Jumaat, 10 Oktober 2008

Legasi Abdullah Badawi...


Abdullah Badawi atau lebih mesra dipanggil Pak Lah satu susuk tubuh yang begitu bertuah kerana berjaya mencatat nama sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia. Mempunyai susur galur ulama dan pejuang dalam salasilah beliau, Pak Lah hadir sebagai seorang ahli politik yang dianggap bersih hingga diberi jolokan "Mr. Clean". Buku tulisan Chamil Warya - 'Naik, Jatuh, dan Bangun Semula' menjadi mukadimah pengenalan saya terhadap kehidupan peribadi dan hayat politik Pak Lah.

Pak Lah hadir pada 2003 sebagai pengganti Mahathir telah memperlihatkan satu sinar perubahan yang menjanjikan. Pendekatan Islam Hadhari dan keterbukaan, menjelmakan Pak Lah dengan imej seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mudah didekati. Janji perubahan ke arah Cemerlang, Gemilang, Terbilang digendang ke seluruh negara ketika Pilihan Raya 2004.Hasilnya Pak Lah menang besar dengan mandat yang besar. Menghapus rasuah dijadikan misi utama Pak Lah dan kerajaan pimpinan beliau. Kebebasan untuk ruang demokrasi yang sihat juga mula diperlihatkan dalam pentadbiran Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Namun semua perubahan yang ingin dibawa Pak Lah, dari pengamatan peribadi saya, ianya telah memakan diri Pak Lah. Kebobrokan dan ketempangan parti yang diterajui Pak Lah mula dipertontonkan satu- persatu. Media yang mula mengecap nikmat kebebasan yang longgar juga ghairah melapor sehingga Pak Lah sendiri gagal mengawal rentak langkah perubahan yang ingin beliau bawa. Kecelakaan yang menimpa agenda perubahan Pak Lah ini bertambah buruk lagi apabila 'serigala-serigala' lapar disekeliling beliau gagal 'berpuasa' dari memuaskan nafsu meratah mereka yang meluap-luap. Janji-janji Pak Lah semakin sukar dilaksana dek kerana ada tangan-tangan ghaib yang berusaha keras mengagalkan gagasan perubahan Pak Lah semata-mata menutup noda-noda kejahatan mereka selama ini. Ternyata usaha ini bukan hanya berjaya menyelamatkan diri mereka tetapi juga telah berjaya menjatuhkan kredibiliti Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Skandal-skandal nakal dan sikap Pak Lah yang suka tukar-tukar cerita (baca:tipu) juga mencemar lagi status 'kebersihan' Pak Lah.

Sebelum Pilihan Raya lepas, Pak Lah sudah teruk 'dibelasah' hingga luka-luka. Luka parah Pak Lah bertukar nanah setelah Barisan Nasional gagal mencapai kemenangan yang memberangsangkan dalam Pilihan Raya lepas. Kekalahan ini menjadi buah keras yang dilempar kepada Pak Lah sebagai tuntutan beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Pak Lah ditekan dari dalam sambil jarang-jarang menepis terjahan dari luar. Ternyata Pak Lah di akhir hayat karier politik beliau, beliau menghadapi 'sakratul maut' keseorangan dan kesepian. Sesungguhnya legasi Pak Lah berakhir dengan tragis ibarat seorang tua yang dibuang dibiar mati keseorangan.

Sebagai rakyat yang rasional, kendatipun Pak Lah telah melakukan banyak langkah 'curang' selama menjadi Perdana Menteri, tidaklah semua kecurangan itu sahaja yang akan saya kenang. Pak Lah akan saya kenang sebagai seorang yang telah melonggarkan rantai-rantai zalim yang ditambat Mahathir pada tahun-tahun kediktatorannya. Demokrasi, kebebasan media dan nafas reformasi kembali berhawa oleh kerana keterbukaan longgar yang diamal Pak Lah dan tindakan beliau ini membolehkan rakyat berani bangkit dari 'kelembapan akal fikir' untuk melakukan satu anjakan paradigma demi satu ketamadunan bangsa Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Buat Pak Lah, terima kasih saya ucapkan dan moga Allah melindungi diri Pak Lah dalam limpahan keberkatanNya.



4 ulasan:

Raja Fiqri Fauwaz berkata...

artikel yang secara sinis mengkritik (bakal) bekas perdana menteri malaysia ke5.

mungkinkah dato' najib mampu menyamai, atau paling kurang pun mewarisi ketokohon Tun Abdul Razak.

Ataupun, sekadar cukup untuk memenuhi ruang yang dikosongkan oleh Pak Lah dan kemudian diambil alih oleh kerajaan PKR?

Pemimpin PKR pula asik dengan manis mulutnya dengan janji. ya, pemimpin itu sememangnya berkaliber. Pemidato terbaik malaysia. Tapi sampai bila dia asik dengan Kata-kata. Mana 16 mei? Mana "hari ini perintah kerajaan esok turun harga minyak?"

Kita tunggu dan lihat.. Aku sekedar memerhati dan menganalisis..

Aku cuma seorang pemerhati baru. Masih belum bijak dengan permainan sebegini. Harap bantu mana yang silap.

r_feev berkata...

Saudara Raja Fiqri,

Dalam memilih pemimpin politik, kredibiliti dan kemampuan individu itu menjadi kayu pengukur penting.. keperibadian juga antara aset penting seorang ahli politik.. antara Najib dan Anwar? Siapa yang anda akan pilih? Pemimpin yg mampu menyatukan semua dan memulihkan ekonomi negara? 16 September masih dalam genggaman.. tunggu dan lihat adalah yang lebih baik...

aqil berkata...

sebenarnya pak lah tak letak jawatan ar. najib akan kantoi dulu sebelum mac nanti. kemudian pak lah cakap, memandangkan najib ada masalah, dan ada desakan utk saya terus memimpin, maka setelah memikirkan kepentingan ramai, saya akan terus menjadi pm. raja petra pulak pak lah simpan dalam kamunting supaya najib tak dapat buat apa2 pada rpk. kemudian kementerian pertahanan pak lah amik sebab nak terus kutip maklumat secara langsung dari pihak risik tentera tentang kes2 najib.

siaplah najib nanti. itu analisis aku jer. analisis boleh betul boleh salah, hahaha!

r_feev berkata...

Salam aqil,

Menarik ulasan analisa anda.. atau mungkin anwar 'merampas kuasa' sebelum semua itu berlaku?? Mari sama-sama kita nantikan kesudahan pengkisahan politik Malaysia ini....