Jumaat, 12 September 2008

Raja Petra dan Tan Hoon Cheng ditahan ISA...


Empat hari lagi menjelang 16 September, Raja Petra dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta yang diwariskan British ini kepada kita sekali lagi diguna pakai sebagai 'senjata' untuk menakutkan dan memadamkan api kemaraan rakyat untuk melakukan perubahan. Episod terbaru kekejaman dan kebobrokan pimpinan negara yang ada sekarang tidak lebih dari satu langkah terakhir yang cukup terdesak dari mereka bagi menyelamatkan 'sampan bocor' mereka yang semakin karam dilanda badai ombak kebangkitan agenda perubahan yang didokong oleh majoriti rakyat.

ISA digunakan sekali lagi oleh kerajaan Selamat, Aman, Makmur (baca : Bangsat, Bodoh, Bacul) untuk menahan mereka yang berani menyangah penguasa yang zalim dan korup. Raja Petra dituduh menghina Islam padahal yang dipertikai adalah kredibiliti dan integriti anggota institusi agama itu sendiri dan Tan Hoon Cheng ditahan kerana melaporkan kenyataan biadap Ahmad Ismail (baca : Samseng Bacul) yang berbaur perkauman. Inilah namanya keadilan dan prinsip undang-undang yang dijunjung oleh Nabi Islam Hadhari dan ulama-ulamanya. Maka dengan cara ini syiar Islam Hadhari akan terus bersinar di bumi Malaysia ini.

Taktik kotor mereka ini, saya rasakan adalah antara langkah-langkah licik untuk mewujudkan keadaan seperti 13 Mei 1969 yang mana membawa kepada tercetusnya rusuhan kaum. Provokasi demi provokasi akan terus dilancar untuk menimbulkan ketegangan antara anggota masyarakt di Malaysia. Kekacauan bakal timbul dan ini akan memberi peluang kepada kerajaan zalim ini mengisytiharkan darurat dan membunuh terus demokrasi yang sememangnya sudah nyawa-nyawa ikan di Malaysia ini.

Saya menyarankan pada teman-teman yang masih cintakan akan negara ini agar bertenang dan bersabar. Janganlah kita cepat melatah dengan dakyah perkauman dan ketidakstabilan yang dijaja oleh Umno dan BN (baca : B*** Negara). Berhajatlah pada Allah dan terus istiqamah dalam perjuangan memerdekakan negara kita ini dari belenggu kekejaman, penindasan dan kezaliman Umno dan BN (baca : B*** Negara). Sesungguhnya perjalanan mencari kebenaran itu tidak akan pernah sunyi daripada cabaran, dugaan dan ancaman.

Buat Raja Petra dan Tan Hoon Cheng, saya doakan anda berdua dalam keadaan selamat dan moga Allah terus memberikan anda berdua kekuatan dan semangat untuk terus menyatakan yang benar dan menyanggah apa yang salah.


Khamis, 11 September 2008

Dakyah Perkauman - Senjata Usang...

Isu perkauman sekali lagi dimainkan oleh parti komponen Barisan Nasional. Ahmad Ismail dengan keterlanjuran bahasanya dan tindakan biadap penyokong-penyokong beliau juga antara ribuan insiden perkauman yang dimainkan Barisan Nasional. Namun saya tidak mahu mengambil jalan singkat dengan hanya menyalahkan mereka yang bermain dengan isu perkauman.

Sebenarnya isu perkauman didasarkan pada sistem politik itu sendiri. Negara kita merdeka dengan dipaksikan pada kesinambungan dasar pecah dan perintah yang diaplikasi oleh puak Imperialis ketika negara kita dijajah. Tunku, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan adalah pemuka-pemuka utama dalam mencorak sistem politik yang kita ada sekarang. Dek kerana isu perkauman yang dimainkan oleh semua parti-parti berasaskan kaum, negara kita mencatat detik hitam pada 13 Mei 1969 walaupun pada pandangan peribadi saya itu adalah antara taktik kotor Perikatan untuk memastikan survival kekuasaan mereka di Malaysia ketika itu. Singapura juga pernah menghadapi detik hitam angkara isu perkauman.



Saya suka untuk menyebut disini, pada pandangan saya Dato' Onn adalah orang yang selayaknya dianggap sebagai intelektual Melayu yang benar-benar merdeka dan demokratik. Walaupun beliau bertanggungjawab menubuhkan UMNO, tetapi beliau berfikir jauh bahawa sistem politik negara dan pentadbiran negara akan menghadapi satu Zaman Kegelapan yang panjang jika ianya terus didasarkan pada sistem politik perkauman. Maka disaat itu beliau telah mengemukakan idea untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Namun mungkin kerana pendekatan yang diambil, Dato' Onn gagal untuk membuka mata masyarakat ketika itu bahawa pada masa hadapan, pemerintah akan menghadapi masalah besar dalam menyatukan semua kaum di Malaysia sebagai bangsa Malaysia.

Setelah 51 tahun merdeka, saya mengagaskan agar semua parti komponen Barisan Nasional dibubarkan dan membentuk menjadi satu parti iaitu Barisan Nasional. Pengabungan ini amat penting dalam merealisasikan perpaduan nasional dalam erti kata sebenar. Saya tidak nampak kenapa penggabungan ini tidak boleh berlaku. Makanya semua ahli parti akan mempunyai hak yang sama rata untuk bersuara dan ini akan melancarkan lagi perjalanan sistem demokrasi di dalam parti. Melalui cara ini juga ianya dapat mengukuhkan jentera parti dan menghapuskan tanggapan dominasi oleh sesetengah pihak dalam parti pada pandangan masyarakat. Namun untuk mencapai ini, saya tidak taruhkan harapan saya pada pimpinan yang ada sekarang. Saya mengimpikan ianya akan terjadi sebelum tahun 2020 dan dilaksanakan oleh generasi muda parti yang benar-benar komited ingin membawa perubahan dalam sistem parti Barisan Nasional. Isu kronik ibarat tumor yang bernanah seperti rasuah, kronisma dan nepotisma harus dihapuskan secara total dari Barisan Nasional agar penjenamaan semula Barisan Nasional bisa menarik semula sokongan kepada mereka.


Selasa, 9 September 2008

Hang Jebat tak ajar kita macam ni...


Gambar : Penyokong UMNO Pulau Pinang mengoyakkan gambar Tan Sri Koh Tsu Koon sebagai tanda protes konfrantasi beliau terhadap Dato' Ahmad Ismail.

Apalah beza kita dengan bangsa kulit putih di Afrika Selatan dan Amerika Syarikat satu masa dulu? Kita marah Anwar kawan dengan Amerika dan Yahudi, tetapi perangai kita saling tak tumpah seperti Amerika dan Yahudi.... Hang Jebat kalau masih hidup pun rasa malu nak mengaku Melayu..

Khamis, 4 September 2008

Al-Fatihah buat Tan Sri Abdul Samad Ismail...


Tan Sri Abdul Samad Ismail
24 April 1925 - 4 September 2008


Tokoh kewartawanan tanah air ini bukan hanya seorang journalis biasa. Beliau adalah lebih dari itu. Beliau adalah pejuang dalam membawa perubahan kepada masyarakat yang dikasihinya melalui tulisan-tulisan beliau. Beliau juga yang bertanggungjawab dalam merangka Perlembagaan Rakyat yang disyorkan oleh PUTERA-AMCJA pada 1947. Beliau juga merupakan anggota pengasas GERAM dan juga People Action Party (PAP) di Singapura. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara adalah sebagai Editor New Straits Times.

Beliau telah meninggalkan kita semua hari ini, 4 Ramadhan 1429H bersamaan 4 September 2008 pada jam 5.58 petang di Pusat Perubatan Pantai. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.....


Rabu, 3 September 2008

16 September 2008- Percayakah Anda??


16 September 2008 menjadi tarikh keramat pilihan Anwar Ibrahim untuk me'merdeka'kan Malaysia dari sebuah kerajaan diktator yang mengamalkan sistem politik perkauman yang telah ketinggalan zaman. Caranya adalah dengan 'memindahkan' seramai mungkin ahli parlimen parti pemerintah menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk satu majoriti mudah. Benarkah perkara ini bisa terjadi Selasa, 16 September 2008?

Aku menyorot kembali masa ke Mac 2008, saat sebelum Pilihan Raya ke-12. Aku menonton sebuah wawancara Anwar bersama Al-Jazeera, Anwar dengan yakin menyatakan barisan pembangkang ketika itu mampu untuk menafikan dua pertiga majoriti parti pemerintah. Aku skeptikal dengan kenyataannya, tetapi nyata rakyat Malaysia menyahut impian Anwar itu dengan menghadiahkan 82 kerusi parlimen kepada pembangkang dan menafikan dua pertiga majoriti parti pemerintah. Empat buah negeri dihadiahkan kepada barisan pembangkang sambil Kelantan dikekalkan di bawah pentadbiran pembangkang. Ternyata nujum Anwar menjadi kenyataan.

Beberapa bulan lalu, Anwar kembali menyatakan harga minyak mampu diturunkan. Debat menjadi gelanggang Anwar untuk mengulangi keyakinan beliau. Aku yang juga sibuk berdebat dengan teman-teman, orang terpelajar dan golongan pekerja; akhirnya tak mampu mencapai konklusi samada kerajaan bisa menurunkan harga minyak. Namun rupa-rupanya pemimpin kerajaan mengambil langkah berani untuk menurunkan harga minyak walaupun sebagai satu tindakan populis sempena meraih undi ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Ketika Permatang Pauh menjadi pentas pertarungan antara Anwar dan hulubalangnya dengan seluruh jentera kerajaan parti pemerintah, aku nyaris sesak dengan segala propaganda dan dakyah yang dihidangkan oleh media massa. Aku sendiri hampir yakin bahawa majoriti Anwar dalam Pilihan Raya Kecil ini pasti lebih kecil dari yang diperoleh oleh isterinya. Aku juga kaget apabila pada hari pengundiaan, pesanan sms yang aku terima menyatakan peratusan keluar mengundi amat rendah. Namun menurut sumber-sumber dari mereka yang berada di samping Anwar, beliau begitu yakin akan mampu menang dengan majoriti 15,000 undi. Akhirnya nujum Anwar sekali lagi terbukti benar.

Dari Permatang Pauh menuju ke Putrajaya, menjadi tema Anwar dalam merealisasikan perjuangan me'merdeka'kan Malaysia saat tanggal 16 September ini. Maka dilihat dari trek rekod Anwar sepanjang tahun ini, maka tidak salah jika kita menaruh sekelumit kepercayaan akan kemampuan Anwar dalam merealisasikan perjuangannya ini. Untuk mereka yang rasa kerusi kekuasaan mereka terancam, mereka tidak seharusnya memandang enteng akan hasrat Anwar dan hulubalangnya. Anda sekalian ada tidak lebih dari dua minggu untuk berubah atau terus rebah.