Jumaat, 30 Januari 2009

Buat Mahasiswa....

Ini bukan tulisan asal saya namun untuk sekadar berkongsi dengan teman-teman pembaca.

Sayyid Abul Ala Maududi (1903-1979)

"‘Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.


Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.


I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses.’"


"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.


Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.


Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."


Syarah:


Mungkin, tidak ramai orang kita yang mengenali sosok pejuang Islam dari Pakistan ini. Sejarah telah mengukir betapa sosok ini berupaya berdiri sama tinggi dengan Imam Hassan Al Bana dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai Sistem Kehidupan di tanah air masing-masing.
Sayyid Abul Ala Maududi merupakan seorang pejuang, intelektual dan da'ie yang cukup disegani dalam abad ke-20. Namanya senantiasa meniti dibibir para pejuang Islam yang dahagakan tiupan semboyan daripada pemimpin sepertinya. Beliau merupakan pengasas kepada Jamaat-e-Islami di Pakistan, sebuah gerakan Islam yang sama hebatnya dengan Ikhanul Muslimin dibawah Imam Hassan Al Bana. Ungkapan yang tajam dan tersirat di atas merupakan salah satu ekspresi diri beliau terhadap realiti sistem pendidikan yang telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak zaman kolonial hinggalah ke hari ini. Kenapa begitu teruk sekali pandangan beliau terhadap universiti? Adakah pengorbanan mahasiswa tidak bererti dalam menimba ilmu? Persoalan ini akan terjawab jikalau kita bersikap kritikal dalam menilai sejarah dan impak yang tersirat didalam masyarakat. Memang benar. Universiti telah menjadi pusat penyembelihan kepada anak-anak muda yang suci pemikirannya. Disinilah mereka dikelar mindanya, dipatahkan tulang kesedarannya dan digantung maruah mereka selaku pengubah masyarakat. Para penyembelih yang terdiri daripada golongan aristokrat pendidikan telah mengupah manusia-manusia yang kelu untuk menyiat potensi minda perjuangan anak-anak muda ini. Diasingkan daripada realiti dan diangkat menjadi fantasi. Itulah keadaan sebenar pada hari ini. Golongan mahasiswa sudah dicincang dengan lumat sehingga tidak dapat dikenali lagi sebagai seorang 'insan' yang berguna pada rakyatnya. Terkurung daripada cahaya kebenaran, mahasiswa akhirnya dibutakan dengan lambakkan makanan berupa sampah untuk dibuntalkan perut minda mereka agar tidak ada apa lagi yang perlu dipersoalkan. Akhirnya, kegemukkan minda menghasilkan sifat kemalasan dan kepekaan kepada sekeliling menjadi pudar. Buta hati mula melingkar menusuk kalbu. Itulah mahasiswa. Hanyalah haiwan sembelihan buat golongan kapitalis yang menyedut darah merah yang segar daripada otak beku mereka. Selagi mana golongan mahasiswa terpisah dengan realiti masyarakat, kehidupan yang sempit didalam kampus hanya mampu menjadikan mereka daging pejal buat golongan kapitalis yang saban hari menyediakan hidangan daging mentah buat umat manusia. Mungkin, inilah yang ingin cuba disampaikan oleh Pejuang Islam ini. Pendidikan warisan penjajah yang membunuh.


Isnin, 19 Januari 2009

Tahniah buat Pas dan Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu...

Percaturan politik Malaysia menyaksikan arus perubahan yang digembleng dan dituntut rakyat semakin tidak tertahan lagi dengan keputusan terbaru Pilihan Raya Kecil P36 Kuala Terengganu. Perang strategi di awal proses pilihan raya kecil ini begitu dramatik bagi kedua-dua parti utama yang bertanding. Tempoh kempen selama dua minggu dengan perang poster dan siri ceramah yang bertimbun merancakkan suasana pilihan raya ini. Janji ditabur dan wang dilimpah dalam bentuk bantuan seolah negara tidak berada dalam krisis ekonomi. Semuanya hanya berakhir setelah tempoh pengundian selesai. Alhamdulillah, akhirnya calon Pas diisytiharkan sebagai pemenang pada pilihan raya ini sekaligus menambahkan bilangan kerusi Parlimen Pakatan Rakyat kepada 83 kerusi.

Keputusan ini telah cukup merumuskan kepada aku beberapa perkara penting. Perubahan semakin kuat dituntut oleh rakyat dan dibuktikan oleh rakyat melalui peti-peti undi. Dua kekekalahan BN dan Umno didalam PRK di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu menguatkan lagi iltizam rakyat terutama mereka yang bersama dengan Pakatan Rakyat untuk bersama-sama menuntut kemenangan demi melaksanakan satu perubahan buat Malaysia. Kekalahan-kekalahan ini juga satu mesej jelas buat bakal Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, bahawa beliau tidak diterima rakyat untuk menerajui negara. Dengan kekalahan di dalam PRK ini juga, aku dapat menjangkakan pada PRU 13 nanti - Barisan Nasional akan dapat ditumbangkan dan Pakatan Rakyat berpeluang besar untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Tahniah sekali lagi saya ucapkan buat Yang Berhormat Abdul Wahid Endut dan saya mengucapkan selamat menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu!

p/s - buat penduduk Pensiangan, nantikan arus Perubahan ini melanda tempat anda dalam sedikit masa lagi....


