Rabu, 10 Jun 2009

PAS - Dilema antara Ketuanan Rakyat atau Ketuanan Melayu

PAS for ALL - slogan indah yang digunakan oleh parti Islam ini dalam meraih undi dari kalangan bukan Melayu pada 8 Mac lepas, kelihatan semakin berhabuk ditinggalkan terpampang pada kemeja-T hijau yang telah luntur dan kusam. Muktamar ke 55, parti politik veteran Malaysia ini, tidaklah dapat menyelesaikan masalah yang menjadi nanah berdenyut untuk satu-satunya parti berteraskan Islam ini. Nanah yang dimaksudkan adalah kedudukan PAS yang dilihat berminat untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno, seperti yang dirancang oleh dua tiga kerat 'arkitek' di dalam pimpinan PAS.

Dalam arena politik, ianya tidak jauh berbeza dari seni peperangan. Strategi dan pelaksanaan taktik amat penting dalam memastikan kemenangan dan kejayaan. Namun jika strategi sehebat manapun, tetapi musuh tidak dikenali, tiadalah berguna segala persiapan, pengorbanan dan perjuangan. Musuh itu tidak semestinya yang berada di garisan musuh, tetapi boleh juga jadi musuh di dalam selimut yang bisa terdiri daripada 'jeneral' angkatan itu sendiri. Dan kebiasaannya yang cepat melatah menuduh kumpulan lain sebagai pengkhianat dan penjahat adalah sebenarnya pengkhianat dan penjahat itu. Musuh yang nyata janganlah dilepas pandang. Dalam konteks sekarang, pimpinan PAS perlu kembali memperjelas fokus mereka bahawa siapa musuh sebenar mereka dalam 'peperangan' ini. Apakah mereka yang bukan beragama Islam tetapi berminat untuk mengenali Islam atau mereka yang akidahnya Islam tetapi menggunakan segala kuasa autoriti untuk menyekat kebebasan kehidupan beragama (baca:Umno)?

Bila isu kerajaan perpaduan ini timbul, ironinya yang mencadangkan gagasan ini adalah dari pimpinan PAS sendiri, parti yang memiliki jumlah ahli Parlimen yang lebih rendah berbanding Umno. Maka apa faedahnya Umno ingin berpadu dengan PAS. Faedah yang saya boleh nampak untuk Umno hanyalah, dalam jangka masa menjelang PRU13, gabungan Pakatan Rakyat dapat digagalkan dan dimusnahkan. Caranya adalah ini. Melaga-lagakan pimpinan dan tawaran kuasa menggunakan agenda perpaduan nyata telah berjaya 'mempersonakan' dua tiga orang pimpinan PAS.

Dalam keadaan fitnah seperti ini, saya cukup tertarik pada kisah Perang Siffin yang dibawa oleh Yang DiPertua Shah Alam, YB Khalid Samad, dimana tentera Muawiyah yang dipimpin oleh Panglima Amr ibn Al-aas telah tanpa sedikit rasa hormat menggunakan helaian Al-Quran di hujung tombak untuk memperdaya tentera Saidina Ali as. Maka perpaduan apa dan penyatuan apa yang sibuk dibicarakan oleh mereka yang bergelar ulama PAS ini. Musuh itu di depan mata tidak pernah pun menghulur salam perpaduan. Mereka (baca:Umno) yang selama ini menzalimi dan menindas, tidakkah pelik PAS yang selama ini ditindas dan dizalimi, PAS pula yang menghulurkan apa yang dipanggil ranting zaitun. Dan saya mula tertanya, apakah dua pimpinan tertinggi PAS ini pernah ditangkap dan ditahan oleh organ kerajaan? Apakah sumbangan besar mereka kepada perjuangan Reformasi Malaysia?

Namun tidaklah dapat saya persalahkan mereka berdua sahaja kerana yang meletakkan mereka di puncak kuasa parti adalah ahli-ahli PAS sendiri. Seluruh ahli yang bertanggungjawab terhadap maju jatuhnya Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti. Pada pandangan saya, PAS tidak lagi menunjukkan keikhlasan mereka apabila bergerak dalam ruang lingkup demokrasi. Mereka masih tidak demokratik dan tidak mengiktiraf erti kebebasan yang telah dijamin oleh Islam dan Perlembagaan Malaysia. Pendek kata andai PAS memerintah, PAS bakal hanya menyalin kulit yang ditinggalkan Umno kelak.

Ahli PAS perlu sedar, PAS tidak mungkin sampai ke tahap sekarang sekiranya tiada Reformasi tahun 98. Reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Bukanlah saya meminta kita semua taksub kepada beliau, tetapi sebagai aktivis pembangkang, sedarlah, tanpa kegigihan dan kecekalan Anwar Ibrahim, Almarhum Fadhil Noor beserta keizinan Allah, PAS dan Pakatan Rakyat tidal mungkin dapat menonjolkan diri mereka seperti hari ini.

Ayuh seluruh aktivis Pakatan Rakyat! Tidak kira dari PAS, PKR, DAP mahupun tidak berparti, sahutlah keluhan dan keresahan rakyat Malaysia yang megimpikan sebuah kerajaan yang lebih baik dan memerdekakan rakyat. Perteguhkan barisan, kuatkan tekad, kerana semakin kita menghampiri kemenangan, semakin kuat cabarannya. Semakin kuat dugaannya. Teruskan perjuangan kerna rakyat mengharapkan kita. Selamat Berjuang!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

1 ulasan:

AJAI- Admin berkata...

Salam... Apa khabar? Lama tak post di AMK Shah Alam.. Bila nak daftar Ahli??