Rabu, 31 Disember 2008

Salam Tahun Baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi

Aku mengambil kesempatan ini untuk merangkumkan sekali entri untuk tahun baru - Hijrah dan Masihi. Setiap kali tahun baru waima hijrah mahupun masihi tiba, kita semua pastinya akan memasang azam baru untuk tahun yang bakal mendatang itu. Rencana atau agenda untuk tahun itu akan disusun samada untuk kerjaya, keluarga, masyarakat mahupun negara. Walauapapun perancangan kita saya mengucapkan Selamat Maju Jaya dan moga Allah berkati usaha kita semua.

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi.....

Khamis, 25 Disember 2008

Hudud..


Isu ini yang kelihatan senyap pada PRU 12 yang lepas apabila Pas hadir dengan manifesto Negara Berkebajikan, telah kembali 'meletus' selepas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa. Hudud kembali menjadi topik hangat di akhbar-akhbar bajingan kerajaan dalam usaha terus-menerus mereka untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Hinggakan ada pihak di dalam UMNO juga dengan bangga menyokong pula usaha untuk memperkenalkan hudud dalam pentadbiran kerajaan.

Bukanlah niat saya untuk mengutarakan samada hudud wajib atau wajar dilaksanakan atau tidak. Kendatipun begitu kita harus melihat dari satu segi bahawa dalam melaksanakan hukum hudud, perlembagaan negara perlu dipinda dan ini hanya boleh dilakukan di Parlimen, itupun dengan majoriti dua pertiga. Maka bagaimanakah caranya Pas boleh melaksanakan hudud? Mereka harus menang majoriti dua pertiga di Parlimen. Pas akan lebih mudah menjayakan agenda hudud mereka jika mereka menang di Parlimen sebagai satu parti - bukan sebagai gabungan Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Tetapi berbalik kepada soalan pokok dalam perjuangan Pas di Malaysia - mampukah Pas berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan pusat?

Pelaksanaan sesuatu hukum seberat hudud seharusnya datang dari rakyat, bukannya pemerintah. Ini adalah pendapat peribadi saya. Rakyat yang harus bangkit dan bangun menuntut supaya hudud dilaksanakan, bukannya pemerintah yang memaksa idea hukuman hudud ini terhadap rakyat. Andai kata Pas berjaya membentuk kerajaan majoriti dua pertiga atau Pakatan Rakyat mampu membentuk kerajaan persekutuan dan hudud dapat dilaksanakan - apakah demokrasi akan masih dikekalkan selepas hudud dilaksanakan? Ada kemungkinan Pas akan tewas dalam PRU, dan pada ketika dan saat itu, mampukah Pas untuk berundur? Atau adakah kita akan menjadi seperti Republik Islam Iran - dimana demokrasi dan kebebasan terkubur.

Iran pasca Revolusi Islam telah menyaksikan kebebasan rakyat untuk berfikir malah memilih pun telah disekat. Imam Syiah di dalam Majlis Syura yang berkuasa menentukan siapa calon Presiden Iran dan rakyat disogok dengan calon-calon ini yang rata-rata untuk melindungi kepentingan ahli Majlis Syura ini. Demi mengukuhkan lagi cita-cita Revolusi, skuad polis moral ditubuhkan di Iran demi menjaga moral rakyatnya. Wanita tidak bertudung boleh ditangkap dan didenda. Apakah ini hukum yang kita mahukan di negara kita?

Apakah Pas juga akan melaksanakan perkara yang seumpama ini di Malaysia? Saya menyatakan ini bukanlah atas dasar emosi, tetapi kerana di dalam muktamar Pas yang lepas, suara-suara yang tidak bersetuju dengan Majlis Syura parti telah ditentang habis-habisan oleh Dewan Ulama dengan diketuai oleh Datuk Harun Din. Saya secara peribadi mengagumi beliau, namun tindakan mempertikai hak ahli parti untuk membantah keputusan Syura tidak seharusnya menjadi isu. Pas sebagai sebuah parti politik yang berjuang di dalam ruang demokrasi, seharusnya meraikan demokrasi itu di dalam parti mereka sendiri sebelum bermimpi memenangi undian majoriti rakyat.

Pendirian saya jelas - rakyat yang harus menyatakan adakah mereka bersedia atau tidak menerima pelaksanaan hukum hudud. Hudud tidak boleh datang dari mereka yang berada di atas. Hudud harus datang dari rakyat. Biar rakyat yang menentukan.


Salam Hari Natal 2008

Gambar : Lukisan Mozaik di Istana Hagia Sopia, Istanbul, Turki

2008 tahun lalu, Isa Al-Masih lahir dari rahim ibunya, Maryam. Mukjizat kelahiran baginda tanpa kehadiran seorang bapa membuktikan kekuasaan Tuhan Yang Esa. Baginda dianugerah dengan mukjizat yang mana mampu untuk menyembuhkan orang yang sakit dan sesetengah riwayat menyebut bahawa baginda pernah menghidupkan orang yang telah mati. Ketinggian darjat baginda dengan kitab Injil yang diturunkan bersama baginda, telah membawa kepada kelahiran agama Kristian yang masih subur sehingga ke hari ini.

Sejarah Andalusia telah membuktikan kejayaan keharmonian kaum yang wujud di antara umat Islam, Kristian dan Yahudi ketika itu telah berjaya mencipta satu ketamadunan yang agung. Banyak ilmu dan cabangnya lahir atau dikembangkan di Andalusia sehinggakan Universiti Cordoba ketika itu merupakan sebuah universiti terkenal dan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikir-pemikir Eropah yang telah berjaya mencerahkan Eropah kemudiannya dan membina tamadun mereka sendiri.

Dalam kita meraikan perbedaan, garis halus yang memisahkan kita akan lerai putus andai kita terus berkongsi persamaan kita yang wujud sebagai anak bangsa Malaysia. Agama, ideologi, faham politik malah status ekonomi kita tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk kita saling mengenali dan paling penting saling memahami dan bertoleransi.

Salam Hari Natal, semoga anda semua bahagia dan gembira di samping keluarga.


Rabu, 24 Disember 2008

Ujian HIV untuk pasangan pengantin Islam..

Apabila satu pasangan bercinta, yang pasti fantasi asmara untuk berkahwin dan memiliki cahaya mata akan menerjah ke kotak minda sang teruna dan dara. Kebiasaannya, perancangan dirangka dan rencana disusun. Telah menjadi adat Melayu sejak berkurun dan turut disarankan oleh Islam adalah untuk kedua pasangan merisik atau lebih islaminya - taaruf. Apa juga istilah yang diguna pakai, matlamatnya adalah untuk berkenal-kenal. berkenal dari segi paras rupa, keluarga dan untuk mengenal akan jaminan zuriat keturunan yang baik-baik serta satu ciri yang penting adalah memiliki tubuh badan yang sihat. Ini semua telah disarankan oleh Rasulullah s.a.w.

Malangnya di akhir zaman ini, virus HIV dan AIDS hanya mula muncul pada 1985 di kalangan mereka yang mengamalkan seks diluar tabii. Penyakit yang menyerang sistem imun badan manusia ini merupakan satu penyakit kronik dan bisa dijangkitkan kepada individu lain melalui pertukaran cecair badan sama ada darah atau air mani (tidak berjangkit melalui air liur atau air mata). Sejak 1985, virus HIV mula disebarkan kepada golongan homoseksual, penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan dan juga wanita yang tidak mengamalkan seks selamat. Tidak terlepas dari dijangkiti HIV adalah mereka yang bekerja sebagai doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang boleh dijangkiti dengan virus ini daripada pesakit yang HIV positif. Penyakit AIDS yang majoritinya melibatkan golongan umur yang muda dan produktif kepada negara, telah menyebabkan masyarakat terpaksa menanggung beban yang besar akan ketidakmampuaan mereka untuk meyumbang kepada negara.

Atas kesedaran ini, demi mengelakkan lebih ramai individu dijangkiti dengan virus HIV, maka ujian saringan HIV pra-perkahwinan di perkenalkan ke negeri-negeri dan dimulakan di kalangan pasangan Muslim sahaja. Tujuannya adalah untuk memberikan keadilan kepada individu yang ingin berkahwin dan masih bebas dari AIDS untuk tidak 'tertipu' dengan bakal suami atau isteri yang tidak jujur dan tidak mahu mngakui akan status mereka sebagai pembawa virus HIV. Menjadi hak setiap individu yang bebas untuk mengetahui akan kesan pilihan mereka termasuklah dalam memilih pasangan hidup.

Namun harus diingatkan disini, tidaklah wajar atau boleh saya katakan haram kita menghalang pasangan itu untuk berkahwin andai mereka didapati positif HIV. Kedangkalan seorang Menteri Besar baru-baru ini yang berkata-kata atas dasar emosi dan tidak memahami betul-betul akan ilmu perubatan yang dicapai dalam mendepani jangkitan virus HIV amatlah dikesali. sebagai pemimpin, sewajarnya beliau merujuk kepada Majlis AIDS Malaysia mahupun Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum membuat sebarang kenyataan. Isu AIDS dan kesihatan (termasuk pendidikan, pembangunan sosial), bukanlah hak ahli politik untuk mempergunakan isu ini bagi mencari populariti. Isu-isu seperti ini perlu diserahkan kepada golongan profesional untuk dirancang, dibahas dan dibentangkan kepada ahli politik untuk dilaksanakan. Pendapat mereka (baca:ahli politik) boleh diambil kira tetapi selepas mereka telah benar-benar faham akan isu dan kesan kenyataan yang mereka akan buat. Saya suka mengambil pendekatan ulama Syiah di Iran yang mengatakan apa-apa mengenai kesihatan mahupun sains harus diserahkan pada ahlinya untuk memikirkan akan jalan penyelesaiannya selagi ianya tidak melanggar hukum syara'.

Saya menyokong akan kehadiran ujian saringan ini demi melindungi mereka yang masih bebas dari jangkitan HIV. Namun kepincangan yang wujud dalam sistem ini adalah ketidakhadiran sesi kaunseling sebelum dan selepas ujian saringan ini. Pasangan yang ingin menjalani ujian kebanyakkannya memiliki pengetahuan sifar akan AIDS dan HIV dan setakat ini tiada usaha untuk mendidik mereka. Mereka juga tidak diberitahu akan hak mereka dan kaedah-kaedah rawatan yang dimiliki untuk menghindari jangkitan HIV. Kehadiran ujian ini pada tempoh pra-perkahwinan tidak menjamin 'kesetiaa' pasangan mereka untuk tidak dijangkiti HIV sepanjang mereka berkahwin. Maka ada baiknya kepincangan yang wujud dalam sistem ujian saringan ini diperbaiki agar matlamat untuk mengurangkan jumlah kes baru jangkitan HIV akan tercapai.

Pendidikan awal, kesedaran diri sendiri, dan pengamalan hidup yang sihat memerlukan kerja-kerja advokasi yang galak dari semua pihak - sekolah, kolej, universiti malahan tempat-tempat umum - adalah penting dalam mendidik masyarakat kita gar celik AIDS dan HIV.

Khamis, 18 Disember 2008

Hospital Bahagia Ulu Kinta


Hari ini menjadi sejarah tersendiri buat diri aku apabila berpeluang berkunjung ke Hospital Bahagia Ulu Kinta. Hospital pertama seumpama ini di Malaysia telah mula beroperasi sejak tahun 1911 dan pernah dikenali sebagai Federal Lunatic Asylum yang juga merupakan institut psikiatrik terbesar di Malaysia. Mampu menempatkan sehingga 2000 pesakit pada satu-satu masa, institut yang terletak di Tanjung Rambutan ini dengan keluasan kawasan melebihi 400 ekar, telah berjaya membentuk satu stigma masyarakat yang cukup tebal sehinggakan penduduk asal pekan Tanjung Rambutan pun 'segan' untuk mengaku tempat asal mereka.


Michel Foucault (1926 - 1984)

Walaupun aku belum berpeluang membaca buku Madness and Civilization karangan Michel Foucault (buku yang diperkenalkan kepada aku oleh saudara Khalid Jaafar), namun hasil ulasan buku ini yang terdapat di internet, sedikit sebanyak memberi aku gambaran akan sejarah permulaan penginstitusian pesakit-pesakit mental sehinggakan mereka ini tersisih daripada masyarakat. Bermula pada pertengahan kurun ke-17, pada era klasik, bagi menggantikan kekosongan ruang yang ditinggalkan oleh pesakit-pesakit leprosi atau kusta, pesakit mental mula ditangkap dan ditempatkan dalam kurungan atau seperti yang diistilahkan oleh Michel Foucault sebagai confinement sehinggakan beliau menamakan sela masa ini sebagai 'The Great Confinement'.

Semuanya bermula di kota Paris pada tahun 1656, apabila Hospital General ditubuhkan. Pada ketika itu, penganggur, penjenayah, penduduk yang miskin dan pesakit mental ditempatkan disini sehinggakan pada ketika itu hampir 1% penduduk Paris ditempatkan di institut ini. Usaha mengurung atau confinement ini telah didukung bukan sahaja oleh kerajaan ketika itu tetapi juga disokong oleh pihak gereja. Sistem kurungan ini telah terus diperkenalkan ke seluruh Eropah dan digunapakai di hampir semua wilayah ketika itu. Ternyata peristiwa 'The Great Confinement' ini beserta dengan kelangsungannya telah berjaya membina satu tembok atau menggali satu jurang yang cukup dalam bagi memisahkan pesakit mental dengan masyarakat. Stigma yang dipupuk dan diasuh sedari mula lagi telah menyebabkan pesakit-pesakit mental hari ini, yang sememangnya masih seorang manusia biasa, masih gagal mendapat perhatian sewajarnya dari masyarakat dan penerimaan kita terhadap mereka masih mengecewakan.

"Mereka ini ganas!", "Karang dia bunuh orang karang!", "Simpan sajalah dia kat dalam tu!", "Doktor jangan hantar balik bapa saya ni. Dia gila!" - Ini adalah antara cebisan-cebisan pedih dialog yang selalu kita dengar dan paling menyedihkan, kata-kata pedas ini juga selalunya turut dilaungkan di hadapan pesakit yang memiliki hati dan perasaan. Prasangka buruk yang timbul kerana ketakutan kita kepada sesuatu perkara yang tidak langsung kita ketahui menyebabkan penyisihan terhadap pesakit-pesakit mental dalam masyarakat cukup tebal. Ini semua adalah hasil tangan 'The Great Confinement'. Mereka disisih oleh keluarga setelah harta asal mereka habis dikaut oleh ahli keluarga dan mereka dibiarkan terbiar di institut psikiatrik seperti Hospital Bahagia Ulu Kinta. Stigma ini juga menyebabkan mereka ini sering gagal mendapatkan pekerjaan kerana majikan juga turut gerun akan kerugian yang bakal timbul jika pesakit mental diambil bekerja.

Hakikatnya masyarakat tidak sedar bahawa penyakit mental seperti skizofrenia (schizophrenia), penyakit bipolar (bipolar disorder), depressi atau tekanan jiwa (depression) dan banyak lagi sebenarnya adalah sama, serupa, setara dan seangkatan dengan penyakit kronik lain seperti kencing manis (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hypertension), dislipidemia atau lemak berlebihan dalam darah (dyslipidemia), sakit jantung (ischemic heart disease) dan banyak lagi penyakit kronik konvensional lain. Tanpa ubat dan kawalan berterusan, ternyata penyakit kronik konvensional ini akan mengakibatkan komplikasi yang buruk. Sama juga halnya dengan penyakit mental.


Keadaan di dalam wad wanita Hospital Bahagia Ulu Kinta

Ketika 'The Great Confinement', tempat kurungan untuk pesakit mental ini tidak lebih dari sebuah penjara kotor dan seram, dan pesakit-pesakit ini tidak diberikan rawatan perubatan yang sepatutnya. Michel Foucault di dalam karangannya menyatakan sehingga pada kurun ke 18, baru timbul usaha untuk menempatkan pesakit mental di hospital sakit jiwa seperti yang dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai asylum. Usaha ini telah dipelopori oleh Philippe Pinel dan Samuel Tuke. Tuke sendiri telah mengasaskan York Retreat dan Quaker Institution.

Berbeza dengan sekurun sebelumnya, pesakit mental akan dipukul dan diseksa bagi mematikan sifat 'kegilaan' mereka ketika di dalam kurungan, ahli Quaker (yang dipelopori oleh penganut Protestan) pula memperkenalkan satu kaedah dimana pengawasan berterusan dilakukan terhadap pesakit dan mereka diajar dengan ajaran agama serta setiap perbuatan mereka akan diawasi, dinilai dan diperbetulkan andai mereka membuat salah. Mereka tidak bebas mencapai kesedaran mereka sendiri. Foucault menggambarkan ini sebagai menggantikan perasaan takut pesakit dengan repressi atau penindasan. Beliau juga menambah, walaupun pesakit mental dibebaskan dari kurungan fizikal ketika kurun ke 17, tetapi mereka masih terkurung dalam kesedaran mereka sendiri kerana setiap perbuatan mereka ditentukan dan dinilai oleh pengamal perubatan dan juga penjaga mereka ketika itu. Foucault berhujah bahawa ini bukanlah kebebasan sebenar. Namun sistem ini masih terus digunakan dalam dunia perubatan bagi merawat pesakit mental sehingga ke hari ini.

Beralih kepada pengalaman berharga yang aku kecapi hari ini, lawatan aku ke Hospital Bahagia Ulu Kinta telah memberi aku satu kesedaran yang cukup bermakna. Staf yang mengiringi kami sepanjang lawatan, telah menyentuh jiwa aku apabila beliau dengan bangga berkata bahawa kami di sini menjaga bakal-bakal 'ahli syurga'. Memang benar dan tidak dapat aku nafikan tugas mereka ini cukup mulia. Tidak ramai yang akan sanggup menanggung beban tanggungjawab ini. Kedamaian tempat ini dan dihiasi dengan lebih 20 kebun tanaman yang diusahakan sendiri oleh pesakit di sini membuktikan mereka ini sebenarnya lebih dari layak untuk hidup bersama kita di dalam masyarakat. Kisah kebanyakan pesakit yang hingga ke akhir hayat tinggal di hospital ini kerana disisih keluarga dan masyarakat cukup menginsafkan. Nyata keluhan mereka yang menyumbang bakti di sini bukanlah kerana keletihan melayan kerenah pesakit tetapi 'tekanan jiwa' yang mereka hadapi apabila berdepan dengan stigma masyarakat yang terus-menerus menyisih pesakit mental dan langsung menafikan hak mereka untuk menjadi seorang individu yang merdeka.

Ada benarnya hasil perbualan aku dengan saudara Khalid Jaafar beberapa bulan lepas ketika berdiskusi di Coffee Bean Bangsar, bahawa menjadi tanggungjawab ahli keluarga untuk menyediakan dana dan memikul beban menjaga pesakit mental kerana mereka ini tidak seharusnya ditempatkan dalam buangan tersisih dari masyarakat dan dijadikan beban kepada kerajaan. Dengan diagnosa yang betul dan patuh pada rejim ubatan yang diberi beserta sesi terapi berterusan, pesakit mental dapat berfungsi sebagai ahli masyarakat yang normal dan mampu untuk hidup dengan aman dan damai bersama keluarga dan komuniti. Pesakit mental juga dapat belajar dan mengenali diri mereka sendiri secara bebas tanpa perlu mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh pihak lain. Andai situasi ini dapat wujud di dalam masyarakat, mungkin ini adalah kebebasan hakiki yang cuba disampaikan oleh Foucault di dalam buku karangan beliau - Madness and Civilization.

Dengan usaha disentralisasi penkhidmatan perubatan psikitrik sekarang ini diharapkan penerimaan pesakit mental sebagai sebahagian dari ahli masyarakat dan pengiktirafan mereka sebagai seorang individu yang merdeka akan tercapai dalam masa akan datang. Aku meninggalkan Hospital Bahagia Ulu Kinta dengan satu pencerahan jiwa yang terang dan ungkapan di gerbang keluar institut ini cukup untuk merumuskan semuanya - Hentikan Pengasingan, Berikan Penjagaan.


Rabu, 17 Disember 2008

Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris



Isu ini telah dikupas dengan cukup menarik oleh teman saya, Najwan, di dalam blog beliau Riwayat Hayat. Saya merasa terpanggil untuk berkongsi entri bertajuk Memperkasa Penguasaan Bahasa Melayu dengan pembaca kerana isu yang dibincangkan di dalam entri ini memberi impak yang cukup besar kepada masa depan umat Malaysia terutamanya generasi muda.

Saya berminat untuk menambah dalam perdebatan isu ini adalah mengenai matlamat asal sesuatu sistem pendidikan itu, pada hemat saya, matlamat utama pendidikan adalah ilmu dan bukannya bahasa. Tidak dinafikan kepentingan bahasa dalam proses pembelajaran itu, tetapi dengan menggunakan Sains dan Matematik sebagai alat untuk memperkasa Bahasa Inggeris adalah tidak bersesuaian. Tiada apa yang dapat diperkasakan andai anak-anak dan adik-adik kita setakat membaca buku teks dan latihan Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris. Kemewahan perbendaharaan kata mereka hanya terbantut pada istilah-istilah teknikal sahaja dan kemampuan membina struktur ayat dengan tatabahasa yang tepat dan betul masih gagal dicapai.

Argumen mengatakan bahawa pembelajaran subjek Bahasa Inggeris dari sekolah rendah hingga universiti yang sedia ada wujud sebelum ini gagal melahirkan individu yang fasih berbahasa Inggeris menguatkan lagi pendapat saya bahawa satu usaha rombakan yang menyeluruh perlu dilakukan dalam sistem pengajaran subjek Bahasa Inggeris. Usaha meningkatkan tahap penguaasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru harus digiatkan di semua institusi perguruan. Pemilihan bahan bacaan untuk pelajar juga perlu diperhalusi dengan memilih bahan bacaan yang mempunyai nilai mutu bahasa yang tinggi dan sekaligus mampu memperkasa penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris.

Dewan Bahasa dan Pustaka and Institut Penterjemahan Negara juga harus mengambil langkah yang lebih proaktif dengan memperbanyakkan usaha penterjemahan buku-buku, risalah-risalah, atau laporan-laporan kajian dari serata dunia untuk dijadikan bahan bacaan dan telaah buat bangsa Malaysia. Tidak ada salahnya jika didalam setiap buku teks Matematik atau Sains itu diselitkan sekali dengan istilah Inggeris bagi menerangkan istilah yang berbahasa Melayu. Maka dengan cara ini, pelajar kita bukan hanya dapat menambah penbendaharaan kata Bahasa Melayu tetapi juga Bahasa Inggeris. Maka saya tidak nampak mengapa Bahasa Melayu tidak layak digunakan sebagai medium pengantaraan dalam mataplejaran Matematik dan Sains walhal Bahasa Melayu adalah antara sepuluh bahasa teratas yang paling banyak dituturkan dalam populasi dunia dan pernah menjadi bahasa perantaraan utama dalam dunia pelayaran dan perniagaan lebih 600 tahun dulu.

Isu ini harus terus diperbahaskan dan mungkin ada eloknya satu kajian menyeluruh dijalankan di seluruh negara bagi melihat keberkesanan sistem yang diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Statistik yang tepat dan perbandingan yang adil diharap dapat memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang cara dan kaedah terbaik dalam menjulang tahap pendidikan generasi muda kita ke satu tahap yang setanding dengan ketamadunan lain.

Molek juga saya berkongsi dengan pembaca mengenai satu kesedaran yang saya perolehi dalam lawatan saya ke Jepun tahun lalu - "Bangsa Jepun maju bukan kerana mereka bijak berkata-kata (baca: menguasai Bahas Inggeris), tetapi mereka maju kerana kerajinan dan keterbukaan mereka dalam menimba ilmu."



Selasa, 16 Disember 2008

Pendekar Jawa Berbogel.....


Beberapa minggu ini tidak ada berita lain yang lebih menarik perhatian aku melainkan cita-cita seseorang Pendekar Jawa dari Sentul (bukan Ezam) untuk bertelanjang di hadapan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua ini dirancang kononnya untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Pendekar bernama, Ramlan Abu Bakar ini katanya merupakan seorang ahli PKR dan juga merupakan seorang pengusaha tempat letak kereta di Sentul. Amatlah sedih bila diketahui rupa-rupanya serangan peribadi ala gerila lucah ini disasarkan oleh Ramlan kepada Tan Sri Khalid kerana Tan Sri Khalid enggan memenuhi tuntutan Ramlan bagi mendapatkan projek kerajaan negeri. Maka mengamuklah Ramlan heboh seluruh pelusuk negeri ingin menunjukkan kepanjangan 'keris' yang dia miliki. Kononnya pendekar berjuang untuk rakyat miskin dan tertindas.

Malang sungguh bila ada di kalangan mereka yang menggelar diri mereka pejuang rakyat rupanya tidak memiliki akal fikir yang tinggi dan dikuasai moral diri yang rendah. Manusia seperti ini tidak layak digelar pejuang langsung. Nampaknya hingga ke tahap ini orang Melayu sanggup memperbodohkan diri semata-mata untuk mengaut keuntungan wang dan populariti yang tidak seberapa.

Jangan nanti bila Ramlan berjaya berbogel di hadapan dua tokoh PKR ini, dia pula bakal bersumpah di Masjid Wilayah Jalan Duta - "Saya diliwat bergilir-gilir secara paksa...."


Dunia oh dunia.....

Tahniah Abhisit - Perdana Menteri Baru Thailand


Pemimpin Demokrat, Abhisit Vejjajiva, dilantik sebagai perdana menteri ke-27 Thailand oleh Parlimen. Tahniah saya ucapkan dan semoga kestabilan politik dan keamanan akan dapat dikembalikan di bumi emas Asia Tenggara ini. Dengan perlantikan ini juga, demokrasi tulen diharapkan dapat tumbuh subur di Thailand.


Jumaat, 12 Disember 2008

Bukit Antarabangsa.....



Indah kau menggamit pandangan,
Tinggi kau memanggil pendaki,
Lurah kau memenuhi nafsu,
Lereng kau mencapah mahligai,

Nama kau gah dengan status tinggi ,
Pemaju berlumba merogol kau kerana untung,
Lebar, besar, tinggi bongkah-bongkah batu menodai kau,
Hijau kau diganti merah, biru, kuning, putih, hitam,

Orang kaya bergolok pokai untuk sekeping tanah kau,
Doktor bergadai nyawa demi sebuah rumah beralamat kau,
Peguam bertelagah mempertahankan hak kau dimastautin,
Pembesar pun tak kurang membina 'istana hinggap' di atas kau,

Bertahun kau mendiam diri,
Memberi peluang buat manusia menyedari kesilapan sendiri,
Merelakan diri terus dicemari,
Kau bersabar dan terus bersabar sampai tercabar,

Berkali kau mengamuk menunjuk amarah,
Highland Tower kau jentik berderai,
UK Heights kau redah rebah,
Kini Taman Bukit Mewah kau hempap hempas,

Harta dan jiwa kau jamah,
Rumah, kereta, kucing Siam, kolam renang kau ratah,
Timbus mati suami, isteri, saudara, teman malah musuh,
Tenggelam karam wang, emas dan sijil bon berjuta ringgit,

Rumah roboh ditindan tanah,
Batu bergolek meranap kereta,
Jalan terjungkit dek berubah mukabumi,
Sungai keruh pasal pasir melimpah,

Berhamburlah manusia mencari selamat,
Tanpa amaran kau gegar hati mereka,
Kau sentap jiwa mereka hingga luluh,
Berderai air mata mengenang malang sendiri,

Bergegaslah polis, bomba dan ambulan,
Kecemasan membantu yang parah,
Sukarelawan menolong yang mampu,
Huru-hara air dan elektrik terputus,

Beribulah umat terkepung di atas kau,
Ibarat nyawa dihujung tunduk,
Bila-bila masa kau bisa mengamuk lagi,
Runtuhkan seluruh mereka yang ada di atas,

Ramailah tiba menawar bantuan,
Niat ikhlas menolong yang susah,
Air, makanan, pakaian, ubatan semua diangkut,
Demi menghulur sedikit pertolongan,

Pak Lah, Najib, Tan Sri Khalid, Sultan Sharifuddin, Anwar Ibrahim,
Berduyun datang menunjuk muka,
Sibuk mendengar buta taklimat,
Melihat pekak kesan runtuhan,

Untung orang kau,
Sekali malapetaka singgah,
Berbulan bertahun kau bakal 'dipestakan',
Dalam tv, radio, suratkhabar dan blog,

Orang banjir di Pantai Timur,
Tidurnya di dewan sekolah sempit berbau hanyir,
Orang kau beradu di De Palma cantik wangi,
Sebab mereka orang kau,

Berhari orang datang membantu,
Membawa yang terperangkap keluar,
Nasi dihulur air dituangkan,
Orang kau campak bagi babi hutan makan,

Pondok aduan dibina untuk orang kau,
Untuk mengadu pasal orang yang datang membantu,
"Kami mangsa" kata orang kau,
"Layanlah kami seperti Raja" berbisik hati orang kau,

Anjing tersepit jangan dilepas,
Takut dilepas menggigit gila pula,
Kerajaan bertungkus susah payah,
Orang kau berpakat hendak menyaman,

Bukanlah tidak aku kesian,
Aku simpati dengan orang kau,
Tapi aku juga bingung,
Berkali kau marah mereka tak faham-faham,

Aku juga tahu bukan semua,
Bukan semua macam anjing tersepit,
Tapi dek kerana nila setitik,
Habis rosak susu sebelanga,

Entah bila kau akan aman semula,
Tak bisa marah mengamuk,
Janganlah kau hilang sabar lagi,
Aku harap mereka sedar insaf taubat,

Kau akan terus digilai,
Kau akan terus dicerobohi,
Kau akan terus didaki,
Kerana kau menjadi lambang status orang-orang kau...


Isnin, 8 Disember 2008

Salam Eid Adha....

Gambar : Gambaran Makkah Al-Mukarammah pada 2010


Sejarah pegorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail memberi impak tersendiri dalam kita menghayati perayaan termulia dalam kalendar hijrah. Ketaatan kepada perintah Allah dan jihad agung melawan hasutan syaitan dan nafsu menjadi tema penting yang harus kita tanggung dalam kehidupan kita sebagai pejuang. Akhir semua perjuangan ini adalah hidayah Allah yang ditagih jua.

Perjalanan terunggul dalam kehidupan setiap manusia yang berjiwa Islam pastinya melaksanakan ibadah Haji di Makkah Al-Mukharamah dan melawat makan Baginda Rasulullah s.a.w di Madinah menjadi acara penting dalam bulan Zulhijjah ini. Niat, wukuf di Arafah, melontar Jamrah, melakukan tawaf di Kaabah, saie di antara Marwah dan Safa, dan bertahalul akan bersungguh-sungguh dilaksanakan oleh setiap tetamu Allah. Semuanya demi mendapatkan taraf haji mabrur yang menjadi idaman setiap umat yang hadir ke sana.

Salam Eid Adha buat semua pembaca dan moga anda semua akan terus berkorban seluruh jiwa dan raga demi mencapai apa jua yang anda perjuangkan. Wassalam...

Selasa, 2 Disember 2008

Ceramah Agung dari Seorang Pemimpin Agung...






Untuk lebih gambar, klik sini


Kongres Parti KeADILan Rakyat 2008 menyaksikan kematangan sebuah parti yang berusia tidak sampai 10 tahun. Parti yang lahir dari gerakan Reformasi rakyat Malaysia pada tahun 1998 ini saya rasakan berjaya mengekalkan relevansi mereka dalam politik tanah air. Kehadiran Pakatan Rakyat sebagai alternatif terbaik kepada Barisan Nasional menghidangkan rakyat dengan pilihan yang wajar dipertimbangkan dengan serius oleh seluruh rakyat dalam mencorak pemerintahan tanah air di masa hadapan.

Dengan 'Harapan Baru' sebagai tema, satu reformasi budaya politik Malaysia yang dipelopori oleh Pakatan Rakyat menyaksikan Umno dan Barisan Nasional terduduk berpinar melihat perubahan demi perubahan yang didukung rakyat terus menenggelamkan mereka. Arus perubahan ini akan terus menular ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat ini dengan menjanjikan nilai esprit de corps untuk mereka kerana selama ini mereka ibarat 'dara cantik' yang dinodai, dirogol dan disisih begitu sahaja oleh jembalang Umno dan Barisan Nasional.

Harapan Baru - akan aku garap dan galas usaha ini demi negaraku Malaysia yang tercinta....