasi calon BN iaitu Mohd Suhaimi Abdullah, merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah dan juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Beliau yang mempunyai ijazah dalam Sarjana Muda Syariah dan undang-undang dari Universiti Kent, United Kingdom. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia. Penglibatan Ustaz Azizan dalam politik adalah hasil sumbangan Almarhum Presiden Pas, Ustaz Fadzil Noor yang telah menjadi mentor kepada Ustaz Azizan ketika di universiti lagi. Ustaz Azizan mula menyertai Pas secara aktif setelah beliau bersara dari jawatan beliau di UKM.

Beliau yang disenangi oleh semua ahli dan penyokong Pas di peringkat negeri mahupun pusat adalah seorang pemimpin yang berpegang pada prinsip yang teguh. Beliau juga adalah seorang yang berperwatakan mulia dan senang didampingi. Buku “Hadarah Islamiah Bukan Islam Hadhari” yang merupakan cetusan idea Ustaz Azizan yang bertanggungjawab mendraf segala isi kandungan draf buku tersebut. Ustaz Azizan juga pernah menjadi penulis ucapan kepada Tuan Guru Hadi Awang dalam Muktamar Pas 2004.

Semoga dengan kepimpinan yang ada sekarang di negeri Kedah, Ustaz Azizan akan membawa Kedah ke arah satu era baru yang lebih cemerlang, bersih dan berkebajikan. Allahuakbar!

Tiada ulasan: