Ahad, 31 Ogos 2008

Salam Ramadhan Al Mubarak


"Sahaja aku berpuasa esok hari fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala"


Moga Ramadhan ini kita dilimpahkan dengan rahmatNya yang tak terhingga dan amalan kita diterimaNya. Kemenangan Badr akan terus membakar semangat kita dalam membina sebuah Malaysia Baru. Salam Ramadhan Al Mubarak.


Kemerdekaan...


31 Ogos 1957 - Tanah Melayu diisytihar Merdeka

28 tahun selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, aku dilahirkan di bumi Malaysia yang bertuah ini. Lahirnya di Malaysia, sempat dibesarkan di Amerika Syarikat hingga cecah umur empat sebelum kembali ke Malaysia dan menetap terus hingga sekarang. Malaysia menjadi tempat saya menimba ilmu, mengumpul pengalaman, mencari makan, membina masa depan dan berjuang demi Malaysia yang bebas Merdeka dalam erti kata sebenar.

10 tahun pertama dalam hidupku, 31 Ogos setiap tahun tidak lebih dari sekadar cuti umum buat diriku. Hari itu juga menjadi saat dimana aku menonton perbarisan kemerdekaan di hadapan televisyen atau masih berdengkur dibuai mimpi. Begitulah kemerdekaan dirayakan aku saat masih muda mentah.

10 tahun kedua dalam hidupku, aku mula mengenali tokoh kemerdekaan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T Sambathan dan ramai lagi. Perjuangan tokoh-tokoh seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi pendekar Melayu yang menentang penjajahan menjadi bahan bacaan sejarah kegemaranku. Hari Merdekaku diisi dengan menonton dokumentari, filem mengenai merdeka mahupun membaca buku-buku merdeka. Aku juga pernah melakukan 'lawatan rasmi' ke Memorial Tunku Abdul Rahman ketika hari Merdeka pada beberapa tahun lepas.

Namun tahun-tahun kebelakangan ini dalam hidupku, persepsi aku akan kemerdekaan individu seorang warga Malaysia mula aku pertikaikan. Persoalan demi persoalan timbul, benarkah aku Merdeka? Bagaimana aku bertanggungjawab mengisi kemerdekaan ini? Aku juga mula terdedah kepada perjuangan tokoh-tokoh haluan kiri seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam dan banyak lagi. Mereka yang berjuang di dalam PKMM, API, AWAS, GERAM, gerakan buruh dan banyak lagi telah lebih lama menuntut kemerdekaan dari British. Aku juga membaca dengan minat mengenai gerakan PUTERA-AMCJA yang menganjurkan hartal pada 20 Oktober 1947, 10 tahun sebelum kemerdekaan yang digapai oleh Perikatan hasil pimpinan Tunku. Aku lantas tersedar dari dakyah-dakyah mengeksklusifkan usaha kemerdekaan hanya kepada Umno, MCA dan MIC.

Perkara-perkara asas mengenai demokrasi, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia di Malaysia mula mempengaruhi mindaku. Dalam ruang yang serba sempit, perkembangan idealisma aku menghadapi cabaran besar untuk berkembang. Aku mula terdedah kepada idea-idea liberal, sosialis dan islamis yang dari hari ke hari terus mempengaruhi pandanganku akan keadaanku sebagai individu di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kemerdekaan minda kita dari segi intelektual, budaya mahupun bermasyarakat masih memerlukan percambahan yang giat. Kepompong yang mengongkong jiwa dan minda kita selama ini seharusnya telah bercambah menjadi rama-rama indah dan mampu untuk menghiasi hidup kita sebagai warga Malaysia yang merdeka. Mungkin selepas 51 tahun kita merdeka, sudah tiba masanya kita melakukan islah terhadap cara kita berfikir, berkerja dan bebas membuat pilihan.

Sempena merdeka ini, marilah kita renung sejenak. Merdekakah minda kita? Merdekakah jiwa kita? Merdekakah kita untuk berdikari sendiri? Merdekakah kita untuk mempertahankan kemerdekaan ini?


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 51

31 Ogos 2008



Perutusan Kemerdekaan Dato' Seri Anwar Ibrahim




Khamis, 28 Ogos 2008

Rabu, 27 Ogos 2008

Tahniah YB Anwar Ibrahim...


10 tahun lalu Anwar di'tendang' keluar dari Parlimen Malaysia dek kerana fitnah jahat yang diatur puak konspirator, hari ini rakyat Permatang Pauh bangkit mempertahankan beliau walau ada usaha untuk mewujudkan semula fitnah jahat dan kotor ke atas diri beliau. Beliau menang dengan majoriti yang lebih besar menunjukkan betapa majoriti rakyat percaya akan kredibiliti beliau untuk menerajui dan memacu pertumbuhan Malaysia kelak andai beliau ditakdirkan menjadi Perdana Menteri menjelang 16 September ini. Kemenangan ini mengingatkan saya pada ungkapan ini lebih 10 tahun lalu;


"Tak minggu ini, minggu depan. Tak bulan ini, bulan depan. Tak tahun ini, tahun depan. Lawan Tetap Lawan!!"

- Datuk Seri Anwar Ibrahim -


Kepada pengundi Permatang Pauh, terima kasih saya ucapkan.

Kepada YB Anwar Ibrahim, Tahniah dan Selamat Kembali Bertugas. Moga Allah sentiasa bersama kita bagi membawa satu Kemerdekaan Baru untuk Malaysia Kita yang Baru.

Kepada petugas Pakatan Rakyat, Terima Kasih dan Tahniah. Jasa anda telah memungkinkan kemenangan yang diidamkan bakal tercapai.

Kepada Najib Tun Razak, tak nak ikut Mahathir pindah luar negara ke??


Selasa, 26 Ogos 2008

Kemaafan dari Ramlang Porigi...




Alhamdulillah usaha fitnah terhadap Anwar dari hari ke hari semakin menemui jurang kegagalan. Semalan, Ramlang Porigi, imam ketika upacara sumpah Saiful Bukhari di Masjid Wilayah telah tampil untuk menjelaskan isu sebenar dan membersihkan nama beliau yang telah 'tercemar' di dunia siber.

Saya selaku seorang manusia yang tidak sempurna, ingin menggunakan ruang ini untuk meminta keampunan dari Ramlang kerana mempertikai kredibiliti beliau dalam entri saya sebelum ini. Saya juga berasa bangga masih ada imam muda di Malaysia ini yang berani bangun menyatakan pendiriannya dan menegakkan kebenaran yang hak. Jauh lebih berani dari kebanyakkan imam-imam, ustaz-ustaz dan alim ulama yang ada di Malaysia muktahir ini.

Moga Allah melindungi kita semua dari balaNya yang Maha Dahsyat kerana lahirnya ramai pesumpah-pesumpah palsu dan haprak sejak akhir-akhir ini bagai tumbuhnya cendawan selepas hujan.

Isnin, 25 Ogos 2008

Kemerdekaan bersama Akademi Merdeka..


dari kiri : Tom, Abidin, Wan Saiful, Wan Firdaus

Sempena bulan Kemerdekaan ini, saya berpeluang menyertai satu akademi yang dianjurkan oleh Malaysia Think Tank dengan kerjasama Institut Kajian Dasar dan Open Dialogue Center. Akademi ini dilangsungkan di Hotel Residence Uniten dari 22 Ogos hingga 24 Ogos.

Akademi berlangsung yang menampilkan Dr Tom Palmer dari Cato Institute dan juga tim utama Malaysia Think Tank membincangkan perkara pokok mengenai idea liberitarian atau liberal di dalam sistem kehidupan manusia. Teori-teori liberal di persembahkan pada para peserta dan juga hangat diperdebatkan di antara semua peserta dan juga penganjur. Satu wacana bebas untuk bertukar-tukar ide dan juga pandangan mengenai satu-satu isu.

Alhamdulillah program ini selain memberi perspektif baru ianya juga telah menjana minda ini untuk terus berfikir dan mampu melatih diri ini untuk bersetuju di dalam tidak setuju. Wacana ilmu seperti ini yang saya rasakan masih kurang di Malaysia dan dengan memperbanyakkan program-program seperti ini insyallah kita mampu untuk mewujudkan masyarakat yang berfikiran terbuka dan menghormati hak dan kemerdekaan seseorang individu.