Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan

Isnin, 21 September 2009

Eid Fitri...

Syawal menjelma lagi. Kali ini aku menyambut Syawal buat pertama kali sebagai seorang yang bekerjaya. Mula terasa akan 'kepayahan' berbelanja untuk Eid Fitri. Wang upah yang aku terima telah ku belanjakan bagi mendapatkan pakaian baru, biskut raya, menanggung kos perjalanan dan juga berbelanja untuk duit raya - namun ini hanyalah perbelanjaanku sebagai seorang yang bergelar bujang. Keperitan ini sedikit sebanyak bisa membuat jantung ku berdegup kerisauan.

Syawal ini membuatkan aku terbayang akan kesusahan dan kepayahan sesetengah dari warga masyarakatku yang mengharungi keperitan yang aku sebutkan tadi. Pakaian anak - anak, juadah raya, keperluan raya yang lain semestinya menuntut komitmen wang ringgit yang tinggi. Namun aku yakin ramai teman-teman di luar sana masih berhemah berbelanja dan sentiasa berpegang kepada peribahasa - mengukur baju di badan sendiri.

Tetapi yang mengecewakan adalah apabila kerajaan mengumumkan akan kesediaan kerajaan menubuhkan satu pasukan Formula 1 Satu Malaysia, kononnya bagi mempromosikan jenama permotoran negara. Alasan yang sama sentiasa diberi - untuk menjana ekonomi negara dan mempromosikan negara. Namun di saat dan suasana yang serba runcing ini, kerajaan tidak harus menjerumuskan diri mereka dalam segala bentuk perbelanjaan mega yang bakal hanya menguntungkan dua tiga kerat kroni-kroni dan kaum kerabat pemerintah.

Dengan kehadiran Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang tidak lama lagi, tidak dapat saya gambarkan berapa banyak pula wang rakyat bakal ditabur bagi memancing undi untuk mengekalkan kerusi Dun ini. Beras, kain pelikat dan sampul duit raya akan diedar kepada orang kampung. Ketua -ketua Cawangan dan Bahagian juga bakal tebal poket mereka dengan 'gula-gula' Pilihan Raya.

Kemanakah hala tuju ekonomi negara ini tidak dapat saya pastikan? Dengan agenda liberalisasi ekonomi dan 1 Malaysia, beserta dengan pakej ransangan ekonomi yang lepas masih tidak menampakkan hasil, apakah Malaysia bakal mencapai Wawasan 2020 masih menjadi tanda tanya. Ternyata dengan kepimpinan sedia ada dan corak ekonomi yang diamalkan saya tidak percaya bahawa kita mampu untuk menjadi sebuah negara maju yang kita impikan.


Isnin, 27 April 2009

Selsema Babi (H1N1)


Gambar - Virus H1N1, dibawah pemeriksaan mikroskopik


Seperti yang diketahui umum (harap tahu), wabak Selsema Babi sedang melanda Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. Selsema Babi, merupakan satu penyakit respiratori (sistem pernafasan) yang selalu ditemui dalam kawanan babi, disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1) yang telah mengalami mutasi dan menghasilkan strain baru. Selsema ini yang selalunya berlegar dalam spesis babi sahaja, dilihat mula menjangkiti manusia dan mula dikesan dalam manusia sejak 1988.

Namun menurut laporan Centres of Disease Control and Prevention Amerika Syarikat atau singkatannya CDC, jumlah kes Selsema Babi dilihat semakin meningkat sejak Disember 2005 sehingga Februari 2009, dan semua kes ditemui di negeri-negeri Amerika Syarikat. Sedari Mac 2009 hingga April 2009, lebih 1000 kes Selsema Babi dikesan di Mexico, dan lebih dari 80 kematian yang dikaitkan dengan virus H1N1 dilaporkan. Tanggal 26 April 2009 (baca : semalam), Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat mengisytiharkan wabak Selsema Babi ini sebagai kecemasan kesihatan awam (public health emergency), setelah lebih 20 kes dikesan di seluruh Amerika Syarikat.

Simptom-simptom yang dipamerkan pesakit yang dijangkiti H1N1 adalah seperti, selsema, demam, batuk, kepenatan dan juga kurang selera makan. Ada juga laporan menyebut bahawa pesakit mengadu sakit tekak, loya, muntah-muntah dan cirit-birit. Virus H1N1 ini dipercayai menjangkiti manusia ke manusia melalui udara, titisan rembesan hidung mahupun mulut yang berlegar di udara. Selsema Babi mudah menjangkiti manusia lain dalam lima ke sepuluh hari pertama jangkitan. Ubat yang disarankan adalah seperti; amantadine, rimantadine, oseltamivir and zanamivir, walaubagaimanapun, untuk wabak terbaru ini, rawatan yang disarankan adalah dengan menggunakan oseltamivir dan zanamivir. Vaksin untuk selsema manusia bermusim tidak melindungi manusia dari Selsema Babi. Sebagai langkah pencegahan juga, orang awam digalakkan memakai topeng dan juga melaporkan diri pada autoriti kesihatan terdekat jika ada melawat negara-negara (dalam sebulan yang lepas) yang telah diisytihar dilanda wabak Selsema Babi.

Diharap teman-teman pembaca berhati-hati dengan wabak terbaru ini dan dapatkan konsultasi kesihatan segera andai dikhuatiri telah terjangkit dengan virus ini.




Gambar - Keadaan di dalam wad influenza ketika pandemik 1918 yang disebabkan oleh H1N1 dimana meragut hampir 20 ke 100 juta nyawa manusia di seluruh dunia ketika itu.




Khamis, 19 Mac 2009

Artikel di Jalan Telawi...


Artikel Hak lawan Tanggungjawab, berkisar kepada gagasan Michel Foucault dalam membebaskan pesakit mental daripada cengkaman institusi dan juga penyisihan dari masyarakat. Untuk melayari, klik sini.




Jumaat, 30 Januari 2009

Buat Mahasiswa....

Ini bukan tulisan asal saya namun untuk sekadar berkongsi dengan teman-teman pembaca.

Sayyid Abul Ala Maududi (1903-1979)

"‘Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.


Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.


I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.’"


"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.


Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.


Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."


Syarah:


Mungkin, tidak ramai orang kita yang mengenali sosok pejuang Islam dari Pakistan ini. Sejarah telah mengukir betapa sosok ini berupaya berdiri sama tinggi dengan Imam Hassan Al Bana dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai Sistem Kehidupan di tanah air masing-masing.
Sayyid Abul Ala Maududi merupakan seorang pejuang, intelektual dan da'ie yang cukup disegani dalam abad ke-20. Namanya senantiasa meniti dibibir para pejuang Islam yang dahagakan tiupan semboyan daripada pemimpin sepertinya. Beliau merupakan pengasas kepada Jamaat-e-Islami di Pakistan, sebuah gerakan Islam yang sama hebatnya dengan Ikhanul Muslimin dibawah Imam Hassan Al Bana. Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini. Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu? Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat. Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat. Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi. Itulah keadaan sebenar pada hari ini. Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang 'insan' yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan. Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka. Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.


Rabu, 24 Disember 2008

Ujian HIV untuk pasangan pengantin Islam..

Apabila satu pasangan bercinta, yang pasti fantasi asmara untuk berkahwin dan memiliki cahaya mata akan menerjah ke kotak minda sang teruna dan dara. Kebiasaannya, perancangan dirangka dan rencana disusun. Telah menjadi adat Melayu sejak berkurun dan turut disarankan oleh Islam adalah untuk kedua pasangan merisik atau lebih islaminya - taaruf. Apa juga istilah yang diguna pakai, matlamatnya adalah untuk berkenal-kenal. berkenal dari segi paras rupa, keluarga dan untuk mengenal akan jaminan zuriat keturunan yang baik-baik serta satu ciri yang penting adalah memiliki tubuh badan yang sihat. Ini semua telah disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

Malangnya di akhir zaman ini, virus HIV dan AIDS hanya mula muncul pada 1985 di kalangan mereka yang mengamalkan seks diluar tabii. Penyakit yang menyerang sistem imun badan manusia ini merupakan satu penyakit kronik dan bisa dijangkitkan kepada individu lain melalui pertukaran cecair badan sama ada darah atau air mani (tidak berjangkit melalui air liur atau air mata). Sejak 1985, virus HIV mula disebarkan kepada golongan homoseksual, penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan dan juga wanita yang tidak mengamalkan seks selamat. Tidak terlepas dari dijangkiti HIV adalah mereka yang bekerja sebagai doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang boleh dijangkiti dengan virus ini daripada pesakit yang HIV positif. Penyakit AIDS yang majoritinya melibatkan golongan umur yang muda dan produktif kepada negara, telah menyebabkan masyarakat terpaksa menanggung beban yang besar akan ketidakmampuaan mereka untuk meyumbang kepada negara.

Atas kesedaran ini, demi mengelakkan lebih ramai individu dijangkiti dengan virus HIV, maka ujian saringan HIV pra-perkahwinan di perkenalkan ke negeri-negeri dan dimulakan di kalangan pasangan Muslim sahaja. Tujuannya adalah untuk memberikan keadilan kepada individu yang ingin berkahwin dan masih bebas dari AIDS untuk tidak 'tertipu' dengan bakal suami atau isteri yang tidak jujur dan tidak mahu mngakui akan status mereka sebagai pembawa virus HIV. Menjadi hak setiap individu yang bebas untuk mengetahui akan kesan pilihan mereka termasuklah dalam memilih pasangan hidup.

Namun harus diingatkan disini, tidaklah wajar atau boleh saya katakan haram kita menghalang pasangan itu untuk berkahwin andai mereka didapati positif HIV. Kedangkalan seorang Menteri Besar baru-baru ini yang berkata-kata atas dasar emosi dan tidak memahami betul-betul akan ilmu perubatan yang dicapai dalam mendepani jangkitan virus HIV amatlah dikesali. sebagai pemimpin, sewajarnya beliau merujuk kepada Majlis AIDS Malaysia mahupun Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum membuat sebarang kenyataan. Isu AIDS dan kesihatan (termasuk pendidikan, pembangunan sosial), bukanlah hak ahli politik untuk mempergunakan isu ini bagi mencari populariti. Isu-isu seperti ini perlu diserahkan kepada golongan profesional untuk dirancang, dibahas dan dibentangkan kepada ahli politik untuk dilaksanakan. Pendapat mereka (baca:ahli politik) boleh diambil kira tetapi selepas mereka telah benar-benar faham akan isu dan kesan kenyataan yang mereka akan buat. Saya suka mengambil pendekatan ulama Syiah di Iran yang mengatakan apa-apa mengenai kesihatan mahupun sains harus diserahkan pada ahlinya untuk memikirkan akan jalan penyelesaiannya selagi ianya tidak melanggar hukum syara'.

Saya menyokong akan kehadiran ujian saringan ini demi melindungi mereka yang masih bebas dari jangkitan HIV. Namun kepincangan yang wujud dalam sistem ini adalah ketidakhadiran sesi kaunseling sebelum dan selepas ujian saringan ini. Pasangan yang ingin menjalani ujian kebanyakkannya memiliki pengetahuan sifar akan AIDS dan HIV dan setakat ini tiada usaha untuk mendidik mereka. Mereka juga tidak diberitahu akan hak mereka dan kaedah-kaedah rawatan yang dimiliki untuk menghindari jangkitan HIV. Kehadiran ujian ini pada tempoh pra-perkahwinan tidak menjamin 'kesetiaa' pasangan mereka untuk tidak dijangkiti HIV sepanjang mereka berkahwin. Maka ada baiknya kepincangan yang wujud dalam sistem ujian saringan ini diperbaiki agar matlamat untuk mengurangkan jumlah kes baru jangkitan HIV akan tercapai.

Pendidikan awal, kesedaran diri sendiri, dan pengamalan hidup yang sihat memerlukan kerja-kerja advokasi yang galak dari semua pihak - sekolah, kolej, universiti malahan tempat-tempat umum - adalah penting dalam mendidik masyarakat kita gar celik AIDS dan HIV.

Khamis, 18 Disember 2008

Hospital Bahagia Ulu Kinta


Hari ini menjadi sejarah tersendiri buat diri aku apabila berpeluang berkunjung ke Hospital Bahagia Ulu Kinta. Hospital pertama seumpama ini di Malaysia telah mula beroperasi sejak tahun 1911 dan pernah dikenali sebagai Federal Lunatic Asylum yang juga merupakan institut psikiatrik terbesar di Malaysia. Mampu menempatkan sehingga 2000 pesakit pada satu-satu masa, institut yang terletak di Tanjung Rambutan ini dengan keluasan kawasan melebihi 400 ekar, telah berjaya membentuk satu stigma masyarakat yang cukup tebal sehinggakan penduduk asal pekan Tanjung Rambutan pun 'segan' untuk mengaku tempat asal mereka.


