Memaparkan catatan dengan label Isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu semasa. Papar semua catatan

Selasa, 2 Februari 2010

Konspirasi Liwat II



BICARA KE ATAS ANWAR – KONSPIRASI KEDUA

Hanya sebelas tahun semenjak Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, beliau menerima tamparan dengan dakwaan liwat dan seolah-olahnya tuduhan rasuah (penyelewengan kuasa). Beliau berdepan dengan dua perbicaraan yang dikutuk seluruh dunia sebagai perbicaraan tidak adil dan bermotivasikan kepentingan politik pihak tertentu. Hasilnya beliau menghabiskan enam tahun dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, dikurung bersendirian selama pemenjaraan hanya dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga dan para peguam sahaja. Akhirnya bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad mendapat hukuman setimpal dengan berat hati dipaksa bersara pada bulan Oktober 2003. Kemudiannya Anwar dibebas dan dilepaskan pada 2 haribulan September 2004 pada tahap terakhir rayuannya di mahkamah mengubah penghakiman kes liwatnya.

Sekarang mimpi ngeri itu bermula lagi. Pada 16 Julai 2008, Anwar ditangkap atas tuduhan kes liwat yang baru, selepas suatu laporan polis dibuat oleh Saiful Bukhari, pembantu berpangkat rendah dalam pejabatnya pada 28 Jun 2008. Anwar berkata tuduhan ini, sekali lagi bermotifkan politik, sebagai cubaan terbaru untuk menghalang kerjaya politiknya yang kembali bangkit mendadak kegemilangannya. Ramai orang di dalam dan di luar negara bersetuju dengan penilaian ini.

Kes terbaru ini hanyalah ulang tayang skrip lama dengan para pelakon yang baru - skrip sekarang ini juga menampilkan episod-episod campurtangan politik, kecurangan dan penyelewengan para pegawai di pejabat Peguam Negara dan pihak polis, penipuan bukti-bukti yang muncul daripada suatu konspirasi politik untuk menghentikan kerjaya cemerlang politik Anwar.


Kes hairan yang benar-benar pelik

Terdapat banyak fakta terhadap dakwaan yang dibuat Saiful dan tindak tanduknya yang sudahpun berada dalam pengetahuan orang ramai. Fakta-fakta ini bercakap dengan sendirinya. Secepatnya ia menunjukkan betapa tidak kukuhnya kes yang direka-reka ini, selain bertujuan menjatuhkan Anwar.

Saiful mendakwa dalam laporan polisnya bertarikh 28 June 2008 di Hospital Kuala Lumpur ("HKL") yang dia diliwat Anwar pada tengahari Khamis 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Bukit Damansara. Saiful bercerita kepada pihak polis dalam kenyataannya yang mendakwa dia telah diserang paksa sebanyak 8 ke 9 kali tanpa kerelaan hatinya oleh Anwar sepanjang dua bulan yang berlalu itu. Dalam laporan polisnya dua hari kemudian pada 28 Jun 2008, dia mendakwa kejadian liwat ini memang berlaku tanpa kerelaan hatinya.Cerita Saiful ini menimbulkan kecurigaan kenapa dia sebagai kononnya "si mangsa"yang dipaksa liwat 8 ke 9 kali tanpa kerelaan hatinya, selama dua bulan tetapi tidak membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa. Sepanjang waktu itu dia berhubungan secara biasa dengan Anwar dan kesemua kakitangan di pejabat Anwar Ibrahim.


Turut didedahkan pada Rabu 25hb Jun 2008, sehari sebelum serangan seksual terakhir pada hari Khamis keesokan harinya, Saiful telah bertemu dengan pegawai polis berpangkat tinggi Penolong Kanan Komisioner SAC Rodwan Mohd Yusof (waktu iti Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pasukan Polis DiRaja Malaysia, sekarang Ketua Polis Melaka) di Hotel COncorde, Kuala Lumpur di bilik bernombor 619. Apabila ditanya wartawan tentang pertemuan ini, Rodwan tidak memberikan sebarang komen. Rodwan telah memainkan peranan penting bersama pasukan polis dalam kes Anwar tahun 1998/99 dahulu. Rodwan terkenal dengan peranannya mengambil sampel darah Anwar untuk ujian DNA tanpa mengikut lunas undang-undang. Dia juga terkenal dengan tuduhan meletakkan kesan DNA yang direka-reka pada tilam yang diusung ke mahkamah. Sewaktu perbicaraan pertamanya pada tahun 1998, bukti DNA tidak dapat dipakai hinggakan hakim Augustine Paul yang jelas berat sebelah terpaksa membuang bukti tersebut daripada membantu kes pendakwaan.

Umum juga telah didedahkan "si mangsa" ini telah juga bertemu dengan Perdana Menteri sekarang (waktu itu masih Timbalan Perdana Menteri) beberapa hari sebelum kejadian yang didakwa itu berlaku. Apa yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini Najib pada awalnya menafikan pertemuan dengan Saiful kepada pihak media, tetapi kemudiannya mengakui, menjelaskan pertemuan itu berlangsung kerana Saiful (gagal dari universiti, tidak habis belajar) meminta bantuan Najib untuk mendapatkan biasiswa. Selepas itu barulah Najib memberi tahu pihak media bahawa Saiful diliwat Anwar dan dalam pertemuan tersebut Saiful kelihatan cukup traumatik.


Tindak tanduk Saiful selepas kononnya dipaksa liwat pada hari Khamis turut menimbulkan tanda tanya. Pagi besoknya, Saiful ke pejabat Anwar seperti biasa. Dia tidak mengadu kepada sesiapapun dan muncul dalam keadaan yang normal.Pada sebelah petangnya dia menghadiri acara anjuran Anwar Ibrahim Club di rumah Anwar, yang mana Anwar sendiri turut hadir. Di sana dia membantu menghidangkan kopi kepada sedozen orang yang hadir, tanpa memperlihatkan tanda-tanda takut atau cemas, dia mampu berdiri dan duduk tanpa menunjukkan tanda-tanda ketidak selesaan.

Pada hari Sabtu berikutnya, pada sebelah tengahari, kira-kira jam 2 petang, Saiful memutuskan untuk pergi ke hospital swasta Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) di Jalan Tun Razak. Di situ, dia mengadu kepada Dr. Osman yang dia merasa sakit di dalam lubang duburnya selama beberapa hari dan kelihatannya dia merasa seperti ada bahan "plastik" yang dimasukkan. Pemeriksaan protoskopi (menggunakan alat protoskop yang bertujuan memeriksa hujung lubang dubur) oleh Dr. Osman menunjukkan tidak ada tanda-tanda penembusan atau kemasukan dan keadaan normal dubur dan rektum hujung usus.

Selesai pemeriksaan, dia memberitahu Dr. Osman yang dia diliwat oleh VIP (orang kenamaan) dan Saiful telah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital kerajaan. Meskipun HKL hanyalah terletak di seberang jalan, Saiful mengambil masa selama dua setangah jam untuk sampai ke sana. Di HKL, dia melaporkan yang dia diliwat, dia kemudiannya diperiksa oleh oleh tiga orang doktor pakar, yang mana bukanlah suatu prosedur yang biasa. Ketiga-tiga doktor tersebut dalam laporan rasmi mereka menyebut, "tidak ada rumusan hasil pemeriksaan klinikal yang dengan pasti dapat mencadangkan penembusan ke dalam lubang dubur ..." sekali lagi ia menguatkan kesimpulan yang dibuat Dr. Osman.


Sesiapapun yang menjadi penyiasat dengan sifat waras akan memahami bahawa pertuduhan liwat tidak akan ke mana-mana dalam keadaan bukti perubatan sejelas itu. Tiada seorangpun penyiasat yang waras akan meneruskan kes pendakwaan. Di sini kita melihat perkara yang sebaliknya berlaku. Pasukan penyiasat bersungguh-sungguh, biarpun bukti perubatan menunjukkan tidak ada penembusan terhadap lubang dubur. Sifat hasad berniat jahat dalam penyiasatan mengukuhkan lagi kewujudan motif politik disebalik tindakan mereka.

Penyiasatan kes ini diteruskan biarpun hasil laporan pemeriksaan perubatan telah diserahkan dengan serta-merta kepada para penyiasat polis. Spesimen yang diambil dengan pengelap daripada Saiful menimbulkan syak wasangka kerana ia mengambil masa dua hari untuk sampai ke makmal untuk dianalisa. Sekarang kita tahu bahawa pihak pendakwaan akan bergantung kepada bukti DNA dalam cubaan untuk membuktikan Anwar terlibat dalam tindakan meliwat Saiful tanpa kerelaannya.

Bagaimana seorang tua dengan sakit belakang dapat memaksa seorang jejaka yang tinggi dan tegap berusia 24 tahun, boleh menjadi soalan yang menarik untuk dijawab para pemerhati politik sepanjang perbicaraan ini.

Soalan lain yang menarik ialah dalam keadaan bukti kukuh perubatan yang menyatakan pemeriksaan klinikal tidak menemui malah untuk mencadangkan penembusan, kurangnya wibawa laporan DNA yang cuba menunjukkan DNA Anwar ditemui didalam lubang dubur Saiful. Perlu diingatkan bahwa bukti DNA sangat mudah untuk direka atau ditambah-tambah, khususnya jika kerja-kerja mereka-reka tambah bukti ini dilakukan oleh para penyiasat yang sama dalam perbicaraan 1998 dahulu.

Contoh-contoh bukti yang direka-reka bagi mengenakan Anwar

Ini bukan kali pertama, kes yang melibatkan Anwar untuk fenomena bukti yang direka-reka muncul. Kes 1998 dan 1999 penuh dengan kejadian pengakuan yang dirancang, bukti DNA yang direka-reka dan penyembunyian bukti pada pihak polis dan para pendakwa kanan yang terlibat.

Beberapa contoh dapat diberikan. Gani Patail merupakan salah seorang Pendakwaraya Kanan dalam kes Anwar pada tahun 1998 telah didedahkan pada tahun ini sebagai mereka-reka bukti perubatan dalam bentuk laporan perubatan. Ianya berhubung penyiasatan serangan terhadap Anwar pada malam 20 September 1998 bilamana Anwar telah diserang secara ganas oleh Rahim Noor. Setelah dunia melihat mata lebam Anwar, wujud desakan dan barulah diikuti dengan penyiasatan polis. Pegawai Penyiasat dalam kes tersebut, Dato Mat Zain telah mengesahkan hal ini dalam suratnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bertarikh 15 April. Menurut surat itu, Gani Patail dengan bersungguh-sungguh mereka-reka bukti laporan perubatan dengan dibantu Musa Hassan (sekarang Ketua Polis Negara) dalam cubaan untuk cuba mencadangkan kecederaan Anwar dilakukan oleh dirinya sendiri. Dr. Mahathir kemudiannya mengumumkan kepada awam tentang kecederaan tersebut dilakukan oleh Anwar sendiri.

Pembentukan bukti rekaan terhadap Anwar juga berlaku dalam kes-kes dan orang-orang yang lain. Gani Patail didakwa terbabis mengancam Nallakaruppan dengan hukuman bunuhbagi memaksa dirinya memberi keterangan palsu terhadap Anwar. Hal ini didedahkan dalam akuan bersumpah yang dibuat peguam Nallakaruppan, Manjeet Singh Dhillon yang merupakan saksi langsung cubaan mengugut oleh Gani Patail bagi mendapatkan bukti palsu terhadap Anwar.


Hakim Mahkamah Persekutuan Steve Shim dalam kes Zainur Zakaria lawan PP [2001] 3 CLJ ada menyatakan bahawa permohonan Anwar untuk membatalkan Gani Patail dan Azahar sebagai pendakwaraya kanan kerana penglibatan mereka dalam mengancam Nallakaruppan dengan hukuman bunuh bagi mendapatkan bukti rekaan yang diinginkan:
”Dalam keadaan ini, apakah beliau ("Anwar") dianggap tidak wajar atas asas ianya melampaui keraguan munasabah untuk membuat aduan bahawa tindak tanduk Peguam Negara (Gani Patail) sewaktu pertemuan pada 2 Oktober 1998 dalam cubaan memaksa Nalla untuk mereka-reka bukti bagi menyempurnakan tuduhan terhadap Anwar untuk kes kesalahan seksual yang lain?"

Namun Hakim Augustine Paul tidak bertindak untuk membatalkan kelayan Gani Patail dan Azahar. Malah Augustine mendapati peguambela Anwar, Zainur Zakaria bersalah sebagai menghina mahkamah kerana memfailkan permohonan pembatalan kelayakan tersebut dan menjatuhkan hukuman 3 bulan penjara. Gani Patail terus mendaki puncak kekuasaan menjadi Peguam Negara. Azahar pula menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Malaysia Boleh!

Sukma, adik angkat Anwar, ditangkap pada September 1998 dan ditahan tanpa ada perhubungan dengan peguam dan keluarga selama 14 hari. Permohonan peguamnya untuk bertemu dengan Sukma ditolak. Dia disiksa secara mental dan fizikal sehinggalah dia membuat pengakuan melakukan liwat dengan Anwar. Pegawai polis yang dinamakan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan sebagai bertanggungjawab dalam penyiksaan ini ialah Musa Hassan, sekarang Ketua Polis Malaysia. Pemeriksaan fizikal oleh Dr. Zahari Noor menunjukkan tidak ada bukti penembusan - laporan ini diketahui oleh pihak pendakwaraya yang menyembunyikannya daripada pengetahuan mahkamah, saat Sukma mengaku "bersalah" hanya berasaskan pengakuan yang dipaksakan itu. Peguam yang dilantik keluarga Sukma tidak dibenarkan bersuara mewakili anak guamnya setelah dibantah oleh pihak pendakwa raya ( Gani Patail and Yusuf Zainal Abiden ).

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada Jun 2006 dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v PP [2007] 4 CLJ 697] menyatakan:

"Di sini kita ada kes kelakuan sumbang pihak pendakwaan dengan secara sengaja menyembunyikan bukti yang memenangkan pihak pembelaan. Tidak ada lagi kes ketidak adilan sejelas ini, apabila pengakuan bersalah didakwa didapatkan dengan cara tekanan yang tidak sah di sisi undang-undang."


Penangkapan dan penahanan Dr Munawar Anees juga sama seperti yang terjadi kepada Sukma, dia ditahan tanpa dapat berhubung dengan peguam dan keluarga, disiksa dan dipaksa membuat pengakuan palsu melakukan liwat dengan Anwar. Malang bagi dirinya, kesemua mahkamah yang dirayu tidak memenangkan kesnya.Hakim-hakim seperti Low Hop Bing J di Mahkamah Rayuan bersama hakim Zaki Tun Azmi ( Ketua Hakim sekarang), Zulkefli Makinudin J. dan Nik Hashim J di Mahkamah Persekutuan telah memastikan permohonan Dr Munawar untuk mendapat keadilan dan membolehkan kesnya dibuka semula telah ditamatkan. Mereka memastikan Dr Munawar tidak berupaya untuk mendedahkan pengalaman pahitnya pada tahun 1998 di tangan pihak polis, pendakwaan dan mahkamah dalam suatu perbicaraan yang baru. Permohonannya untuk menimbal semula keputusan Mahkamah Persekutuan telah ditolak baru-baru ini pada 28 Desember 2009 oleh panel Mahkamah Persekutuan yang dianggotai Arifin Zakaria J., Raus Sharif J. dan Mohd Ghazali Mohd Yusuf.

Pergeseran yang jelas di antara layanan dalam kes Sukma dan kes Munawar pada peringkat rayuan kepada mahkamah yang lebih atas cukup terang dan nyata. Di dalam sistem perundangan jenayah manapun, apabila pengakuan dicabar atas sebab dilakukaan tanpa kerelaan, pihak tertuduh secara automatiknya dianugerahkan peluang mendengar viva voce (melalui saksi-saksi) berhubung dengan kesukarelaannya. Pendinding perundangan ini menjadi amat penting kerana apabila pengakuan bersalah direkodkan berdasarkan pengakuan tanpa rela. Cukup disesalkan mahkamah tertinggi di Malaysia tidak nampak prinsip-prinsip asas keadilan sistem kehakiman ini. Melalui tindakan tersebut, mereka telah mengesahkan jenayah serius yang dilakukan pihak polis dan pendakwaraya terlibat apabila dia ditangkap, ditahan dan disiksa bagi mendapatkan pengakuan palsu dan dipenjarakan selama enam bulan hanya kerana untuk memburukkan nama Anwar dengan perkaitan hubungan perkenalan.

Konspirasi hasad niat jahat dalam kes sekarang ini

Gani Patail sekarang merupakan Peguam Negara di Malaysia. Musa Hassan ketua pasukan polis negara. Kedua-dua nama, secara khususnya Gani Patail, telah didedahkan oleh Mat Zain sebagai mereka cipta bukti palsu, suatu jenayah yang serius, bagi mengenakan Anwar dalam penyiasatan ke “mata lebam” Anwar.

Penyiasatan kes sekarang ini dibawah kawalan polis yang mendapat arahan dari Musa Hassan. Hasad jahat penyiasatan menjadi cukup nyata apabila anggota polis bersenjata dan bertopeng menangkap Anwar kira-kira jam 1 tengahari di rumahnya pada 16 Julai 2008 – ini terjadi kira-kira dua setengah minggu selepas laporan dibuat Saiful. Penangkapan itu sebenarnya langsung tidak perlu dibuat. Ini disebabkan para peguam Anwar sedang mengiringi beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lumpur pada jam 2 petang hari yang sama bagi menghadiri temujanji yang telahpun diatur sebelum itu dan dipersetujui oleh pegawai polis yang ditugaskan merekod kenyataan Anwar.

Namun, beliau ditangkap umpamanya beliau seorang penjenayah yang sedang melarikan diri. Anwar ditahan semalaman di lokap, sekali lagi ianya tidak perlu dan cukup jelas menunjukkan hasad jahat. Beliau dipaksa tidur di atas lantai simen yang dingin, menambah burukkan kecederaan lama bahagian belakangnya. Alasan yang diberikan polis untuk menahan Anwar selama semalaman adalah kerana mereka perlu menyelesaikan untuk mengambil kenyataan beliau – namun permintaan beliau untuk pulang pada waktu yang dijanjikan telah ditolak. Sekarang ia menjadi amat jelas bahawa Anwar ditahan semalaman dilokap kerana percubaan untuk mendapatlan sampel DNA dari tubuh beliau.

Tuduhan Saiful diperkuatkan lagi dengan Saiful mengambil bahagian dalam acara “sumpah lakhnat” di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 15 Julai 2008 dengan kehadiran Ustaz Ramlang bin Porigi, salah serang imam di sana. Kemudiannya pada bulan Ogos, Ustaz Ramlang mendedahkan yang dia diarahkan oleh Ketua Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAIWP) Dato Che Mat bin Che Ali untuk hadir sebagai saksi saat sumpah tersebut berlangsung. Disebabkan dia membuat pendedahan umum berhubung perkara ini, Ustaz Ramlang kemudiannya ditukar ke bahagian “kewangan” (JAIWP). Beberapa bulan kemudiannya dia dikenakan tindakan disiplin.

Campurtangan politik juga ditunjukkan dalam pengendalian aduan qazaf yang difailkan oleh Anwar ke atas Saiful kepada pihak JAIWP pada 9 Julai (qazaf merupakan kesalahan dibawah undang-undang syariah kerana memberi kenyataan fitnah terhadap orang lain, khususnya dalam hubungannya dengan kesalahan seksual). Jabatan penguatkuasaan JAIWP telah menyelesaikan penyiasatannya dalam masa beberapa bulan dan telah merekod kenyataan dari Anwar, Saiful dan saksi-saksi yang relevan. Sehingga ke hari ini JAIWP masih belum mengisytiharkan tidak ada kesalahan yang dilakukan Saiful. Dalam masa yang sama, tidak ada pendakwaan terhadap Saiful yang cuba dibuat. Para pegawai JAIWP telah diarahkan oleh Menteri Persekutuan bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Saiful, atas alasan kes liwatnya masih belum habis berlangsung. Hal ini adalah salah kerana perundangan kedua mahkamah ini adalah terpisah dan indipenden dan sekali lagi ia menunjukkan campurtangan politik.


Hasad jahat dan berat sebelah di pihak pendakwaan; memegang dokumen daripada pihak pembelaan; perbicaraan tidak adil

Perhatian yang serius patut diberikan terhadap hasad jahat dan sikap berat sebelah di pihak pendakwaan. Gani Patail menandatangani sijil pemindahan kes Anwar dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Yusuf Zainal Abiden, Pendakwaraya Kanan dalam pasukan pendakwaan kes sekarang juga terlibat secara giat dalam kes Sukma dan kes pendakwaan Anwar pada tahun 1998. Terdapat keprihatinan dengan memberikan sikap berat sebelah dan mala fide atau niat jahat yang ditunjukkan pihak pendakwaan dalam kes-kes sebelum ini, bahawa Anwar tidak akan mendapat perbicaraan yang adil daripada Pendakwaraya Kanan yang mendakwanya sekarang.

Beberapa tindakan berniat jahat telahpun ditunjukkan dalam persoalan pencarian dokumen-dokumen dan bukti dalam kes semasa ini. Permohonan beterusan dari barisan para peguam Anwar untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang sesuai bagi mempersiapkan pembelaan seperti kenyataa saksi Saiful dan saksi-saksi lainnya tidak dilayan oleh Pendakwaraya Kanan. Anwar kemudiannya memohon dokumen-dokumen ini kepada hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi. Hakim Zabidin Mohd Diah telah membenarkan permohonan Anwar ini. Pihak pendakwaraya pula merayu, yang menyebabkan Mahkamah Rayuan mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi. Rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan ditolak pada Jumaat 28 Januari 2010. Suatu keputusan yang tidak mengejutkan, dengan melihat pendirian politik yang diambil oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Dr Munawar.

Fakta menunjukkan rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan terhadap beberapa hal penting berhubung pengeluaran dokumen itu masih lagi menunggu keputusan. Namun demikian, hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi pada 6 Disember 2009 muncul dalam keadaan tertekan untuk menetapkan tarikh perbicaraan lebih awal dan menetapkan perbicaraan dimulakan pada 25 Januari selama sebulan. Hakim yang sama pernah berkata bahawa tahun ini tarikh perbicaraan tidak akan ditetapkan sehinggalah perihal mendapatkan dokumen-dokumen itu ditentukan oleh rayuan ke peringkat mahkamah yang lebih atas.

Keadilan perbicaraan yang bakal dihadapi Anwar telah dipersoalkan dengan penafian dokumen-dokumen penting bagi persiapan pembelaan. Di dalam perbicaraan jenayah pada hampir keseluruhan sistem perundangan, pihak tertuduh akan diberikan, sebelum perbicaraan, kenyataan-kenyataan kesemua saksi dan keseluruhan dokumen yang dikeluarkan oleh kesemua saksi terbabit. Prosedur ini memastikan keadilan terhadap semua pihak, dan menghalang penangguhan perbicaraan. Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, namun perbicaraan Anwar akan berjalan seperti cara lama dengan serangan-serangan hendap penghujahan dan pembuktian. Setiap butir-butir perincian kes pendakwaan dan banyak dokumen-dokumen penting akan dilihat kali pertama oleh pihak pembelaan hanya sewaktu perbicaraan berlangsung. Ianya meletakkan pihak tertuduh dan para peguam belanya dalam keadaan tekanan yang tidak adil.


Konspirasi politik

Kunci kepada perbicaraan ini dapat dilihat dengan tindak-tanduk bermotif politik oleh pihak pendakwaan dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat, secara khususnya Gani Patail (Peguam Negara sekarang) dan Musa Hassan (Ketua Polis Negara sekarang) serta Perdana Menteri hari ini.

Pakatan Rakyat dan Anwar telah mengkritik mereka secara habisa-habisan di dalam dan di luar parlimen – Peguam Negara Gani Patail dengan perlakuan jenayahnya sendiri di dalam kes penyiasatan “mata lebam”, kegagalannya untuk memastikan pendakwaan bagi banyak kes-kes rasuah yang serius, secara khususnya yang berkaitan dengan jenayah dan rasuah yang didedahkan dalam video klip VK Lingam; juga terhadap hubungan terhadap dakwaan-dakwaan berwibawa keterlibatan KPN Musa Hassan dalam tindakan jenayahnya berserta hubungan rasuahnya dengan ketua-ketua kumpulan kongsi gelap seperti BK Tan dan Goh Cheng Poh.

Kritikan terbuka Anwar terhadap keterlibatan Perdana Menteri dalam kes rasuah pembelian jet Sukhoi dan kapal Selam Scorpene oleh Kementerian Pertahanan telah menjadi rekod umum. Anwar juga berulang kali mendesak Najib membenarkan penyiasatan bebas bagi membersihkan namanya atas dakwaan berwibawa penglibatan dirinya dan isterinya Rosmah dalam pembunuhan terkenal model Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Blog-blog di internet melaporkan bukti akuan bersumpaj yang dibuat oleh penyiasat persendirian Balasubramaniam yang mengatakan Altantuya memberitahunya yang dia mempunyai hubungan peribadi dengan Najib dan kaitannya dengan rundingan pembelian senjata yang sama serta tentang bagaimana DSP Musa Safiri, pegawai polis pengiring Najib memainkan peranan dalam penangkapan dan pelenyapan Altantuya. Musa Safiri malah tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

Anwar pada bulan Julai tahun 2008 dan pada Februari tahun lalu turut memfailkan laporan polis berkenaan Gani Patail dan Musa Hassan atas peranan mereka dalam mereka-cipta bukti terhadap diri beliau dalam penyiasatan kes “mata lebam” pada tahun 1998. Laporan itu juga turut mendakwa mereka bersubahat memfailkan laporan polis palsu pada malam 20 September 1998 dalam hubungannya dengan penangkapan Anwar di rumah beliau di Bukit Damansara. Tidak ada satupun laporan-laporan ini menghasilkan pendakwaan biarpun seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan berpendapat Gani melakukan kesalahan jenayah dalam kes penyiasatan “mata lebam”.

Penyalahgunaan lembaga-lembaga awam seperti pasukan polis, Pejabat Peguam Negara, Kehakiman dan institusi lainnya seperti yang pernah terjadi pada tahun 1998, sedang berlaku sekali lagi dengan kes terbaru ini. Ia bukanlah kes jenayah yang mudah. Apa yang sedang diperjudikan sekarang ini adalah penggunaan kes aniaya dan palsu sebagai senjata politik untuk menghentikan kemajuan Anwar Ibrahim dan gerakan politik Pakatan Rakyat yang dipimpinnya. Suatu kemajuan gerakan yang mengancam kewujudan dan masa depan kerajaan Barisan Nasional dan para pemimpinnya.

Sivarasa Rasiah


Khamis, 4 Jun 2009

Roboh... Roboh..



Mutakhir ini negara 'seronok' dengan isu roboh. Tidak selang beberapa hari sebuah pasaraya 'tinggal' roboh dan mengorbankan nyawa, sebuah stadium indah tersergam nun jauh di Pantai Timur pula rebah menyembah bumi. Roboh lagi. Semacam bermusim pula bencana di bumi Malaya ini. Apa yang pasti, semua ini hadir kerana kealpaan dan kesilapan satu makhluk bernama - manusia.

Stadium bernilai RM300 juta, disiapkan untuk temasya sukan kebangsaan, menjadi kebanggaan anak negeri Darul Iman, negeri terkenal kaya dengan khazanah laut dan buminya, tetapi masih memiliki tahap kemiskinan yang tinggi - akhir, atapnya roboh, berderai dan berdebu. Hilang segala kemegahan dan kecanggihan yang dibanggakan. Kelam-kabut seluruh jentera kerajaan memikir, bermenung dan menuding apakah punca musabab, atap yang dibina tidak kukuh dan rebah ke tanah. RM 300 juta - wang rakyat - musnah begitu sahaja. Siapakah yang silap? Kerajaan Negerikah? Jabatan Kerja Rayakah? Tukang binakah?

Bila dikaji, sijil layak menduduki hanya dikeluarkan untuk kawasan balapan, padang dan beberapa premis luar stadium (menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya Terengganu). Tiada sijil dikeluarkan untuk tempat penonton dan juga atap stadium. Apakah maknanya semua ini? Apakah selama temasya SUKMA dijalankan, nyawa penonton ibarat di hujung tanduk? Beginikah rupanya sikap kerajaan yang diharap menjaga rakyatnya, memperjudikan nyawa rakyat - demi menjaga air muka dua tiga kerat pemimpin negeri yang korup dan bongkak? Dimanakah peranan jurutera-jurutera professional? Apakah suara mereka dipadamkan oleh mereka yang berkuasa politik? Inikah rupa bentuk Malaysia menuju ke masa depan?

