Jumaat, 12 Jun 2009

Boneka lagi...

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Kekalutan

Nampaknya bibit perpecahan dalam PAS semakin ketara. Perdebatan isu kerajaan perpaduan semakin memuncak walaupun muktamar sudah hampir seminggu berlalu. Gelaran 'boneka' sudah terpacul dari mulut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menteri Besar Kelantan ini sudah tidak 'segan' lagi menghentam saudara-saudara separtinya.

Setiausaha PAS yang baru, Datuk Mustafa Ali, juga tidak semena-mena meminta supaya isu kerajaan perpaduan ini tidak dibincangkan lagi. Melihat kepada ulasan terbaru pemimpin PAS ini dan juga beberapa usul (SIS dan kuota 30% Bumiputera) ahli PAS pada muktamar lepas telah membuktikan bahawa pemikiran majoriti ahli PAS masih lagi seperti ahli Umno yang telah mereka 'neraka'-kan sebelum ini. Di saat ini, dengan pimpinan terbaru nyata yang beza antara Umno dan PAS adalah apa yang dipakai di kepala sahaja - kopiah dan songkok.

Perlantikan Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan juga menunjukkan betapa lemah dan tidak berkualitinya pimpinan PAS yang terbaru ini. Saya yang hampir tiga tahun mengikuti siri khutbah Jumaat Idris Ahmad, tidaklah dapat saya tuai walau sedikit karisma dan kredibiliti dari Ketua Penerangan ini. Maka saya tidak nampak apakah kualiti yang ada pada Idris Ahmad sehingga dilantik menjadi Ketua Penerangan. Atau mungkin perlantikan ini adalah untuk mendiamkan suara-suara sumbang dalam parti yanh menghentam pimpinan.

Perlantikan Datuk Mustafa Ali membuktikan lagi bahawa ada usaha tersusun untuk menyisihkan mereka yang memiliki pendirian yang pro-Pakatan Rakyat. Sehingga timbuk desas-desus bahawa pada pemilihan lepas telah berlaku 'kecurangan' dalan proses pengiraan undi. Mengukuhkan lagi teori konspirasi ke atas beberapa pimpinan PAS yang pro-Pakatan Rakyat.

Jika beginilah rupa bentuk PAS baru yang mengimpikan peranan lebih besar dalam Pakatan Rakyat, saya khuatir rakyat terutama yang bukan Melayu akan kembali mengundi Barisan Nasional kerana gabungan alternatif yang terhidang di hadapan mereka masih dalam kekalutan berantakkan.



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Rabu, 10 Jun 2009

PAS - Dilema antara Ketuanan Rakyat atau Ketuanan Melayu

PAS for ALL - slogan indah yang digunakan oleh parti Islam ini dalam meraih undi dari kalangan bukan Melayu pada 8 Mac lepas, kelihatan semakin berhabuk ditinggalkan terpampang pada kemeja-T hijau yang telah luntur dan kusam. Muktamar ke 55, parti politik veteran Malaysia ini, tidaklah dapat menyelesaikan masalah yang menjadi nanah berdenyut untuk satu-satunya parti berteraskan Islam ini. Nanah yang dimaksudkan adalah kedudukan PAS yang dilihat berminat untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno, seperti yang dirancang oleh dua tiga kerat 'arkitek' di dalam pimpinan PAS.

Dalam arena politik, ianya tidak jauh berbeza dari seni peperangan. Strategi dan pelaksanaan taktik amat penting dalam memastikan kemenangan dan kejayaan. Namun jika strategi sehebat manapun, tetapi musuh tidak dikenali, tiadalah berguna segala persiapan, pengorbanan dan perjuangan. Musuh itu tidak semestinya yang berada di garisan musuh, tetapi boleh juga jadi musuh di dalam selimut yang bisa terdiri daripada 'jeneral' angkatan itu sendiri. Dan kebiasaannya yang cepat melatah menuduh kumpulan lain sebagai pengkhianat dan penjahat adalah sebenarnya pengkhianat dan penjahat itu. Musuh yang nyata janganlah dilepas pandang. Dalam konteks sekarang, pimpinan PAS perlu kembali memperjelas fokus mereka bahawa siapa musuh sebenar mereka dalam 'peperangan' ini. Apakah mereka yang bukan beragama Islam tetapi berminat untuk mengenali Islam atau mereka yang akidahnya Islam tetapi menggunakan segala kuasa autoriti untuk menyekat kebebasan kehidupan beragama (baca:Umno)?

Bila isu kerajaan perpaduan ini timbul, ironinya yang mencadangkan gagasan ini adalah dari pimpinan PAS sendiri, parti yang memiliki jumlah ahli Parlimen yang lebih rendah berbanding Umno. Maka apa faedahnya Umno ingin berpadu dengan PAS. Faedah yang saya boleh nampak untuk Umno hanyalah, dalam jangka masa menjelang PRU13, gabungan Pakatan Rakyat dapat digagalkan dan dimusnahkan. Caranya adalah ini. Melaga-lagakan pimpinan dan tawaran kuasa menggunakan agenda perpaduan nyata telah berjaya 'mempersonakan' dua tiga orang pimpinan PAS.

Dalam keadaan fitnah seperti ini, saya cukup tertarik pada kisah Perang Siffin yang dibawa oleh Yang DiPertua Shah Alam, YB Khalid Samad, dimana tentera Muawiyah yang dipimpin oleh Panglima Amr ibn Al-aas telah tanpa sedikit rasa hormat menggunakan helaian Al-Quran di hujung tombak untuk memperdaya tentera Saidina Ali as. Maka perpaduan apa dan penyatuan apa yang sibuk dibicarakan oleh mereka yang bergelar ulama PAS ini. Musuh itu di depan mata tidak pernah pun menghulur salam perpaduan. Mereka (baca:Umno) yang selama ini menzalimi dan menindas, tidakkah pelik PAS yang selama ini ditindas dan dizalimi, PAS pula yang menghulurkan apa yang dipanggil ranting zaitun. Dan saya mula tertanya, apakah dua pimpinan tertinggi PAS ini pernah ditangkap dan ditahan oleh organ kerajaan? Apakah sumbangan besar mereka kepada perjuangan Reformasi Malaysia?

Namun tidaklah dapat saya persalahkan mereka berdua sahaja kerana yang meletakkan mereka di puncak kuasa parti adalah ahli-ahli PAS sendiri. Seluruh ahli yang bertanggungjawab terhadap maju jatuhnya Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti. Pada pandangan saya, PAS tidak lagi menunjukkan keikhlasan mereka apabila bergerak dalam ruang lingkup demokrasi. Mereka masih tidak demokratik dan tidak mengiktiraf erti kebebasan yang telah dijamin oleh Islam dan Perlembagaan Malaysia. Pendek kata andai PAS memerintah, PAS bakal hanya menyalin kulit yang ditinggalkan Umno kelak.

Ahli PAS perlu sedar, PAS tidak mungkin sampai ke tahap sekarang sekiranya tiada Reformasi tahun 98. Reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Bukanlah saya meminta kita semua taksub kepada beliau, tetapi sebagai aktivis pembangkang, sedarlah, tanpa kegigihan dan kecekalan Anwar Ibrahim, Almarhum Fadhil Noor beserta keizinan Allah, PAS dan Pakatan Rakyat tidal mungkin dapat menonjolkan diri mereka seperti hari ini.

Ayuh seluruh aktivis Pakatan Rakyat! Tidak kira dari PAS, PKR, DAP mahupun tidak berparti, sahutlah keluhan dan keresahan rakyat Malaysia yang megimpikan sebuah kerajaan yang lebih baik dan memerdekakan rakyat. Perteguhkan barisan, kuatkan tekad, kerana semakin kita menghampiri kemenangan, semakin kuat cabarannya. Semakin kuat dugaannya. Teruskan perjuangan kerna rakyat mengharapkan kita. Selamat Berjuang!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Isnin, 8 Jun 2009

Adam Smith

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Khamis, 4 Jun 2009

Roboh... Roboh..



Mutakhir ini negara 'seronok' dengan isu roboh. Tidak selang beberapa hari sebuah pasaraya 'tinggal' roboh dan mengorbankan nyawa, sebuah stadium indah tersergam nun jauh di Pantai Timur pula rebah menyembah bumi. Roboh lagi. Semacam bermusim pula bencana di bumi Malaya ini. Apa yang pasti, semua ini hadir kerana kealpaan dan kesilapan satu makhluk bernama - manusia.

Stadium bernilai RM300 juta, disiapkan untuk temasya sukan kebangsaan, menjadi kebanggaan anak negeri Darul Iman, negeri terkenal kaya dengan khazanah laut dan buminya, tetapi masih memiliki tahap kemiskinan yang tinggi - akhir, atapnya roboh, berderai dan berdebu. Hilang segala kemegahan dan kecanggihan yang dibanggakan. Kelam-kabut seluruh jentera kerajaan memikir, bermenung dan menuding apakah punca musabab, atap yang dibina tidak kukuh dan rebah ke tanah. RM 300 juta - wang rakyat - musnah begitu sahaja. Siapakah yang silap? Kerajaan Negerikah? Jabatan Kerja Rayakah? Tukang binakah?

Bila dikaji, sijil layak menduduki hanya dikeluarkan untuk kawasan balapan, padang dan beberapa premis luar stadium (menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya Terengganu). Tiada sijil dikeluarkan untuk tempat penonton dan juga atap stadium. Apakah maknanya semua ini? Apakah selama temasya SUKMA dijalankan, nyawa penonton ibarat di hujung tanduk? Beginikah rupanya sikap kerajaan yang diharap menjaga rakyatnya, memperjudikan nyawa rakyat - demi menjaga air muka dua tiga kerat pemimpin negeri yang korup dan bongkak? Dimanakah peranan jurutera-jurutera professional? Apakah suara mereka dipadamkan oleh mereka yang berkuasa politik? Inikah rupa bentuk Malaysia menuju ke masa depan?

Bencana demi bencana, kepincangan dan kesongsangan semakin terbongkar semenjak Malaysia 'dianugerahi' dengan kepimpinan yang baru (baca : Datuk Seri Najib Razak). Agenda 1 Malaysia yang semakin celaru. Demokrasi yang semakin terhakis. Pertumbuhan ekonomi yang negatif. Masalah hubungan sosial. Kecamukan politik parti pemerintah. Krisis identiti bangsa. Nyata sejarah bakal berulang. Sebelum Pencerahan tiba, pasti bermula dengan 'perobohan' Kegelapan itu.


Isnin, 1 Jun 2009

Dah Makan Duit Rakyat...




Mari Masuk.. Banyak Kosong Lagi....

- Ramai menumpang pun tak guna, membahayakan -


Gelombang Reformasi hadir lebih 10 tahun lalu di Malaysia (walaupun ada mengatakan ianya lebih awal dari itu). Nyata agenda Reformasi yang dibawa telah dipelopori oleh satu sosok bernama Anwar Ibrahim. Menjadikan Reformasi satu slogan retorik di pentas-pentas dan rapat umum sejurus beliau dipecat dari jawatan kerajaan. Laungan Reformasi bergema di jalanan dan di pentas-pentas ceramah politik pembangkang. Negara menyaksikan rakyatnya mula bangkit menyahut seruan Reformasi, dari semuda-muda anak sehingga setua-tua moyang. Reformasi terus bergema, pasang dan surut lebih sepuluh tahun lamanya - sehingga sekarang.

Pasca 8 Mac, agenda Reformasi yang digalas oleh Parti Keadilan Rakyat, nyatanya mula membuahkan hasil. Dengan strategi politik yang berkesan dan kegagalan parti pemerintah mengesan trend perubahan pengundi, pembangkang memperolehi keputusan yang memberangsangkan dalam perlumbaan menuju ke tampuk kekuasaan negara. Maka lanskap politik negara berubah lagi.

Setahun mengenang kemenangan itu, Pakatan Rakyat yang dibentuk, kelihatannya seperti satu sosok gabungan alternatif yang terbaik untuk rakyat (jika dibanding dengan Umno dan Barisan Nasional). Namun melihat kepada tindak-tanduk dua tiga kerat mereka yang bergelar pemimpin Pakatan Rakyat - nyatanya agenda Reformasi masih gagal dicerna. ADUN lompat di Perak, ADUN letak jawatan kerana tekanan, ADUN diarah berhenti dan bermacam lagi membuktikan satu perkara - masih ramai calon atau pemegang jawatan kita yang tidak bermutu (jangan dibanding dengan mereka dari Umno dan Barisan Nasional). Kurangnya mereka yang bermutu, telah menyebabkan agenda Reformasi ini tercemar dek tindak-tanduk mereka yang durjana.

Saya juga semakin tidak faham apabila, PKR mengalu-alukan kehadiran lebih ramai ahli Umno, sebagai contoh di Perlis mutakhir ini, menyertai agenda perjuangan Reformasi. Lebih haru apabila mereka itu diterima masuk ibarat seorang konduktor bas memaksa lebih penumpang masuk ke dalam bas bagi memberi ruang kepada penumpang lain naik dan memenuhkan bas (seperti yang kita selalu lihat berlaku di depan Pudu). Konduktor tidak pernah bertanya siapakah anda dan niat anda menaiki bas. Begitulah gamaknya apabila sekarang ini beratus malah mencecah ribu ahli Umno diterima masuk menyertai KeADILan. Siapakah mereka ini? Fahamkah mereka akan agenda Reformasi? Apakah mereka ini bakal setia dan rela berkorban demi agenda Reformasi? Atau mereka sekadar poliTIKUS-poliTIKUS yang kehilangan modal, jawatan dan pengaruh dalam parti lama mereka?

Bukan apa, saya hanya risaukan pengkhianatan demi pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka yang bergelar pejuang Reformasi, tetapi hakikatnya mereka langsung tidak 'beriman' dengan agenda itu dan hanya menjadi seorang penumpang tanpa hala tuju tetapi hanya mengharapkan satu perjalanan yang mudah dan cepat. Hentikanlah mengambil mereka yang langsung tidak tahu apa itu Reformasi dan apa itu perubahan yang ingin dibawa - kerana Reformasi itu bukan hanya isu rasuah dan salahguna kuasa - ianya lebih dari itu - ianya lebih dari sekadar kebebasan berhimpun dan berdemo - tetapi ia adalah satu pencerahan jiwa rakyat untuk mencapai kebebasan untuk dirinya mampu berfikir dan memilih dan menjadi kosmopolitan yang bebas dan ter-Reformasi.