Michel Foucault (1926 - 1984)

Walaupun aku belum berpeluang membaca buku Madness and Civilization karangan Michel Foucault (buku yang diperkenalkan kepada aku oleh saudara Khalid Jaafar), namun hasil ulasan buku ini yang terdapat di internet, sedikit sebanyak memberi aku gambaran akan sejarah permulaan penginstitusian pesakit-pesakit mental sehinggakan mereka ini tersisih daripada masyarakat. Bermula pada pertengahan kurun ke-17, pada era klasik, bagi menggantikan kekosongan ruang yang ditinggalkan oleh pesakit-pesakit leprosi atau kusta, pesakit mental mula ditangkap dan ditempatkan dalam kurungan atau seperti yang diistilahkan oleh Michel Foucault sebagai confinement sehinggakan beliau menamakan sela masa ini sebagai 'The Great Confinement'.

Semuanya bermula di kota Paris pada tahun 1656, apabila Hospital General ditubuhkan. Pada ketika itu, penganggur, penjenayah, penduduk yang miskin dan pesakit mental ditempatkan disini sehinggakan pada ketika itu hampir 1% penduduk Paris ditempatkan di institut ini. Usaha mengurung atau confinement ini telah didukung bukan sahaja oleh kerajaan ketika itu tetapi juga disokong oleh pihak gereja. Sistem kurungan ini telah terus diperkenalkan ke seluruh Eropah dan digunapakai di hampir semua wilayah ketika itu. Ternyata peristiwa 'The Great Confinement' ini beserta dengan kelangsungannya telah berjaya membina satu tembok atau menggali satu jurang yang cukup dalam bagi memisahkan pesakit mental dengan masyarakat. Stigma yang dipupuk dan diasuh sedari mula lagi telah menyebabkan pesakit-pesakit mental hari ini, yang sememangnya masih seorang manusia biasa, masih gagal mendapat perhatian sewajarnya dari masyarakat dan penerimaan kita terhadap mereka masih mengecewakan.

"Mereka ini ganas!", "Karang dia bunuh orang karang!", "Simpan sajalah dia kat dalam tu!", "Doktor jangan hantar balik bapa saya ni. Dia gila!" - Ini adalah antara cebisan-cebisan pedih dialog yang selalu kita dengar dan paling menyedihkan, kata-kata pedas ini juga selalunya turut dilaungkan di hadapan pesakit yang memiliki hati dan perasaan. Prasangka buruk yang timbul kerana ketakutan kita kepada sesuatu perkara yang tidak langsung kita ketahui menyebabkan penyisihan terhadap pesakit-pesakit mental dalam masyarakat cukup tebal. Ini semua adalah hasil tangan 'The Great Confinement'. Mereka disisih oleh keluarga setelah harta asal mereka habis dikaut oleh ahli keluarga dan mereka dibiarkan terbiar di institut psikiatrik seperti Hospital Bahagia Ulu Kinta. Stigma ini juga menyebabkan mereka ini sering gagal mendapatkan pekerjaan kerana majikan juga turut gerun akan kerugian yang bakal timbul jika pesakit mental diambil bekerja.

Hakikatnya masyarakat tidak sedar bahawa penyakit mental seperti skizofrenia (schizophrenia), penyakit bipolar (bipolar disorder), depressi atau tekanan jiwa (depression) dan banyak lagi sebenarnya adalah sama, serupa, setara dan seangkatan dengan penyakit kronik lain seperti kencing manis (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hypertension), dislipidemia atau lemak berlebihan dalam darah (dyslipidemia), sakit jantung (ischemic heart disease) dan banyak lagi penyakit kronik konvensional lain. Tanpa ubat dan kawalan berterusan, ternyata penyakit kronik konvensional ini akan mengakibatkan komplikasi yang buruk. Sama juga halnya dengan penyakit mental.


