Khamis, 6 Mei 2010

Kota Seni

Sekian lama tidak mencatat di sini, malam ini terpanggil jiwa untuk mencatat apa yang aku rasa tidak patut dibiarkan diam-diam saja. Diam perkara ini maka musnahlah bangsa ini. Gagallah aku memainkan peran.

Diskusi yang bermula di ruang Twitter, akhirnya malam ini menjadi satu perbincangan bersungguh di sebuah tempat bernama; Jalan Telawi. Hasmi, Ammar, Hafiz, Najwan, Athari dan aku, ditemani panorama malam Bangsar yang indah jelita, Kota Seni menjadi antara topik yang diperbincang daripada sebahagian topik-topik lain yang tidak kurang pentingnya.

Apa dia Kota Seni? Penting sangatkah sampai dibincang-bincang? Siapa yang mahukan Kota Seni ini? Bila ingin dibina Kota Seni ini? Dimanakah pula lokasinya Kota Seni ini?

Kota Seni - ini bukan meja projek membina mahligai cantik-cantik. Jauh sekali dari membina miniatur-miniatur seperti Taman Budaya Islam di Pulau Duyong. Kota Seni bukan projek menyusun bata melibatkan kos berjuta Ringgit! Kota ini adalah 'kota' yang ingin dibina diatas asas idealisma dan budaya yang tinggi. Kota ini bakal menjadi penggerak utama kepada Reformasi Budaya membentuk sebuah masyarakat bangsa Malaysia yang cerah. Kebebasan berkarya diangkat bersama sekali memupuk nilai penghargaan seni yang tinggi - tidak kira apa bentuk dan genre seni itu dari musik, visual, audio, lukisan, filem, tarian atau apa saja yang dilihat itu seni.

Maka di Kota Seni nanti bakal adanya pementasan musik, tarian, karya sastera dan apa jua di pentas-pentas mini yang bakal dibina di beberapa tempat. Wayang pacak yang menayangkan filem-filem internasional dari serata dunia. Ada filem Peranchis, Jepun, Korea, dan pelbagai lagi untuk tayangan muda-mudi.

Kota Seni diharap bakal menjadi tuntutan baru. Gagasan yang untuk membentuk jiwa bangsa Malaysia ini, harus dirai; bukan dipandng sepi. Satu hari nanti, Kota Seni akan menjadi satu realiti dan mercu kepada agenda Reformasi Budaya ini!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan: