BTN yang mula wujud sejak 1974 ini dikatakan sebagai sebuah institusi latihan kenegaraan untuk warganegara Malaysia yang berkhidmat sebagai penjawat awam, mahasiswa universiti dan juga individu-individu persendirian yang merupakan warganegara. Tujuan utama BTN dikatakan adalah untuk memupuk semangat patriotik cintakan negara dan juga untuk memupuk semangat jatidiri dan disiplin yang tinggi dalam diri individu untuk berbakti dan berkhidmat pada negara. Isu - isu mengenai sosial, politik, agama dan juga hubungan kaum menjadi topik perbincangan utama sepanjang kursus BTN. Namun begitu walaupun niat murni BTN ini adalah untuk mewujudkan semangat patriotik dan perpaduan di kalangan peserta, menghairankan apabila seluruh kandungan kursus ini dari modul, topik perbincangan sehinggakan maklumat - maklumat dari ceramah - ceramah yang disampaikan telah diklasifikasikan sebagai bahan sulit kerajaan dan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1983. Seperti ada udang di sebalik batu, slogan perpaduan dan patriotisma dicanang, tetapi peserta dilarang pula membincangkannya di luar tempoh kursus.
Penekanan awal para fasilitator adalah hakikat bahawa 'semenanjung emas' ini telah dijajah lebih 446 tahun dan tujuh hari semenjak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis. Pengkhianatan para pedagang India dan Cina ketika itu turut ditekankan. Dan seperti yang diduga, sekarang ini ancaman terbesar pada kedaulatan negara ini datangnya dari Amerika dan juga proksi mereka di rantau ini iaitu; Singapura. Selain itu yang menjadi fokus para fasilitator adalah mengenai status kewarganegaraan yang telah diberikan kepada kaum 'pendatang' Cina dan India dan betapa pentingnya menghormati dan mengiktiraf Kontrak Sosial yang mengikut tafsiran mereka adalah merangkumi Artikel 152, 153 dan juga 181 Perlembagaan Persekutuan. Keistimewaan orang Melayu bukanlah untuk dipersoalkan.
Namun dalam penekanan semua itu terhadap kepentingan memahami sejarah penubuhan negara Malaysia ini, perbincangan dikalangan peserta dan para fasilitator mula dibawa ke arah keadaan poltik negara semasa. Tanpa segan dan silu, pimpinan pembangkang, terutamanya Pas, DAP dan PKR dijadikan sasaran serangan fitnah dan tohmahan. Pimpinan Pas; Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dengan tanpa bukti dan usul periksa, sembrono dikaitkan dengan kegiatan terroris dalam tanah air. Anggota KMM dan Al-Maunah dikatakan telah terpengaruh dengan dakyah politik yang dibawa oleh pimpinan Pas ini sehingga menyebabkan mereka memilih jalan terrorisme. Tidak cukup dengan itu, DAP pula dikaitkan sebagai parti yang bertanggungjawab menyebabkan peristiwa 13 Mei berlaku dengan menyalahkan pemimpin seperti Lim Kit Siang sebagai chauvanis Cina yang berniat memporak perandakan kehidupan orang Melayu Islam di Malaysia. Dan seperti biasa, pimpinan PKR, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan juga Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar, dituduh sebagai agen Amerika dan juga Zionis yang menerima dana yang besar dari luar negara dan berniat untuk menjual negara ini kepada negara asing. DSAI dikatakan sebagai agen segala macam agensi, CIA, IMF dan World Bank dan merupakan 'musuh dalam selimut' yang cukup merbahaya. Bukti yang dipersembahkan adalah satu laman sesawang beralamat www.NED.com, sebagai bukti penyaluran dana dari luar negara kepada PKR dan IKD. Tidak cukup dengan itu, NGO seperti Suaram, Bersih dan juga Hindraf adalah NGO tajaan Barat yang ingin merosakkan negara. Nyatanya BTN menjadi pentas untuk menabur fitnah dan tohmahan terhadap pimpinan dan barisan pembangkang negara yang sebenarnya bergerak dalam ruang lingkup demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan negara.
Dialog yang tidak dapat saya lupakan adalah antara seorang teman peserta kursus dan fasilitator mengenai budaya demokrasi dan politik negara terutama selepas 8 Mac 2008. Dialognya berbunyi begini;
Fasi : Cuba lihat lepas 8 Mac, negara kita jadi tak aman. Sebabnya, kerajaan yang ada sekarang tidak memiliki majoriti dua pertiga. Lihat saja di Perak, apabila kerajaan yang tidak stabil dipilih, rakyat merana. Maka sebab itu Sultan Perak perlu campur tangan untuk menstabilkan keadaan. Mana mungkin kerajaan campuran yang berlainan ideologi antara Pas, DAP dan PKR boleh memerintah. Sebab itu juga BN perlu membentuk kerajaan negeri di Perak supaya rakyat akan terbela. Maka lebih baik kita kekalkan saja kerajaan BN yang ada sekarang ini. Walaupun kita ada demokrasi, jika pembangkang memerintah, negara akan kucar kacir dan tidak aman. Oleh itu janganlah kita berniat untuk menukar kerajaan yang sedia ada.
Peserta kursus (berasal dari Kelantan) : Tapi, Tuan, saya tak bersetuju dengan cadangan tuan itu.
Fasi : Kenapa pula?! (dengan nada sedikit marah)
Peserta kursus : Iyalah, Tuan. Saya inikan berasal dari Kelantan. Dan selama 20 tahun sudah Pas memerintah negeri. Jika Tuan kata tidak perlu kita menukar kerajaan demi menjamin kestabilan dan keamanan, makanya saya tidak wajar menukar kerajaan negeri yang ada sekarang kerana mengikut apa yang Tuan cadangkan, Pas wajar terus memerintah di Kelantanlah.
Dengan tersimpul malu, Fasi menjawab : Yang tu lainlah. Yang tu kena tukar. Bagi BN bentuk kerajaan.
Dari dialog diatas dapat dilihat betapa dangkal dan sempitnya pemikiran para fasilitator yang mengendalikan BTN. Mereka ini bukan hanya menjadi penyebar kepada dakyah perkauman sempit, mereka juga menjadi propagandis untuk parti pemerintah yang sedia ada dengan terus-menerus menabur fitnah dan menyebarkan fakta palsu.
Dan disaat Datuk Seri Najib Razak sibuk melaungkan liberalisasi dan globlisasi kepada seluruh rakyat, para fasilitator ini melabelkan dua agenda utama dunia ini sebagai satu bentuk penjajahan baru. Dunia maya internet dengan kehadiran blog, dipersalahkan sebagai mereka yang telah memesongkan pemikiran majoriti rakyat terutama anak muda. Namun yang mencuit hati saya adalah apabila mereka menyarankan kepada semua peserta kursus untuk hanya melayari laman blog anginperubahan.blogspot.com bagi mendapatkan berita mutakhir politik tanah air yang 'tepat' dan 'benar'.
Satu pesanan yang tidak dapat saya lupakan dari fasilitator kumpulan saya adalah, terutama untuk penjawat awam;
"Semua penjawat awam perlu mengikut perintah, seperti sebuah bahtera, anak kapal perlu menurut perintah nakhoda kapal, jika engkar, sewajarnya anak kapal itu terjun dari bahtera dan hanyut di lautan berseorangan."
Tapi di dalam hati saya berkata - kata;
"Bukankah lebih baik, untuk 'anak kapal' yang berjiwa seperti saya ini, berpakat beramai-ramai dengan meng'humban' nakhoda kapal yang sudah 'kemabukan laut' itu, dan mengangkat nakhoda baru supaya bahtera kami dapat meneruskan pelayarannya ke satu daerah baru yang menjanjikan satu harapan baru yang lebih baik untuk kami semua 'anak kapal'......"