Isnin, 21 Julai 2008

Ketuanan Melayu - Apa Tuan-tuan ??

Melayu - Mereka yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.
-Perlembagaan Malaysia-


Di tahun 2008 ini sudah tidak asing lagi apabila kita mampu bertutur dengan rakan-rakan mahupun saudara-saudara kita yang Cina, India, Iban, Kadazan dan banyak lagi etnik di Malaysia ini dengan Bahasa Melayu. Orang Cina pagi-pagi pun makan nasi lemak malah Yang Berhormat berbangsa India pun boleh pakai songkok bila ke sidang dewan perwakilan. Banyak dari rakan kita ini fasih berbahasa Melayu dan kadangkala mereka juga amal budaya Melayu. Namun apa yang mereka tidak miliki adalah agama Islam. Itu sahaja yang tinggal membezakan kita orang Melayu dan bangsa lain. Itupun jika mereka bukan Islam. Dengan ramai mualaf dan keluarga Islam bukan Melayu, mereka juga kebanyakkannya telah mengamalkan cara hidup orang Melayu dan bertutur bahasa Melayu.

Hari ini isu ketuanan Melayu hangat diperkatakan. Umat Melayu dikatakan semakin berpecah. Tidak ada perpaduan dan semakin lemah. Hak istimewa orang Melayu semakin tercalar. Benarkah?

Saya cuba menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara. Sebelum merdeka, sudah wujud dua parti besar yang mewakili orang Melayu; PKMM dan Umno. Hartal yang berjaya dilaksanakan diseluruh negara anjuran gabungan Putera-AMCJA dimana PKMM menjadi tunjang pada gerakan ini telah menyebabkan darurat diisytihar kononnya untuk menentang komunis.Namun Umno yang dianggotai ramai golongan bangsawan, mereka lebih disenangi British dan mereka lebih 'mesra' dengan penjajah negara ini sehinggakan banyak pimpinan PKMM telah ditangkap dan PKMM diharamkan. Umno 'dipertahankan' British untuk mewakili orang Melayu. Tidak lama kemudian, sayap agama Umno pula berpecah dari Umno gara-gara pertembungan dua tokoh Melayu ketika itu Tunku Abdul Rahman dan Saudara Ahmad Fuad. Maka terbentuklah Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas). Umat Melayu sekali lagi terpecah. Di saat itu juga sudah ada parti-parti haluan kiri lain yang dianggotai orang Melayu antaranya Parti Rakyat Malaya. 1988, Umno sekali lagi berpecah apabila wujudnya pertembungan Mahathir dan Tengku Razeleigh hingga tertubuhnya Semangat 46. Namun semangat parti ini luntur dan kembali ke pangkuan Umno. Tatkala Anwar dibuang dari Umno, atas nama gerakan reformasi, Parti Keadilan ditubuhkan dan beberapa tahun kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia hingga membentuk Parti Keadilan Rakyat yang tunjangnya Melayu namun dianggotai ramai orang bukan Melayu juga. Jika dilihat pada Pas dan PKR, mereka ini semua saat keluar dari Umno telah terus meninggalkan ideologi politik perkauman. Mereka memilih ideologi yang lebih kukuh dimana Pas dengan agenda Islam dan universal dan PKR atas dasar keadilan sejagat. Semangat 46 yang amal politik perkauman terpaksa kembali ke lubuk asal dimana ia timbul kerana sukarnya memastikan survival politik mereka.

