Khamis, 31 Julai 2008

Laporan Perubatan Saiful Bukhari (2)...

- gambar di ambil dari Suara Keadilan -




Sila klik pada gambar


Isnin, 28 Julai 2008

Laporan Perubatan Saiful Bukhari Azlan



Disini saya lampirkan gambar salinan laporan perubatan Saiful Bukhari Azlan yang telah menuduh DSAI sebulan lalu bahawa dirinya telah diliwat. Melihat kepada laporan ini, saya sendiri tidak berani mengesahkannya kerana gambar yang saya lampirkan ini kurang jelas. Namun begitu melihat kepada format, cara ianya diisi dan formaliti borang ini, borang ini bisa digunakan sebagai bukti mahkamah atau sebagai medicolegal evidence. Namun kesahihannya masih perlu disiasat dan bagaimana ianya boleh diperolehi juga perlu disiasat.

Ada pihak mungkin meragui kesahihan laporan ini kerana ianya adalah rahsia dan sulit. Namun jika beberapa bulan dahulu kita dikejutkan dengan gambar bedah siasat Arwah Nurin Jazlin yang tersebar di internet. Koleksi gambar forensik dalam pegangan Polis dan Jabatan Forensik HKL boleh diperolehi dengan mudah apatah lagi jika laporan perubatan dari Hospital Pusrawi yang merupakan sebuah hospital swasta, lebih mudahlah akses untuk mendapatkan maklumat-maklumat sulit seperti ini.

Alhamdulillah doa kita semua (penyokong DSAI mahupun Saiful Bukhari) kehadrat Ilahi agar kebenaran menjelma, akhirnya termakbul jua. Mungkin disaat ini adalah masa yang sesuai untuk kita semua bermuhasabah diri agar menilai siapa diri kita sebenarnya dan mengapa Allah menguji kita semua di Malaysia ini dengan fitnah-fitnah sedemikian rupa. Buat yang menfitnah, pintu taubat Allah masih terbuka luas dan mohonlah akan keampunanNya dan yang difitnah. Buat yang menjadi mangsa fitnah, bersyukurlah kepada Allah dan teruskanlah amal kepadaNya dan berdoalah agar dijauhi dari fitnah-fitnah besar seperti ini. Saya berdoa agar Allah terus melindungi kita semua daripada fitnah-fitnah jahat seperti ini di masa hadapan kerana fitnah seperti ini nyaris-nyaris mencabut keimanan dan kesabaran kita sebagai umat di Malaysia ini. Wallahualam...


Isnin, 21 Julai 2008

Ketuanan Melayu - Apa Tuan-tuan ??

Melayu - Mereka yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.
-Perlembagaan Malaysia-


Di tahun 2008 ini sudah tidak asing lagi apabila kita mampu bertutur dengan rakan-rakan mahupun saudara-saudara kita yang Cina, India, Iban, Kadazan dan banyak lagi etnik di Malaysia ini dengan Bahasa Melayu. Orang Cina pagi-pagi pun makan nasi lemak malah Yang Berhormat berbangsa India pun boleh pakai songkok bila ke sidang dewan perwakilan. Banyak dari rakan kita ini fasih berbahasa Melayu dan kadangkala mereka juga amal budaya Melayu. Namun apa yang mereka tidak miliki adalah agama Islam. Itu sahaja yang tinggal membezakan kita orang Melayu dan bangsa lain. Itupun jika mereka bukan Islam. Dengan ramai mualaf dan keluarga Islam bukan Melayu, mereka juga kebanyakkannya telah mengamalkan cara hidup orang Melayu dan bertutur bahasa Melayu.

Hari ini isu ketuanan Melayu hangat diperkatakan. Umat Melayu dikatakan semakin berpecah. Tidak ada perpaduan dan semakin lemah. Hak istimewa orang Melayu semakin tercalar. Benarkah?

Saya cuba menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara. Sebelum merdeka, sudah wujud dua parti besar yang mewakili orang Melayu; PKMM dan Umno. Hartal yang berjaya dilaksanakan diseluruh negara anjuran gabungan Putera-AMCJA dimana PKMM menjadi tunjang pada gerakan ini telah menyebabkan darurat diisytihar kononnya untuk menentang komunis.Namun Umno yang dianggotai ramai golongan bangsawan, mereka lebih disenangi British dan mereka lebih 'mesra' dengan penjajah negara ini sehinggakan banyak pimpinan PKMM telah ditangkap dan PKMM diharamkan. Umno 'dipertahankan' British untuk mewakili orang Melayu. Tidak lama kemudian, sayap agama Umno pula berpecah dari Umno gara-gara pertembungan dua tokoh Melayu ketika itu Tunku Abdul Rahman dan Saudara Ahmad Fuad. Maka terbentuklah Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas). Umat Melayu sekali lagi terpecah. Di saat itu juga sudah ada parti-parti haluan kiri lain yang dianggotai orang Melayu antaranya Parti Rakyat Malaya. 1988, Umno sekali lagi berpecah apabila wujudnya pertembungan Mahathir dan Tengku Razeleigh hingga tertubuhnya Semangat 46. Namun semangat parti ini luntur dan kembali ke pangkuan Umno. Tatkala Anwar dibuang dari Umno, atas nama gerakan reformasi, Parti Keadilan ditubuhkan dan beberapa tahun kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia hingga membentuk Parti Keadilan Rakyat yang tunjangnya Melayu namun dianggotai ramai orang bukan Melayu juga. Jika dilihat pada Pas dan PKR, mereka ini semua saat keluar dari Umno telah terus meninggalkan ideologi politik perkauman. Mereka memilih ideologi yang lebih kukuh dimana Pas dengan agenda Islam dan universal dan PKR atas dasar keadilan sejagat. Semangat 46 yang amal politik perkauman terpaksa kembali ke lubuk asal dimana ia timbul kerana sukarnya memastikan survival politik mereka.

Saya hairan mengapa sekarang, dengan jelas pasca PRU 12 lalu, di saat Umno sudah tewas dikebanyakkan negeri, barulah isu ketuanan ini timbul. Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini kerana pada saya ianya tidak lebih dari 'desperate call' dari Umno untuk meraih kembali sokongan orang Melayu kepada mereka yang sebenarnya memang telah berkurang semenjak 1999 lagi. Pada saya sebagai anak pasca merdeka, saya akui saya hargai perjuangan bangsa Melayu dahulu memerdekakan Tanah Melayu. Namun di saat negara sudah merdeka 50 tahun, saya hairan kenapa masyarakat kita masih gagal untuk menganggap orang Cina dan India adalah saudara kita. Saya akui dikalangan masyarakat Cina dan India juga mereka sukar untuk bersatu dengan orang Melayu. Kenapa ini terjadi padahal kita telah merdeka 50 tahun dan dari kecil pergi ke sekolah yang sama antara anak Melayu, Cina dan India? Semuanya kerana syak wasangka sesama kita yang memang berakar umbi hingga ke dasar hubungan sosial masyarakat kita. Semua beban kesalahan permasalahan ini akan saya terus letakkan dibahu kerajaan BN dan Umno, MCA, MIC kerana mereka ini masih lagi mengamalkan politik perkauman sehinggakan kita gagal untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan madani. Saya tahu ramai pejuang Melayu (baca : buta tuli) yang akan mengatakan saya sudah lupa bangsa dan mengambil pendekatan DAP. Saya tidak kisah kerana saya faham kenapa mereka jadi begini kerana telah 50 tahun pemikiran mereka dijumudkan oleh didikan Umno dan BN.

Hasil dari satu usrah yang saya ikuti baru-baru ini, isu ketuanan Melayu telah dibangkitkan. Saya kagum dan amat bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Mantan Presiden Pertama Abim; beliau mengatakan yang penting di zaman ini bukanlah ketuanan bangsa itu tetapi kualiti bangsa itu sendiri. Kualiti dari segi pendidikan, akhlak, pemikiran dan pekerjaan. Dimana kita orang Melayu selama 50 tahun menjadi Tuan? Kenapa masih ramai orang Melayu yang miskin? Masih ramai anak Melayu mati merempit dan terjebak dengan dadah. Gadis Melayu bunting luar nikah dan membuang anak di longkang. Anak Melayu jugalah yang ponteng sekolah dan menganggotai kumpulan samseng. Ramai bapa dan atuk Melayu jugalah hari ini yang merogol anak atau cucu sendiri. Graduan Melayu yang menganggur jugalah yang paling ramai. Kalau di kampung-kampung, rumah kepada ketua cawangan Umno kampung itulah yang paling besar dan siap diperbuat dari batu. Polis, Pegawai Daerah, Ahli Majlis PBT, dan Menteri Melayu jugalah yang ambil rasuah, bagi projek kepada keluarga dan memiliki ramai kroni di kalangan bangsa Cina dan India.

Maka isu ketuanan apalagi yang mahu kita perkatakan. Sudah 50 tahun Umno diberi peluang memerintah, mereka masih gagal menjadikan bangsa Melayu itu satu bangsa berkualiti. Niat mereka hanyalah untuk terus mempertahankan kuasa agar mereka bisa terus merompak harta rakyat, kontrak-kontrak kerajaan dan membolot harta kekayaan untuk diri dan keluarga serta kroni-kroni. Telah tiba saatnya kita mengubah nasib bangsa kita ini sendiri dengan menolak Umno jauh-jauh dan kembalikan kebebasan bersuara, menimba ilmu dunia dan akhirat dan seterusnya mewujudkan generasi bangsa Islam Melayu yang lebih mampu untuk bersaing dengan bangsa lain.

Sabtu, 19 Julai 2008

Isu Pas - UMNO...

Umno disaat ini kelihatan semakin terdesak dengan cuba melaga-lagakan antara ahli Pakatan Rakyat dalam usaha mempertahankan kekuasaan dan kekejaman mereka. Pendedahan yang dibuat pada blog Malaysia waves ada baiknya kita perhalusi dan siasat sebaik mungkin kerana jika benar Pas akhirnya menyertai BN, maka segala usaha rakyat selama ini hancur dan para pimpinan Pas yang terlibat dalam usaha penggabungan ini saya katakan (secara peribadi) bahawa ianya satu pengkhianatan terbesar yang mereka pernah lakukan terhadap orang Melayu Islam di Malaysia.

Pada ketika ini, BN dan UMNO terutamanya, semakin tertekan dan kelemasan. Kuasa mereka sekarang sudah berada di hujung perjalanan. Melihat kepada beberapa langkah mereka akhir-akhir ini semakin membuktikan akan keterdesakan mereka untuk mempertahankan kuasa. DSAI ditangkap, Shabery Cheek tewas dalam debat, BTN terus disalahguna untuk memburukkan DSAI, malah diperingkat universiti juga ada usaha untuk memaksa pelajar memberi sokongan kepada UMNO dengan anjuran 'program-program pencerahan' bertopengkan nama Ketuanan Melayu. Media terus disalahguna. Nasihat saya pada media yang bodoh dan buta tuli dan juga membabi buta ini, lebih baik tak payah datang sidang media pembangkang kalau terus-menerus melakukan penipuan dan fitnah. Rakyat dah jijik!

Saya berdoa saban hari moga pengabungan Pas dan UMNO tidak akan berlaku kerana saya masih teringat pesanan TGNA dimana Rasullulah saw pernah berpesan bahawa jika kamu memasukkan tangan kamu ke dalam satu lubang dan kemudian dipatuk, janganlah kamu masukkan tangan kamu ke lubang yang sama dua kali. Ingatlah wahai pimpinan Pas yang terlibat dalam usaha seperti ini - anda adalah PENGKHIANAT kepada Islam dan Melayu andai perjuangan kami rakyat selama ini terkubur dek kerakusan dan ketamakan anda sekalian.

Khamis, 17 Julai 2008

Sidang Media Anwar di Kediamannya...

Selesai tugasan penting saya pada jam 9 pagi, saya segera bergegas ke IPK Kuala Lumpur di saat menerima pesanan ringkas menyebut Anwar akan dibebaskan. Semalam selepas terlepas untuk berhimpun di IPK sejurus penangkapan ala 'kebinatangan' ke atas Anwar, semangat saya hari ini sangat teruja untuk menyambut pembebasan beliau.

Menyusuri Jalan Kuching ke arah Kuala Lumpur, alhamdulillah tiada halangan dalam bentuk kesesakan yang disebabkan oleh polis tidak berlaku sepanjang perjalanan saya ke IPK. Setibanya saya di sana hanya kelihatan tidak sampai 20 orang penyokong yang hadir dan selebihnya hanyalah para wartawan. Saya sempat menyapa seorang AJK AMK dan beliau menjelaskan Anwar sudah selamat tiba di kediamannya di Segambut.

Saya tiba di kediaman Anwar di Segambut kira-kira jam 11.30 pagi setelah bersusah-payah mencari akan letaknya Bukit Segambut. Kelihatan para penyokong dan wartawan dari media dalam dan luar negeri sudah mulai berhimpun dihadapan rumahnya. Kawalan keselamatan yang ketat disekitar kediaman Anwar, menghalang media dan para penyokong untuk menemui beliau. Namun tindakan ini diambil bagi membolehkan Anwar berehat kerana beliau dalam kesakitan dan keletihan kerana terpaksa tidur di atas lantai sepanjang malam ketika ditahan di lokap IPK Kuala Lumpur. Doktor peribadi beliau juga telah dipanggil untuk memberikan rawatan terutama untuk sakit belakang yang beliau alami.

Tika berkumpul, kami para penyokong dihidangkan dengan gambar-gambar yang disiarkan dalam surat khabar berbahasa Cina mengenai kejadian penangkapan Anwar yang ala kebinatangan semalam. Syabas buat mereka. Polis yang hadir dengan memintas kenderaan Anwar, lengkap bertopeng dan berbaju kali peluru, dengan penuh 'kebinatangan' telah menahan Anwar.

Jam 2 petang, setelah penyokong dan media dibenarkan masuk ke perkarangan kediaman Anwar, sidang media dimulakan walau hujan mulai turun rintik demi rintik. Alhamdulillah, tatkala saya dapat melihat susuk tubuh Anwar, beliau dalam keadaan selamat dan tragedi mata lebam 10 tahun lalu tidak berulang. Syukur. Anwar menjelaskan mengenai kejadian semalam dan kronologi penangkapan hinggalah beliau dibebaskan pagi ini. Anwar juga turut menjelaskan mengapa beliau enggan menyerahkan sampel darah beliau dan hingga ke tahap mana beliau telah diperiksa secara fizikal. Ulasan lanjut mengenai kronologi ini boleh dibaca disini. Sidang media yang berlangsung selama setengah jam menyaksikan kehadiran ramai pimpinan tinggi PKR dan PAS ke kediaman Anwar. Anwar dengan tegas secara tersiratnya tidak akan berundur dari perjuangan ini walau telah ditangkap semalam dan kelihatannya selepas selesai Debat Minyak tempoh hari, kredibiliti Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam tidak mungkin terbendung lagi melihatkan respon kebanyakkan rakyat akan cadangan beliau ketika debat itu. Saya mula meninggalkan perkarangan rumah Anwar pada jam 3.15 petang.

Melihat kepada episod terbaru ini, setiap langkah yang diambil oleh kerajaan BN dan Umno pasca pilihanraya lalu memperlihatkan mereka semakin terbelakang, lemas di dalam laut yang luas dan hanya mampu untuk bercapai pada apa saja benda atau perkara yang sempat mereka capai. Mereka dalam BN dan Umno terutamanya semakin hilang arah dan sanggup di saat-saat genting ini untuk menpergunakan apa sahaja; agensi kerajaan, polis, tentera, dan media perdana untuk terus cuba menghambat semangat kebangkitan rakyat bersama Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Kebangkitan ini akan hanya mampu dilambatkan oleh fitnah-fitnah jahat dan pembohongan demi pembohongan berterusan yang dilakukan oleh puak-puak konspirator (baca : gila kuasa) NAMUN akhirnya di kesudahan episod dramatik politik Malaysia ini; Pakatan Rakyat akan menang dan insyallah Anwar bakal menjadi Perdana Menteri kita semua. Amin...

p/s - mari kita juga sama-sama berdoa akan keselamatan Raja Petra dan moga beliau dianugerahkan kecekalan dan keberanian untuk terus mendedahkan mengenai isu pembunuhan Altantuya.

