Jumaat, 26 September 2008

Pemilihan UMNO ditangguh ke Mac...


Seperti yang dikhabarkan oleh cakap-cakap politik, ternyata pemilihan Umno telah ditangguhkan ke Mac 2009 setelah mesyuarat MT Umno berlangsung pagi tadi. Membuka ruang kepada perubahan kepimpinan parti dan meredakan keadaan kurang tenang dalam Umno diberikan sebagai alasan penangguhan pemilihan Disember ini. Di saat hari-hari terakhir Umno yang sememangnya nazak lagi menghampiri ajalnya ini, setiap langkah mereka menyaksikan mereka semakin lemas dalam arus gelombang perubahan yang dibawa oleh rakyat. Hayat politik mereka akan mengalami kesuraman yang panjang atau terus terkubur dengan ideologi perkauman dan politik sempit yang mereka dukung. Jasa mereka satu masa dulu memang tidak dinafikan, namun sudah menjadi fitrah manusia, mereka mahukan yang terbaik dan sentiasa mencari perkara yang baru untuk diri mereka. Telah tiba masanya Umno melakukan reformasi kepada dasar perjuangan, cara kerja, integriti dan imej parti dan pimpinannya terutama sekali. Dalam masa yang serba singkat lagi menjerut ini, Umno wajib berubah atau memilih untuk terus rebah.

p/s - Khairy, masih bolehkah dirimu menjadi Ketua Pemuda andai bapa mertuamu 'bersara awal'?


Peralihan senyap...




"Biar kita bekerja ibarat diam-diam ubi, kelak nanti
berisi. Bukan diam-diam besi, akhirnya besi berkarat hilang nilai"


-Anwar Ibrahim-



Rabu, 24 September 2008

Revolusi '48...






Filem arahan pengarah 10 Tahun Sebelum Merdeka, Fahmi Reza, ini memang sudah lama dinantikan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui sejarah Malaysia dari perspektif bukan norma umum. Filem dokumentari mengisahkan saat penubuhan kumpulan-kumpulan gerila bagi menentang British sekitar tahun 1948 hingga 1957 bisa menyanggah pandangan sesetengah sejarahwan dan politikus geblek tanah air yang menyatakan bahawa usaha menuntut kemerdekaan tanah air tidak disulami dengan pertumpahan darah. Filem 'panas' ini bakal menemui penonton pada 20 Oktober 2008. Sama-sama kita nantikan kemunculannya.




Selasa, 23 September 2008

Rasuah Malaysia di mata dunia...



Carta diatas adalah senarai indeks terbaru rasuah di Malaysia bagi tahun 2008. Kedudukan Malaysia merosot ke tangga 47 dari 180 buah negara setelah berada pada tangga 43 pada tahun 2007. Gagalkah Pak Lah menentang rasuah? Saya serahkan pada pembaca untuk menilai. Saya tidak mahu dituduh memanipulasi data pula. Untuk baca lebih lanjut sila klik pada pautan ini.


Isu Air Selangor - Melayu jenis ini yang merosak bangsa...


Saya tidak tahu akan kesahihan maklumat ini. Namun inilah produk Melayu yang lahir apabila dia berfikir dialah tuan kepada bumi bertuah ini. Biar kita berlainan parti, ideologi, mahupun agama - namun Ketuanan Rakyat harus terus dipertahankan.

Klik sini untuk pendedahan eksklusif ini.


Isnin, 22 September 2008

Esok 23 September 2008..

Genap sudah tempoh masa yang diberikan Anwar kepada Pak Lah. Sidang tergempar Parlimen yang dipinta kelihatannya akan dipandang sepi oleh Pak Lah. Surat dihantar tidak di balas. Niat untuk bertemu dibiar melaung tanpa sahutan. Gelanggang media dijadikan medan berbalas tohmahan dan sindiran. Keyakinan meluap-luap di antara dua seberang; satu yakin membentuk kerajaan dan satu yakin kuasa dimiliki bakal kekal.

Percaturan politik ini menjadi semakin menarik. Ramai orang terus melatah mengatakan Anwar telah gagal, sedangkan dia masih terus berjuang menunaikan janjinya. Masih ramai juga menaruh keyakinan kerajaan baru bakal berkuasa tidak lama lagi. Namun masih ada segelintir yang terus berada dalam keadaan state of denial walaupun banyak indikasi telah diberikan oleh orang kebanyakkan.

Sama-sama kita nantikan kesudahan kepada pencoretan sejarah baru Malaysia ini yang bakal 'memerdekakan' kita semula setelah 51 tahun bebas dari penjajah Barat. Merdekakan minda kita untuk satu bangsa Malaysia yang lebih gemilang.

Tanggal 22 September 2008..


16 September 2008 sudah hampir seminggu meninggalkan kita. Di kem Pakatan Rakyat, usaha masih giat dan perancangan rapi masih diatur. Kem Barisan Nasional juga rancak mengatur strategi dan helah untuk menangkis usaha Pakatan Rakyat menggulingkan mereka.

Untuk pengunjung blog ini, saya menyediakan ruangan undian untuk anda semua. Sudilah untuk menyatakan pendirian anda, hanya sebagai fakta statistikal buat renungan kita semua rakyat Malaysia yang matang....