Bencana demi bencana, kepincangan dan kesongsangan semakin terbongkar semenjak Malaysia 'dianugerahi' dengan kepimpinan yang baru (baca : Datuk Seri Najib Razak). Agenda 1 Malaysia yang semakin celaru. Demokrasi yang semakin terhakis. Pertumbuhan ekonomi yang negatif. Masalah hubungan sosial. Kecamukan politik parti pemerintah. Krisis identiti bangsa. Nyata sejarah bakal berulang. Sebelum Pencerahan tiba, pasti bermula dengan 'perobohan' Kegelapan itu.


Isnin, 1 Jun 2009

Mari Masuk.. Banyak Kosong Lagi....

- Ramai menumpang pun tak guna, membahayakan -


Gelombang Reformasi hadir lebih 10 tahun lalu di Malaysia (walaupun ada mengatakan ianya lebih awal dari itu). Nyata agenda Reformasi yang dibawa telah dipelopori oleh satu sosok bernama Anwar Ibrahim. Menjadikan Reformasi satu slogan retorik di pentas-pentas dan rapat umum sejurus beliau dipecat dari jawatan kerajaan. Laungan Reformasi bergema di jalanan dan di pentas-pentas ceramah politik pembangkang. Negara menyaksikan rakyatnya mula bangkit menyahut seruan Reformasi, dari semuda-muda anak sehingga setua-tua moyang. Reformasi terus bergema, pasang dan surut lebih sepuluh tahun lamanya - sehingga sekarang.

Pasca 8 Mac, agenda Reformasi yang digalas oleh Parti Keadilan Rakyat, nyatanya mula membuahkan hasil. Dengan strategi politik yang berkesan dan kegagalan parti pemerintah mengesan trend perubahan pengundi, pembangkang memperolehi keputusan yang memberangsangkan dalam perlumbaan menuju ke tampuk kekuasaan negara. Maka lanskap politik negara berubah lagi.

Setahun mengenang kemenangan itu, Pakatan Rakyat yang dibentuk, kelihatannya seperti satu sosok gabungan alternatif yang terbaik untuk rakyat (jika dibanding dengan Umno dan Barisan Nasional). Namun melihat kepada tindak-tanduk dua tiga kerat mereka yang bergelar pemimpin Pakatan Rakyat - nyatanya agenda Reformasi masih gagal dicerna. ADUN lompat di Perak, ADUN letak jawatan kerana tekanan, ADUN diarah berhenti dan bermacam lagi membuktikan satu perkara - masih ramai calon atau pemegang jawatan kita yang tidak bermutu (jangan dibanding dengan mereka dari Umno dan Barisan Nasional). Kurangnya mereka yang bermutu, telah menyebabkan agenda Reformasi ini tercemar dek tindak-tanduk mereka yang durjana.

Saya juga semakin tidak faham apabila, PKR mengalu-alukan kehadiran lebih ramai ahli Umno, sebagai contoh di Perlis mutakhir ini, menyertai agenda perjuangan Reformasi. Lebih haru apabila mereka itu diterima masuk ibarat seorang konduktor bas memaksa lebih penumpang masuk ke dalam bas bagi memberi ruang kepada penumpang lain naik dan memenuhkan bas (seperti yang kita selalu lihat berlaku di depan Pudu). Konduktor tidak pernah bertanya siapakah anda dan niat anda menaiki bas. Begitulah gamaknya apabila sekarang ini beratus malah mencecah ribu ahli Umno diterima masuk menyertai KeADILan. Siapakah mereka ini? Fahamkah mereka akan agenda Reformasi? Apakah mereka ini bakal setia dan rela berkorban demi agenda Reformasi? Atau mereka sekadar poliTIKUS-poliTIKUS yang kehilangan modal, jawatan dan pengaruh dalam parti lama mereka?

Bukan apa, saya hanya risaukan pengkhianatan demi pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka yang bergelar pejuang Reformasi, tetapi hakikatnya mereka langsung tidak 'beriman' dengan agenda itu dan hanya menjadi seorang penumpang tanpa hala tuju tetapi hanya mengharapkan satu perjalanan yang mudah dan cepat. Hentikanlah mengambil mereka yang langsung tidak tahu apa itu Reformasi dan apa itu perubahan yang ingin dibawa - kerana Reformasi itu bukan hanya isu rasuah dan salahguna kuasa - ianya lebih dari itu - ianya lebih dari sekadar kebebasan berhimpun dan berdemo - tetapi ia adalah satu pencerahan jiwa rakyat untuk mencapai kebebasan untuk dirinya mampu berfikir dan memilih dan menjadi kosmopolitan yang bebas dan ter-Reformasi.


Khamis, 28 Mei 2009

BeriHitam Ribut... Milikku jua...


Akhirnya... Setelah sekian lama mengidam dan mengharap untuk memiliki sang Beri Hitam - hasrat dan impianku tercapai. Minggu yang serba baru ini, dengan permulaan babad hidup yang baru, aku dilengkapi dengan alat canggih di awal abad 21 ini - BlackBerry Storm 9500. Ternyata kehadiran alat ini telah memberi satu 'lonjakan kuantum' dalam kehidupan aku sehari-hari. Moga dengan kehadiran alat ini, usaha pencerahan diri, akan dapat aku giatkan lagi dan berharap ianya bakal banyak membantu dalam bidang professional yang bakal aku ceburi.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile

Isnin, 25 Mei 2009

Bubar DUN Perak....




Sejak dari mula Kemelut Perak, saya sudah menanam di dalam minda bahawa hanya pembubaran DUN Perak dan satu pilihan raya negeri Perak yang baru harus dijalankan. Jalan perundangan yang dipilih melalui Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan, tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah ini (pada pandangan peribadi saya). Biarkan Mahkamah RAKYAT yang menentukan siapakah kerajaan yang mereka mahu untuk memerintah negeri Perak - samada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

Namun, saya tidak pasti apa yang akan berlaku selepas Dun Perak, andai berjaya, dibubarkan. Jika satu Pilihan Raya Negeri dijalankan, saya yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang berbanding Barisan Nasional. Ini saya nyatakan berdasarkan kepada semakin kurangnya sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional (melihat kepada reaksi MCA dan Gerakan terhadap situasi kemelut Perak). Maka jika ditambah, jumlah pengundi Melayu yang fanatik Pakatan Rakyat dengan jumlah pengundi bukan Melayu, maka tidak menjadi masalah untuk Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Negeri Perak. Namun harus diingat, dakyah bahawa Pas dan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin adalah 'boneka' kepada DAP Perak mungkin sedikit sebanyak menggugat 'keimanan' para pengundi Melayu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Tidak hairan pada saya, andaikata menjelang Pilihan Raya Negeri Perak nanti, Datuk Mufti Perak akan 'tersasul' mengeluarkan 'fatwa' bahawa menderhaka pada Sultan adalah haram dan mengundi mereka yang bukan beragama Islam juga haram. Dan akan terpampang di dada akhbar, tajuk-tajuk berbunyi seperti "HARAM UNDI BUKAN ISLAM", "DAP TIDAK HALAL DIUNDI" - namun ini semua hanyalah ANDAIAN saya.

Satu lagi perkara yang mungkin menjadi persoalan nanti adalah, adakah Ir Nizar akan kekal dilantik sebagai Menteri Besar andai Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Negeri Perak? Apakah Pas akan mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak dari sekarang bagi menambah lebih pengaruh untuk Ir Nizar, agar dilantik semula menjadi Mentari Besar Perak? Atau adakah Tunku Aziz, seorang pimpinan tertinggi DAP, akan diletak bertanding di mana-mana kerusi DAP dan andai menang dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru - Menteri Besar berbangsa Melayu dari DAP yang secara prinsipnya tidak melanggar undang-undang tubuh negeri Perak.

Saya secara peribadi tidak ada masalah siapapun yang dilantik menjadi Menteri Besar (baca: Menteri Besar dari kalangan Adun Pakatan Rakyat). Namun dari segi politik, andaian-andaian yang saya nyatakan di atas wajar kita renungi dan perhati dalam mencorak perjalanan politik Pakatan Rakyat. Apa-apapun, saya tetap mahu Dun Perak dibubarkan - demi DEMOKRASI.

Kembalikan KUASA itu kepada RAKYAT!!


Khamis, 21 Mei 2009

Penanti - Jangan menanti...





Pilihan Raya Kecil Penanti pada hujung bulan ini menyaksikan buat pertama kali Barisan Nasional tidak meletakkan calon mereka dalam satu pertandingan pilihan raya. Alasan - hendak fokus dalam usaha mentadbir negara dan tidak mahu mengikut rentak politik parti pembangkang terus didendang di corong-corong media dan cetakan massa. Tidak kurang juga di pihak Pakatan Rakyat yang berdekah-dekah mengatakan Barisan Nasional bacul dan penakut kerana tidak mahu meletakkan calon bertanding.

Tidaklah saya ingin mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Rakyat yang meminta penyandang kawasan ini mengosongkan kerusi beliau untuk memberi peluang kepada muka lain yang dirasakan lebih berpengalaman dan layak. Namun dalam waktu yang serba mencabar ini, dengan fokus terhadap krisis ekonomi yang lebih menekan, nyatanya saya merasakan Pakatan Rakyat masih gagal membuktikan diri mereka sebagai alternatif terbaik kepada Barisan Nasional, sebagai sebuah gabungan yang mampu membentuk kerajaan pusat yang kuat dan bermanfaat untuk rakyat. 