Khamis, 15 Januari 2009

Hatikvah - Harapan

-Kongres Pertama Zionis tahun 1897-


Selama mana di dalam hati, ini,

Jiwa Yahudi masih menghajati,

Dan ke hadapan, sehingga ke penghujung timur,

Mata kami masih terpaku pada Zion,



Impian kami masih belum hilang,

Satu harapan dua ribu tahun,

Menjadi rakyat merdeka di tanah kami,

Di tanah Zion dan Jerusalem.


Sabtu, 3 Januari 2009

Gaza - Gelojak Jiwa Umat Islam Dunia


Di saat entri ini ditulis, Gaza sudah masuk hari kelapan dikepung oleh rejim Zionis Israel. Dengan ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih yang mencukupi, dihimpit lagi dengan kekurangan makanan, penderitaan rakyat Gaza tidaklah dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Nyawa penduduk Gaza seramai 1.5 juta di sebuah kawasan tak lebih besar dari negeri Melaka ini, ternyata ibarat dihujung tanduk. Amarah jiwa terhadap kekejaman kemanusiaan ini begitu meluap-luap sehinggakan kita bisa hilang pertimbangan emosi.

Namun dalam kita mengutuk dan membenci kezaliman yang berlaku terhadap umat Islam di Gaza ini, ada eloknya kita merenung kembali kelemahan kita dari segi akidah, semangat jihad dan nilai kemanusiaan kita sebagai hamba tuhan yang dicipta dari tanah. Nisbah penduduk Israel kepada jumlah penganut Islam adalah 1 kepada 3000 orang. Namun seperti yang diwasiatkan oleh Rasulullah saw bahawa umat Islam di akhir zaman ini akan diratah oleh musuh Islam dari semua arah; lalu sahabat bertanya - apakah jumlah mereka (baca:orang Islam) itu sedikit? - Baginda menjawab - Tidak! Mereka itu ramai tetapi tak ubah seperti buih-buih di lautan.

Apabila isu Palestin didendangkan, yang pasti nama pahlawan agung Salahuddin Al-Ayubi akan terus hinggap di gegendang telinga saya. Salahuddin adalah pejuang Islam yang telah berjaya menawan semula Baitulmuqadis dari tentera Salib pada 2 Oktober 1187. Salahuddin yang dilahirkan sebagai seorang bangsa Kurdish, ternyata akan berasa sedih jika melihat kepada penindasan yang dilakukan oleh orang Islam Arab terhadap bangsa itu hari ini. Mereka adalah bangsa tanpa negara dan dilayan bagai orang yang tidak berwarganegara. Penindasan mereka oleh kerajaan-kerajaan Islam Arab hari ini masih berlarutan walaupun mereka itu sebenarnya adalah saudara seagama kita.

Penindasan pemimpin Islam terhadap umat mereka sendiri ternyata berlaku di mana-mana. Dari penghujung benua Afrika Utara sehinggakan kehujung kepulauan Indonesia, masih ramai orang Islam yang ditindas oleh pemimpin mereka sendiri. Kezaliman masih berterusan dan kesatuan sebagai saudara seagama hanyalah bersifat kulit luaran semata-mata. Pemimpin Islam sendiri menindas dan terus menindas. Zalim dan kejam terus mengumpul dan menipu harta rakyat untuk kemewahan dunia sementara.

OIC yang dibarisi oleh pemimpin Islam yang korup, gila kuasa dan tidak ikhlas berjuang untuk Islam menjadikan pertubuhan ini tidak ubah seperti seekor singa tua yang telah patah taringnya. Lemah dan bacul. Takut dan gerun. Buta dan tuli. Kusam dan hapak. Selagi pemimpin-pemimpin ini tidak diguling dan umat Islam masih tidak mahu menjatuhkan pemimpin-pemimpin zalim dan dayus ini, selagi itu Gaza akan terus ditikam, dibom, ditembak, dirogol, dinodai dan disembelih. Selagi itu rakyat Palestin akan terus menjadi pelarian di negara mereka sendiri.

Saya sajikan sajak (dicatat oleh Najwan Halimi) ini buat teman-teman sekadar renungan untuk kita semua yang masih punya hati dan akal......


Aku berharap
dalam diam

Aku berdoa

dalam diam

Aku teriak
dalam diam

Ada yang kepal genggam tangan
Menumbuk angin


Ada yang laung gema sumpahan
Menyeru dingin

Lega Aku,
mereka lega


Dan Gaza?
Darah masih tumpah
Luka terus nanah

Rebah, musnah