Keadaan di dalam wad wanita Hospital Bahagia Ulu Kinta

Ketika 'The Great Confinement', tempat kurungan untuk pesakit mental ini tidak lebih dari sebuah penjara kotor dan seram, dan pesakit-pesakit ini tidak diberikan rawatan perubatan yang sepatutnya. Michel Foucault di dalam karangannya menyatakan sehingga pada kurun ke 18, baru timbul usaha untuk menempatkan pesakit mental di hospital sakit jiwa seperti yang dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai asylum. Usaha ini telah dipelopori oleh Philippe Pinel dan Samuel Tuke. Tuke sendiri telah mengasaskan York Retreat dan Quaker Institution.

Berbeza dengan sekurun sebelumnya, pesakit mental akan dipukul dan diseksa bagi mematikan sifat 'kegilaan' mereka ketika di dalam kurungan, ahli Quaker (yang dipelopori oleh penganut Protestan) pula memperkenalkan satu kaedah dimana pengawasan berterusan dilakukan terhadap pesakit dan mereka diajar dengan ajaran agama serta setiap perbuatan mereka akan diawasi, dinilai dan diperbetulkan andai mereka membuat salah. Mereka tidak bebas mencapai kesedaran mereka sendiri. Foucault menggambarkan ini sebagai menggantikan perasaan takut pesakit dengan repressi atau penindasan. Beliau juga menambah, walaupun pesakit mental dibebaskan dari kurungan fizikal ketika kurun ke 17, tetapi mereka masih terkurung dalam kesedaran mereka sendiri kerana setiap perbuatan mereka ditentukan dan dinilai oleh pengamal perubatan dan juga penjaga mereka ketika itu. Foucault berhujah bahawa ini bukanlah kebebasan sebenar. Namun sistem ini masih terus digunakan dalam dunia perubatan bagi merawat pesakit mental sehingga ke hari ini.

Beralih kepada pengalaman berharga yang aku kecapi hari ini, lawatan aku ke Hospital Bahagia Ulu Kinta telah memberi aku satu kesedaran yang cukup bermakna. Staf yang mengiringi kami sepanjang lawatan, telah menyentuh jiwa aku apabila beliau dengan bangga berkata bahawa kami di sini menjaga bakal-bakal 'ahli syurga'. Memang benar dan tidak dapat aku nafikan tugas mereka ini cukup mulia. Tidak ramai yang akan sanggup menanggung beban tanggungjawab ini. Kedamaian tempat ini dan dihiasi dengan lebih 20 kebun tanaman yang diusahakan sendiri oleh pesakit di sini membuktikan mereka ini sebenarnya lebih dari layak untuk hidup bersama kita di dalam masyarakat. Kisah kebanyakan pesakit yang hingga ke akhir hayat tinggal di hospital ini kerana disisih keluarga dan masyarakat cukup menginsafkan. Nyata keluhan mereka yang menyumbang bakti di sini bukanlah kerana keletihan melayan kerenah pesakit tetapi 'tekanan jiwa' yang mereka hadapi apabila berdepan dengan stigma masyarakat yang terus-menerus menyisih pesakit mental dan langsung menafikan hak mereka untuk menjadi seorang individu yang merdeka.

Ada benarnya hasil perbualan aku dengan saudara Khalid Jaafar beberapa bulan lepas ketika berdiskusi di Coffee Bean Bangsar, bahawa menjadi tanggungjawab ahli keluarga untuk menyediakan dana dan memikul beban menjaga pesakit mental kerana mereka ini tidak seharusnya ditempatkan dalam buangan tersisih dari masyarakat dan dijadikan beban kepada kerajaan. Dengan diagnosa yang betul dan patuh pada rejim ubatan yang diberi beserta sesi terapi berterusan, pesakit mental dapat berfungsi sebagai ahli masyarakat yang normal dan mampu untuk hidup dengan aman dan damai bersama keluarga dan komuniti. Pesakit mental juga dapat belajar dan mengenali diri mereka sendiri secara bebas tanpa perlu mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh pihak lain. Andai situasi ini dapat wujud di dalam masyarakat, mungkin ini adalah kebebasan hakiki yang cuba disampaikan oleh Foucault di dalam buku karangan beliau - Madness and Civilization.

