Ahad, 29 November 2009

Sembang-sembang forum - PERAK CRISIS with YB Dato' Seri Nizar Jamaluddin

Perak Crisis: The lessons for Two-Party System in Malaysia

Krisis Perak: Pengajaran Menuju Sistem Dua Party di Malaysia

Perak crisis is the harsh reality for Pakatan Rakyat if they harbor further ambition to march to Putrajaya. What lessons can be drawn from the Perak Constitutional Crisis? Let's listen first hand to a leader who has gone through all these! 
First time in Penang! Don't miss it!

  • Forum Speaker: YB Dato' Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Perak)
  • Date: Dec 4, 2009 (Friday)
  • Time: 8.30pm
  • Venue: Kompleks Penyayang

    Jalan Utama, Pulau Pinang

  • Free! All Are Welcomed.


Organized by : PKR PP Information Bureau 

Rabu, 4 November 2009

Generasi Gelombang Kebangkitan Asia

oleh Eekmal Ahmad

Dari segala deretan memori, izinkan saya kongsi bersama cebisan ini. Semuanya bermula pada tahun 1999. Berbekalkan duit dari PTPTN yang saya simpan berdikit-dikit, akhirnya tertunailah hasrat untuk memiliki sebuah motosikal Honda model EX5. Ianya memudahkan untuk saya bergerak ke sana ke mari, juga untuk aktiviti pergerakan mahasiswa Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Motosikal itu kiranya dibenarkan untuk berbicara, pastinya banyak cerita saya terbongkar, yang manis, pahit, gembira, ketawa dan menangis.

Selepas melalui beberapa peringkat tarbiyah, bersenjatakan motosikal honda itu, saya dan rakan-rakan sering ke Kuala Lumpur untuk menyertai demonstrasi. Baik demonstrasi tersebut menyanggah kewujudan sebuah kerajaan yang diterajui Umno -Barisan Nasional ataupun membantah aktiviti dan acara, yang pada pendapat kami bertentangan dengan hukum syarak. Negara Islam wajib ditegakkan, dan Anwar Ibrahim yang masih merengkok dalam penjara bukanlah tokoh yang wajar dipercayai. Kecurigaan ini, mengikut perkiraan saya, adalah mirip kecurigaan al Ikhwan al Muslimoon terhadap Gammal Abdel Naser. Apa yang pasti kami sentiasa bergelora, idealistik dan yakin, kemenangan pada suatu hari milik kami. 

Di pertengahan jalan, saya tertewas, hilang pertimbangan, lalu menamatkan pengajian undang-undang saya di UKM. Beberapa ketika, saya pulang ke Alor Setar, tetap setia bersama motosikal EX5. Buat menenangkan hati, sering saya berulang alik, sudah tentu bersama motosikal setia, ke pondok Dehrang mendengar kuliah Ustaz Nuruddin Al Banjari dan Ustaz Fahmi Zam Zam. Memperoleh ketenangan dan sokongan ibu bapa, permohonan memasuki kuliah undang-undang Uitm diajukan. Tahun 2002, ianya bermula kembali. Saya ke Shah Alam menjadi pelajar fakulti undang-undang walaupun minat untuk menjadi seorang peguam sudahpun padam.

Ketika masa 'pemulihan' di Alor Setar, oleh kerana kemaruk mendapatkan bahan bacaan, Berita Keadilan yang dipimpin Khalid Jaafar adalah antara bacaan wajib selain dari kitab-kitab fiqh dan Tafsir al Azhar. Minat itu saya teruskan ketika di Shah Alam. Ligat saya mengelilingi bandar tersebut mencari Berita Keadilan buat menghilangkan ketagihan. Tulisan dan wacana yang dicetus menggasak saya memikirkan kembali beberapa keyakinan serta sikap perjuangan. Saya mulai menaruh minat untuk mengenali Anwar Ibrahim. Tapi melalui apa? Makanya berbekalkan duit, sekitar RM 30 dan motosikal itu, saya mencapai nashkah "Asian Renaissance," karya versi Inggeris mantan timbalan perdana menteri, yang dihumban ke dalam penjara, di toko buku berdekatan. Dan buku itu menemani saya siang dan malam. 

Secara tiba-tiba perasaan cemburu menyerang saya. Bibliografinya mengejek-ngejek saya. Senarai nama seperti Syed Naguib al Attas, Syed Hussein al Attas, Karl Popper, Tagore, T.S Elliot, Sutan Takdir dan Dead European Males lainnya menerbitkan resah berpanjangan. Perpustakaan diserbu, mencari buku-buku yang ditulis oleh mereka semua dengan nafsu yang bergelojak. Kerap kali pemburuan berakhir dengan kekecewaan dan sumpah seranah. Misalnya The Open Society and Its Enemies karya Karl Popper, pemikir dari Vienna, langsung tidak terdapat di rak-rak buku perpustakaan. Bagi saya ianya adalah antara mehnah dan tribulasi yang paling besar pernah saya hadapi.

Perlahan-lahan gagasan Nahdah Asia Anwar Ibrahim menjelma. Meratib saya mengingati di antara pesan Gelombang Kebangkitan Asia(judul versi Melayu); "the cultivation of good taste take the place of mediocrity and philistinism." Mengunyah bab demi bab seperti Keunggulan Budaya, Ekonomi Manusiawi, Timur dan Barat serta Demokrasi dan Masyarakat Madani, merubah saya menjadi insan yang yakin. Kini saya menyendiri ber 'usrah' dengan membedah dan menghadam satu demi satu faham yang terkandung di dalam Gelombang Kebangkitan Asia. Ke 'Melayu' an dan Ke 'Islam' an tidak menghalang saya dari menerobos tembok khusus intelektualisme yang selalu dikaitkan dengan golongan kelas menengah dan tinggi. Akar budaya dan juga agama menjadi jendela meneropong Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Hamlet, John Keats, perdebatan seputar sekularisme, Ibsen dan FA Hayek.

Gelombang mempertemukan saya dengan sekelompok anak muda ataupun yang berhati muda. Dengan motosikal EX5 itulah saya berulang alik dari Shah Alam ke Telawi, meredah kedinginan malam dan kehangatan petang. Kami yang datang baik dari utara, timur dan selatan tanah air, membentuk komuniti kecil para seniman, penulis, wartawan dan pelajar. Akal, tradisi, kebebasan, moraliti, budaya, kuku besi dan agama menjadi tema perbincangan dan renungan. Usrah baru saya terdiri dari mereka yang fanatik berbahasa Melayu, sering menyeru agar menguasai, bukan sahaja bahasa Inggeris, bahkan bahasa Jerman, Mandarin, Pali dan Greek kuno serta menyanggah ketuanan perkauman yang meminggirkan etnik lainnya.

Rasa rendah diri disingkir jauh-jauh. Syarahan Karamah Insaniah, Pico della Mirandola bahawa 'tiada yang lebih dikagumi selain manusia' bagaikan petir dan guruh yang berdentum di langit. Bingit dan mengejutkan. Gelombang memaksa sekaligus meyakinkan saya bahawa dikotomi di antara timur dan barat semakin kabur. Manakala Kebebasan dari regim yang tirani dan mengangkat martabat Budaya bangsa dari kelaihan berpanjangan merupakan tanggungjawab generasi perubahan; Generasi Gelombang Kebangkitan Asia. 

Mulai saat itu saya mengenali, ataupun dengan lebih tepatnya, cuba mengenali sosok Anwar Ibrahim. Sudah tentu tidak sepenuhnya. Akan tetapi saya tidak perlu untuk bersekolah dengannya ataupun mengaku mengenali beliau selama berpuluh-puluh tahun. Cukup buat saya, menyedari serta memahami gagasan-gagasan beliau. Tidak perlu untuk membandingkan Anwar Ibrahim dengan tokoh-tokoh silam seperti Dr. Burhanuddin al Helmy, Dato' Onn ataupun Alexander dari Macedonia itu! 

Anwar adalah Anwar. Beliau melakar Gagasan Gelombang dan terbukti ampuh meroboh bongkah-bongkah Nilai-nilai Asia anutan beberapa pemimpin tua yang gusar legasi mereka akan lenyap dimamah keyakinan baru. Mentaliti pasca kolonialisme sudah tidak relevan. Sikap secara borongan membenci barat hanya menjadi alasan buat kebanyakan diktator memungkinkan kezaliman di tanah air sendiri. Manakala kita mengkritik pusat tahanan Guantanamo, pada ketika yang sama, negara ini juga memiliki pusat tahanan versinya sendiri di Kamunting. 

