Ahad, 13 April 2008

Bila Tan Sri Khalid dikatakan "mabuk" kuasa....

Kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai slot satu jam siaran di Selangor FM:

"Saya berhasrat ke udara sejam seminggu untuk ditemu ramah di radio supaya saya boleh beritahu rakyat apa visi dan program saya untuk Selangor. Saya juga mencadangkan kepada mereka supaya membuka program kepada penyertaan rakyat Selangor,"katanya.

"Sudah dua minggu setengah, jika mereka masih enggan komited, saya tidak mahu mereka berada di pejabat Selangor (bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri). Pejabat Selangor FM ada di sana dan mereka gelar diri sebagai radio Selangor. Jika mereka gelarkan diri 'Radio Non-Selangor', mereka boleh cari pejabat di tempat lain, itu pandangan saya," tambahnya.



Lantas Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menjawab:

"Kita akan dapatkan tempat lain yang sesuai untuk menempatkan Radio Selangor FM. Yang pasti kita akan terus menghampiri hati rakyat negeri Selangor menerusi siaran Radio Selangor FM," katanya.

"Bagi saya isu ini bukan sejam atau dua jam masa siaran, tetapi ia menggambarkan Menteri Besar kemaruk kuasa kerana sudah lama mengidamkan tempat itu dengan berasakan sesiapa yang ada dalam bangunan itu mesti patuh kehendaknya"


Siapa yang sebenarnya mabuk kuasa?? Orang yang kalah dan 'penganut' politik sempit... atau... Seorang yang diberi mandat oleh rakyat dan sedang berusaha sedaya upaya beliau untuk merapatkan diri dengan rakyat demi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat?? Siapa yang MABUK??!!!

Pakatan Rakyat macam ISRAEL!!!

"Apakah ini suatu tindakan halus untuk mengusir orang-orang Melayu dari kampung halaman mereka sebagaimana Israel mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka?"
Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, sekarang ahli UMNO, bekas setiausaha agung Pas 1988 dan juga Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengulas mengenai projek ternakan babi di Kuala Langat, Selangor.


Demikianlah betapa 'jahat'nya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang disama taraf seperti Israel. Alahai BABI oh BABI.........


Gambar ini diambil di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur bersebelahan PWTC. Siapa sebenarnya yang Israel??

p/s - gambar ini hanya sebagai "HIASAN".................


Selasa, 8 April 2008

Babi oh Babi.....


"Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; kerana sesungguhnya ia adalah najis" (al-An'am : 145)

Isu ladang penternakan babi bernilai 100 juta di Sepang, Selangor nampaknya telah menyentuh 'sensitiviti' sesetengah 'pihak'. Kononnya ianya menyentuh sensitiviti agama dan budaya orang Melayu dan Islam. Ianya akan merosakkan alam sekitar. Ada pihak yang terus melatah dan cuba untuk memainkan isu ini di dalam alunan 'perkauman'. Dalam konteks negara majmuk Malaysia, janganlah orang Melayu terutamanya menafikan hak kaum lain yang telah hampir 50 tahun tinggal di Malaysia ini. Mereka telah bersama-sama mencorak apa yang kita kecapi hari ini.

Walau babi itu haram di sisi Islam dan ahli kitab, namun ianya adalah antara makanan yang digemari oleh orang bukan Islam terutamanya kaum Cina. Sebagai kaum kedua terbesar di Malaysia selepas kaum Melayu, hak mereka untuk mendapatkan bekalan daging babi tidak boleh dinafikan. Hak mereka untuk menternak, menjual dan memakan tidak boleh dinafikan. Selagi perkara itu tidak menjadi haram pada agama dan budaya mereka, hak mereka tidak boleh dinafikan.

Maka tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk meluluskan projek swasta bernilai 100 juta untuk pembinaan ladang babi ini adalah antara usaha untuk melunaskan hak sama rata antara semua kaum di Malaysia. Tindakan ini juga dilihat bakal menjadi contoh sekiranya apa yang dirancang dapat direalisasikan. Penggunaan teknologi dan sistem penjanaan tenaga menggunakan sumber biogas dilihat mampu untuk memulihkan imej ladang-ladang babi 'haram' yang sebelum ini memang terkenal dengan sistem kumbahan yang tidak teratur dan dibiarkan 'beroperasi' tanpa pengawasan oleh kerajaan terdahulu.

"Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak,"

-Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor-

Setakat pembacaan saya dan pengajian fardhu ain sebelum ini di sekolah, tidak pernah saya terjumpa dengan ayat Al-Quran atau hadis Rasul mengenai larangan menjual babi atau melarang orang menternaknya (jika ada harap dimaklumkan pada saya agar saya boleh lakukan pembetulan). Namun ianya terus menyentuh sensitiviti sesetengah orang Melayu Islam. Saya hairan! Mengapa bila perkara tentang babi timbul, kita terus 'melatah' dan bertindak seolah-olah kitalah 'pejuang agama' yang sebenar? Padahal ada satu lagi jenis makanan yang diharamkan Allah selama ini, sikit pun kita tidak ambil pusing - ARAK!!!

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (surah al-Ma'idah : 90)

Hari ini arak dijual dengan berleluasa. Tanpa sebarang sekatan mereka yang bernama Melayu Islam dengan mudah dapat membeli kencing syaitan ini. Anak Melayu moden kononnya terus bergelumang dengan najis arak. Gambar yang saya paparkan ini cukup untuk membuktikannya. Anak gadis kepada penyanyi jazz tersohor negara ini tanpa segan silu memegang botol arak.


Sedangkan hadis Nabi dengan jelas menyebut :

"Rasulullah saw melaknat berkenaan dengan arak itu sepuluh golongan : Orang yang memerah arak, orang yang minta diperahkan arak, orang yang meminum arak, orang yang membawa arak, orang yang minta dihantari arak, orang yang menuangkan arak, orang yang menjual arak, orang yang makan harga arak, orang yang membeli arak dan orang yang minta dibelikan arak." (Hadith riwayat Ibnu Madjah dan Tirmizi)

Bagaimana dengan orang dibawah ini?? kalau tak kenal sila cari di internet dengan menaip - Menteri Pelajaran Malaysia atau Ketua Pemuda Umno Malaysia. Pasti anda akan ketemu jawapannya.


Jadi mengapa 'jaguh' didalam UMNO terutamanya tidak berani memberi komen tentang perkara seperti ini?? Berapa ramai anak-anak Melayu Islam yang bekerja di kedai-kedai 7-Eleven, pub-pub, stesen minyak dan hotel-hotel yang 'terpaksa' menjual arak. Adakah hanya mereka sahaja yang berdosa? Mengapa UMNO dengan mazhab Islam Hadharinya tidak memperjuangkan isu seperti ini? Mengapa mereka yang berkuasa tidak meluluskan satu rang undang-undang yang menghalang orang Melayu dari menjual dan membeli arak (seperti yang dilaksanakan kerajaan Pas Terengganu)??



Itu belum lagi disentuh tentang isu judi. Mengapa Tun Hanif Omar terus berkuasa didalam Genting Group?? Mengapa pemimpin-pemimpin UMNO tidak mengecam dia?? Mengapa permit-permit kedai nombor ekor terus diluluskan?? Kenapa anak dara Melayu bertudung dibenarkan bekerja di kedai-kedai ekor?? Mengapa masih ramai orang Melayu Islam kita pergi untuk mendapatkan nombor-nombor ekor ini??

Saya tinggalkan pembaca dengan satu persoalan; Yang mana satu perlu lebih sensitiviti kita - Arak, Judi atau Babi??

Alahai.. Babi oh Babi....

Ahad, 6 April 2008

Imam Hadhari Malaysia...


Siapa lebih menghina Islam?? Wilders - seorang non-muslim yang tiada ijazah pengajian Islam dari Universiti Malaya atau Pak Lah - seorang pemimpin "negara Islam" yang berkelulusan pengajian Islam dari Universiti Malaya??

Jumaat, 4 April 2008

Buku "Reaching for the Stars" nukilan Allahyarham Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie

Buku ini telah menarik perhatian saya ketika saya mengunjungi sebuah kedai buku pada hujung minggu lepas di One Utama untuk mendapatkan naskah TopGear yang terbaru (satu-satunya majalah yang saya simpan sebagai koleksi). Buku ini dipamerkan di pintu masuk dan ruangan pameran utama kedai. Bersama naskah TopGear, saya telah membeli buku ini dengan harga RM20.

Kultinya dihiasi dengan gambar hero Malaysia iaitu angkasawan Malaysia yang pertama, Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Buku ini adalah hasil nukilan adik beliau yang paling rapat dan buku ini mengisahkan catatan adiknya yang telah kembali ke rahmatullah pada 27 Oktober 2007 akibat satu kemalangan yang cukup dramatik. Arwah yang pergi menemui kawannya pada waktu itu telah tergelincir lalu terjatuh dan kepalanya terhantuk pada pasu bunga. Setelah beberapa hari beliau menghembuskan nafas yang terakhir walaupun doktor telah cuba untuk menyelamatkan beliau dengan pembedahan.

