Sabtu, 3 Januari 2009

Gaza - Gelojak Jiwa Umat Islam Dunia


Di saat entri ini ditulis, Gaza sudah masuk hari kelapan dikepung oleh rejim Zionis Israel. Dengan ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih yang mencukupi, dihimpit lagi dengan kekurangan makanan, penderitaan rakyat Gaza tidaklah dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Nyawa penduduk Gaza seramai 1.5 juta di sebuah kawasan tak lebih besar dari negeri Melaka ini, ternyata ibarat dihujung tanduk. Amarah jiwa terhadap kekejaman kemanusiaan ini begitu meluap-luap sehinggakan kita bisa hilang pertimbangan emosi.

Namun dalam kita mengutuk dan membenci kezaliman yang berlaku terhadap umat Islam di Gaza ini, ada eloknya kita merenung kembali kelemahan kita dari segi akidah, semangat jihad dan nilai kemanusiaan kita sebagai hamba tuhan yang dicipta dari tanah. Nisbah penduduk Israel kepada jumlah penganut Islam adalah 1 kepada 3000 orang. Namun seperti yang diwasiatkan oleh Rasulullah saw bahawa umat Islam di akhir zaman ini akan diratah oleh musuh Islam dari semua arah; lalu sahabat bertanya - apakah jumlah mereka (baca:orang Islam) itu sedikit? - Baginda menjawab - Tidak! Mereka itu ramai tetapi tak ubah seperti buih-buih di lautan.

Apabila isu Palestin didendangkan, yang pasti nama pahlawan agung Salahuddin Al-Ayubi akan terus hinggap di gegendang telinga saya. Salahuddin adalah pejuang Islam yang telah berjaya menawan semula Baitulmuqadis dari tentera Salib pada 2 Oktober 1187. Salahuddin yang dilahirkan sebagai seorang bangsa Kurdish, ternyata akan berasa sedih jika melihat kepada penindasan yang dilakukan oleh orang Islam Arab terhadap bangsa itu hari ini. Mereka adalah bangsa tanpa negara dan dilayan bagai orang yang tidak berwarganegara. Penindasan mereka oleh kerajaan-kerajaan Islam Arab hari ini masih berlarutan walaupun mereka itu sebenarnya adalah saudara seagama kita.

Penindasan pemimpin Islam terhadap umat mereka sendiri ternyata berlaku di mana-mana. Dari penghujung benua Afrika Utara sehinggakan kehujung kepulauan Indonesia, masih ramai orang Islam yang ditindas oleh pemimpin mereka sendiri. Kezaliman masih berterusan dan kesatuan sebagai saudara seagama hanyalah bersifat kulit luaran semata-mata. Pemimpin Islam sendiri menindas dan terus menindas. Zalim dan kejam terus mengumpul dan menipu harta rakyat untuk kemewahan dunia sementara.

OIC yang dibarisi oleh pemimpin Islam yang korup, gila kuasa dan tidak ikhlas berjuang untuk Islam menjadikan pertubuhan ini tidak ubah seperti seekor singa tua yang telah patah taringnya. Lemah dan bacul. Takut dan gerun. Buta dan tuli. Kusam dan hapak. Selagi pemimpin-pemimpin ini tidak diguling dan umat Islam masih tidak mahu menjatuhkan pemimpin-pemimpin zalim dan dayus ini, selagi itu Gaza akan terus ditikam, dibom, ditembak, dirogol, dinodai dan disembelih. Selagi itu rakyat Palestin akan terus menjadi pelarian di negara mereka sendiri.

Saya sajikan sajak (dicatat oleh Najwan Halimi) ini buat teman-teman sekadar renungan untuk kita semua yang masih punya hati dan akal......


Aku berharap
dalam diam

Aku berdoa

dalam diam

Aku teriak
dalam diam

Ada yang kepal genggam tangan
Menumbuk angin


Ada yang laung gema sumpahan
Menyeru dingin

Lega Aku,
mereka lega


Dan Gaza?
Darah masih tumpah
Luka terus nanah

Rebah, musnah




3 ulasan:

Najwan Halimi berkata...

Terima kasih atas titipan puisi.

Freeviolence berkata...

saya pernah dengar bahawa di isu disana bukan isu agama tapi isu tanah.. perjuangan nasionalisme rakyat palestin untuk menuntut tanah mereka...

rfeev berkata...

Salam akhdan,

Isu yang paling utama di gaza dan palestin ini adalah - PENINDASAN. Tidak kira apa agama, bangsa atau keturunan manusia itu, dia tidak layak malah HARAM dari menindas bangsa lain.

Isu tanah, agama malahan kemanusiaan itu adalah sosok-sosok alasan untuk kita terus berjuang menentang satu kejahatan yang sama iaitu - PENINDASAN.

Menjadi lumrah manusia andai rumah yang diduduki dicerobohi dan dijajah akan pasti bangun menentang maka tidaklah adil jika dikata bahawa rejim zionis Israel bertindak sebagai mempertahankan diri kerana mereka dahulu yang menceroboh. Hakikatnya mereka tidak layak mendapat simpati kita kerana penjajah akan sentiasa ditentang oleh pribumi tempat yang dijajah.

Namun seperti yang saya kata di dalam entri saya, selagi Zionis tempatan (ungkapan yang diguna Isham Rais) tidak digulingkan, tak payahlah kita cuba mencapai bintang di gaza andai pucuk kelapa pun masih jauh dari gapaian.