Khamis, 25 Disember 2008

Hudud..


Isu ini yang kelihatan senyap pada PRU 12 yang lepas apabila Pas hadir dengan manifesto Negara Berkebajikan, telah kembali 'meletus' selepas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa. Hudud kembali menjadi topik hangat di akhbar-akhbar bajingan kerajaan dalam usaha terus-menerus mereka untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Hinggakan ada pihak di dalam UMNO juga dengan bangga menyokong pula usaha untuk memperkenalkan hudud dalam pentadbiran kerajaan.

Bukanlah niat saya untuk mengutarakan samada hudud wajib atau wajar dilaksanakan atau tidak. Kendatipun begitu kita harus melihat dari satu segi bahawa dalam melaksanakan hukum hudud, perlembagaan negara perlu dipinda dan ini hanya boleh dilakukan di Parlimen, itupun dengan majoriti dua pertiga. Maka bagaimanakah caranya Pas boleh melaksanakan hudud? Mereka harus menang majoriti dua pertiga di Parlimen. Pas akan lebih mudah menjayakan agenda hudud mereka jika mereka menang di Parlimen sebagai satu parti - bukan sebagai gabungan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Tetapi berbalik kepada soalan pokok dalam perjuangan Pas di Malaysia - mampukah Pas berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan pusat?

Pelaksanaan sesuatu hukum seberat hudud seharusnya datang dari rakyat, bukannya pemerintah. Ini adalah pendapat peribadi saya. Rakyat yang harus bangkit dan bangun menuntut supaya hudud dilaksanakan, bukannya pemerintah yang memaksa idea hukuman hudud ini terhadap rakyat. Andai kata Pas berjaya membentuk kerajaan majoriti dua pertiga atau Pakatan Rakyat mampu membentuk kerajaan persekutuan dan hudud dapat dilaksanakan - apakah demokrasi akan masih dikekalkan selepas hudud dilaksanakan? Ada kemungkinan Pas akan tewas dalam PRU, dan pada ketika dan saat itu, mampukah Pas untuk berundur? Atau adakah kita akan menjadi seperti Republik Islam Iran - dimana demokrasi dan kebebasan terkubur.

Iran pasca Revolusi Islam telah menyaksikan kebebasan rakyat untuk berfikir malah memilih pun telah disekat. Imam Syiah di dalam Majlis Syura yang berkuasa menentukan siapa calon Presiden Iran dan rakyat disogok dengan calon-calon ini yang rata-rata untuk melindungi kepentingan ahli Majlis Syura ini. Demi mengukuhkan lagi cita-cita Revolusi, skuad polis moral ditubuhkan di Iran demi menjaga moral rakyatnya. Wanita tidak bertudung boleh ditangkap dan didenda. Apakah ini hukum yang kita mahukan di negara kita?

Apakah Pas juga akan melaksanakan perkara yang seumpama ini di Malaysia? Saya menyatakan ini bukanlah atas dasar emosi, tetapi kerana di dalam muktamar Pas yang lepas, suara-suara yang tidak bersetuju dengan Majlis Syura parti telah ditentang habis-habisan oleh Dewan Ulama dengan diketuai oleh Datuk Harun Din. Saya secara peribadi mengagumi beliau, namun tindakan mempertikai hak ahli parti untuk membantah keputusan Syura tidak seharusnya menjadi isu. Pas sebagai sebuah parti politik yang berjuang di dalam ruang demokrasi, seharusnya meraikan demokrasi itu di dalam parti mereka sendiri sebelum bermimpi memenangi undian majoriti rakyat.

Pendirian saya jelas - rakyat yang harus menyatakan adakah mereka bersedia atau tidak menerima pelaksanaan hukum hudud. Hudud tidak boleh datang dari mereka yang berada di atas. Hudud harus datang dari rakyat. Biar rakyat yang menentukan.


Tiada ulasan: