Jumaat, 27 Jun 2008

Sepi...

- Cinta tidak hanya datang sekali -

Saya berpeluang menonton filem karya pengarah Khabir Bhatia ini pada hari pertama ianya ditayangkan. Sebuah filem yang mengisahkan akan kesepian tiga insan bernama Adam, Sufi dan Imaan ini mengisahkan akan cinta yang dicari, yang hilang dan yang akhirnya berganti.

Awal cerita mengenai Adam (lakonan Afdlin Shauki), seorang tukang masak berjaya yang masih belum menemui kekasih hati telah dipertemukan dengan Ilyana (lakonan Vanida) di sebuah majlis perkahwinan. Suasana romantis yang diwujudkan untuk dua watak ini berjaya mengusik hati saya sebagai penonton. Kehadiran Suzie (lakonan Nasha) menambahkan 'seri' akan kisah Adam dan Ilyana ini. Sufi (lakonan Tony) pula mengisahkan akan seorang suami yang hilang arah setelah kematian isterinya namun akhirnya menemui semula sebab untuk meneruskan hidup setelah bertemu dengan Marya (lakonan Eja) dan bagaimana taat dan setianya Marya sebagai isteri kepada suaminya walau hatinya telah terpaut pada Sufi. Namun di saat ada unsur 'kecurangan' di dalam watak Marya, saya agak kurang senang kerana ianya sedikit sebanyak mencemar watak 'isteri yang baik' Marya. Imaan (lakonan Baizura) yang masih dibayangi akan kekasih lamanya Khalil (lakonan Pierre) bertarung antara realiti dan fantasi apabila bertemu dengan Ean (lakonan Syed Hussein) menjadikan jalan cerita ini lebih menarik.


Saya harus memberikan pujian kepada Khabir Bhatia kerana berjaya melahirkan suasana yang cukup indah di dalam filem ini. Berlatar-belakangkan Kuala Lumpur, Khabir berjaya memberikan 'sentuhan ajaib'nya kepada seni sinematografi dengan melahirkan satu suasana yang cukup indah buat Kuala Lumpur. Syabas saya ucapkan buat Khabir. Pada saya Sepi adalah filem kedua yang benar-benar berjaya memaparkan atau mencerminkan keindahan sebenar bandaraya Kuala Lumpur selepas filem Cinta. Keseluruhan cerita ini bagus dan menyentuh hati.


Sepi - filem buat mereka yang putus cinta, belum menemui cinta atau kehilangan cinta. Buat mereka yang telah menemui cinta - Hargailah ia hingga ke akhir hayat anda.......


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

It could give you more facts.