Sekian lama kita berhadapan dengan politik hipokrasi. Dasar yang menguntungkan sebilangan kecil samada hanya untuk kepuasan elit pemerintah bumiputera ataupun tauke tauke kaya seharusnya ditolak tanpa ragu. Tidak ada justifikasi munasabah untuk kita menerima dalih membantu bangsa sedangkan hanya dua tiga kerat pimpinan barisan nasional sahaja yang kaya raya. Itulah manifestasi tertinggi politik perkauman sempit. Hakikatnya ianya cerita lama yang sudah basi. 

Rakyat Malaysia terutamanya anak muda dari segenap lapisan masyarakat, merentasi sempadan agama dan etnik mempunyai kesedaran yang lebih baik dari apa yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Pembentukan politik baru sesungguhnya tidak terelakkan. Acuan baru itu akan mengambil tempat, lalu bersaing dan mengalahkan politik lama yang bergantung kepada ketakutan, kecurigaan dan pemisahan antara kaum di negara ini. Kezaliman bukanlah hak milik mana-mana kaum, dan Keadilan adalah untuk semua.

Syaratnya ialah untuk terus beriltizam dengan Perubahan yang mengakar kepada hasrat untuk memelihara keluhuran perlembagaan, membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, menjamin kedaulatan undang-undang, pengukuhan masyarakat demokratik dan berakhirnya politik perkauman. 

Abad baru akan menjadi saksi, warisan pemerintah yang sekian lama "tahu apa yang terbaik untuk kita" sudah berakhir. Generasi Gelombang adalah kekuatan anak muda, suaranya, suara anak muda dan ianya arus deras yang mampu merubah lanskap politik serta sejarah negara ini. Anak muda mahukan sesuatu yang menyegarkan. Bahasa politik parokial perlu disisihkan. Perubahan yang luhur akan melibatkan semua untuk berbicara. Conversational Democracy adalah ciri penting penciptaan sebuah negara demokratik. Perdebatan dan wacana tidak menjurus kepada ungkapan seperti "pengkhianat bangsa" dan "agen yahudi." 

Generasi Gelombang tidak perlu menjadi apologetik dan mesti berani untuk mengaku bahawa bahasa demokrasi, kebebasan, keunggulan budaya dan pertumbuhan ekonomi yang mampan bukanlah monopoli mana-mana peradaban. Berbekalkan semangat baru, akan kita buktikan ungkapan Kipling bahawa, "There is too much in Asia and it is too old" adalah tidak benar sama sekali. Generasi Gelombang perlu merebut peluang mencipta dan menempa haluan baru buat negara ini. 

Namun ini tidak beerti kita berhasrat mencipta yang baru dan terlepas dari pesan-pesan leluhur mahupun tradisi. Penggalian teks-teks klasik bagi saya menemukan kita dengan anjuran dasar untuk mengolah pandang dunia yang segar dan bertepatan dengan semangat zaman. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja untuk menderhakai perintah Sultan misalnya, menyelamatkan Melaka dari hangus diberengus Jebat. Penulis Hikayat Hang Tuah menganyam cerita dan peri membiarkan pembacanya menilai di antara kesetiaan Hang Tuah, keterlanjuran Jebat, sikap tanpa usul periksa Sultan Melaka dan penderhakaan Bendahara Paduka Raja. Ternyata akhirnya penderhakaan Bendahara jualah yang menyelamatkan rakyat serta kerajaan. 

Saya menyanggah beberapa telahan kononnya teks klasik ini menganjurkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada pemerintah. Saya juga menolak untuk mengagung-agungkan perbuatan Jebat. Hikayat Hang Tuah adalah antara karya yang menampilkan kejelikan pemerintahan tanpa batasan. Ianya menjadi iktibar kepada kita untuk mencipta sebuah negara yang mempunyai batas-batas jelas untuk melindungi hak rakyat dari digasir pemimpinnya. Ini menguatkan hujah kita untuk menuntut sebuah negara dan masyarakat yang demokratik.

