Ahad, 31 Ogos 2008

Kemerdekaan...


31 Ogos 1957 - Tanah Melayu diisytihar Merdeka

28 tahun selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, aku dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Lahirnya di Malaysia, sempat dibesarkan di Amerika Syarikat hingga cecah umur empat sebelum kembali ke Malaysia dan menetap terus hingga sekarang. Malaysia menjadi tempat saya menimba ilmu, mengumpul pengalaman, mencari makan, membina masa depan dan berjuang demi Malaysia yang bebas Merdeka dalam erti kata sebenar.

10 tahun pertama dalam hidupku, 31 Ogos setiap tahun tidak lebih dari sekadar cuti umum buat diriku. Hari itu juga menjadi saat dimana aku menonton perbarisan kemerdekaan di hadapan televisyen atau masih berdengkur dibuai mimpi. Begitulah kemerdekaan dirayakan aku saat masih muda mentah.

10 tahun kedua dalam hidupku, aku mula mengenali tokoh kemerdekaan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T Sambathan dan ramai lagi. Perjuangan tokoh-tokoh seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi pendekar Melayu yang menentang penjajahan menjadi bahan bacaan sejarah kegemaranku. Hari Merdekaku diisi dengan menonton dokumentari, filem mengenai merdeka mahupun membaca buku-buku merdeka. Aku juga pernah melakukan 'lawatan rasmi' ke Memorial Tunku Abdul Rahman ketika hari Merdeka pada beberapa tahun lepas.

Namun tahun-tahun kebelakangan ini dalam hidupku, persepsi aku akan kemerdekaan individu seorang warga Malaysia mula aku pertikaikan. Persoalan demi persoalan timbul, benarkah aku Merdeka? Bagaimana aku bertanggungjawab mengisi kemerdekaan ini? Aku juga mula terdedah kepada perjuangan tokoh-tokoh haluan kiri seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan banyak lagi. Mereka yang berjuang di dalam PKMM, API, AWAS, GERAM, gerakan buruh dan banyak lagi telah lebih lama menuntut kemerdekaan dari British. Aku juga membaca dengan minat mengenai gerakan PUTERA-AMCJA yang menganjurkan hartal pada 20 Oktober 1947, 10 tahun sebelum kemerdekaan yang digapai oleh Perikatan hasil pimpinan Tunku. Aku lantas tersedar dari dakyah-dakyah mengeksklusifkan usaha kemerdekaan hanya kepada Umno, MCA dan MIC.

Perkara-perkara asas mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia di Malaysia mula mempengaruhi mindaku. Dalam ruang yang serba sempit, perkembangan idealisma aku menghadapi cabaran besar untuk berkembang. Aku mula terdedah kepada idea-idea liberal, sosialis dan islamis yang dari hari ke hari terus mempengaruhi pandanganku akan keadaanku sebagai individu di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kemerdekaan minda kita dari segi intelektual, budaya mahupun bermasyarakat masih memerlukan percambahan yang giat. Kepompong yang mengongkong jiwa dan minda kita selama ini seharusnya telah bercambah menjadi rama-rama indah dan mampu untuk menghiasi hidup kita sebagai warga Malaysia yang merdeka. Mungkin selepas 51 tahun kita merdeka, sudah tiba masanya kita melakukan islah terhadap cara kita berfikir, berkerja dan bebas membuat pilihan.

Sempena merdeka ini, marilah kita renung sejenak. Merdekakah minda kita? Merdekakah jiwa kita? Merdekakah kita untuk berdikari sendiri? Merdekakah kita untuk mempertahankan kemerdekaan ini?


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 51

31 Ogos 2008



Tiada ulasan: