Khamis, 4 Jun 2009

Roboh... Roboh..



Mutakhir ini negara 'seronok' dengan isu roboh. Tidak selang beberapa hari sebuah pasaraya 'tinggal' roboh dan mengorbankan nyawa, sebuah stadium indah tersergam nun jauh di Pantai Timur pula rebah menyembah bumi. Roboh lagi. Semacam bermusim pula bencana di bumi Malaya ini. Apa yang pasti, semua ini hadir kerana kealpaan dan kesilapan satu makhluk bernama - manusia.

Stadium bernilai RM300 juta, disiapkan untuk temasya sukan kebangsaan, menjadi kebanggaan anak negeri Darul Iman, negeri terkenal kaya dengan khazanah laut dan buminya, tetapi masih memiliki tahap kemiskinan yang tinggi - akhir, atapnya roboh, berderai dan berdebu. Hilang segala kemegahan dan kecanggihan yang dibanggakan. Kelam-kabut seluruh jentera kerajaan memikir, bermenung dan menuding apakah punca musabab, atap yang dibina tidak kukuh dan rebah ke tanah. RM 300 juta - wang rakyat - musnah begitu sahaja. Siapakah yang silap? Kerajaan Negerikah? Jabatan Kerja Rayakah? Tukang binakah?

Bila dikaji, sijil layak menduduki hanya dikeluarkan untuk kawasan balapan, padang dan beberapa premis luar stadium (menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya Terengganu). Tiada sijil dikeluarkan untuk tempat penonton dan juga atap stadium. Apakah maknanya semua ini? Apakah selama temasya SUKMA dijalankan, nyawa penonton ibarat di hujung tanduk? Beginikah rupanya sikap kerajaan yang diharap menjaga rakyatnya, memperjudikan nyawa rakyat - demi menjaga air muka dua tiga kerat pemimpin negeri yang korup dan bongkak? Dimanakah peranan jurutera-jurutera professional? Apakah suara mereka dipadamkan oleh mereka yang berkuasa politik? Inikah rupa bentuk Malaysia menuju ke masa depan?

Bencana demi bencana, kepincangan dan kesongsangan semakin terbongkar semenjak Malaysia 'dianugerahi' dengan kepimpinan yang baru (baca : Datuk Seri Najib Razak). Agenda 1 Malaysia yang semakin celaru. Demokrasi yang semakin terhakis. Pertumbuhan ekonomi yang negatif. Masalah hubungan sosial. Kecamukan politik parti pemerintah. Krisis identiti bangsa. Nyata sejarah bakal berulang. Sebelum Pencerahan tiba, pasti bermula dengan 'perobohan' Kegelapan itu.


Isnin, 1 Jun 2009

Dah Makan Duit Rakyat...




Mari Masuk.. Banyak Kosong Lagi....

- Ramai menumpang pun tak guna, membahayakan -


Gelombang Reformasi hadir lebih 10 tahun lalu di Malaysia (walaupun ada mengatakan ianya lebih awal dari itu). Nyata agenda Reformasi yang dibawa telah dipelopori oleh satu sosok bernama Anwar Ibrahim. Menjadikan Reformasi satu slogan retorik di pentas-pentas dan rapat umum sejurus beliau dipecat dari jawatan kerajaan. Laungan Reformasi bergema di jalanan dan di pentas-pentas ceramah politik pembangkang. Negara menyaksikan rakyatnya mula bangkit menyahut seruan Reformasi, dari semuda-muda anak sehingga setua-tua moyang. Reformasi terus bergema, pasang dan surut lebih sepuluh tahun lamanya - sehingga sekarang.

Pasca 8 Mac, agenda Reformasi yang digalas oleh Parti Keadilan Rakyat, nyatanya mula membuahkan hasil. Dengan strategi politik yang berkesan dan kegagalan parti pemerintah mengesan trend perubahan pengundi, pembangkang memperolehi keputusan yang memberangsangkan dalam perlumbaan menuju ke tampuk kekuasaan negara. Maka lanskap politik negara berubah lagi.

Setahun mengenang kemenangan itu, Pakatan Rakyat yang dibentuk, kelihatannya seperti satu sosok gabungan alternatif yang terbaik untuk rakyat (jika dibanding dengan Umno dan Barisan Nasional). Namun melihat kepada tindak-tanduk dua tiga kerat mereka yang bergelar pemimpin Pakatan Rakyat - nyatanya agenda Reformasi masih gagal dicerna. ADUN lompat di Perak, ADUN letak jawatan kerana tekanan, ADUN diarah berhenti dan bermacam lagi membuktikan satu perkara - masih ramai calon atau pemegang jawatan kita yang tidak bermutu (jangan dibanding dengan mereka dari Umno dan Barisan Nasional). Kurangnya mereka yang bermutu, telah menyebabkan agenda Reformasi ini tercemar dek tindak-tanduk mereka yang durjana.

Saya juga semakin tidak faham apabila, PKR mengalu-alukan kehadiran lebih ramai ahli Umno, sebagai contoh di Perlis mutakhir ini, menyertai agenda perjuangan Reformasi. Lebih haru apabila mereka itu diterima masuk ibarat seorang konduktor bas memaksa lebih penumpang masuk ke dalam bas bagi memberi ruang kepada penumpang lain naik dan memenuhkan bas (seperti yang kita selalu lihat berlaku di depan Pudu). Konduktor tidak pernah bertanya siapakah anda dan niat anda menaiki bas. Begitulah gamaknya apabila sekarang ini beratus malah mencecah ribu ahli Umno diterima masuk menyertai KeADILan. Siapakah mereka ini? Fahamkah mereka akan agenda Reformasi? Apakah mereka ini bakal setia dan rela berkorban demi agenda Reformasi? Atau mereka sekadar poliTIKUS-poliTIKUS yang kehilangan modal, jawatan dan pengaruh dalam parti lama mereka?

Bukan apa, saya hanya risaukan pengkhianatan demi pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka yang bergelar pejuang Reformasi, tetapi hakikatnya mereka langsung tidak 'beriman' dengan agenda itu dan hanya menjadi seorang penumpang tanpa hala tuju tetapi hanya mengharapkan satu perjalanan yang mudah dan cepat. Hentikanlah mengambil mereka yang langsung tidak tahu apa itu Reformasi dan apa itu perubahan yang ingin dibawa - kerana Reformasi itu bukan hanya isu rasuah dan salahguna kuasa - ianya lebih dari itu - ianya lebih dari sekadar kebebasan berhimpun dan berdemo - tetapi ia adalah satu pencerahan jiwa rakyat untuk mencapai kebebasan untuk dirinya mampu berfikir dan memilih dan menjadi kosmopolitan yang bebas dan ter-Reformasi.


Khamis, 28 Mei 2009

BeriHitam Ribut... Milikku jua...


Akhirnya... Setelah sekian lama mengidam dan mengharap untuk memiliki sang Beri Hitam - hasrat dan impianku tercapai. Minggu yang serba baru ini, dengan permulaan babad hidup yang baru, aku dilengkapi dengan alat canggih di awal abad 21 ini - BlackBerry Storm 9500. Ternyata kehadiran alat ini telah memberi satu 'lonjakan kuantum' dalam kehidupan aku sehari-hari. Moga dengan kehadiran alat ini, usaha pencerahan diri, akan dapat aku giatkan lagi dan berharap ianya bakal banyak membantu dalam bidang professional yang bakal aku ceburi.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile

Isnin, 25 Mei 2009

Bubar DUN Perak....




Sejak dari mula Kemelut Perak, saya sudah menanam di dalam minda bahawa hanya pembubaran DUN Perak dan satu pilihan raya negeri Perak yang baru harus dijalankan. Jalan perundangan yang dipilih melalui Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan mahupun Mahkamah Persekutuan, tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah ini (pada pandangan peribadi saya). Biarkan Mahkamah RAKYAT yang menentukan siapakah kerajaan yang mereka mahu untuk memerintah negeri Perak - samada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

Namun, saya tidak pasti apa yang akan berlaku selepas Dun Perak, andai berjaya, dibubarkan. Jika satu Pilihan Raya Negeri dijalankan, saya yakin Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang berbanding Barisan Nasional. Ini saya nyatakan berdasarkan kepada semakin kurangnya sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional (melihat kepada reaksi MCA dan Gerakan terhadap situasi kemelut Perak). Maka jika ditambah, jumlah pengundi Melayu yang fanatik Pakatan Rakyat dengan jumlah pengundi bukan Melayu, maka tidak menjadi masalah untuk Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Negeri Perak. Namun harus diingat, dakyah bahawa Pas dan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin adalah 'boneka' kepada DAP Perak mungkin sedikit sebanyak menggugat 'keimanan' para pengundi Melayu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Tidak hairan pada saya, andaikata menjelang Pilihan Raya Negeri Perak nanti, Datuk Mufti Perak akan 'tersasul' mengeluarkan 'fatwa' bahawa menderhaka pada Sultan adalah haram dan mengundi mereka yang bukan beragama Islam juga haram. Dan akan terpampang di dada akhbar, tajuk-tajuk berbunyi seperti "HARAM UNDI BUKAN ISLAM", "DAP TIDAK HALAL DIUNDI" - namun ini semua hanyalah ANDAIAN saya.

Satu lagi perkara yang mungkin menjadi persoalan nanti adalah, adakah Ir Nizar akan kekal dilantik sebagai Menteri Besar andai Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Negeri Perak? Apakah Pas akan mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak dari sekarang bagi menambah lebih pengaruh untuk Ir Nizar, agar dilantik semula menjadi Mentari Besar Perak? Atau adakah Tunku Aziz, seorang pimpinan tertinggi DAP, akan diletak bertanding di mana-mana kerusi DAP dan andai menang dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru - Menteri Besar berbangsa Melayu dari DAP yang secara prinsipnya tidak melanggar undang-undang tubuh negeri Perak.

Saya secara peribadi tidak ada masalah siapapun yang dilantik menjadi Menteri Besar (baca: Menteri Besar dari kalangan Adun Pakatan Rakyat). Namun dari segi politik, andaian-andaian yang saya nyatakan di atas wajar kita renungi dan perhati dalam mencorak perjalanan politik Pakatan Rakyat. Apa-apapun, saya tetap mahu Dun Perak dibubarkan - demi DEMOKRASI.

Kembalikan KUASA itu kepada RAKYAT!!


Khamis, 21 Mei 2009

Penanti - Jangan menanti...





Pilihan Raya Kecil Penanti pada hujung bulan ini menyaksikan buat pertama kali Barisan Nasional tidak meletakkan calon mereka dalam satu pertandingan pilihan raya. Alasan - hendak fokus dalam usaha mentadbir negara dan tidak mahu mengikut rentak politik parti pembangkang terus didendang di corong-corong media dan cetakan massa. Tidak kurang juga di pihak Pakatan Rakyat yang berdekah-dekah mengatakan Barisan Nasional bacul dan penakut kerana tidak mahu meletakkan calon bertanding.

Tidaklah saya ingin mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Rakyat yang meminta penyandang kawasan ini mengosongkan kerusi beliau untuk memberi peluang kepada muka lain yang dirasakan lebih berpengalaman dan layak. Namun dalam waktu yang serba mencabar ini, dengan fokus terhadap krisis ekonomi yang lebih menekan, nyatanya saya merasakan Pakatan Rakyat masih gagal membuktikan diri mereka sebagai alternatif terbaik kepada Barisan Nasional, sebagai sebuah gabungan yang mampu membentuk kerajaan pusat yang kuat dan bermanfaat untuk rakyat. 

Cabaran di Perak, dan juga cabaran di negeri Pakatan yang lain, tidak seharusnya merencatkan persediaan kita untuk Pilihan Raya ke 13 - bakal hadir selewat-lewatnya 2013. Dalam langkah yang diorak kearah matlamat akhir Pakatan Rakyat - membentuk kerajaan pusat, seharusnya, setelah setahun pasca 8 Mac, satu kabinet bayangan telah direncana dan dipersembahkan pada rakyat. Tugas kabinet bayangan ini bukan sekadar untuk memerhati dan memantau tingkah laku menteri dari parti pemerintah, tetapi seharunya kabinet bayangan ini menjadi satu gerakan yang giat melakukan kajian dan diskusi mendalam dengan usaha mewujudkan satu sistem dan tatacara pentadbiran dan pelaksanaan yang lebih baik dan efisien sebagai alternatif kepada sistem sedia ada. Wawasan, sasaran dan hala tuju yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam sektor-sektor penting seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan masih tidak jelas terbentang dan apa yang dijanji untuk direformasikan masih kelihatan samar.

Selain apa yang mampu ditawarkan kepada rakyat, pimpinan Pakatan Rakyat juga harus melihat kepada keadaan akar umbi dalam memahami erti sebenar 'persahabatan' di dalam Pakatan Rakyat. Sikap sangsi dan syak wasangka yang kuat, dan sudah menjadi lumrah politik, mereka yang merasakan kedudukan mereka tergugat akan pasti menggunakan segala macam helah dan kaedah dalam mempertahankan kedudukan mereka. Isu agama, bangsa dan hak sering menjadi mainan mereka - sang kemaruk kuasa - sebagai alat untuk mereka melaga-laga dan memburukkan 'lawan'. Menjadi tanggungjawab pimpinan (baca : yang faham dan benar-benar ikhlas bersama Pakatan Rakyat), untuk memastikan duri-duri ini dipatah-patahkan sebelum daging yang kental dan teguh itu menjadi lunyai dan layu.

Pakatan Rakyat harus berubah. Bukan harus - tapi wajib! Untuk menjadi satu alternatif yang mampu menarik dan menawan hati rakyat, Pakatan Rakyat perlu keluar dari situasi dilamun kegembiraan kemenangan. Masih banyak tugas, kajian dan penerangan yang harus dibuat Pakatan Rakyat dalam memastikan kesediaan Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan pusat kelak. Bertolak dari 'Pesta Penanti' ini, diharap Pakatan Rakyat janganlah lagi terus menanti dan menanti......


Selasa, 19 Mei 2009

Parti Makkal Sakhti Malaysia (MMSP)



Sebuah parti baru, Parti Makkal Sakhti Malaysia atau nama Inggerisnya - Malaysia Makkal Sakhti Party (MMSP) telah diterima pendaftarannya pada 11 Mei lepas. Parti yang dianggotai oleh ahli Hindraf ini kelihatannya seperti satu gerakan serpihan dari Hindraf dimana lima wirawan mereka yang pernah ditahan ISA tidak hadir pada sidang media yang dipengerusikan oleh bekas koordianator kebangsaan Hindraf, R.S.Thanenthiran. Matlamat utama parti baru ini adalah membela dan menjaga kebajikan kaum India di Malaysia. Parti ini juga dikatakan bebas dari sebarang pengaruh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Tidaklah dapat saya baca ke mana hala tuju parti ini dalam arena politik Malaysia. Di saat Barisan Nasional dengan slogan 'Satu Malaysia' dan Pakatan Rakyat dengan slogan 'Ketuanan Rakyat', saya tidak faham apa perlu MMSP hadir sebagai sebuah parti berasaskan kaum. Di saat identiti bangsa Malaysia begitu hangat bergolak, kehadiran MMSP nyata tidak hadir sebagai pemangkin mahupun perencat kepada proses ini. Saya tidak nampak apa fungsi MMSP dalam senario politik semasa. Mahukah Barisan Nasional bekerjasama dengan MMSP? Apakah Pakatan Rakyat mahu menerima kehadiran sebuah parti berasaskan kaum dalam gabungan mereka? Apakah ini bermakna sokongan kaum India selama ini kepada PKR akan beralih arah? Atau adakah MMSP akan hanya menjadi sebuah parti politik yang hangat-hangat tahi ayam?