Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan

Isnin, 19 Januari 2009

Tahniah buat Pas dan Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu...

Percaturan politik Malaysia menyaksikan arus perubahan yang digembleng dan dituntut rakyat semakin tidak tertahan lagi dengan keputusan terbaru Pilihan Raya Kecil P36 Kuala Terengganu. Perang strategi di awal proses pilihan raya kecil ini begitu dramatik bagi kedua-dua parti utama yang bertanding. Tempoh kempen selama dua minggu dengan perang poster dan siri ceramah yang bertimbun merancakkan suasana pilihan raya ini. Janji ditabur dan wang dilimpah dalam bentuk bantuan seolah negara tidak berada dalam krisis ekonomi. Semuanya hanya berakhir setelah tempoh pengundian selesai. Alhamdulillah, akhirnya calon Pas diisytiharkan sebagai pemenang pada pilihan raya ini sekaligus menambahkan bilangan kerusi Parlimen Pakatan Rakyat kepada 83 kerusi.

Keputusan ini telah cukup merumuskan kepada aku beberapa perkara penting. Perubahan semakin kuat dituntut oleh rakyat dan dibuktikan oleh rakyat melalui peti-peti undi. Dua kekekalahan BN dan Umno didalam PRK di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu menguatkan lagi iltizam rakyat terutama mereka yang bersama dengan Pakatan Rakyat untuk bersama-sama menuntut kemenangan demi melaksanakan satu perubahan buat Malaysia. Kekalahan-kekalahan ini juga satu mesej jelas buat bakal Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, bahawa beliau tidak diterima rakyat untuk menerajui negara. Dengan kekalahan di dalam PRK ini juga, aku dapat menjangkakan pada PRU 13 nanti - Barisan Nasional akan dapat ditumbangkan dan Pakatan Rakyat berpeluang besar untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Tahniah sekali lagi saya ucapkan buat Yang Berhormat Abdul Wahid Endut dan saya mengucapkan selamat menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu!

p/s - buat penduduk Pensiangan, nantikan arus Perubahan ini melanda tempat anda dalam sedikit masa lagi....


Selasa, 23 September 2008

Rasuah Malaysia di mata dunia...



Carta diatas adalah senarai indeks terbaru rasuah di Malaysia bagi tahun 2008. Kedudukan Malaysia merosot ke tangga 47 dari 180 buah negara setelah berada pada tangga 43 pada tahun 2007. Gagalkah Pak Lah menentang rasuah? Saya serahkan pada pembaca untuk menilai. Saya tidak mahu dituduh memanipulasi data pula. Untuk baca lebih lanjut sila klik pada pautan ini.


Khamis, 11 September 2008

Dakyah Perkauman - Senjata Usang...

Isu perkauman sekali lagi dimainkan oleh parti komponen Barisan Nasional. Ahmad Ismail dengan keterlanjuran bahasanya dan tindakan biadap penyokong-penyokong beliau juga antara ribuan insiden perkauman yang dimainkan Barisan Nasional. Namun saya tidak mahu mengambil jalan singkat dengan hanya menyalahkan mereka yang bermain dengan isu perkauman.

Sebenarnya isu perkauman didasarkan pada sistem politik itu sendiri. Negara kita merdeka dengan dipaksikan pada kesinambungan dasar pecah dan perintah yang diaplikasi oleh puak Imperialis ketika negara kita dijajah. Tunku, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan adalah pemuka-pemuka utama dalam mencorak sistem politik yang kita ada sekarang. Dek kerana isu perkauman yang dimainkan oleh semua parti-parti berasaskan kaum, negara kita mencatat detik hitam pada 13 Mei 1969 walaupun pada pandangan peribadi saya itu adalah antara taktik kotor Perikatan untuk memastikan survival kekuasaan mereka di Malaysia ketika itu. Singapura juga pernah menghadapi detik hitam angkara isu perkauman.



Saya suka untuk menyebut disini, pada pandangan saya Dato' Onn adalah orang yang selayaknya dianggap sebagai intelektual Melayu yang benar-benar merdeka dan demokratik. Walaupun beliau bertanggungjawab menubuhkan UMNO, tetapi beliau berfikir jauh bahawa sistem politik negara dan pentadbiran negara akan menghadapi satu Zaman Kegelapan yang panjang jika ianya terus didasarkan pada sistem politik perkauman. Maka disaat itu beliau telah mengemukakan idea untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu. Namun mungkin kerana pendekatan yang diambil, Dato' Onn gagal untuk membuka mata masyarakat ketika itu bahawa pada masa hadapan, pemerintah akan menghadapi masalah besar dalam menyatukan semua kaum di Malaysia sebagai bangsa Malaysia.

Setelah 51 tahun merdeka, saya mengagaskan agar semua parti komponen Barisan Nasional dibubarkan dan membentuk menjadi satu parti iaitu Barisan Nasional. Pengabungan ini amat penting dalam merealisasikan perpaduan nasional dalam erti kata sebenar. Saya tidak nampak kenapa penggabungan ini tidak boleh berlaku. Makanya semua ahli parti akan mempunyai hak yang sama rata untuk bersuara dan ini akan melancarkan lagi perjalanan sistem demokrasi di dalam parti. Melalui cara ini juga ianya dapat mengukuhkan jentera parti dan menghapuskan tanggapan dominasi oleh sesetengah pihak dalam parti pada pandangan masyarakat. Namun untuk mencapai ini, saya tidak taruhkan harapan saya pada pimpinan yang ada sekarang. Saya mengimpikan ianya akan terjadi sebelum tahun 2020 dan dilaksanakan oleh generasi muda parti yang benar-benar komited ingin membawa perubahan dalam sistem parti Barisan Nasional. Isu kronik ibarat tumor yang bernanah seperti rasuah, kronisma dan nepotisma harus dihapuskan secara total dari Barisan Nasional agar penjenamaan semula Barisan Nasional bisa menarik semula sokongan kepada mereka.