Kecurigaan di antara agama juga perlu dikikis. Islam tidak sewajarnya dipandang sebagai sebuah agama yang kuno, mandul daya intelektualismenya dan zalim semata-mata. Kegagalan penguasa dan sesetengah pemikir Melayu-Islam untuk mengangkat harakat agama adalah antara punca kecurigaan ini bertunas. Keilmuan Islam dan kekayaan tradisi kepustakaan Melayu dibiarkan usang kerana kebanyakan mereka lebih berminat untuk mengejar kerusi-kerusi empuk di institusi pengajian tinggi dan terpasung kerdil menjadi jiwa hamba. Manakala taraf keilmuan dan intelektualisme jauh merosot tatkala wacana-wacana falsafah, ekonomi dan agama yang rancak di luar negara langsung tidak dipedulikan. Kita masih menanti siapakah bakal mampu menandingi Syed Muhammad Naguib al Attas dan Syed Hussein al Attas.

Pilihanraya umum ke 12 menyaksikan Anwar Ibrahim dengan dokongan rakyat berbilang kaum dan agama, berjaya memimpin permuafakatan politik yang berjaya menafikan majoriti dua pertiga barisan nasional. Berbekalkan mesej Perubahan, permuafakatan tersebut berjaya menambat jiwa raga para pengundi. Perubahan secara mendadak menjadi komoditi hangat di pasaran. Saya rasa ini lah kali pertama dalam sejarah moden negara, rakyat Malaysia berada di kedudukan untuk menentukan 'harga' dan 'tawaran' siapa yang terbaik. 

Inilah juga masanya buat kita, Generasi Gelombang menawarkan pakej yang terbaik untuk rakyat. Jelmakan keyakinan kita terhadap sebuah negara madani yang berpaksikan masyarakat demokratik, keluhuran perlembagaan, keunggulan budaya dan kemakmuran ekonomi. Jelaskan kepada rakyat mereka berhak kepada yang terbaik, makanya menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi yang terbaik. Sudah tiba masanya kita menjayakan cita-cita "the cultivation of good taste take the place of mediocrity and philistinism."



Eekmal Ahmad adalah kakitangan Pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan sering mendengar ulasan majalah Monocole, Wired dan Technological Review dari adik lelakinya.

Khamis, 29 Oktober 2009

Sembang - sembang

The Sembang-sembang Forum has invited Datuk Zaid Ibrahim for the Nov month forum. 
Topic:       2-Party System for Malaysia
Speaker:   Datuk Zaid Ibrahim                
Pakatan Rakyat coordinator
Date:         2 Nov 2009 (Monday)
Time:        8.30 - 11.00pm
Venue:      Kompleks Penyayang (Penang Caring Society
Complex)                
Jalan Utama, Penang.                
(next to the Governor's Residence) 
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Sabtu, 17 Oktober 2009

Mengapa yang kaya dan miskin mesti wujud?



Di satu petang Jumaat, Hirmuz bertemu Professor Tota Inzar di terataknya untuk bertukar pendapat.

"Sekarang Hirmuz, beritakan pada diriku ini akan apa yang membuatkan dirimu kagum pada sosialisme?"

"Sebenarnya, Tota, kebanyakkan ideanya adalah perkara naluri asas"

"Jikalau begitu, berikan aku satu contoh, Hirmuz"

"Mengapa tidak Tota, mari kita lihat, Karl Marx dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa kemiskinan itu wujud akibat ketidakseimbangan dalam pembahagian kekayaan. Lihat saja pada jurang besar antara golongan berada dan miskin. Orang berada berbelanja habis-habisan untuk kenduri-kendara sedangkan jiran mereka hidup dalam kebuluran. Anak orang berada walau terencat akal sekalipun akan tetap dihantar ke sekolah yang terbaik sedangkan anak-anak yang sihat akalnya masih ramai terbiar tanpa sebarang pendidikan. Si pemilik kilang hidup dalam serba kemewahan, dengan beban kerja yang paling sedikit tetapi tetap mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Sebaliknya, si buruh (baca : golongan pekerja) terpaksa bekerja dari subuh hingga senja, tetapi yang paling kurang mendapat pulangannya. Mereka (baca: golongan berada) tidak perlu bekerja, tetapi memiliki hampir kesemua faedah dan keuntungan manakala si buruh terpaksa bekerja ibarat hamba abdi tetapi kekal miskin selamanya. Maka sekarang menurut sosialisme, jika semua harta ini dibahagi sama rata, maka tidak akan ada lagi istilah kemiskinan dan kita bakal mengecapi keadilan ekonomi yang sejati. Ini bakal menamatkan layanan dianaktirikan terhadap golongan miskin, tidak begitu Tota?"