Anwar DIBEBASKAN

Terkini 9.45 pagi - Anwar sekarang dalam proses ikat jamin dan akan dibebaskan dan satu sidang media akan diadakan di rumahnya pada jam 2 petang ini...


Anwar ditahan.. (5)

Penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat diminta berkumpul esok di IPK Kuala Lumpur seawal jam 8 pagi...

Rabu, 16 Julai 2008

Anwar ditahan hari ini (4)

Terkini jam 11.07 malam - Setelah dibawa ke HKL, tiada pemeriksaan DNA pun dijalankan terhadap Anwar. Namun yang pasti beliau akan direman malam ini di IPK Kuala Lumpur dan sumber masih tidak pasti lagi berapa lama Anwar akan ditahan polis.

Anwar ditahan hari ini (3)

Terkini 8.00 malam - Anwar dibawa keluar dengan kenderaan polis untuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk ujian DNA. Kepastian samada beliau akan ditahan polis malam ini untuk mendapatkan perintah mahkamah esok untuk tahanan reman masih belum dapat dipastikan.


Anwar ditangkap hari ini (2)

Terkini jam 6.50 petang - Anwar akan dibawa ke hospital untuk mengambil DNA beliau. Namun kelibatnya masih tidak kelihatan keluar dari IPK Kuala Lumpur...

Anwar ditangkap hari ini...

Tragedi hitam tahun 1998 diulang tayang pada hari ini apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim ditangkap ketika dalam perjalanan ke IPK Kuala Lumpur pada jam 12.55 tengah hari tadi. Kereta yang dinaiki DSAI dipintas di hadapan Masjid Segambut. Beliau ditangkap oleh unit khas polis lengkap bertopeng dan telah dibawa pergi menggunakan sebuah kenderaan polis tidak bertanda.

Terkini; Jam 6.15 petang - 400 penyokong hadir di hadapan IPK Kuala Lumpur. Menurut sumber saya yang berada di tempat kejadian, dua buah trak 'water cannon' telah bersiap sedia dan unit pencegah rusuhan juga telah dikerah ke tempat kejadian. 'SB' juga kelihatan berkeliaran ramai di kalangan penyokong. Penyokong semua berkumpul dalam keadaan tenang danmasih menunggu DSAI yang setakat ini telah ditahan selama 5 jam. Peguam dan ahli keluarga DSAI ada bersama beliau di dalam IPK. Menurut sumber lagi, berkemungkinan si penuduh, Saiful Bukhari Syed Azlan juga dilihat dibawa masuk ke IPK menggunakan kenderaan polis.

Debat Minyak : Hari Ini Tubuh Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak...


Berbekal sedikit pengalaman saya berdebat di bangku sekolah dahulu, secara jelas, jika kita bicara dari segi fakta dan realiti, Dato' Seri Anwar Ibrahim bisa diisytihar sebagai pemenang dalam perdebatan sebentar tadi. Buat mereka yang terlepas untuk menonton debat yang berlangsung tadi boleh melayari link ini untuk ulasan atau menonton secara online melalui link ini.

Serangan peribadi menjadi tema hujah sang Menteri Penerangan, manakala sang Rajawali Anwar Ibrahim dengan bijaksana mengemukakan hujah berdasarkan fakta dan angka sahih dari laporan-laporan ekonomi rasmi. Jika dilihat dari pusingan debat yang berlangsung, maka saya katakan Anwar tewaskan sang Menteri 4 berbalas 0.

Moga dari pendebatan ini, rakyat akan lebih jelas siapa yang benar-benar mengambil berat akan masalah rakyat dan berani berjuang untuk mereka walaupun maruah diri sendiri hampir tergadai dek fitnah jahat dan pembohongan yang terus-menerus ditabur demi mengelirukan lagi pemikiran rakyat.

p/s- buat pengunjung blog, sila undi pada poll yang disediakan berkaitan Debat Minyak : Hari Ini Tubuh Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak


Sabtu, 12 Julai 2008

Artikel Tuan Guru Nik Aziz - Pilih Pakatan Rakyat ganti Kerajaan BN/Umno

Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan. Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?). Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara. Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno. Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun. Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan. Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior". Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu? Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa Ajam kecuali dengan taqwa."

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu. Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT. Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi. Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat. Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini. Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi. Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri. Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa. Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an. Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan. Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi. Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat. Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan. Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999-2004, misalnya, tidak berunsur politik? Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau. Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan. Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia. Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Menteri Besar Kelantan

6 Rejab 1429/ 9 Julai 2008

Khamis, 10 Julai 2008

Peralihan Kuasa Jun 2010


Bijak - itulah ungkapan yang dapat saya ucapkan tatkala melihat laporan mengenai peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib Altantuya yang dijangka berlaku pada Jun 2010. Saya merasakan ianya satu langkah politik yang cukup bijak dari Pak Lah dalam mengekalkan tampuk kekuasaan beliau dalam parti mahupun negara. Di saat pertarungan hebat Anwar dan Najib, Pak Lah kelihatan seperti cuba memulihkan imej beliau sebagai PM dan juga Presiden UMNO.

Di saat Perhimpunan Agung UMNO semakin menghampiri, ada desas-desus mengatakan wujudnya usaha supaya Najib mencabar Pak Lah sebagai Presiden. Langkah Pak Lah ini saya rasakan adalah satu langkah 'menyelamatkan' diri beliau dari dicabar pada perhimpunan agung. Melalui cara ini, setelah diberitahu bahawa Najib akan kekal sebagai 'orang paling kanan beliau' sehingga Jun 2010, akan menyebabkan Najib dalam keadaan serba-salah untuk mencabar Pak Lah. Jika Najib terus mencabar Pak Lah maka Najib akan kelihatan seperti mengkhianati ketua (baca: Pak Lah) dan ini akan digunakan oleh macai-macai Tingkat 4 untuk berkempen pada perwakilan bahawa Najib seorang yang tidak boleh dipercayai dan mengkhianati Presiden parti. Tidak hairanlah jika ketika itu isu Altantuya juga akan dijaja kepada seluruh perwakilan. Maka dengan pengumuman ini, Najib makin tersepit. Maka dengan 'rela hati', Najib akan hanya menunggu sehingga Jun 2010.

Desas-desus yang saya dengar juga, dalam usaha Pak Lah memulihkan imej beliau, harga minyak bakal diturunkan pada 14 Julai depan. Ini adalah sebagai langkah untuk memastikan usaha debat minyak antara Anwar dan Shabery akan dibatalkan kerana harga minyak sudah diturunkan. Ini juga bisa memulihkan imej Pak Lah dikalangan rakyat bahawa beliau adalah seorang yang prihatin dengan kehendak rakyat. Sidang-sidang media mutakhir ini yang melibatkan Pak Lah juga memperlihatkan imej Pak Lah yang lemah-lembut dan alim. Beliau tidak lagi mengeluarkan komen-komen sombong dan cuba menunjukkan imej kebapaan yang mithali. Hebat Pak Lah.

Melihat kepada perkembangan UMNO dalam minggu ini dimana empat badan perhubungan negeri telah menyatakan sokongan kepada Pak Lah dan Najib, saya dapat rasakan Pak Lah akan terus melebarkan pengaruhnya di dalam perhimpunan agung nanti. Jawatan Ketua Pemuda bakal dimenangi oleh Khairy setelah menyaksikan kelantangan Mukhriz pada awalnya telah mula suam dan bakal hanyut. Khir Toyo yang masih dengan sifat 'denial' masih lagi berlagak di kaca-kaca televisyen bagai seorang Menteri Besar. Sibuk mendedahkan isu ahli majlis PBT, surau, rumah setinggan dan berbagai lagi. Rupa-rupanya bila dah dibuang rakyat baru mahu bekerja, tika berkuasa dulu sibuk memenuhkan poket sendiri dan isteri. Anak si Toyo ini juga dikatakan cuba menyusupkan orang-orangnya ke dalam pentadbiran negeri dan sibuk 'bekerjasama' dengan Ezam (kesahihannya saya kurang pasti). Khir akan terlampau sibuk dengan 'gerakan gerila' beliau ini sehingga gagal untuk mengumpulkan undi perwakilan untuk menyokong beliau sebagai Ketua Pemuda. Jika firasat saya betul, maka jawatan Ketua Pemuda UMNO nanti akan sah menjadi milik Khairy ketika perhimpunan agung nanti.

Persoalannya kenapa hari ini diumumkan, kenapa Jun 2010? Saya sendiri masih mencari jawapannya. Adakah Najib bakal 'dijatuhkan' sebelum Jun 2010? Oleh siapa? Pak Lah? Muhyidin? Ku Li? Anwar? atau Khairy? Namun dari taakulan saya, usaha Pak Lah ini mampu meredakan kebangkitan ahli UMNO dari menentang beliau dan saya tidak hairan jika Pak Lah akan menang tanpa dicabar pada pemilihan depan. Bijak Pak Lah dan Khairy....

Rabu, 9 Julai 2008

Sumpah-menyumpah....

Sumpah

Perkataan yang menjadi cukup popular sepanjang beberapa hari ini. Jika dikenang perbuatan sumpah ini selalu kita lakukan semasa kanak-kanak dulu terutama bila ber'gaduh' dengan rakan-rakan sebaya tetapi perkara itu selalunya akan ditegah oleh ibu-ibu kerana kurang elok. Namun di zaman DNA, siber, CCTV dan segala serba-serbi canggih ini, acara sumpah ini dijadikan pula sebagai bahan untuk cabar-mencabar malah dilihat lebih penting berbanding bukti-bukti forensik yang memang terbukti dari segi sains. Sumpah Mubahalah, Akuan Bersumpah, 'Sumpah-sumpah' macam E**m yang masuk UMNO (boleh tukar-tukar warna) dan banyak lagi bentuk sumpah. Yang menuduh mencabar bersumpah hinggakan Mufti pun sibuk-sibuk suruh bersumpah. Ketua Putera Rempit pun nak sibuk cabar bersumpah (entah-entah dia pun tak tahu apa caranya). Ada pula pihak suruh 'bakal PM' kita yang 'mesra pelajar IPTS' itu untuk bersumpah juga. Tak habis dengan isu sumpah. Bila tiba isu sumpah baru nak ambil Al-Quran. Dalam hal lain Al-Quran 'dilempar' jauh.

Senang bahasa aku - Dah macam BANGANG rupanya!!!

Dari sibuk masing-masing cabar-mencabar bersumpah lebih baik si penuduh mengemukakan bukti ke mahkamah dan biar hakim membicarakan pertuduhan dan menjatuhkan hukum. Lebih senang, bersih dan harmoni. Tidak perlu sibuk diisukan hal sumpah-menyumpah ini kerana takut-takut ramai yang terkena sumpahan dan bertukar jadi 'beruk'.....


Isnin, 7 Julai 2008

Alumni MRSM Lenggong @ Chenderoh...

Atas (dari kiri) - Darul, Aku, Faiz, Syaf
Bawah (dari kiri) - Hasrat, Tyson, Saha
Gambar sumbangan Saha

MRSM Chenderoh @ Lenggong yang dibina di Daerah Hulu Perak ini merupakan tempat di mana aku menikmati dunia remajaku mengenali erti kehidupan, percintaan dan juga paling penting persahabatan. Gambar di atas saat di mana tubuhku masih 'mengancam' di ambil ketika Tingkatan 5 (tak tahu kenapa sekarang jadi belon??!!).

Dibuka pada tahun 2001, kini MRSM Chenderoh @ Lenggong telah berumur 7 tahun. Selaku antara pelajar perintis di MRSM ini, dengan sumbangan idea dari Mantan Presiden BWP 2001/2002, Saudara Hazlami Adnan, saya rasa terpanggil untuk memulakan langkah bagi mewujudkan pangkalan data untuk semua pelajar MRSM Chenderoh @ Lenggong agar di masa-masa akan datang usaha ini mampu mengumpulkan kita semua untuk kembali mencurahkan bakti kepada adik-adik kita di Lenggong atau paling kurang ramai-ramai pergi Restoran Tasek Raban makan ikan bakar....=)

Perkara yang perlu dilakukan adalah mudah. E-mailkan butiran diri anda seperti yang tertera di bawah kepada saya di afifmar_21601@yahoo.com.my


NAMA : (HURUF BESAR dan SEPERTI DALAM K/P)

No. K/P :

BATCH : (contoh: 2001/2002)


KELAS :

UMUR :

ALAMAT (terkini) :

PEKERJAAN : (sertakan alamat tempat kerja jika sudah bekerja)

No. TELEFON :

E-MAIL : (jika ada)

BLOG : (jika ada)


Ini sahaja perkara-perkara yang perlu dilengkapkan dan sekali lagi saya nyatakan, email kepada saya di afifmar_21601@yahoo.com.my


Protes - Apa yang kita sibuk protes ini?


Turun harga minyak!! Turun harga minyak!!

Laungan yang terus-menerus dilaungkan oleh pemimpin Protes. Namun harus diingat isu minyak ini hanyalah satu isu sampingan berbanding isu penyelewengan dana kerajaan. Kita harus terus mempertikaikan kemana perginya wang-wang hasil penjimatan pembatalan subsidi minyak kepada rakyat. Saya rasa isu ini lebih perlu diketengahkan disaat kita masih belum membentuk kerajaan pusat. Saya juga menyeru supaya selepas ini semua usaha-usaha Protes lebih baik diadakan di jalanan agar ianya memberi 'impak' yang diharapkan dalam memperjuangkan isu minyak ini.


Ahad, 6 Julai 2008

Protes - 6 Julai 2008

Foto-foto sekitar sesi pagi himpunan Protes 6 Julai 2008 di Stadium Kelana Jaya, Selangor.





Jumaat, 4 Julai 2008

Minggu yang panjang...


Liwat, Akuan Bersumpah, Fitnah, Nafi, Drama, Protes, Anwar, Saiful, Najib, Musa Hassan, Ghani Patail - antara perkataan-perkataan dan nama yang memenuhi dada-dada akhbar, blog dan juga media massa Malaysia dalam minggu yang cukup panjang ini. Isu-isu panas yang melanda negara hari ini sedikit sebanyak 'merentap jiwa' saya selaku rakyat Malaysia yang cintakan negaranya.

Jika 10 tahun lalu negara digemparkan dengan isu liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga menyebabkan kepada kebangkitan gerakan Reformasi di kalangan rakyat Malaysia, minggu ini negara digemparkan sekali lagi dengan isu yang sama. Pendirian saya mengenai isu ini jelas. Siapa juga yang benar akan Allah lindunginya dan saya yakin janji Allah bahawa kebenaran jua yang akan mengatasi kebatilan. Maka saya menyeru kepada pembaca-pembaca blog ini agar terus bersabar, berdoa dan berhajat pada Allah agar kebenaran akan terserlah jua.

Reformasi yang dituntut (seperti yang diperkatakan dalam Riwayat Hayat) bukanlah hanya untuk seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Memang beliau adalah pencetus kepada kebangkitan ini namun harus diingat apakah matlamat utama gerakan Reformasi itu. Reformasi menuntut akan perubahan drastik dalam sistem politik negara yang menjulang hak rakyat dan terus membela nasib rakyat. Reformasi juga adalah untuk menjamin demokrasi dan perlembagaan negara dihormati. Reformasi adalah untuk mengubah daya pemikiran rakyat agar menjadi lebih kritis dan maju seterusnya mencapai tahap sebagai warganegara berfikiran kelas pertama. Reformasi juga menuntut kepada perpaduan hakiki antara semua kaum di Malaysia demi mewujudkan sebuah masyarakat madani.

Sedarlah wahai pejuang Reformasi sekalian. Perjalanan kita masih jauh. Matlamat kita bukanlah Putrajaya semata-mata. Matlamat kita adalah mewujudkan kerajaan adil, berkebajikan dan telus demi melahirkan satu bangsa Malaysia yang lebih dinamik, maju dan bertamadun dan juga mempunyai tahap akhlak dan ilmu yang tinggi agar kita semua mampu hidup sebagai satu masyarakat yang aman dan madani seterusnya maju seiring dengan pembangunan dan kemakmuran negara. Itulah matlamat kita.