Dengan usaha disentralisasi penkhidmatan perubatan psikitrik sekarang ini diharapkan penerimaan pesakit mental sebagai sebahagian dari ahli masyarakat dan pengiktirafan mereka sebagai seorang individu yang merdeka akan tercapai dalam masa akan datang. Aku meninggalkan Hospital Bahagia Ulu Kinta dengan satu pencerahan jiwa yang terang dan ungkapan di gerbang keluar institut ini cukup untuk merumuskan semuanya - Hentikan Pengasingan, Berikan Penjagaan.


Rabu, 17 Disember 2008

Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris



Isu ini telah dikupas dengan cukup menarik oleh teman saya, Najwan, di dalam blog beliau Riwayat Hayat. Saya merasa terpanggil untuk berkongsi entri bertajuk Memperkasa Penguasaan Bahasa Melayu dengan pembaca kerana isu yang dibincangkan di dalam entri ini memberi impak yang cukup besar kepada masa depan umat Malaysia terutamanya generasi muda.

Saya berminat untuk menambah dalam perdebatan isu ini adalah mengenai matlamat asal sesuatu sistem pendidikan itu, pada hemat saya, matlamat utama pendidikan adalah ilmu dan bukannya bahasa. Tidak dinafikan kepentingan bahasa dalam proses pembelajaran itu, tetapi dengan menggunakan Sains dan Matematik sebagai alat untuk memperkasa Bahasa Inggeris adalah tidak bersesuaian. Tiada apa yang dapat diperkasakan andai anak-anak dan adik-adik kita setakat membaca buku teks dan latihan Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris. Kemewahan perbendaharaan kata mereka hanya terbantut pada istilah-istilah teknikal sahaja dan kemampuan membina struktur ayat dengan tatabahasa yang tepat dan betul masih gagal dicapai.

Argumen mengatakan bahawa pembelajaran subjek Bahasa Inggeris dari sekolah rendah hingga universiti yang sedia ada wujud sebelum ini gagal melahirkan individu yang fasih berbahasa Inggeris menguatkan lagi pendapat saya bahawa satu usaha rombakan yang menyeluruh perlu dilakukan dalam sistem pengajaran subjek Bahasa Inggeris. Usaha meningkatkan tahap penguaasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru harus digiatkan di semua institusi perguruan. Pemilihan bahan bacaan untuk pelajar juga perlu diperhalusi dengan memilih bahan bacaan yang mempunyai nilai mutu bahasa yang tinggi dan sekaligus mampu memperkasa penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris.

Dewan Bahasa dan Pustaka and Institut Penterjemahan Negara juga harus mengambil langkah yang lebih proaktif dengan memperbanyakkan usaha penterjemahan buku-buku, risalah-risalah, atau laporan-laporan kajian dari serata dunia untuk dijadikan bahan bacaan dan telaah buat bangsa Malaysia. Tidak ada salahnya jika didalam setiap buku teks Matematik atau Sains itu diselitkan sekali dengan istilah Inggeris bagi menerangkan istilah yang berbahasa Melayu. Maka dengan cara ini, pelajar kita bukan hanya dapat menambah penbendaharaan kata Bahasa Melayu tetapi juga Bahasa Inggeris. Maka saya tidak nampak mengapa Bahasa Melayu tidak layak digunakan sebagai medium pengantaraan dalam mataplejaran Matematik dan Sains walhal Bahasa Melayu adalah antara sepuluh bahasa teratas yang paling banyak dituturkan dalam populasi dunia dan pernah menjadi bahasa perantaraan utama dalam dunia pelayaran dan perniagaan lebih 600 tahun dulu.

Isu ini harus terus diperbahaskan dan mungkin ada eloknya satu kajian menyeluruh dijalankan di seluruh negara bagi melihat keberkesanan sistem yang diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Statistik yang tepat dan perbandingan yang adil diharap dapat memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang cara dan kaedah terbaik dalam menjulang tahap pendidikan generasi muda kita ke satu tahap yang setanding dengan ketamadunan lain.

Molek juga saya berkongsi dengan pembaca mengenai satu kesedaran yang saya perolehi dalam lawatan saya ke Jepun tahun lalu - "Bangsa Jepun maju bukan kerana mereka bijak berkata-kata (baca: menguasai Bahas Inggeris), tetapi mereka maju kerana kerajinan dan keterbukaan mereka dalam menimba ilmu."