Prof Tota Inzar duduk di kerusi malasnya sambil menghisap paip dan memandang Hirmuz dengan satu pandangan yang tajam.

"Sekarang beritakan padaku, Hirmuz, apakah yang dimaksudkan dengan kekayaan itu?

"Baik, yang dimaksudkan dengan kekayaan itu bagi diriku adalah kilang – kilang, tanah, wang ringgit dan pelbagai macam lagi"

"Katakanlah, Hirmuz, kerajaan mengambil semua wang dari semua bank kepunyaan orang kaya dan diagihkan sama rata kepada orang miskin. Dan bayangkan jika kerajaan rampas semua tanah, kilang, kenderaan dan lain – lain aset kepunyaan orang kaya lalu diagihkan kepada seluruh masyarakat. Sekarang beritahu aku, adakah semua anggota masyarakat ini bakal memiliki jumlah wang yang sama selepas satu minggu?"

"Sudah tentu tidak"

"Mengapa tidak, Hirmuz?"

"Kerana setiap individu berbelanja dengan cara tersendiri. Sesetengah akan berbelanja dengan cara yang menguntungkan manakala yang lain akan membazirkannnya."

"Kamu betul. Dan sahabatku Hirmuz, adakah kamu bersetuju bahawa sesetengah orang adalah effisien manakala yang lain tidak; sesetengah tahu akan ilmu dalam menggandakan wang mereka, manakala yang lain terlampau cuai sehingga mereka membazirkan wang mereka itu?

"Sudah tentu Tota, saya setuju"

"Dan tidakkah sesetengah orang menjimatkan wang mereka manakala yang lain membazirkannya?"

"Ya, benar."

"Dan tidakkah sesetengah orang itu begitu aktif dan bertenaga manakala yang lainnya malas?"

"Ya, tentu sekali, Tota."

"Maka tidakkah kita lihat, Hirmuz, bahawa semua individu sebenarnya tidak menyumbang jumlah produktiviti yang sama. Tidakkah begitu?"

"Ya, benar."

"Maka tidakkah terlintas dalam fikiran kamu bahawa kekayaan yang dibahagi sama rata di kalangan populasi sesebuah negara lambat laun akan kembali menjadi tidak sama rata?"

"Sudah pasti"

"Dan tidakkah kita akan kembali mempunyai golongan kaya dan miskin di kalangan kita semula?"

"Mungkin betul, Tota. Tetapi bagaimana pula buat mereka yang bekerja dengan jumlah sumbangan yang sama, tidakkah mereka layak untuk diberikan ganjaran yang sama rata juga?"

"Baiklah, apa kata kita lihat dari sudut ini, Hirmuz. Andaikan seorang buruh kasar bekerja 12 jam sehari, adakah mereka layak menerima ganjaran yang sama rata dengan seorang pakar bedah bahkan jurutera yang bekerja untuk jumlah masa yang sama?"

"Sosialisme percaya mereka yang bekerja jumlah jam yang sama wajar menerima jumlah ganjaran yang sama"

"Baiklah Hirmuz, biar saya perjelaskan lagi perkara ini untuk anda. Andaikan seorang buruh yang mahir dan buruh yang tidak mahir diberikan ganjaran yang sama, maka adakah perlu untuk si buruh yang tidak mahir menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjadikan dirinya seorang buruh yang mahir. Bukankah lebih mudah dan senang sekiranya dia terus kekal sebagai seorang buruh yang tidak mahir?"

"Ada logiknya di situ akan apa yang Tota perkatakan"

"Mari juga kita andaikan bahawa ada dua orang buruh, Hirmuz, dan andaikan salah seorang dari mereka menemui permata 30 karat manakala yang seorang lagi menemui secangkul arang batu. Wajarkah mereka diberi ganjaran yang sama?"

"Tentulah tidak, Tota."

"Dan mengapa tidak, Hirmuz?"

"Kerana majoriti orang menganggap permata lebih bernilai dari arang batu"

"Jawapan yang cemerlang. Sekarang Hirmuz, jika orang tidak menghargai nilai permata, adakah mereka masih akan menawarkan harga yang tinggi walaupun kerja yang berat diperlukan untuk melombong permata?"

"Tidak, tentu tidak jika orang tidak menginginkan permata lagi."

"Baik. Maka sekarang adakah anda bersetuju, Hirmuz, bahawa orang perlu menginginkan sesuatu itu barulah mereka rela untuk membayar harga yang ditentukan. Maka mengapa sosialisme mahu memberikan jumlah ganjaran yang sama, walaupun kerja yang dilakukan itu diinginkan atau tidak?

"Cuba, Tota, lihat, sosialisme adalah satu sistem ekonomi yang adil; ia tidak menyisihkan yang miskin dan yang memerlukan. Slogan sosialisme adalah : "Dari setiap pada kemampuan mereka dan kepada setiap pada keperluan mereka". Bukankah ini satu slogan yang adil, Tota?"

"Mari, Hirmuz, kita fahami slogan ini: Ambil mana – mana dua individu, adakah mereka suka akan jenis makanan yang sama?"

"Tidak, tidak semestinya, Tota."

"Dan adakah mereka akan memakai pakaian yang sama?"

"Tentu sekali tidak"

"Dan adakah mereka menghidap jenis penyakit yang sama?"

"Tidak semestinya, Tota"

"Dan adakah mereka memerlukan jenis ubatan yang sama untuk sembuh?"

"Tidak semestinya."

"Dan adakah mereka gemar membaca jenis buku yang sama"

"Tidak semestinya"

"Maka dari soalan – soalan tadi tidakkah anda nampak, Hirmuz, bahawa setiap individu itu unik dan keperluan dan keinginan mereka itu juga unik. Maka dalam semua bentuk kesamarataan, bolehkah sebuah kerajaan sosialis menemui kaedah untuk mengetahui setiap keinginan dan keperluan setiap individu, dengan hakikat bahawa setiap individu itu unik dan berlainan dari individu yang lain?"

"Saya khuatir itu adalah mustahil"

"Dan tidakkah jumlah mereka yang memerlukan, Hirmuz, adalah melebihi daripada mereka yang mempunyai kemampuan dan kemahiran?"

"Ya, tentu sekali."

"Dan andai kita ambil dari mereka yang berkemahiran dan berkemampuan untuk diberikan kepada yang memerlukan, tidakkah ini akan menjadikan mereka (baca : yang memerlukan) lebih malas dan kurang produktif?"

"Tentu sekali, Tota"

"Dan tidakkah mereka yang berkemahiran akan menyembunyikan kemampuan dan kemahiran mereka supaya mereka tidak perlu menampung segerombolan 'parasit'?"

"Benar, anda betul"

"Dan tidakkah nanti setiap individu akan berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang tidak diperlukan pun?

"Benar sekali, Tota"

"Dan tidakkah ini bakal menyebabkan ketidakcekapan dan produksi ekonomi yang rendah?"

"Benar."

"Oleh itu tidakkah lebih baik, Hirmuz, jika slogan sosialis ini digantikan dengan: "Berikan ganjaran kepada mereka setara dengan sumbangan mereka kepada produksi."

"Baiklah, Tota."


Negara Islam

- nukilan Amin Ahmad -
 
DS Anwar mengambil ketetapan jelas dalam pertemuannya dengan DS TG Haji Hadi dan TG Harun Din semasa pertemuan mereka di Jerman. Anwar mengambil hujah Prof. Dr. Yusof Qardhawi dalam Fiqh Kenegaraan bahawa beliau tidak akan menggunakan Negara Islam sebagai tema konsep model baru kenegaraan Malaysia.

Prof. Dr. Yusof Qardhawi mengambil pengiktibaran daripada sirah Nabi s.a.w. dalam Perjanjian Hudaibiyah apabila Baginda s.a.w. bersetuju untuk menggugurkan nama Rasulullah s.a.w. sebagaimana dituntut oleh wakil kelompok lain. Gelaran Rasulullah s.a.w. ini bukanlah gelaran yang diberikan manusia melainkan pilihan Allah s.w.t.. Itupun Rasulullah s.a.w. sanggup gugurkan demi mencapai persetujuan dalam perjanjian tersebut.

DS Anwar, dalam pengucapan politiknya kepada khalayak ramai di Malaysia selalu mengungkapkan bahawa beliau tidak menerima label negara Islam walhal pada masa sama berlaku kezaliman dan kemunduran yang jenuh dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, DS Anwar tidak mahu mengambil risiko membiarkan label Islam diasosiasikan dengan segala bentuk yang tidak sesuai dengan mesej Islam itu sendiri.

Mengambil pengiktibaran sirah, ternyata Rasulullah s.a.w. sendiri tidak menamakan Madinah atau Mekah sebagai negara Islam. Malah, tidak kurang ilmuan Islam yang melihat bahawa agenda negara Islam hanyalah pengucapan politik Islam pasca kejatuhan Turki Uthmaniyyah, dan asasnya kabur.

Saya fikir DS Anwar seorang yang pragmatik dalam mengusung wacana kepada khalayak.

Suka atau tidak, bicara soal negara Islam ini diangkat ke ruang awam oleh PAS, untuk saya sekurang-kurangnya, masih terlalu asas dan kadangkala kabur. Dan ia menjadi titik pertembungan dalam banyak urusan kerjasama dengan DAP, PKR, UMNO bahkan masyarakat awam!

Tempelak UMNO untuk mengetahui apakah blue-print Negara Islam sebagaimana dakwaan PAS itu ternyata telah mengasak PAS ke sudut sempit kerana mereka tidak pernah ada blue-print ini dan hanya sekadar mengeluarkan buku nipis dengan penghujahan yang boleh didapati daripada mana-mana buku yang mendokong agenda Negara Islam ini. Untuk saya, ini adalah tragedi. Dakwaan YB TG Haji Hadi bahawa hudud hanya tidak sampai 1% daripada agenda Negara Islam ini juga telah menimbulkan rasa kurang senang kepada masyarakat yang melihat PAS tergamak menjadikan apa yang tidak sampai 1% ini sebagai titik tolak rasa tidak selesa dalam masyarakat.

Tidak ada penerangan tuntas dibuat kepada awam terutama dalam bentuk wacana terbuka untuk mereka bertanya langsung kepada pemimpin PAS, terutama mereka yang mungkin bercita-cita menjadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar atau EXCO. Jika ada mereka yang selalu tampil dalam wacana terbuka ini, mereka inilah daripada kalangan yang digelar Erdogan dalam Muktamar PAS yang terakhir. Itupun, dalam inklusif sikap mereka, ia masih belum dapat mengungkap idealisme PAS sebagai sebuah parti politik secara tuntas melainkan masih berlegar kepada titik perbezaan dengan kata "masyarakat tidak faham", "masyarakat tidak beri peluang" dan sebagainya.

Saya mahu berlaku adil kepada PAS. Eloklah saya kemukakan asas pemahaman saya tentang agenda Negara Islam oleh PAS ini. Hujah ini bagi saya absah, namun ia tidak menjawab semua persoalan yang muncul sesudahnya.

Dalam kaedah usul fiqh ada disebut "mala yatimul wajib illa bihi fahuwa wajib" atau dalam mantiknya lebih kurang begini:

1. B adalah wajib.
2. B tidak dapat dilakukan tanpa adanya A.
3. Maka, untuk mengadakan A adalah wajib.

Justeru, PAS dan gerakan Islam yang percaya kepada agenda Negara Islam ini berpendapat bahawa Hukum Islam itu wajib, untuk melaksanakannya memerlukan kuasa pemerintahan dalam kenegaraan. Justeru, mereka perlu mendapatkan kuasa ini.

Asas yang sama dipegang oleh banyak jemaah Islam, cuma kaedahnya mungkin berbeza. Sesetengah berpegang keras bahawa terlibat dalam demokrasi Pilihan Raya bukanlah cara yang Islami. Sesetengah pula berkata wajib atau harus.

Ada kata mahsyur Saidina Uthman al-Affan tentang persoalan ini iaitu: "Allah s.w.t. melengkapkan agama ini melalui tangan pemerintah". Dalam bahasa perbincangan, saya menyebutnya "sistem tidak bergerak sendiri, manusia yang menggerakkan sistem". Jika robot atau komputer digunakan untuk menggerakkan sistem, formatnya masih dibina oleh manusia.

Saya berpendapat sistem pemerintahan itu punya evolusi. Pemilihan khalifah pertama dalam sejarah Islam menunjukkan bahawa tidak ada hujah agama dibawa oleh para sahabat dan penduduk Mekah pada waktu itu untuk menunjukkan bahawa calon mereka adalah yang paling layak menjadi pemimpin. Jika ada, ia mungkin daripada mereka yang mendokong Saidina Ali k.w. di mana ia akhirnya berlanjutan sehingga ke hari ini dalam bentuk apa yang kita kenal sebagai konflik Sunni-Syiah.

Ia kompleks dan tidak mudah. Saya tidak pula mahu membelakangi wacana panjang yang ikut muncul bersamanya. Cuma saya fikir PAS perlu menterjemahkan hasrat mereka dengan lebih jelas dan tidak menggunakan mantik mudah bahawa:

1. Hukum Islam adalah wajib.
2. Jika kita tidak menyokong menggunakan hukum Islam, maka kita kafir.
3. Mereka yang tidak menyokong PAS untuk melaksanakan hukum Islam adalah kafir.

Suka atau tidak, perkara ini berbekas dalam masyarakat. Ramai generasi lama yang merasa sakitnya bila kisah solat 2 imam terjadi, cerai berai, pergaduhan keluarga dan sebagainya atas faham ini.

Sebab itu saya boleh memahami apa yang cuba Dr. Asri sampaikan dalam tulisannya baru-baru ini (rujuk http://drmaza.com/home/?p=752).

Jujurnya, persoalan yang sama telah sering saya bincangkan bersama teman-teman yang ikut berdialog dalam kelompok Diskusi Enak Wilayah Ilmu (DEWI), Pentas Ilmuan Muda Malaysia – sebuah kumpulan diskusi yang kami asaskan di sekitar Serdang, Kajang, Bangi, Putrajaya dan Cyberjaya.

Ketika Khawarij menggesa Saidina Ali k.w. menghukum pembunuh Saidina Uthman r.a., mereka menggunakan hujah penegakan hukum Allah s.w.t. dan Saidina Ali k.w. mengatakan ia BENAR namun bertujuan BATIL. Timbul polemik bahawa kerana ia benar, namun pada masa yang sama bertujuan batil kerana ia mengundang soalan tentang apakah ia benar maka perlu ditegakkan dan ia menjadi batil kerana terikat dengan konteks?

Persoalan yang akan muncul daripada yang melihat ia sebagai benar ialah kenapa tidak dilaksanakan? Jika ia dihujahkan dengan konteks, persoalan lain yang akan datang ialah sekurang-kurangnya gubal dulu kerana ia benar dan konteksnya boleh diwujudkan satu pengecualian dalam perundangan sebagaimana kebiasaannya.

Dr. Asri untuk saya tidak cukup berlaku adil kepada PAS kerana tidak memberi jalan alternatif dalam konteks hujah melainkan hanya seolah menyatakan "jangan buat begitu kerana kesannya buruk". Sebagai ilmuan agama yang ternyata beza dengan saya yang hanya belajar ilmu pengurusan taman dan rekreasi, beliau harus pergi kepada duduk persoalan yang lebih dalam.

Saya sendiri tidak punya jawapan melainkan pandangan dan sejumlah persoalan tentang Negara Islam. Oleh kerana itu, saya fikir elok saya menjadi seorang yang pragmatik berbanding kuat melaungkan apa yang saya tidak dapat pertahankan kemudiannya.

Apa yang saya tulis ini tidak bermaksud menyerang atau membela PAS melainkan penegasan agar bahasa politik PAS mesti lebih baik kerana suka atau tidak ia telah mengundang banyak kecelaruan dan menyemai banyak fanatisme.

Saya percaya ruang harus dibuka dan prasangka yang ada itu harus disimpan sementara memanfaatkan ruang berwacana yang ada.



Tulisan ini adalah sebahagian daripada Isu-Isu Islam dalam Kenegaraan Malaysia yang akan diterbitkan bersama tajuk lain dalam buku saya, insyaAllah akan diterbitkan pada pertengahan tahun hadapan.

Rabu, 7 Oktober 2009

Eksklusif - Azeez memang ditumbuk Pemuda PAS

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Gelombang Kebangkitan Asia, oleh Anwar Ibrahim

Untuk mendapatkannya sila hubungi, Saudara Fakhri (019 381160) atau Saudara Sadat (012 4156007).


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.