Terdetik aku untuk bertanya kepada para peniaga dan kaki 'shopping' yang gagal menjalankan rutin harian mereka semalam. Apakah mereka tinggal di dalam gua atau tidak pernah langsung menatap akhbar dan menonton televisyen bahawa akan berlangsung pada 1 Ogos? Dan tidakkah mereka sedar bahawa selama ini sejak 1998, pihak PDRMlah yang telah menimbulkan keadaan huru-hara dengan melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air, melakukan sekatan jalan yang menimbulkan kesesakan jalan berjam lamanya?
Jika para pengeluh ini ingin menyatakan keresahan dan ketidakpuasan hati mereka akan apa yang mereka lalui semalam, seharusnya mereka harus kembali merenung kesengsaraan yang ditanggung oleh tahanany ISA yang ditahan bertahun lamanya tanpa mengetahui apa sebab mereka di tahan? Tanpa sebarang perbicaraan untuk mereka? Tiada ruang untuk membela diri? Disoal siasat dan disekat kebebasan mereka sebagai warga yang bebas dan merdeka? Dipisahkan dari keluarga, isteri dan anak, kerjaya dan kehidupan mereka? Terpenjara tanpa sebarang sebab yang boleh dibuktikan oleh pihak polis mahupun kerajaan? Ditahan bertahun lamanya dan kemudian dibebas tanpa sebarang pembelaan diberi? Maka justifikasi apakah yang para pengeluh ini layak untuk menggelar diri mereka sebagai mangsa jika dibandingkan dengan apa yang mereka lalui semalam yang tidak sampai separuh hari pun jika dibanding dengan penderitaan mereka yang ditahan ISA bertahun lamanya?
Hujah yang lebih memalukan apabila ada antara mereka yang bijak pandai ini mengatakan bahawa apa perlu tentang ISA kalau diri sendiri tidak melakukan kesalahan. Persoalannya bukan rakyat takut mereka di ISA, tetapi persoalannya adalah kekhuatiran rakyat akan mereka yang bernama pemerintah yang bila-bila masa sahaa tanpa sebarang sebab bisa menggunakan ISA untuk memenjarakan rakyat hanya kerana mereka tidak bersetuju ataupun tidak menyokong pemerintah. Itu adalah apa yang paling ditakutkan oleh majoriti rakyat yang tahu akan hak dan kehendak mereka untuk hidup sebagai warga Malaysia yang bebas dan merdeka.
Buat mereka yang benar-benar menyokong ISA, satu persoalan untuk kalian. Apakah Tuhan tidak membicarakan Adam dan Hawa sebelum mereka dihukum dengan penyingkiran dari syurga? Bukankah Tuhan itu Maha Mengetahui, tetapi mengapa Tuhan perlu bicarakan dulu Adam dan Hawa sebelum disingkir dari syurga? Jika Tuhan mengajar kita untuk berlaku adil, maka mengapa kita masih mengingkarinya?
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.