Rabu, 29 Oktober 2008

Kembali ke Zaman Gelap..



Melihat kepada senario semasa politik negara, kedudukan Najib dan Muhyiddin di dalam UMNO semakin kukuh melihat kepada jumlah pencalonan yang diterima. Kedudukan Mukhriz yang jauh meninggalkan Khairy dan Khir Toyo juga menyaksikan kem yang diwakili Najib - Muhyiddin - Mukhriz bakal berjaya menguasai jumlah undian pada Pemilihan UMNO Mac depan. Momentum 'Projek 16 September' Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat juga semakin lesu diperingkat akar umbi dengan ramai yang hilang semangat dan mula mengeluh kesah. Prestasi kerajaan-kerajaan baru juga menghadapi tekanan yang cukup besar dari majoriti rakyat yang mahukan perubahan drastik berlaku. Sekarang ini juga sudah ada cakap-cakap yang mengatakan kerajaan baru sekarang tidak jauh bezanya dengan kerajaan dahulu. Selain itu suasana dalaman parti juga agak meresahkan. Pertembungan golongan populis dan akar umbi secara terang-terangan menyebabkan beberapa bahagian masih gagal mewujudkan satu rangka kerja yang kukuh. Namun aku berharap suasana kejutan budaya ini akan beransur pulih dalam rangka kerja Pakatan Rakyat.

Perkara yang lebih merisaukan aku adalah suasana sekarang yang menyaksikan peralihan Malaysia kembali ke Zaman Gelap Mahathir. Kebebasan suara, keharmonian demokrasi dan budaya 'check and balance' yang subur sekarang ini berkemungkinan besar akan kembali ditekan, dipijak, dibenamkan, dipenjarakan dengan penggunaan akta drakonian yang masih bernyawa dan segar di Malaysia ini. Pada Mahathir, menjadi satu perkara besar yang cukup memalukan lagi menghina andai Anwar Ibrahim berjaya 'merampas kuasa' tempoh hari dan dilantik menjadi Perdana Menteri. Maka dalam beberapa bulan yang akan datang ini, Mahathir akan memastikan calon pilihannya berjaya memegang tampuk pemerintahan negara supaya segala pekong-pekong busuk dan bernanah Mahathir selama ini akan terus terkubur ditutup oleh boneka-boneka yang dikawalnya.

Saban hari aku terus berharap agar kita semua tidak akan kembali semula ke Zaman Gelap Mahathir kerana keperitan selama 10 tahun hidup diperbodohkan dan diinjak-injak minda dan fikiran tidak lagi sanggup aku hadapi. Aku akan terus berharap dan mengharap......


Isnin, 27 Oktober 2008

Seminggu yang panjang...

Minggu ini ternyata terasa panjang buat diri aku. Tugasan, undangan, tanggungjawab dan beberapa hal lain lagi menyebabkan blog ini sepi tanpa tulisan terbaru. Beberapa isu yang timbul (ekonomi, shah rukh khan, sidang parlimen, YB Teresa, pencalonan UMNO dan banyak lagi) memang layak untuk diulas namun kerana kekangan yang tak diundang hadir, semua ulasan-ulasan itu hanya berlegar di dalam mindaku sendiri dan sekitar meja kopi tatkala bersantai bersama teman-teman. Aku sajikan pada kalian lukisan ini sebagai santapan pancaindera untuk kita meleraikan ikatan kusut fikiran kita sepanjang minggu yang panjang ini....





Khamis, 16 Oktober 2008

Perkauman - bilakah kau akan pupus?


Cerpen terbaru Chamil Wariya dalam Utusan Melayu bertajuk Politik Baru YB J, memperlihatkan akan usaha-usaha pengkhianat negara ini yang terus-menerus mahu mewujudkan keadaan tidak senang antara kaum. Cerpen ini tidak lebih dari satu hasutan halus kepada 'pemuka-pemuka' bangsa untuk mengambil tindakan fizikal yang tidak bertamadun demi menghapuskan lawan dalam politik. Membaca cerpen terbaru Chamil Wariya ini, hilang terus rasa hormat aku terhadap beliau. Aku berdoa agar Allah lindungi hati anak-anak muda Malaysia dari sifat perkauman yang cuba diwariskan oleh golongan tua nyanyuk yang semakin hampir ke liang kubur ini.


Selasa, 14 Oktober 2008

Ibarat Teruna dan Dara - Pas, PKR dan DAP



"Pabila sang teruna dan dara bertemu mata, bagai gelora ditengah samudera, cinta mula singgah di pinggir hati akhirnya bertaut menjadi satu ikatan kasih. Bermadu kasih keduanya, indah bagai syurga yang diidam. Demi janji bersama, jinjang pelamin (baca: Pakatan Rakyat) menjadi pelengkap pada ikatan yang sah. Namun dunia tidak selamanya manis kerana cemburu, dengki dan hasad (baca: Mustafa Ali, Utusan Melayu, Anti-Husam, Orang Tehran poyo) akan merasuk jiwa mereka yang melihat sang teruna dan dara bahagia menuju ke mahligai (baca: Putrajaya) yang diidam. Dek kerana ikatan yang masih muda dan mentah, gelojak amarah dan cemburu menguasai minda teruna dan dara. Bercakaran, bermasam muka, bertengkar menjadi asbab kepada kegusaran, kesangsian dan wasangka yang nyaris memusnahkan. Syukur pada Allah, musyawarah dan diplomasi menjadi pendamai dan penyatu antara teruna dan dara. Moga lepas ini ikatan kasih antara teruna dara (baca: Pas, PKR dan DAP) akan terus kekal bahagia bersama mengejar mahligai yang diidam."


Hari ini mungkin antara hari-hari yang mengembirakan hatiku untuk tahun ini tatkala terbaca akan artikel ini yang bertajuk "Pas beralih angin - kini yakin '16 Sept' ". Artikel yang disiar Malaysiakini ini sedikit sebanyak telah menjelaskan isi hati pimpinan yang berada dalam Pakatan Rakyat. Secara sedar atau tidak, serangan media-media sundal yang terus-menerus menabur benih-benih prasangka, kesangsian dan cemburu di dalam hubungan kerjasama Pakatan Rakyat telah menyebabkan penyokong dan rakyat berada dalam gundah dan resah. Anasir-anasir berkepentingan dan yang mempunyai ambisi tersendiri dalam hayat politik mereka juga cuba untuk mengagalkan Pakatan ini kerana takut hilang populariti atau pengaruh. Ternyata usaha mereka menemui jalan buntu dan tidak lama lagi bakal gagal.

2008 telah menyaksikan formula kerjasama antara tiga parti pembangkang utama Malaysia ini sejak 1999 telah berjaya menidakkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional. Selama ini perpecahan antara kita telah menyebabkan Barisan Nasional terus berkuasa selama 51 tahun tanpa sebarang tentangan yang hebat dari pembangkang. Ini menyebabkan mereka terus-menerus menyalahgunakan kuasa, menghalalkan korupsi dan tidak henti-henti memenuhkan poket anak, menantu dan kroni dengan duit bertimbun-timbun. Maka saya sehingga ke hari ini masih yakin bahawa formula Pakatan Rakyat adalah ramuan terbaik untuk menjatuhkan rejim Barisan Nasional.

Saat saya menulis artikel ini, lagu nyayian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Sarimah dalam filem Tiga Abdul berulang-ulang terngiang dalam kotak fikiran saya... "Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula...."


Jemputan Aidil Fitri Pakatan Rakyat Shah Alam...





Dewan Bola Tampar di Jalan Gelova 19/46 bersebelahan Persiaran Jubli Perak.


Isnin, 13 Oktober 2008

Benarkah Pak Lah PERCAYA??



"Saya tidak percaya Datuk Seri Najib mahu untuk salah guna kuasa, jika beliau seorang yang cenderung untuk menyalahguna kuasa, kalau begitu bagaimana beliau akan menjadi pengganti saya. Saya percaya dengan beliau, saya percaya beliau seorang yang baik dan akan menjadi Perdana Menteri yang baik dan mampu untuk memberikan kepimpinan yang baik, jadi saya tidak percaya beliau terlibat dalam salah guna kuasa."

-Abdullah Ahmad Badawi, Bernama, 13 Oktober 2008-


Kenyataan ini mula menimbulkan keraguan saya. Benarkah Pak Lah percaya pada bakal pengganti beliau ini? Fikiran nakal saya membayangkan bahawa Najib bakal dicantas menjelang Mac ini oleh Pak Lah dengan memberi 'lampu hijau' kepada berita-berita panas Najib disiarkan media dan menjadi pengetahuan khalayak umum. Namun itu semua hanya 'mimpi' nakal saya yang memang berharap setiap hari agar Najib gagal menjadi Perdana Menteri...


Jumaat, 10 Oktober 2008

Legasi Abdullah Badawi...


Abdullah Badawi atau lebih mesra dipanggil Pak Lah satu susuk tubuh yang begitu bertuah kerana berjaya mencatat nama sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia. Mempunyai susur galur ulama dan pejuang dalam salasilah beliau, Pak Lah hadir sebagai seorang ahli politik yang dianggap bersih hingga diberi jolokan "Mr. Clean". Buku tulisan Chamil Warya - 'Naik, Jatuh, dan Bangun Semula' menjadi mukadimah pengenalan saya terhadap kehidupan peribadi dan hayat politik Pak Lah.

Pak Lah hadir pada 2003 sebagai pengganti Mahathir telah memperlihatkan satu sinar perubahan yang menjanjikan. Pendekatan Islam Hadhari dan keterbukaan, menjelmakan Pak Lah dengan imej seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mudah didekati. Janji perubahan ke arah Cemerlang, Gemilang, Terbilang digendang ke seluruh negara ketika Pilihan Raya 2004.Hasilnya Pak Lah menang besar dengan mandat yang besar. Menghapus rasuah dijadikan misi utama Pak Lah dan kerajaan pimpinan beliau. Kebebasan untuk ruang demokrasi yang sihat juga mula diperlihatkan dalam pentadbiran Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Namun semua perubahan yang ingin dibawa Pak Lah, dari pengamatan peribadi saya, ianya telah memakan diri Pak Lah. Kebobrokan dan ketempangan parti yang diterajui Pak Lah mula dipertontonkan satu- persatu. Media yang mula mengecap nikmat kebebasan yang longgar juga ghairah melapor sehingga Pak Lah sendiri gagal mengawal rentak langkah perubahan yang ingin beliau bawa. Kecelakaan yang menimpa agenda perubahan Pak Lah ini bertambah buruk lagi apabila 'serigala-serigala' lapar disekeliling beliau gagal 'berpuasa' dari memuaskan nafsu meratah mereka yang meluap-luap. Janji-janji Pak Lah semakin sukar dilaksana dek kerana ada tangan-tangan ghaib yang berusaha keras mengagalkan gagasan perubahan Pak Lah semata-mata menutup noda-noda kejahatan mereka selama ini. Ternyata usaha ini bukan hanya berjaya menyelamatkan diri mereka tetapi juga telah berjaya menjatuhkan kredibiliti Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Skandal-skandal nakal dan sikap Pak Lah yang suka tukar-tukar cerita (baca:tipu) juga mencemar lagi status 'kebersihan' Pak Lah.

Sebelum Pilihan Raya lepas, Pak Lah sudah teruk 'dibelasah' hingga luka-luka. Luka parah Pak Lah bertukar nanah setelah Barisan Nasional gagal mencapai kemenangan yang memberangsangkan dalam Pilihan Raya lepas. Kekalahan ini menjadi buah keras yang dilempar kepada Pak Lah sebagai tuntutan beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Pak Lah ditekan dari dalam sambil jarang-jarang menepis terjahan dari luar. Ternyata Pak Lah di akhir hayat karier politik beliau, beliau menghadapi 'sakratul maut' keseorangan dan kesepian. Sesungguhnya legasi Pak Lah berakhir dengan tragis ibarat seorang tua yang dibuang dibiar mati keseorangan.

Sebagai rakyat yang rasional, kendatipun Pak Lah telah melakukan banyak langkah 'curang' selama menjadi Perdana Menteri, tidaklah semua kecurangan itu sahaja yang akan saya kenang. Pak Lah akan saya kenang sebagai seorang yang telah melonggarkan rantai-rantai zalim yang ditambat Mahathir pada tahun-tahun kediktatorannya. Demokrasi, kebebasan media dan nafas reformasi kembali berhawa oleh kerana keterbukaan longgar yang diamal Pak Lah dan tindakan beliau ini membolehkan rakyat berani bangkit dari 'kelembapan akal fikir' untuk melakukan satu anjakan paradigma demi satu ketamadunan bangsa Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Buat Pak Lah, terima kasih saya ucapkan dan moga Allah melindungi diri Pak Lah dalam limpahan keberkatanNya.



Rabu, 8 Oktober 2008

Pak Lah tidak bertanding Presiden UMNO Mac depan...


Penantian kepada teka-teki peralihan kuasa Pak Lah terjawab petang tadi apabila pengumuman mengenainya dibuat sejurus tamat mesyuarat majlis tertinggi BN. Panggilan telefon dan pertanyaan politik diajukan pada saya apakah implikasi kepada pengumuman Pak Lah ini. Dek kerana masih terkejut, saya sendiri gagal untuk mengeluarkan analisa saya sendiri. Saya hanya mampu menjawab "Entahlah!". Namun setelah menilai semula dan mendalami betul-betul langkah politik terbaru ini, saya mula teringat kembali kepada sebab asal mengapa saya terjun menyatakan pendirian dalam proses perjuangan politik tanah air - Reformasi.

Tidak kira samada Pak Lah, Najib atau Anwar sekalipun yang menjadi Perdana Menteri, sebab utama saya begitu mengambil berat akan hala tuju politik negara adalah semata-mata ingin menyaksikan satu reformasi total dalam sistem pentadbiran, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial masyarakat Malaysia. Saya mengimpikan menyaksikan masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakt bertamadun yang bebas dan matang dalam pemikiran dan tindakan mereka. Semua ini akan hanya tercapai melalui satu usaha reformasi yang total dan merangkumi setiap aspek dalam kehidupan masyarakat.

Selagi hayat dikandung badan, usaha Reformasi ini akan tetap saya pegang dan terus perjuangkan....


Isnin, 6 Oktober 2008

Kita...


Siapa kita?
Kita siapa?

Hamba Tuhan yang berakal,

Berfikir merenung,

Mengapa kita?
Kita mengapa?

Lemah jiwa menaakul,

Ketakutan ditakutkan,


Bagaimana kita?

Kita bagaimana?

Bebas matang,

Gagah mengejar sinar,


Adakah kita?

Kita adakah?

Jaya menakluk ilmu,

Bodoh dalam kesombongan,


Bilakah kita?

Kita bilakah?

Dicerahkan mencerahi,

Merayakan akal fikir.


-Rfeev-

Eid Fitri yang malu-malu...


1 Syawal telah berlalu. Begitu juga dengan cuti seminggu yang aku penuhkan dengan membaca buku-buku pencerahan terbitan Institut Kajian Dasar dan MEGC. Tugasan akademik disiapkan sambil merungkai belenggu yang menghijab minda ini dari berfikir.

Raya ini menyaksikan beberapa isu menjadi bualan utama di ruang tamu rumah-rumah yang dikunjungi. Isu politik, ekonomi, masalah pendidikan hinggakan kepada cerita-cerita mistik Melayu turut dibicarakan. Namun masih ada unsur berlapik-lapik dalam perbualan apabila timbul isu-isu sensitif seperti politik dan perkauman. Sebagai anak muda saya lebih gemar mengambil langkah mendiamkan diri dan memerhati mereka yang lebih berumur berbicara walau kebanyakkan waktunya jiwa ini meronta-ronta ingin mengeluarkan hujah namun dek kerana memikirkan menjaga muhibah perayaan besar Islam ini, saya terus membisu dan mencelah dengan kadar suam-suam kuku sahaja.

Eid Fitri ini telah menjadikan saya malu-malu dalam berhujah...