Buku ini menceritakan tentang seorang abang yang berjaya menjadi angkasawan dari perspektif seorang adik. Satu cerita tentang hubungan kekeluargaan dan cabaran-cabaran yang dihadapi dan dikongsi bersama mereka dalam mencipta sebuah kejayaan yang cukup bersejarah. Buku ini juga menceritakan saat dimana keluarga ini perlu menghadapi dua situasi yang cukup berbeza - saat dimana seorang dari mereka akan pulang ke bumi setelah 9 hari berada di angkasa dan saat dimana seorang lagi di antara mereka yang sedang bertarung dalam menghadapi saat-saat ajal.

Buku ini untuk mereka yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang perasaan dan cabaran yang dihadapi oleh Dr Sheikh Muszaphar dan keluarga ketika menghadapi dua saat diantara tragedi dan kegemilangan. Buku ini juga mengingatkan saya pada satu perkara - walau bagaimanapun manusia itu merancang, namun perancangan Allah itu jualah yang lebih 'superior' dan hanya Dia Maha Penentu segala apa yang di ada dunia ini... Subhanallah..



Selasa, 1 April 2008

1 April 2008 - Hari bersejarah buat Fakulti Perubatan UiTM...


Hari ini, tanggal 1 April 2008, graduan pertama (2003-2008) Fakulti Perubatan UiTM seramai 19 orang telah diumumkan lulus 100% di dalam peperiksaan professional akhir mereka yang telah bermula dari 24 Mac 2008 dan berakhir pada 31 Mac 2008. Peperiksaan yang berlangsung di Hospital Selayang merangkumi tiga komponen utama iaitu teori, sesi 'long-case' dan sesi 'short-case'.

Kumpulan pelajar pertama fakulti ini yang bermula dengan penuh rendah diri di UiTM terdiri dari 20 orang pelajar pada asal penubuhannya. Menyorot kembali sejarah bagaimana mereka bermula adalah satu memori dan pengalaman yang tidak mungkin dapat dibeli di mana-mana. Menurut cerita-cerita dari senior, mereka telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke UiTM hanya melalui panggilan telefon dan diarahkan untuk mendaftar pada keesokan harinya. Mereka telah memulakan kelas dengan menumpang bilik kelas di Fakulti Sains Kesihatan UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya. Pada awal penubuhan dengan bilangan pensyarah yang tak ramai dan tanpa kemudahan infrakstruktur yang lengkap, mereka telah memulakan sebuah perjuangan bukan hanya untuk menjadi seorang doktor, malah untuk menjadi sebuah fakulti perubatan tersohor di tanahair satu masa nanti. Tahun pertama mereka ditempuh dengan banyak dugaan dimana setiap pagi mereka terpaksa menaiki bas sebelum matahari terbit untuk ke kelas di Jalan Othman dan pulang lewat petang. Mereka terpaksa menumpang di makmal anatomi UKM untuk melihat spesimen. Namun berkat usaha dan ketabahan mereka dan pensyarah, mereka semua telah berjaya melepasi tahun pertama dengan jayanya.

Tahun kedua mereka didalam pengajian, segalanya berubah. Fakulti Perubatan dipindahkan ke Kampus Shah Alam. Mereka juga menerima adik-adik baru. Pertemuan dengan senior terutama Jalil dan Gandhi di Pusat Islam adalah detik pertemuan pertama. Mereka dengan agak 'kerek' masa tu telah memberitahu kami supaya berkumpul pada malamnya di bilik senior. Dengan rasa takut kami mengingatkan akan di'ragging' oleh senior-senior ini. Rupanya tidak lebih sebagai sesi pengenalan diantara satu sama lain. Sejak dari itu kami telah menjalinkan hubungan yang amat akrab antara kami semua.

Mereka juga lah yang menjadi perintis untuk pengajian klinikal di Hospital Selayang. Mereka telah secara tidak langsung dijadikan 'guinea pig' oleh fakulti kami. Sekali lagi mereka telah menjadi panduan kepada kami apabila kami pula melangkah ke alam klinikal. Setelah 4 tahun saya berkenalan dengan mereka, mereka telah meninggalkan memori yang cukup manis buat diri saya. Saya berbangga memiliki senior seperti kalian semua dan hanya Allah dapat membalas jasa kalian semua selama ini.

Tahniah kepada semua senior yang telah berjaya menempuh 5 tahun yang penuh liku dalam usaha mereka mengenggam segulung ijazah MBBS. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua tunjuk ajar, nota dan nasihat yang telah diberikan kepada kami selama ini. Selamat Maju Jaya saya ucapkan untuk mereka dalam menempuh alam pekerjaan selepas ini.

Tahniah, Terima Kasih dan Selamat Maju Jaya....