Peribahasa ini sering kita dengar apabila berbicara mengenai sikap anak-anak di zaman siber ini yang dikatakan tidak mampu menjaga orang tua mereka. Mereka lebih rela menempatkan orang tua mereka di rumah-rumah orang tua atau dibiarkan terbiar tanpa dijaga. Tidak kurang juga ustaz-ustaz di masjid lantas menjatuhkan hukum bahawa wajib kita menjaga orang tua kita dan memberikan perhatian yang tidak berbelah bagi. Dengan purata umur masyarakat dunia termasuk Malaysia yang melebihi umur 70 tahun, maka tidak hairan di masa terdekat nanti akan lebih ramai populasi warga tua membanjiri masyarakat.
Saya setuju dan tidak berbelah-bagi bahawa orang tua wajar dijaga oleh keluarga mereka, bukannya oleh Jabatan Kebajikan atau dibiarkan merempat. Namun saya terpanggil untuk menegur mereka yang mengkritik dewasa ini akan trend atau budaya menghantar orang tua untuk dijaga oleh rumah penjagaan swasta. Bukanlah niat saya untuk mengkritik mereka yang sejujurnya rela berkorban untuk menjaga orang tua mereka, namun tujuan entri ini adalah untuk saya membuka ruang litup pemikiran dan sentimen kita terhadap mereka yang menghantar orang tua mereka ke rumah-rumah penjagaan swasta. Pada saya, tidak ada buruknya langsung dalam menghantar orang tua ke rumah penjagaan swasta. Seperti yang kita tahu, apabila sesuatu perkara itu swasta, maka ia melibatkan bayaran dan juga kualiti perkhidmatan. Maka konsumer mempunyai pilihan dan bebas untuk memilih yang terbaik untuk orang tua mereka. Mereka bebas melawat orang tua mereka dan jika mereka gagal menyelesaikan yuran penjagaan, maka perkhidmatan akan dibatalkan dan orang tua akan dipulangkan kepada anak-anak mereka. Maka pada saya, tanggungjawab menjaga orang tua itu telah terlaksana jika anak-anak mengambil keputusan untuk menghantar ke rumah penjagaan swasta.
Mungkin ada yang akan berhujah bahawa baiknya digaji pengasuh untuk menjaga orang tua berkenaan di rumah kita sendiri - namun saya kurang gemar dengan ide ini kadangkala. Sebab pertama adalah, selalunya di rumah penjagaan swasta, tenaga penjaga itu adalah terdiri daripada jururawat dan juga penjaga profesional yang terlatih dalam ilmu dan amali menjaga orang tua. Apabila dibanding dengan mereka yang digajikan, dengan selalunya warga Indonesia berumur belasan dan awal puluhan, diambil bekerja tanpa sebarang latihan dan tanpa pengetahuan yang mencukupi dalam menjaga orang tua. Namun ianya akan menjadi lebih baik jika yang digaji itu adalah jururawat atau penjaga yang terlatih. Maka jika itu yang berlaku - saya tiada halangan jika orang tua berkenaan ditempatkan di rumah si anak.
Kita harus memandang gagasan ini luar dari skop emosi dan norma masyarakat. Kita perlu sedar akan realiti sebenar. Walau kita dibesarkan oleh orang tua kita, dari bayi hingga dewasa, namun tidak mudah untuk kita menjaga orang tua kita kembali, sebagaimana mereka menjaga kita. Memang benar tidak terbalas jasa mereka kepada kita. Namun jangan pula kita si anak berhenti dari terus mencuba. Menjaga orang tua adalah memang satu pekerjaan yang paling sukar dan memerlukan tahap kesabaran yang paling tinggi. Entri ini tidak mengagaskan si anak untuk lari dari tanggungjawab, tetapi adalah untuk memberi justifikasi bagaimana tanggungjawab itu dilaksana. Tugas utama si anak sebenarnya adalah kepada keluarga dan kariernya sendiri. Tanggungjawab menyediakan nafkah untuk anak-anak dan isteri adalah lebih utama. Tanggungjawab memenuhi tuntutan karier juga adalah lebih penting.
Si anak akan hanya mampu menjaga orang tua mereka - apabila mereka MAMPU. Mampu dari segi wang, masa dan juga kudarat. Jika mereka mampu dari segi wang, maka rumah penjagaan swasta atau mengaji pengasuh adalah apa yang mereka mampu. Maka mereka dapat menumpu pada kerjaya dan keluarga mereka sendiri tanpa perlu terlalu merisaukan kebajikan orang tua mereka. Mereka hanya perlu membayar yuran penjagaan tepat pada waktunya dan juga perlu melawat mereka dengan kerap dan memastikan suasana kekeluargaan yang menggembirakan untuk si tua dan si anak.
Bagi mereka yang mampu dari segi masa dan juga kudarat, maka mereka ini mungkin bisa menjaga orang tua mereka di rumah mereka sendiri. Namun pengorbanan ini pasti ada harganya. Karier mungkin tergadai dan tumpuan pada keluarga akan terganggu dan menyebabkan konflik atau krisis bisa meletus bila-bila masa sahaja. Keadaan akan sentiasa tegang dan memberi tekanan yang sia-sia pada si anak sehinggakan kadangkala amarah itu dilepaskan pada si tua. Maka fikirkanlah yang mana lebih sesuai dengan jiwa dan naluri anda. Pada saya - kedua-duanya tetap menjadikan anda anak yang bertanggungjawab.
Oleh itu untuk kita yang masih muda, yang satu hari nanti pasti tua, mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan akan dana persaraan kita kelak. Kita seharusnya menabung untuk kehidupan hari tua kita. Kita perlu keluar dari kepompong pemikiran bahawa anak-anak kita yang wajib menjaga kita di hari tua. Kita perlu sedar bahawa kita perlu berdikari sendiri sepanjang umur hidup kita, kerana kita hidup untuk diri kita sendiri. Dana yang dikumpul seharusnya cukup bukan setakat untuk menyediakan rumah mahupun makan minum kita, tetapi juga cukup untuk kita menbayar biaya memiliki pengasuh sepenuh masa dan biaya perubatan yang lengkap andai ditakdirkan kita sakit. Kita perlu menjaga diri kita sendiri walaupun kita sudah tua.
Entri ini hanyalah sekadar mengajak kita melihat dunia tua kita dari perspektif berbeza kerana kadangkala kita terlalu mementingkan diri sehinggakan kita menghalang anak-anak kita sendiri kelak untuk mencapai kebahagian dan kehidupan yang mereka impikan. Memang benar seorang ibu bisa menjaga sepuluh orang anak, kerana si anak itu ibarat askar, menurut sahaja... dan memang benar belum tentu sepuluh orang anak bisa menjaga seorang ibu, kerana si ibu itu ibarat ratu, memerintah sahaja.....
6 ulasan:
saudara,
menarik sungguh coretan ini. saudara berpendapat bahawa seseorang anak itu tetap dianggap anak yang bertanggungjawab selagi mampu membayar yuran pusat jagaan untuk menjaga orang tuanya.
kata saudara mungkin si anak tidak punya masa untuk menjaga sendiri orang tuanya, maka dihantar ke rumah jagaan. saudara juga mengatakan kalau nak jaga di rumah nanti takut karier anak2 tergadai. takut orang tuanya jadi mangsa crisis kehidupan si anak.
tapi kenapa ya? seorang ibu itu sanggup berhenti kerja untuk menjaga anaknya yang masih kecil tapi anak2nya pula tidak sanggup berbuat demikian. dan sekiranya cara penjagaan orang tua seperti yang saudara syorkan itu menjadi ikutan, saya pasti kita juga seperti berbenarkan seorang ibu itu terus saja menyerahkan anak kecilnya kepada pusat jagaan (dan hanya dijenguk bila punya masa, kerana ini juga sama prinsipnya seperti yang saudara cuba ketengahkan.) maka kita tidak boleh mengatakan si ibu itu tidak bertanggungjawab sebab kelak anaknya juga akan berbuat demikian.
tidak saya nafikan bahawa sekarang ini memang ramai ibubapa menghantar anak mereka ke pusat jagaan tapi biasanya akan diambil untuk dijaga pada waktu malam dan hujung minggu, sama sekali tidak seperti menghantar orang tua ke rumah jagaan seperti yang saudara perkatakan.
saya setuju, menjaga orang tua memang rumit. mungkin isu penjagaan ini harus kita fikirkan secara mendalam. tapi,tepuk dada tanya selera, mahu kah kita; setelah tua, dihantar ke pusat jagaan oleh anak2 yang terlalu sibuk mengejar kemewahan dunia??
mungkin kah kita perlu bertanyakan pendapt orang tua di luar sana?? apa pendapt ibubapa saudara sendiri?
rfeev,
'Tugas utama si anak adalah kepada keluarga dan kariernya sendiri'
ternyata ayat ini cukup untuk mencerminkan keperibadian orang yang mengukapkannya. pentingkan diri sendiri!!
awak kena ingat, niat tak menghalalkan cara!
Salam kepada dua-dua pengulas,
Terima Kasih atas ulasan saudara berdua. Saya bersetuju dengan saudara tetapi mungkin sudah timbul sedikit salah faham.. yang saya katakan adalah tidak wajar jika kita katakan bahawa mereka yang menghantar orang tua mereka ke rumah penjagaan sebagai tidak bertanggungjawb.. saya juga tidak menghalang jika tuan2 sanggup untuk berhenti kerja dan menjaga orang tua.. itu bahkan lebih mulia di mata saya.. tetapi realitinya.. berat mata memandang.. berat lagi bahu memikul.. pernahkah kita bertanya pada anak yang sanggup berhenti kerja. apakah mereka rela?? dan andai mereka diberi pilihan yang lebih baik.. adakah mereka akan berubah.. tidakkah terdetik di hati kita apakah ini yang mereka mahukan?? Saya tegaskan disini bahawa tanggungjawab menjaga ibubapa adalah tanggungjawab kita... WAJIB (kalau boleh saya memberi hukum) menjaga mereka.. bukan saja dari segi agama.. bahkan dari segi kemanusiaan itu.. kita yang wajib menjaga ahli keluarga kita sendiri.. tetapi penjagaan itu bagaimana rupanya yang perlu kita perhalusi dan fahamkan...