Cabaran di Perak, dan juga cabaran di negeri Pakatan yang lain, tidak seharusnya merencatkan persediaan kita untuk Pilihan Raya ke 13 - bakal hadir selewat-lewatnya 2013. Dalam langkah yang diorak kearah matlamat akhir Pakatan Rakyat - membentuk kerajaan pusat, seharusnya, setelah setahun pasca 8 Mac, satu kabinet bayangan telah direncana dan dipersembahkan pada rakyat. Tugas kabinet bayangan ini bukan sekadar untuk memerhati dan memantau tingkah laku menteri dari parti pemerintah, tetapi seharunya kabinet bayangan ini menjadi satu gerakan yang giat melakukan kajian dan diskusi mendalam dengan usaha mewujudkan satu sistem dan tatacara pentadbiran dan pelaksanaan yang lebih baik dan efisien sebagai alternatif kepada sistem sedia ada. Wawasan, sasaran dan hala tuju yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam sektor-sektor penting seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan masih tidak jelas terbentang dan apa yang dijanji untuk direformasikan masih kelihatan samar.

Selain apa yang mampu ditawarkan kepada rakyat, pimpinan Pakatan Rakyat juga harus melihat kepada keadaan akar umbi dalam memahami erti sebenar 'persahabatan' di dalam Pakatan Rakyat. Sikap sangsi dan syak wasangka yang kuat, dan sudah menjadi lumrah politik, mereka yang merasakan kedudukan mereka tergugat akan pasti menggunakan segala macam helah dan kaedah dalam mempertahankan kedudukan mereka. Isu agama, bangsa dan hak sering menjadi mainan mereka - sang kemaruk kuasa - sebagai alat untuk mereka melaga-laga dan memburukkan 'lawan'. Menjadi tanggungjawab pimpinan (baca : yang faham dan benar-benar ikhlas bersama Pakatan Rakyat), untuk memastikan duri-duri ini dipatah-patahkan sebelum daging yang kental dan teguh itu menjadi lunyai dan layu.

Pakatan Rakyat harus berubah. Bukan harus - tapi wajib! Untuk menjadi satu alternatif yang mampu menarik dan menawan hati rakyat, Pakatan Rakyat perlu keluar dari situasi dilamun kegembiraan kemenangan. Masih banyak tugas, kajian dan penerangan yang harus dibuat Pakatan Rakyat dalam memastikan kesediaan Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan pusat kelak. Bertolak dari 'Pesta Penanti' ini, diharap Pakatan Rakyat janganlah lagi terus menanti dan menanti......


Selasa, 19 Mei 2009

Parti Makkal Sakhti Malaysia (MMSP)



Sebuah parti baru, Parti Makkal Sakhti Malaysia atau nama Inggerisnya - Malaysia Makkal Sakhti Party (MMSP) telah diterima pendaftarannya pada 11 Mei lepas. Parti yang dianggotai oleh ahli Hindraf ini kelihatannya seperti satu gerakan serpihan dari Hindraf dimana lima wirawan mereka yang pernah ditahan ISA tidak hadir pada sidang media yang dipengerusikan oleh bekas koordianator kebangsaan Hindraf, R.S.Thanenthiran. Matlamat utama parti baru ini adalah membela dan menjaga kebajikan kaum India di Malaysia. Parti ini juga dikatakan bebas dari sebarang pengaruh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Tidaklah dapat saya baca ke mana hala tuju parti ini dalam arena politik Malaysia. Di saat Barisan Nasional dengan slogan 'Satu Malaysia' dan Pakatan Rakyat dengan slogan 'Ketuanan Rakyat', saya tidak faham apa perlu MMSP hadir sebagai sebuah parti berasaskan kaum. Di saat identiti bangsa Malaysia begitu hangat bergolak, kehadiran MMSP nyata tidak hadir sebagai pemangkin mahupun perencat kepada proses ini. Saya tidak nampak apa fungsi MMSP dalam senario politik semasa. Mahukah Barisan Nasional bekerjasama dengan MMSP? Apakah Pakatan Rakyat mahu menerima kehadiran sebuah parti berasaskan kaum dalam gabungan mereka? Apakah ini bermakna sokongan kaum India selama ini kepada PKR akan beralih arah? Atau adakah MMSP akan hanya menjadi sebuah parti politik yang hangat-hangat tahi ayam?


Rabu, 29 April 2009

Pas dan Umno...



Tenggelam.. Timbul.. Tenggelam.. Timbul

Bukanlah saya bercerita mengenai buah kelapa yang hanyut di pantai ataupun kapal layar yang hampir karam di'belasah' taufan. Apa yang tenggelam dan apa yang timbul adalah isu berkenaan isu 'penyatupaduan' Pas dan Barisan Nasional. Mula timbul beberapa bulan selepas tsunami 8 Mac, isu ini ternyata belum surut dan sejuk. Perjanjian-perjanjian sulit dan bermacam lagi kelihatannya menjadi permainan di antara politikus Pas dan Barisan Nasional (baca: Umno).

Ternyata dua pendekatan berbeza - pro-penyatuan Pas-Umno menentang pro-Pakatan Rakyat - kelihatannya masih tidak selesai. Pro-penyatuan, kelihatannya dipelopori Presidennya dan Timbalan mewakili kumpulan ortodoks dan konservatif Pas, menghadapi tentangan sengit dari pro-Pakatan Rakyat yang dipelopori oleh Naib Presidennya, Husam Musa dan didokong oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mewakili kumpulan profesional di dalam Pas.

Saya selaku pemerhati luar dari Pas, yang pernah yakin bahawa perjuangan Pas akan membawa diri penyokongnya ke 'syurga', mula sangsi akan pimpinan (baca: pro-penyatuan) yang ada sekarang. Saya tidak dapat melihat apakah yang sebenarnya mereka inginkan dari perjuangan ini. Kuasa? Harta? Pangkat? Kedudukan? Apakah mereka ini, yang menggelar diri mereka ulama, pewaris nabi, sebenarnya tidak ubah seperti manusia lain yang tamak pada harta dan kuasa. Tidak salah ulama mengimpikan kuasa, namun bukan begini caranya - penyatuan dengan 'anjing yang tersepit'. Perjuangan yang selama ini berlandaskan prinsip keadilan dan kesaksamaan, yang menuntut istiqamah yang tinggi, wajar diteruskan. Jangan dek kerana terlampau cepat menginginkan kuasa, segala maruah dan kesetiaan sanggup digadaikan. Jangan terlampau gopoh. Tuan Guru Presiden harus ingat kesilapan beliau yang lampau apabila gagal merampas kembali Terengganu dari Barisan Nasional pada 8 Mac, kerana tindak-tanduk beliau dan pimpinan beliau yang tidak diterima rakyat Terengganu. Sedarlah.

Dengan kehadiran Muktamar Pas Jun ini, wajar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dicabar. Logiknya - pertembungan dua kelompok ini berlaku sehingga ke pihak teratas dalam Pas - maka elok dipertandingkan dua jawatan tertinggi parti ini. Melalui pertandingan, akar umbi Pas akan dapat membuat keputusan samada untuk terus pro-penyatuan atau pro-Pakatan Rakyat. Anggapkan ia satu pertandingan kalah mati. Perwakilan harus bijak untuk memilih dan memastikan siapa yang harus dikuburkan dan siapa wajib dinaikkan.

Gandingan yang saya rasakan wajar menjadi pertimbangan adalah Datuk Kamaruddin Jaafar - Datuk Husam Musa bertanding melawan Tuan Guru Hadi Awang - Ustaz Nasaruddin Md Isa. Walau ada pendapat mengatakan Tuan Guru Nik Aziz wajar dilantik menjadi Presiden, saya rasakan kredibiliti Tuan Guru Nik Aziz lebih dari sekadar menjadi seorang Presiden. Beliau wajar meneruskan tanggungjawab memegang jawatan Mursyidul Am Pas. Naib Presiden Pas pula wajar menyaksikan pertandingan diantara, Mat Sabu, Dr. Syed Azman, Ustaz Taib Azamuddin, Khalid Samad, Hassan Ali, Mustafa Ali, Hatta Ramli dan Salahuddin Ayub. Pilihan calon yang saya rasa menampilkan gabungan antara calon pro-penyatuan dan pro-Pakatan Rakyat.

Saya mengharapkan perwakilan Pas akan menimbang sebaik-baiknya dalam muktamar akan datang ini dalam memastikan hala tuju Pas dalam arena politik Malaysia. Mereka bisa saja ber'kuasa' dengan bersatu di bawah komponen Barisan Nasional dimana Pas bakal menjadi tak ubah seperti Gerakan yang ada sekarang, atau mereka boleh terus bersama Pakatan Rakyat dan menggembeleng usaha untuk menjadi alternatif yang terbaik untuk rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Saya doakan agar Allah memberikan petunjuk sebenar-benarnya kepada para perwakilan dan pimpinan Pas kerana sinar harapan yang saya taruhkan selama ini kepada Pas sejak mula mengenali parti ini (15 tahun lepas) kelihatannya semakin - kelam dan malap.



Isnin, 27 April 2009

Selsema Babi (H1N1)


Gambar - Virus H1N1, dibawah pemeriksaan mikroskopik


Seperti yang diketahui umum (harap tahu), wabak Selsema Babi sedang melanda Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. Selsema Babi, merupakan satu penyakit respiratori (sistem pernafasan) yang selalu ditemui dalam kawanan babi, disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1) yang telah mengalami mutasi dan menghasilkan strain baru. Selsema ini yang selalunya berlegar dalam spesis babi sahaja, dilihat mula menjangkiti manusia dan mula dikesan dalam manusia sejak 1988.

Namun menurut laporan Centres of Disease Control and Prevention Amerika Syarikat atau singkatannya CDC, jumlah kes Selsema Babi dilihat semakin meningkat sejak Disember 2005 sehingga Februari 2009, dan semua kes ditemui di negeri-negeri Amerika Syarikat. Sedari Mac 2009 hingga April 2009, lebih 1000 kes Selsema Babi dikesan di Mexico, dan lebih dari 80 kematian yang dikaitkan dengan virus H1N1 dilaporkan. Tanggal 26 April 2009 (baca : semalam), Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat mengisytiharkan wabak Selsema Babi ini sebagai kecemasan kesihatan awam (public health emergency), setelah lebih 20 kes dikesan di seluruh Amerika Syarikat.

Simptom-simptom yang dipamerkan pesakit yang dijangkiti H1N1 adalah seperti, selsema, demam, batuk, kepenatan dan juga kurang selera makan. Ada juga laporan menyebut bahawa pesakit mengadu sakit tekak, loya, muntah-muntah dan cirit-birit. Virus H1N1 ini dipercayai menjangkiti manusia ke manusia melalui udara, titisan rembesan hidung mahupun mulut yang berlegar di udara. Selsema Babi mudah menjangkiti manusia lain dalam lima ke sepuluh hari pertama jangkitan. Ubat yang disarankan adalah seperti; amantadine, rimantadine, oseltamivir and zanamivir, walaubagaimanapun, untuk wabak terbaru ini, rawatan yang disarankan adalah dengan menggunakan oseltamivir dan zanamivir. Vaksin untuk selsema manusia bermusim tidak melindungi manusia dari Selsema Babi. Sebagai langkah pencegahan juga, orang awam digalakkan memakai topeng dan juga melaporkan diri pada autoriti kesihatan terdekat jika ada melawat negara-negara (dalam sebulan yang lepas) yang telah diisytihar dilanda wabak Selsema Babi.

Diharap teman-teman pembaca berhati-hati dengan wabak terbaru ini dan dapatkan konsultasi kesihatan segera andai dikhuatiri telah terjangkit dengan virus ini.




Gambar - Keadaan di dalam wad influenza ketika pandemik 1918 yang disebabkan oleh H1N1 dimana meragut hampir 20 ke 100 juta nyawa manusia di seluruh dunia ketika itu.




Sabtu, 25 April 2009

Filem - "He's Just Not That Into You"


Hari ini aku menonton satu filem romantik komedi - He's Just Not That Into You - yang aku rasa menarik untuk ditonton oleh teman - teman. Disyorkan oleh teman sekuliah, nyata filem ini menjadi pilihan bagi aku meluangkan masa bersama si dia yang telah tidak ketemu untuk sekian waktu.

Filem yang mengisahkan tentang perbezaan pandangan dan perspektif mengenai hubungan, cinta, kasih dan sayang. Kejujuran, kesetiaan, komitmen dan masa depan yang tidak serba pasti menjadi garapan cerita ini dalam menjana akal fikir penonton untuk sama-sama menilai dan menganalisa mengenai isu penting dalam kehidupan manusia ini. Menilai secara umum atau juga menganalisa pengalaman sendiri.

Filem yang dibarisi oleh ramai pelakon terkenal Hollywood; Ben Affleck, Jeniffer Aniston, Scarlet Johannson, Drew Barrymore, Jennifer Connelley, Kevin Connelley, Bradley Cooper, Ginniffer Goodwinn dan Justin Long, filem ini berkisar akan jalan cerita antara watak-watak yang saling berkait di antara satu sama lain. Filem berlatarbelakangkan warga 20an dan 30an Baltimore, menyaksikan bagaimana mereka ini mengemudi pengembaraan mereka dalam hubungan setipis 'cinta monyet' sehinggakan kepada hubungan sedalam perkahwinan, mencari akan tanda-tanda cinta dan kasih dari mereka yang berlainan jantina.

Wajib tonton bagi mereka yang mencuba untuk memahami cinta dan hubungan, amat digalakkan tonton untuk mereka yang sudah lama 'bertarung nyawa' dalam samudera cinta dan perkahwinan.


Jumaat, 24 April 2009

Dimana Manohara?


Hangat di dunia web mutakhir ini mengenai isu 'kecurangan' sikap yang berlaku di dalam linkungan kerabat diRaja Kelantan. Keganasan domestik dan isu penculikan menjadi topik hangat yang terus mendapat perhatian meluas di Indonesia. Sebuah blog (yang dipercayai berpusat di Malaysia) telah memaparkan koleksi gambar untuk menangkis sebarang tuduhan dan cemuhan. Di Indonesia, ibu si gadis memulakan kempen tersendiri menuntut akan pembelaan terhadap diri anak gadisnya. Rayuan kepada kerajaan malahan kepada Perdana Menteri Malaysia juga turut diusahakan. Tidaklah hairan andai perkara ini berlaku di Malaysia kerana mutakhir ini begitu banyak kes kehilangan orang berprofil tinggi (baca : Balasubramanian, Altantuya, Helmi, Osman Jailu, Jamaluddin dll). Wajarnya pihak PDRM memandang serius perkara ini dan menjalankan siasatan mendalam mengenai perkara ini. Janganlah kerana takutkan 'kedaulatan' raja; maka jenayah dibiar berlalu tanpa dibicara. Diam dan bisu itu selalunya membunuh, bak kata pepatah jangan disangka air yang tenang tiada buaya.

Kisah ini menyorot kembali ingatan saya kepada kisah penculikan Helen, isteri kepada Raja Sparta, Menelaus oleh sang putera Trojan, Paris dari Troy. Akibat penculikan dan kisah cinta bergolok-gadai ini, akhirnya Troy diserang Sparta dan menyaksikan dua pahlawan agung, Hector dan Achilles, menemui ajal kerana kerakusan mereka (baca : Paris dan Meneleus) yang tamak pada wanita dan kekuasaan. Nyata dua kuasa peradaban bisa merudum ke kancah peperangan dek kerana seorang wanita.

Ahad, 19 April 2009

Pentas 152 - Amanat buat Pejuang Muda


Program anjuran AIC ini adalah sempena gagasan menentang dasar PPSMI. Buat pejuang muda yang bangga dengan jiwa bangsa - Bahasa Melayu. Mari sertai Pentas 152 untuk mendengar amanat dari Pak Samad - Sasterawan Negara. Datang beramai-ramai. Alamat Rumah Kelab AIC adalah seperti dibawah ini :


Rumah Kelab AIC
17, Jalan 16/2,
Seksyen 16 Petaling Jaya,
Selangor.

Selasa, 14 April 2009

Ibu seorang bisa menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu bisa menjaga seorang ibu....



Peribahasa ini sering kita dengar apabila berbicara mengenai sikap anak-anak di zaman siber ini yang dikatakan tidak mampu menjaga orang tua mereka. Mereka lebih rela menempatkan orang tua mereka di rumah-rumah orang tua atau dibiarkan terbiar tanpa dijaga. Tidak kurang juga ustaz-ustaz di masjid lantas menjatuhkan hukum bahawa wajib kita menjaga orang tua kita dan memberikan perhatian yang tidak berbelah bagi. Dengan purata umur masyarakat dunia termasuk Malaysia yang melebihi umur 70 tahun, maka tidak hairan di masa terdekat nanti akan lebih ramai populasi warga tua membanjiri masyarakat.

Saya setuju dan tidak berbelah-bagi bahawa orang tua wajar dijaga oleh keluarga mereka, bukannya oleh Jabatan Kebajikan atau dibiarkan merempat. Namun saya terpanggil untuk menegur mereka yang mengkritik dewasa ini akan trend atau budaya menghantar orang tua untuk dijaga oleh rumah penjagaan swasta. Bukanlah niat saya untuk mengkritik mereka yang sejujurnya rela berkorban untuk menjaga orang tua mereka, namun tujuan entri ini adalah untuk saya membuka ruang litup pemikiran dan sentimen kita terhadap mereka yang menghantar orang tua mereka ke rumah-rumah penjagaan swasta. Pada saya, tidak ada buruknya langsung dalam menghantar orang tua ke rumah penjagaan swasta. Seperti yang kita tahu, apabila sesuatu perkara itu swasta, maka ia melibatkan bayaran dan juga kualiti perkhidmatan. Maka konsumer mempunyai pilihan dan bebas untuk memilih yang terbaik untuk orang tua mereka. Mereka bebas melawat orang tua mereka dan jika mereka gagal menyelesaikan yuran penjagaan, maka perkhidmatan akan dibatalkan dan orang tua akan dipulangkan kepada anak-anak mereka. Maka pada saya, tanggungjawab menjaga orang tua itu telah terlaksana jika anak-anak mengambil keputusan untuk menghantar ke rumah penjagaan swasta.

Mungkin ada yang akan berhujah bahawa baiknya digaji pengasuh untuk menjaga orang tua berkenaan di rumah kita sendiri - namun saya kurang gemar dengan ide ini kadangkala. Sebab pertama adalah, selalunya di rumah penjagaan swasta, tenaga penjaga itu adalah terdiri daripada jururawat dan juga penjaga profesional yang terlatih dalam ilmu dan amali menjaga orang tua. Apabila dibanding dengan mereka yang digajikan, dengan selalunya warga Indonesia berumur belasan dan awal puluhan, diambil bekerja tanpa sebarang latihan dan tanpa pengetahuan yang mencukupi dalam menjaga orang tua. Namun ianya akan menjadi lebih baik jika yang digaji itu adalah jururawat atau penjaga yang terlatih. Maka jika itu yang berlaku - saya tiada halangan jika orang tua berkenaan ditempatkan di rumah si anak.

Kita harus memandang gagasan ini luar dari skop emosi dan norma masyarakat. Kita perlu sedar akan realiti sebenar. Walau kita dibesarkan oleh orang tua kita, dari bayi hingga dewasa, namun tidak mudah untuk kita menjaga orang tua kita kembali, sebagaimana mereka menjaga kita. Memang benar tidak terbalas jasa mereka kepada kita. Namun jangan pula kita si anak berhenti dari terus mencuba. Menjaga orang tua adalah memang satu pekerjaan yang paling sukar dan memerlukan tahap kesabaran yang paling tinggi. Entri ini tidak mengagaskan si anak untuk lari dari tanggungjawab, tetapi adalah untuk memberi justifikasi bagaimana tanggungjawab itu dilaksana. Tugas utama si anak sebenarnya adalah kepada keluarga dan kariernya sendiri. Tanggungjawab menyediakan nafkah untuk anak-anak dan isteri adalah lebih utama. Tanggungjawab memenuhi tuntutan karier juga adalah lebih penting.

Si anak akan hanya mampu menjaga orang tua mereka - apabila mereka MAMPU. Mampu dari segi wang, masa dan juga kudarat. Jika mereka mampu dari segi wang, maka rumah penjagaan swasta atau mengaji pengasuh adalah apa yang mereka mampu. Maka mereka dapat menumpu pada kerjaya dan keluarga mereka sendiri tanpa perlu terlalu merisaukan kebajikan orang tua mereka. Mereka hanya perlu membayar yuran penjagaan tepat pada waktunya dan juga perlu melawat mereka dengan kerap dan memastikan suasana kekeluargaan yang menggembirakan untuk si tua dan si anak.

Bagi mereka yang mampu dari segi masa dan juga kudarat, maka mereka ini mungkin bisa menjaga orang tua mereka di rumah mereka sendiri. Namun pengorbanan ini pasti ada harganya. Karier mungkin tergadai dan tumpuan pada keluarga akan terganggu dan menyebabkan konflik atau krisis bisa meletus bila-bila masa sahaja. Keadaan akan sentiasa tegang dan memberi tekanan yang sia-sia pada si anak sehinggakan kadangkala amarah itu dilepaskan pada si tua. Maka fikirkanlah yang mana lebih sesuai dengan jiwa dan naluri anda. Pada saya - kedua-duanya tetap menjadikan anda anak yang bertanggungjawab.

Oleh itu untuk kita yang masih muda, yang satu hari nanti pasti tua, mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan akan dana persaraan kita kelak. Kita seharusnya menabung untuk kehidupan hari tua kita. Kita perlu keluar dari kepompong pemikiran bahawa anak-anak kita yang wajib menjaga kita di hari tua. Kita perlu sedar bahawa kita perlu berdikari sendiri sepanjang umur hidup kita, kerana kita hidup untuk diri kita sendiri. Dana yang dikumpul seharusnya cukup bukan setakat untuk menyediakan rumah mahupun makan minum kita, tetapi juga cukup untuk kita menbayar biaya memiliki pengasuh sepenuh masa dan biaya perubatan yang lengkap andai ditakdirkan kita sakit. Kita perlu menjaga diri kita sendiri walaupun kita sudah tua.

Entri ini hanyalah sekadar mengajak kita melihat dunia tua kita dari perspektif berbeza kerana kadangkala kita terlalu mementingkan diri sehinggakan kita menghalang anak-anak kita sendiri kelak untuk mencapai kebahagian dan kehidupan yang mereka impikan. Memang benar seorang ibu bisa menjaga sepuluh orang anak, kerana si anak itu ibarat askar, menurut sahaja... dan memang benar belum tentu sepuluh orang anak bisa menjaga seorang ibu, kerana si ibu itu ibarat ratu, memerintah sahaja.....



Jumaat, 10 April 2009

Kabinet Boneka...


Hari ini PM ke 6 Malaysia mengumumkan barisan kabinet kepercayaan beliau dengan menyaksikan bilangan menteri yang lebih sedikit dan juga bilangan kementerian yang dikurangkan. Kebanyakkan muka lama digugurkan, seramai lapan orang, yang saya yakin adalah orang-orang Pak Lah. Seperti yang diduga juga, Mukhriz dilantik menganggotai kabinet dan Khairy disingkirkan.

Perkembangan dalam negara, terutama hal dalaman Umno, dua tiga hari ini menyaksikan 'kembalinya' Mahathir ke dalam arena politik negara sebagai penasihat tidak resmi. Walaupun Najib cuba menonjolkan bahawa beliau yang menguasai tampuk kekuasaan sekarang, sebenarnya berita mengenai Mahathir lebih menonjol sejak dua tiga hari lepas. Maka tidak hairan jika ramai rakyat mengatakan bahawa Mahathir terlibat dalam menyusun perlantikan kabinet yang baru. Pak Lah terus disepikan sehinggakan tiada langsung temuramah menanyakan pendapat Pak Lah mengenai keputusan PRK yang lepas dan juga mengenai perlantikan kabinet yang baru. Tetapi lain pulanya dengan Mahathir dimana, kelihatan kembali aktif bertemu dengan wartawan dan sibuk memberi ceramah disana-sini.

Khairy, walaupun membuat satu kenyataan politik bahawa beliau tidak kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri, saya yakin jauh disudut hati Ketua Pemuda ini, berendam duka dan hiba kerana disisih. Khairy - seperti yang kita kenal - seorang anak muda yang bercita-cita besar. Pernah bermimpi menguburkan politik Anwar Ibrahim, dan pernah diterbitkan sebuah buku politik yang membayangkan bahawa Khairy adalah bakal PM Malaysia ke 6, yang pasti perjalanan politik beliau semakin menghampiri penghujungnya. Saya merasakan dalam sikit masa lagi, Khairy bakal disingkirkan dari Umno kerana dikatakan mengamalkan politik wang pada pemilihan Umno yang lepas. Namun ini hanya spekulasi.

Saya merasakan baiklah saya ucapkan Selamat Kembali kepada Mahathir dan meminjam kata-kata Khalid Jaafar, rakyat sekarang memasuki Fasa Reformasi 3.0, menentang Najib dan tim konspirator 1998. Cabaran, dugaan dan rintangan yang lebih hebat pasti hadir. Ingatlah akan kata-kata ini yang telah bergema lebih dari sepuluh tahun lalu......

"Kalau takut pada risiko, usah bicara soal PERJUANGAN!!"



Isnin, 6 April 2009

ISA - Manusia Lebih Sombong dari Tuhan

Najib Razak memulakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan membebaskan 13 tahanan ISA dan mencadangkan agar satu kajian semula dilakukan terhadap ISA. Mungkin kisah dibawah ini bisa membantu kajian semula ini bahawa - ISA wajib dihapuskan!



Adam dan Hawa hidup bahagia bersama di dalam Syurga. Adam dicipta dari tanah dan Hawa dari rusuknya, Adam. Namun dalam kebahagian dan keamanan yang mereka kecapi di Syurga, ada mata yang iri memerhati akan pasangan manusia pertama ini. Sebelum itu telah Allah perintahkan kepada pasangan ini agar tidak mendekati sepohon pokok yang berbuah dan buahnya dinamakan khuldi, seperti yang difirmankan Allah dalam Surah Al-A'raaf, ayat 19, "Hai Adam, diamlah engkau bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana (apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim". Namun, hati manusia itu ternyata lemah akan godaan syaitan yang sememangnya berikrar akan menyesatkan umat manusia hingga hari kiamat. Hawa yang pertama tumpas dan seterusnya diikuti Adam. Allah murka tatkala mengetahui apa yang dilakukan Adam dan Hawa. Adam dan Hawa di panggil kehadapanNya. Allah menanyakan pada Adam. Adam dan Hawa diberikan peluang untuk membela diri sendiri. Adam dan Hawa dibicarakan. Lalu Allah menjatuhkan hukuman agar Adam dan Hawa disingkirkan dari syurga dan diturunkan ke muka bumi. Dari situ lahirlah berbillion umat manusia hari ini. Berlainan sekuen asid ribonukleiknya, berlainan warna kulitnya, warna matanya, keluarganya dan bangsanya. Dan mereka itu saling berhubung, berinteraksi dan berkenalan.


Maka dari kisah diatas, dapat kita simpulkan bahawa, Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali pun, sanggup untuk memanggil Adam dan Hawa untuk membela diri mereka dari pertuduhan yang mereka terlibat. Kemudian Adam dan Hawa dibicarakan oleh Tuhan dengan adil dan saksama. Apakah lagi yang kita tunggukan? Apakah kita bukan lebih sombong dari Tuhan apabila kita masih meneruskan ISA?


Perlukah laporan polis untuk Cina yang tersalah menyebut ayat Quran??


YB Kor Ming (Ahli Parlimen Taiping dan Adun Pantai Remis) - mangsa terbaru politik radikal orang Melayu Islam yang masih jumud dan jahil akalnya. Laporan polis dibuat kononnya kerana ahli politik DAP ini tersalah menyebut nama Surah Al-A'raf, dimana beliau menyebut Al-Aurah. Seperti yang tersiar di Malaysiakini, laporan polis difailkan oleh Presiden Badan Bertindak Perpaduan Melayu, satu lagi NGO fasis yang tumbuh bagai cendawan pasca tsunami rakyat 8 Mac 2008. Isi laporan menyebut bahawa YB Kor Ming telah menpersenda agama Islam.

