Jumaat, 12 Disember 2008

Bukit Antarabangsa.....



Indah kau menggamit pandangan,
Tinggi kau memanggil pendaki,
Lurah kau memenuhi nafsu,
Lereng kau mencapah mahligai,

Nama kau gah dengan status tinggi ,
Pemaju berlumba merogol kau kerana untung,
Lebar, besar, tinggi bongkah-bongkah batu menodai kau,
Hijau kau diganti merah, biru, kuning, putih, hitam,

Orang kaya bergolok pokai untuk sekeping tanah kau,
Doktor bergadai nyawa demi sebuah rumah beralamat kau,
Peguam bertelagah mempertahankan hak kau dimastautin,
Pembesar pun tak kurang membina 'istana hinggap' di atas kau,

Bertahun kau mendiam diri,
Memberi peluang buat manusia menyedari kesilapan sendiri,
Merelakan diri terus dicemari,
Kau bersabar dan terus bersabar sampai tercabar,

Berkali kau mengamuk menunjuk amarah,
Highland Tower kau jentik berderai,
UK Heights kau redah rebah,
Kini Taman Bukit Mewah kau hempap hempas,

Harta dan jiwa kau jamah,
Rumah, kereta, kucing Siam, kolam renang kau ratah,
Timbus mati suami, isteri, saudara, teman malah musuh,
Tenggelam karam wang, emas dan sijil bon berjuta ringgit,

Rumah roboh ditindan tanah,
Batu bergolek meranap kereta,
Jalan terjungkit dek berubah mukabumi,
Sungai keruh pasal pasir melimpah,

Berhamburlah manusia mencari selamat,
Tanpa amaran kau gegar hati mereka,
Kau sentap jiwa mereka hingga luluh,
Berderai air mata mengenang malang sendiri,

Bergegaslah polis, bomba dan ambulan,
Kecemasan membantu yang parah,
Sukarelawan menolong yang mampu,
Huru-hara air dan elektrik terputus,

Beribulah umat terkepung di atas kau,
Ibarat nyawa dihujung tunduk,
Bila-bila masa kau bisa mengamuk lagi,
Runtuhkan seluruh mereka yang ada di atas,

Ramailah tiba menawar bantuan,
Niat ikhlas menolong yang susah,
Air, makanan, pakaian, ubatan semua diangkut,
Demi menghulur sedikit pertolongan,

Pak Lah, Najib, Tan Sri Khalid, Sultan Sharifuddin, Anwar Ibrahim,
Berduyun datang menunjuk muka,
Sibuk mendengar buta taklimat,
Melihat pekak kesan runtuhan,

Untung orang kau,
Sekali malapetaka singgah,
Berbulan bertahun kau bakal 'dipestakan',
Dalam tv, radio, suratkhabar dan blog,

Orang banjir di Pantai Timur,
Tidurnya di dewan sekolah sempit berbau hanyir,
Orang kau beradu di De Palma cantik wangi,
Sebab mereka orang kau,

Berhari orang datang membantu,
Membawa yang terperangkap keluar,
Nasi dihulur air dituangkan,
Orang kau campak bagi babi hutan makan,

Pondok aduan dibina untuk orang kau,
Untuk mengadu pasal orang yang datang membantu,
"Kami mangsa" kata orang kau,
"Layanlah kami seperti Raja" berbisik hati orang kau,

Anjing tersepit jangan dilepas,
Takut dilepas menggigit gila pula,
Kerajaan bertungkus susah payah,
Orang kau berpakat hendak menyaman,

Bukanlah tidak aku kesian,
Aku simpati dengan orang kau,
Tapi aku juga bingung,
Berkali kau marah mereka tak faham-faham,

Aku juga tahu bukan semua,
Bukan semua macam anjing tersepit,
Tapi dek kerana nila setitik,
Habis rosak susu sebelanga,

Entah bila kau akan aman semula,
Tak bisa marah mengamuk,
Janganlah kau hilang sabar lagi,
Aku harap mereka sedar insaf taubat,

Kau akan terus digilai,
Kau akan terus dicerobohi,
Kau akan terus didaki,
Kerana kau menjadi lambang status orang-orang kau...


Isnin, 8 Disember 2008

Salam Eid Adha....

Gambar : Gambaran Makkah Al-Mukarammah pada 2010


Sejarah pegorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail memberi impak tersendiri dalam kita menghayati perayaan termulia dalam kalendar hijrah. Ketaatan kepada perintah Allah dan jihad agung melawan hasutan syaitan dan nafsu menjadi tema penting yang harus kita tanggung dalam kehidupan kita sebagai pejuang. Akhir semua perjuangan ini adalah hidayah Allah yang ditagih jua.

Perjalanan terunggul dalam kehidupan setiap manusia yang berjiwa Islam pastinya melaksanakan ibadah Haji di Makkah Al-Mukharamah dan melawat makan Baginda Rasulullah s.a.w di Madinah menjadi acara penting dalam bulan Zulhijjah ini. Niat, wukuf di Arafah, melontar Jamrah, melakukan tawaf di Kaabah, saie di antara Marwah dan Safa, dan bertahalul akan bersungguh-sungguh dilaksanakan oleh setiap tetamu Allah. Semuanya demi mendapatkan taraf haji mabrur yang menjadi idaman setiap umat yang hadir ke sana.

Salam Eid Adha buat semua pembaca dan moga anda semua akan terus berkorban seluruh jiwa dan raga demi mencapai apa jua yang anda perjuangkan. Wassalam...

Selasa, 2 Disember 2008

Ceramah Agung dari Seorang Pemimpin Agung...






Untuk lebih gambar, klik sini


Kongres Parti KeADILan Rakyat 2008 menyaksikan kematangan sebuah parti yang berusia tidak sampai 10 tahun. Parti yang lahir dari gerakan Reformasi rakyat Malaysia pada tahun 1998 ini saya rasakan berjaya mengekalkan relevansi mereka dalam politik tanah air. Kehadiran Pakatan Rakyat sebagai alternatif terbaik kepada Barisan Nasional menghidangkan rakyat dengan pilihan yang wajar dipertimbangkan dengan serius oleh seluruh rakyat dalam mencorak pemerintahan tanah air di masa hadapan.

Dengan 'Harapan Baru' sebagai tema, satu reformasi budaya politik Malaysia yang dipelopori oleh Pakatan Rakyat menyaksikan Umno dan Barisan Nasional terduduk berpinar melihat perubahan demi perubahan yang didukung rakyat terus menenggelamkan mereka. Arus perubahan ini akan terus menular ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat ini dengan menjanjikan nilai esprit de corps untuk mereka kerana selama ini mereka ibarat 'dara cantik' yang dinodai, dirogol dan disisih begitu sahaja oleh jembalang Umno dan Barisan Nasional.

Harapan Baru - akan aku garap dan galas usaha ini demi negaraku Malaysia yang tercinta....


Rabu, 26 November 2008

Arak di Shah Alam..


Walaupun saya menyokong kepada kebebasan individu dan pasaran bebas, namun dalam usaha mengekang gejala sosial di kalangan anak muda Islam, mahupun agama lain yang mengharamkan pengikutnya untuk meminum arak, maka menjadi pilihan saya untuk bersetuju dengan cadangan yang dikemukan oleh MBSA untuk menghadkan lesen penjualan arak di Shah Alam. Tujuan usaha ini tidak lebih sebagai menghalang penjualan arak kepada orang Islam sahaja. Namun selain itu juga, sebagai peniaga, mereka sendiri boleh mengambil inisiatif untuk tidak menjual arak kepada mereka yang beragama Islam.

Apabila isu ini di'hangatkan' oleh suratkhabar Cina, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan kepada mereka bahawa perkara ini hanyalah untuk mereka yang beragama Islam dan mereka yang bukan beragama Islam masih bebas membelinya tanpa sebarang halangan. Isu ini semoleknya diserahkan kepada komuniti setempat untuk menentukan apa yang mereka mahukan di dalam komuniti mereka. Melalui cara ini, pelaksanaan yang berkesan dan demokratik dapat diaplikasikan. Saya berharap isu ini tidak akan terus disensasikan kerana sekian ini saya melihat masyarakat kita sudah mula hilang fokus terhadap isu-isu yang lebih menekan seperti rasuah, salahguna kuasa, kemelesetan ekonomi dan banyak lagi.


Isnin, 24 November 2008

SMS YB Shaari Sungib...



"Tkasih, doakan saya tetap bersama perjuangan menentang kezaliman Umno-BN & menegakkan keadilan"
- YB Shaari Sungib, 24 November 2008, jam 5.06 petang -

Amin.........



Jumaat, 21 November 2008

Razak - Najib - Altantuya



Semalam menyaksikan penganalisis politik tanah air, Razak Baginda tampil dengan satu sidang media membela 'teman buku' beliau, Najib Razak. Razak dengan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa Najib dan Rosmah tidak terlibat dengan perkara ini. Ini semua hanyalah FITNAH blogger-blogger yang Razak sifatkan bahawa pemandu teksi pun boleh memiliki blog sendiri. Saya sebagai pemerhati biasa namun bukanlah seorang pemandu teksi, masih terfikir lagi hingga ke saat ini apa tujuan Razak tampil membela 'teman buku'nya ini.

Isu pembunuhan Altantuya bukanlah isu jenayah biasa semata-mata. Ianya isu mengenai tahap keselamatan negara dan kebejatan sistem kerajaan yang ada sekarang. Isunya adalah bagaimana bom C4 boleh digunakan di dalam jenayah ini? Mengapa yang terlibat adalah anggota Unit Tindakan Khas yang merupakan satu instrumen kerajaan dalam 'menjaga' keselamatan pemerintah negara? Mengapa Altantuya perlu dibunuh sebegitu kejam hingga diletupkan? Mengapakah motif pembunuhan masih tidak dapat dibentuk hingga sekarang oleh pihak pendakwaan? Siapakah yang meraih untung dari kematian Altantuya? Semua ini masih tidak dijawab dari prosiding mahkamah mahupun siasatan polis. Bahkan Razak sendiri gagal menerangkan dengan jelas mengapa beliau dikaitkan dengan Altantuya.

Ternyata sidang media semalam menimbulkan seribu satu tanda tanya apakah sistem kehakiman negara akan berkubur selepas ini. Semuanya dek kerana dua tiga indidvidu yang merasakan diri mereka lebih tinggi dari undang-undang negara. Kenyataan Najib di dalam wawancara rancangan Foreign Correspondant terbitan ABC sedikit sebanyak membuktikan kelancutan sistem kehakiman yang terus disalahguna oleh kuasa eksekutif negara. Sumpah dan penafian di media menjadi kayu pengukur kepada tahap kebenaran seseorang itu. Ternyata sistem kehakiman negara telah mati, busuk, bernanah dan gangrene yang perlu diamputasi dan dikuburkan.

Saya juga ingin mengucapkan "Good luck" buat Razak yang akan menyambung PhD di Oxford.


Isnin, 17 November 2008

Wacana....

Baru-baru ini di dalam satu program aku telah menggunakan istilah ini di dalam teks ucapan aku. Tanpa diduga, rupanya istilah ini yang aku pelajari dari teman-teman 'pemikir' komunite muda Jalan Telawi rupa-rupanya begitu asing dan unik sekali untuk jamaah umum. Istilah yang aku gunakan di dalam ucapan pembukaan akhirnya menjadi istilah popular yang terus diguna oleh tetamu-tetamu kehormat dalam ucapan mereka selepas aku.

Aku berterima kasih buat teman-teman yang memperkenalkan istilah ini kepada aku. Semoga di masa depan lebih mewah keindahan Bahasa Melayu dapat kita terokai dan sebarkan demi mengembalikan semula kegemilangan Bahasa Melayu yang pernah menjadi 'lingua franca' lebih dari 600 tahun lampau.