Jumaat, 12 Disember 2008

Bukit Antarabangsa.....



Indah kau menggamit pandangan,
Tinggi kau memanggil pendaki,
Lurah kau memenuhi nafsu,
Lereng kau mencapah mahligai,

Nama kau gah dengan status tinggi ,
Pemaju berlumba merogol kau kerana untung,
Lebar, besar, tinggi bongkah-bongkah batu menodai kau,
Hijau kau diganti merah, biru, kuning, putih, hitam,

Orang kaya bergolok pokai untuk sekeping tanah kau,
Doktor bergadai nyawa demi sebuah rumah beralamat kau,
Peguam bertelagah mempertahankan hak kau dimastautin,
Pembesar pun tak kurang membina 'istana hinggap' di atas kau,

Bertahun kau mendiam diri,
Memberi peluang buat manusia menyedari kesilapan sendiri,
Merelakan diri terus dicemari,
Kau bersabar dan terus bersabar sampai tercabar,

Berkali kau mengamuk menunjuk amarah,
Highland Tower kau jentik berderai,
UK Heights kau redah rebah,
Kini Taman Bukit Mewah kau hempap hempas,

Harta dan jiwa kau jamah,
Rumah, kereta, kucing Siam, kolam renang kau ratah,
Timbus mati suami, isteri, saudara, teman malah musuh,
Tenggelam karam wang, emas dan sijil bon berjuta ringgit,

Rumah roboh ditindan tanah,
Batu bergolek meranap kereta,
Jalan terjungkit dek berubah mukabumi,
Sungai keruh pasal pasir melimpah,

Berhamburlah manusia mencari selamat,
Tanpa amaran kau gegar hati mereka,
Kau sentap jiwa mereka hingga luluh,
Berderai air mata mengenang malang sendiri,

Bergegaslah polis, bomba dan ambulan,
Kecemasan membantu yang parah,
Sukarelawan menolong yang mampu,
Huru-hara air dan elektrik terputus,

Beribulah umat terkepung di atas kau,
Ibarat nyawa dihujung tunduk,
Bila-bila masa kau bisa mengamuk lagi,
Runtuhkan seluruh mereka yang ada di atas,

Ramailah tiba menawar bantuan,
Niat ikhlas menolong yang susah,
Air, makanan, pakaian, ubatan semua diangkut,
Demi menghulur sedikit pertolongan,

Pak Lah, Najib, Tan Sri Khalid, Sultan Sharifuddin, Anwar Ibrahim,
Berduyun datang menunjuk muka,
Sibuk mendengar buta taklimat,
Melihat pekak kesan runtuhan,

Untung orang kau,
Sekali malapetaka singgah,
Berbulan bertahun kau bakal 'dipestakan',
Dalam tv, radio, suratkhabar dan blog,

Orang banjir di Pantai Timur,
Tidurnya di dewan sekolah sempit berbau hanyir,
Orang kau beradu di De Palma cantik wangi,
Sebab mereka orang kau,

Berhari orang datang membantu,
Membawa yang terperangkap keluar,
Nasi dihulur air dituangkan,
Orang kau campak bagi babi hutan makan,

Pondok aduan dibina untuk orang kau,
Untuk mengadu pasal orang yang datang membantu,
"Kami mangsa" kata orang kau,
"Layanlah kami seperti Raja" berbisik hati orang kau,

Anjing tersepit jangan dilepas,
Takut dilepas menggigit gila pula,
Kerajaan bertungkus susah payah,
Orang kau berpakat hendak menyaman,

Bukanlah tidak aku kesian,
Aku simpati dengan orang kau,
Tapi aku juga bingung,
Berkali kau marah mereka tak faham-faham,

Aku juga tahu bukan semua,
Bukan semua macam anjing tersepit,
Tapi dek kerana nila setitik,
Habis rosak susu sebelanga,

Entah bila kau akan aman semula,
Tak bisa marah mengamuk,
Janganlah kau hilang sabar lagi,
Aku harap mereka sedar insaf taubat,

Kau akan terus digilai,
Kau akan terus dicerobohi,
Kau akan terus didaki,
Kerana kau menjadi lambang status orang-orang kau...


1 ulasan:

Penyokong Math n Scie in English berkata...

Belanga salah eja... XD