Jahil dan dungu sekali Melayu yang seorang ini. Apakah salah jika seorang Cina yang bukan beragama Islam tersalah menyebut nama surah? Yang harus kita sedar adalah, sudah ada wujud kesedaran di kalangan mereka ini, dari DAP, untuk melihat kebenaran dan prinsip keadilan di dalam ajaran Al-Quran dan menggunakan ia di dalam tabii politik mereka. Yang wajib kita lakukan adalah betulkan sebutan itu, bukannya melaporkan pada pihak polis. Sepatutnya dibawakan seorang guru tajwid untuk YB Kor Ming untuk dibetulkan sebutannya. Atau lebih baik, Sang Presiden sendiri menegur. Apa perlu akan satu laporan polis? Apakah tersalah sebutan boleh dikira menghina? Tindakan mempersoal hak keadilan dan kebebasan yang dijamin akidah Islam itu lebih jauh menghina Islam itu sendiri berbanding tersalah sebut nama surah.

Sepatutnya Sang Presiden itu berasa malu kerana tidak ramai pemimpin Melayu Islam dalam Umno yang menggunakan ayat suci Al-Quran dalam ucapan mereka, sebaliknya mereka dari DAP begitu beria-ia menggunakannya kerana mereka yakin apa yang disampaikan itu benar dan wajar disampaikan kepada rakyat teramai. Renungkan. Dimanakah maruah kita yang bakanya Islam dan hidupnya Islam, tetapi menjadi gunting dalam lipatan akan perkembangan akidah itu sendiri kepada mereka yang bukan beragama Islam.....


Sepetang di Sepang...



Hari ini menjadi sejarah tersendiri buat diri aku kerana, buat julung-julung kalinya aku berpeluang mengunjungi satu perlumbaan Formula 1 yang berlangsung di Sepang dari 3 April hingga 5 April. Aku yakin di saat aku menulis entri ini, sudah ramai yang mengetahui akan keputusan perlumbaan yang menyaksikan Jenson Button, dari pasukan Brawn GP, satu pendatang baru dalam arena perlumbaan Formula 1, diisytihar pemenang setelah perlumbaan terpaksa dihentikan kerana hujan lebat dan juga masa yang suntuk.

Perjalanan ke Sepang pada petang tadi memakan masa hampir tiga jam dengan dua jam terbazir untuk jarak tidak sampai 10 kilometer pun. Lebuhraya menuju ke Litar Sepang, habis sesak, bukan dek kerana ramai yang ingin menonton perlumbaan, tetapi kerana kawalan trafik yang kabut dan tidak berkesan oleh PDRM (mungkin kerana sibuk memantau lokasi panas di Bukit Selambau). Sesampai di Litar, perlumbaan telah bermula. Deruman enjin dari jentera-jentera berkuasa tinggi nyaris memecahkan gegendang telinga aku. Satu pengalaman yang berharga. Kepantasan yang dipaparkan juga cukup mengagumkan. Namun adrenalin yang sedang hangat dirembes akhirnya terhenti - dihentikan oleh kuasa Allah. Hujan yang mulanya renyai mula mengganas menjadi ribut yang kuat dan diselangi dengan kilat dan guruh sehingga memaksa perlumbaan dihentikan.



Ternyata aku rasakan perlumbaan pada tahun ini adalah terburuk dalam sejarah penganjuran. Apa tidaknya, jadual perlumbaan buat pertama kali diubah ke jam 5 petang. Dengan musim angin monsun barat daya sedang bertiup kencang, aku tidak pasti ide siapa untuk menjadualkan perlumbaan ini petang sedangkan di saat-saat begini, barat semenanjung Malaysia akan dilanda ribut hampir setiap hari. Ternyata satu pilihan masa yang tidak tepat dan merugikan.

Selepas sepetang meluangkan masa di Sepang, aku tampil dengan satu rumusan peribadi. Aku akui bahawa aku kagum dengan penterjemahan teknologi kejuruteraan di dalam setiap jentera Formula 1 ini. Kelajuan yang dicapai dan kuasa pecutan yang dimiliki cukup mengagumkan. Namun dari satu sudut lain, aku sedar bahawa tempat aku bukan di sini. Perlumbaan ini merupakan satu 'kawasan' elit yang aku rasa ada 'penghuninya' yang tersendiri. Lebih sesuai untuk mereka yang ingin mencari teman sosial dan juga untuk mereka yang ingin meneroka peluang perniagaan. Tidak juga aku nafikan ada diantara mereka yang hadir kerana minat mereka terhadap keghairahan perlumbaan itu sendiri.



Namun yang masih menjadi pertanyaan, aku perhatikan begitu ramai kanak-kanak sekolah yang hadir dan dari pengamatan aku, melimpah tiket percuma diedarkan dan kebanyakkan yang hadir dengan tiket ini adalah mereka dari jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan. Kehadiran di grandstand pun tidak seramai mana. Apakah tiket-tiket ini benar-benar diberi secara percuma sebagai tanggungjawab sosial SIC atau, satu usaha bail-out yang sering digunakan kerajaan dalam menyelamatkan 'pelaburan' mereka yang tidak menguntungkan atau kata lain merugikan kroni? Apakah sekali lagi dana rakyat digunakan untuk menyelamatkan 'gaya hidup mewah' pemimpin dan golongan elit negara ini? Aku masih tertanya.

Apa-apa pun. Buat masa beberapa tahun ini, tidak akan aku habiskan duit poket ku sendiri untuk menyaksikan perlumbaan ini lagi.



Jumaat, 3 April 2009

Perdana Menteri ke - 6



Sabda Rasulullah s.a.w, "Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala' pasti akan turun ke atas mereka itu; apabila kekayaan negara hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja; apabila amanah dijadikan sebagai sumber untuk memperolehi keuntungan; zakat dijadikan hutang; suami yang taat pada isteri; anak menderhakai ibu bapa, sedangkan ia baik dengan teman-temannya, dan menjauhkan diri dari ibu bapanya; suara-suara ditinggikan dalam masjid; seseorang dimuliakan kerana kejahatannya; arak diminum dimana-mana sahaja tanpa kawalan; ramai lelaki memakai sutera; artis-artis disanjung tinggi; orang yang paling hina di kalangan sesuatu kaum diangkat sebagai pemimpin; banyak jenis muzik dimainkan; dan generasi umat Islam kini menyalahkan umat Islam terdahulu" - riwayat At-Tirdmizi



Khamis, 19 Mac 2009

Artikel di Jalan Telawi...


Artikel Hak lawan Tanggungjawab, berkisar kepada gagasan Michel Foucault dalam membebaskan pesakit mental daripada cengkaman institusi dan juga penyisihan dari masyarakat. Untuk melayari, klik sini.




Selasa, 17 Februari 2009

Bogel Membogelkan....


Sejak dua tiga hari ini, kecoh cerita mengenai foto bogel YB Elizabeth Wong yang telah diedarkan kepada wakil-wakil media dan atas dasar mempertahankan maruah dan privasi beliau, YB Eli telah bertindak membuat satu laporan polis bagi membenarkan polis menjalankan siasatan.

Meletus sahaja isu ini, sekonyong-konyong pemimpin Umno pun mula bersuara mengutuk perbuatan 'tidak bermoral' YB Eli. Ternyata pahlawan Melayu yang begitu lantang bersuara menghina wanita malang ini tidak lain dan tidak bukan adalah YB Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor yang paling dibenci dan menjijikkan dalam sejarah negeri Selangor. YB Khir dengan penuh bangga mengadakan satu sidang akhbar menuntut supaya YB Eli melepaskan jawatan sebagai Exco dan juga Adun Bukit Lanjan. Ternyata beruk Jawa ini terlampau celupar pada saat ini dan jika beruk inilah yang memenangi pemilihan Ketua Pemuda - ternyata Umno adalah parti yang paling tidak bermoral dalam sejarah Malaysia.

Sedar atau tidak, foto bogel YB Eli ini telah diambil tanpa kerelaan beliau dan telah dimiliki oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang berniat jahat dengan cuba untuk mengedarkan gambar ini kepada umum. Sesungguhnya ini adalah satu pencerobohan privasi seperti mana yang pernah terjadi terhadap salah seorang aktres terkenal negara, Nasha Aziz satu masa dulu. Tidakkah kita sedar bahawa sebenarnya YB Eli dan juga banyak lagi wanita di luar sana yang mengalami situasi serupa adalah sebenarnya mangsa kepada kerakusan nafsu serakah lelaki yang berhidung belang. Apalah beza mangsa-mangsa 'foto paksa' ini dengan mangsa-mangsa rogol yang terdiri dari anak-anak dara kita. Pernahkah YB Khir terfikir?

Adakah kerana angkara seekor syaitan bertopengkan manusia, YB Eli, yang merupakan seorang mangsa, harus menanggung beban dan noda yang dilakukan oleh sang syaitan. Pahit untuk saya katakan, pernahkah terlintas di fikiran YB Khir andai satu hari nanti gambar anak dara beliau diambil oleh si mamat skodeng dan disebarkan di merata-rata tempat, apakah yang perlu dipersalahkan adalah anak itu? Moga dijauhkan, andaikan bahawa satu hari nanti anak dara YB Khir dirogol oleh teman lelakinya, apakah YB Khir akan menuduh anak daranya tidak bermoral?

Aku rasa begitu jijik sekarang ini melihat seorang pemimpin Melayu yang mengaku Islam begitu busuk hati dan perangai sehinggakan tidak dapat membezakan antara tidak bermoral dan mangsa jenayah. Dek kerana perbezaan politik, YB Khir sanggup meletakkan diri beliau setaraf dengan penjenayah dalam kes ini. Saya menyeru seluruh anak dara yang bercita-cita atau berminat untuk menyertai pergerakan Puteri Umno supaya menghentikan niat anda kerana andai satu hari nanti anda dirogol atau diaibkan dengan gambar-gambar bogel anda tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya dari pimpinan Pemuda Umno kerana anda semua tidak bermoral.