Mungkin si anak berhenti kerja tetapi menjaga ibunya di rumah dengan membiarkan sang ibu terbaring sahaja dalam bilik lembap beralas tilam kusam dan disuap dengan nasi penyek berlauk ikan goreng sahaja.. dibanding pula dengan seorang anak yang membayar katakan RM2000 setiap bulan dengan ibunya mendapat perhatian jururawat setiap hari dan boleh berinteraksi dengan teman-teman sebaya yang lain dan setiap petang dibawa berjalan di taman-taman..
Ungkapan 'Tugas utama si anak adalah kepada keluarga dan kariernya sendiri'
Ini saya cuba gambarkan bahawa si anak itu tanggungjawabnya pada keluarga yang bergantung harap padanya sebagai pencari nafkah dan juga tuntutan karier supaya individu tersebut dapat membawa pulang hasil upahnya untuk diberi pada keluarga yang bergantung harap.. Mungkin mudah untuk kita menghukum seseorang itu mementingkan diri sendiri.. tetapi bukankah kita dilahir itu untuk diri sendiri.. apatah lagi.. siapakah kita untuk menilai seseorang itu mementingkan diri sendiri.. bukankah dia cuba berlaku adil pada semua mereka yang bergantung harap pada dirinya.. maka pernahkah kita memandang dari sudut diri orang itu sendiri.. jika kita dalam situasi orang itu.. apa yang akan kita lakukan??.. kadangkala lebih mudah berkata dan menghukum orang..
Kepada soalan dari pengulas pertama samada saya sanggup untuk dihantar ke rumah orang tua atau tidak... (saya sudah ulas perkara ini dalam perenggan ke tujuh entri) saya rasa kita perlu keluar dari pemikiran tradisional bahawa apabila tua kita mengharapkan anak-anak kita untuk menjaga kita.. seperti yang saya katakan.. jaga itu yang bagaimana?? jaga membasuh berak kita.. menyuap kita makan.. berada di hadapan kita 24 jam menjaga kita sepeti seorang bayi.. saya rasa cukup bersalah dan berdosa pada anak-anak saya jika saya buat begitu.. kita berhak emosional.. tapi kita juga wajar rasional.. kerana kita membesarkan anak-anak supaya mereka mampu berdikari menjadi manusia berguna.. kita ini perlu bersedia apa jua keadaan untuk menghadapi apa jua pun.. sedangkan menghadapi kematian pun kebanyakkan kita berdaftar dengan khairat kematian.. kerana kita bersedia.. itu yang perlu kita fikirkan.. kita sendiri bersedia dengan wangnya, ilmunya, kemudahannya dan segala persiapan mental dan fizikal.. bukan bergantung harap pada orang lain.. kerana kita ini lahirnya untuk diri sendiri... hidup untuk diri sendiri dan mati jua nanti untuk diri sendiri...
Tambahan...
Perlu difaham disini bahawa jika dijaga di rumah penjagaan sekalipun bukan bermakna tanggungjawab anak terlepas.. perlu dilawat selalu dan diluangkan masa selalu bersama orang tua kita.. maka pasti akan berhujah lebih mudah kita sendiri menjaga.. tetapi persoalannya mampukah kita.. seperti saya katakan.. menjaga anak itu ibarat kita seorang jeneral mengarahkan seorang askar.. atau si gembala menghalau sepuluh skor lembu masuk ke dalam kandang.. tetapi bila menjaga orang tua.. mereka menginginkan diri mereka dilayan seperti Raja dan Ratu.. sukarnya dan perasaan hati itu hanya Tuhan yang tahu... renung-renungkan....
Rumah untuk orang-orang tua swasta dengan penjagaan dan rawatan. Sila lawati wensite http://husna-arrashid.com
Salam...saya mempunyai nenek yg telah berusia lebih 80thn...wheelchair bound....semua anak2nya dlm lingkungan 60an...in terms of kudrat memang semua tak mampu menjaganya...kewangan insyallah..tapi itulah bila mengaji pembantu rumah ni agak sukar juga sekarang as bila suka dia berhenti dan ini membuatkan stress kepada semua anggota keluarga...duit tak kisah but kudrat tuh memang teramatlah challengingnye...saya rasa tak salah untuk menghtr ke rumah jagaan as banyak dosa rasanya anak2 dia tanggung akubat bergaduh tentang siapa nak jaga dia...semua sanggup jaga tapi kena ada maid..itulah syaratnya...masalahnya maid tak reliable...setahun sampai 3-4 orang....then nak tunggu pulak dlm 2-3 bln...semua tak sanggup...hmmmm....mereka yg tak mengalaminya memang tak faham akan permasalahan ini....jadi tolong jgn judge those yg menghntr ibu bapa mereka ke pusat jagaan...but of course but lepas tangan terus...itu baru namanya ZALIM...
Catat Ulasan