Saya hairan mengapa sekarang, dengan jelas pasca PRU 12 lalu, di saat Umno sudah tewas dikebanyakkan negeri, barulah isu ketuanan ini timbul. Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini kerana pada saya ianya tidak lebih dari 'desperate call' dari Umno untuk meraih kembali sokongan orang Melayu kepada mereka yang sebenarnya memang telah berkurang semenjak 1999 lagi. Pada saya sebagai anak pasca merdeka, saya akui saya hargai perjuangan bangsa Melayu dahulu memerdekakan Tanah Melayu. Namun di saat negara sudah merdeka 50 tahun, saya hairan kenapa masyarakat kita masih gagal untuk menganggap orang Cina dan India adalah saudara kita. Saya akui dikalangan masyarakat Cina dan India juga mereka sukar untuk bersatu dengan orang Melayu. Kenapa ini terjadi padahal kita telah merdeka 50 tahun dan dari kecil pergi ke sekolah yang sama antara anak Melayu, Cina dan India? Semuanya kerana syak wasangka sesama kita yang memang berakar umbi hingga ke dasar hubungan sosial masyarakat kita. Semua beban kesalahan permasalahan ini akan saya terus letakkan dibahu kerajaan BN dan Umno, MCA, MIC kerana mereka ini masih lagi mengamalkan politik perkauman sehinggakan kita gagal untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan madani. Saya tahu ramai pejuang Melayu (baca : buta tuli) yang akan mengatakan saya sudah lupa bangsa dan mengambil pendekatan DAP. Saya tidak kisah kerana saya faham kenapa mereka jadi begini kerana telah 50 tahun pemikiran mereka dijumudkan oleh didikan Umno dan BN.

Hasil dari satu usrah yang saya ikuti baru-baru ini, isu ketuanan Melayu telah dibangkitkan. Saya kagum dan amat bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Mantan Presiden Pertama Abim; beliau mengatakan yang penting di zaman ini bukanlah ketuanan bangsa itu tetapi kualiti bangsa itu sendiri. Kualiti dari segi pendidikan, akhlak, pemikiran dan pekerjaan. Dimana kita orang Melayu selama 50 tahun menjadi Tuan? Kenapa masih ramai orang Melayu yang miskin? Masih ramai anak Melayu mati merempit dan terjebak dengan dadah. Gadis Melayu bunting luar nikah dan membuang anak di longkang. Anak Melayu jugalah yang ponteng sekolah dan menganggotai kumpulan samseng. Ramai bapa dan atuk Melayu jugalah hari ini yang merogol anak atau cucu sendiri. Graduan Melayu yang menganggur jugalah yang paling ramai. Kalau di kampung-kampung, rumah kepada ketua cawangan Umno kampung itulah yang paling besar dan siap diperbuat dari batu. Polis, Pegawai Daerah, Ahli Majlis PBT, dan Menteri Melayu jugalah yang ambil rasuah, bagi projek kepada keluarga dan memiliki ramai kroni di kalangan bangsa Cina dan India.

Maka isu ketuanan apalagi yang mahu kita perkatakan. Sudah 50 tahun Umno diberi peluang memerintah, mereka masih gagal menjadikan bangsa Melayu itu satu bangsa berkualiti. Niat mereka hanyalah untuk terus mempertahankan kuasa agar mereka bisa terus merompak harta rakyat, kontrak-kontrak kerajaan dan membolot harta kekayaan untuk diri dan keluarga serta kroni-kroni. Telah tiba saatnya kita mengubah nasib bangsa kita ini sendiri dengan menolak Umno jauh-jauh dan kembalikan kebebasan bersuara, menimba ilmu dunia dan akhirat dan seterusnya mewujudkan generasi bangsa Islam Melayu yang lebih mampu untuk bersaing dengan bangsa lain.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Just wondering, ada kah agaknya orang Cina yang tak berhenti-henti mencari salah pemimpin Cina dan juga bangsa Cina? Ada kot? Apa seronoknya ye?

r_feev berkata...

Salam...
Inilah yang dikatakan kualiti bangsa.. apa guna saya mengutuk bangsa cina atau india jika bangsa saya sendiri masih gagal mencapai kualiti yang diharapkan.

Kita terlampau takut menerima kutukan walau dari saudara sebangsa sendiri.. Memang saya salahkan pemimpin melayu kerana mereka ini pemimpin kita.. apa guna mereka dipanggil pemimpin jika mereka gagal membangunkan bangsa dari segi ilmu, akhlak dan pemikiran..

Allah takkan ubah nasib satu bangsa melainkan bangsa itu sendiri yang megubahnya...

renungkanlah...