Khamis, 8 Mei 2008

Polis Merampas Kuasa.....RAKYAT!!!!


Tanggal 8 Mei 2008, sekali lagi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) melakukan 'rampasan' kuasa. Dan acap kali juga 'rampasan' ini dilakukan di Dataran Merdeka. Dataran yang menyaksikan kemerdekaan Malaysia pada lebih 51 tahun yang lepas.

Kuasa RAKYAT untuk berhimpun, bersuara bahkan mengkritik telah sekali lagi di'rampas' oleh PDRM dengan arahan pihak kerajaan BN. Jika kebebasan suara Raja Petra disekat dengan kononnya dakwaan hasutan, malam ini tadi kuasa rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Raja Petra pula di'rampas'.

51 tahun dahulu Dataran Merdeka menjadi saksi kepada pembebasan rakyat Malaya ketika itu dari cengkaman penjajahan British. Malam ini rupa-rupanya rakyat Malaysia sesudah 51 tahun merdeka masih lagi berada dalam cengkaman pemerintahan kuku besi yang diamalkan oleh kerajaan pewaris penjajah ini.

Namun TAHNIAH buat semua pejuang-pejuang sekalian yang berhimpun di hadapan Penjara Sungai Buloh bagi menyatakan sokongan kepada Raja Petra. Hidup KUASA RAKYAT!!!



Saya berharap sesudah lebih 51 tahun menanti, tanggal 16 September 2008 nanti, satu era baru akan muncul menggantikan pemerintahan kuku besi yang ada sekarang ini.

REFORMASI!!

Risaunya saya akan keselamatan RPK...


Apalah 'salah' isteri RPK hinggakan beliau tidak mahu menemui isterinya?? Benarkah pegawai penjara yang mengatakan bahawa RPK enggan menemui sesiapapun termasuk isterinya?? Saya risau!! Sedangkan gadis yang bebas dan bukan dalam tahanan pun bisa dibom sampai hancur inikan pula RPK yang dibawah 'jagaan' mereka. Sedangkan bekas Timbalan Perdana Menteri pun boleh dibelasah sampai lebam matanya tambah lagi diracun dengan arsenik.. Saya AMAT risau! Lihat lah video ini yang memaparkan pengalaman seorang mangsa tahanan ISA dan mungkin anda faham dan akan berkongsi kerisauan dengan saya...



Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah melindungi diri RPK dari segala bentuk seksaan fizikal dan mental.... Amin


Selasa, 6 Mei 2008

Raja Petra ditahan di Sungai Buloh kerana 'menghasut'...


Raja Petra Kamaruddin, pengendali blog Malaysia Today telah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana menyiarkan artikel berunsur hasutan pada 25 April dalam Malaysia Today. Artikel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' itu mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes berprofail tinggi pembunuhan Altantuya Shariibuu.

Kes tersebut akan didengar pada 6 hingga 10 Oktober depan dan Raja Petra dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000. Beliau bagaimanapun enggan membayar ikat jamin dan telah ditahan di Penjara Sungai Buloh, sehingga tarikh kesnya bermula.

Adakah ini antara langkah awal kerajaan BN dalam usaha menyekat blogger di Malaysia?? Nampaknya sinar kebebasan bersuara di Malaysia ini masih samar dan keterbukaan yang dijanjikan oleh kerajaan hanyalah omong-omong kosong. Bila dilihat akan kes terbaru ini, saya teringat akan ungkapan Raja Petra sendiri dalam rancangan Blog di RTM pada dua minggu lepas....

"Nabi Muhammad tidak mungkin dapat sebarkan Islam jika terus berada di Makkah kerana kebebasan bersuara baginda disekat. Apabila baginda berhijrah ke Madinah barulah Islam itu dapat disebarkan ke seluruh dunia hingga ke hari ini kerana adanya - kebebasan bersuara."

-Raja Petra Kamaruddin-
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang dana untuk mengikat jamin Raja Petra, sila klik sini.

Ahad, 4 Mei 2008

Melayu....


Orang Melayu adalah mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan sebahagian kepulauan Sumatra, di pesisiran Borneo dan kepulauan kecil lain. Ahli antropologi telah berjaya menjejak leluhur orang Melayu yang berasal dari masyarakat yang berada di barat utara Yunnan di China. Mereka ini dikenali sebagai Melayu-Proto atau lebih dikenali sebagai Jakun adalah terdiri dari orang laut. Pengembara Portugis, Godinho de Eredia menggambarkan orang Melayu sebagai Saletes atau Orang Selat.

Asal-usul nama Melayu itu terdiri dari beberapa teori. Antaranya mengatakan bahawa nama Melayu itu berasal dari nama sebuah sungai dalam kerajaan Jambi yang berpusat di kaki gunung Batang Hari. Teori yang lebih popular di kalangan orang Jawa Indonesia adalah teori peristiwa pelarian Parameswara ke semenanjung Tanah Melayu. Teori ini disokong oleh sejarawan Portugis, Tome Pires kerana perkataan 'melayu' itu bermaksud lari di dalam bahasa Jawa.

Orang Melayu secara dasarnya yang ada pada hari ini adalah orang Melayu yang terdiri dari leluhur yang berbagai-bagai. Dari pengaruh India, China, Jawa, Arab dan juga Siam, masyarakat Melayu hari ini wujud. Di Malaysia, orang Melayu menurut perlembagaan ditafsirkan sebagai seorang warganegara yang beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya orang Melayu. Orang Melayu di Malaysia merangkumi hanya 48.7% daripada jumlah penduduk Malaysia hari ini.

Dalam tempoh 50 hari lebih selepas keputusan Pilihan Raya ke-12 diumumkan, isu hak istimewa orang Melayu, perpaduan orang Melayu dan kedaulatan Raja Melayu terus berkumandang di corong-corong media perdana mahupun alternatif di negara ini. Mengapa ianya terjadi? Beberapa teori yang akan saya kemukakan demi untuk tatapan pembaca Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya;



1. Kurangnya sokongan terhadap UMNO - Parti yang ditubuhkan hasil permuafakatan semua kesatuan-kesatuan Melayu pada lebih 60 tahun lepas ini, selama ini telah dipandang sebagai parti teras kepada orang Melayu. Pemikiran ini terjadi secara tak langsung adalah hasil muslihat British yang ingin memastikan kepentingan mereka dan dasar mereka 'pecah dan perintah' terjamin di Tanah Melayu pada waktu ketika itu. Bangsawan-bangsawan di dalam UMNO bisa 'dipujuk' untuk bertolak-ansur dengan British pada ketika itu. Padahal ketika itu terdapat PKMM - sebuah parti haluan kiri orang Melayu (digelar haluan kiri kerana tidak sebulu dengan British) dan beberapa angkatan Melayu lain contohnya API, AWAS dan lain-lain, telah mendapat sokongan orang Melayu bawahan dan juga telah didokong oleh AMCJA (pakatan persatuan-persatuan kaum lain).


Mereka telah mewujudkan pakatan Putera-AMCJA dan mengemukakan Perlembagaan Rakyat kepada British. Perlembagaan yang menjurus ke arah kemerdekaan dan hak rakyat Malaya yang bebas ini telah menyebabkan British menolak cadangan Putera-AMCJA dan tidak lama selepas itu mewujudkan undang-undang Darurat kononnya untuk menentang komunis tetapi persatuan yang pertama-tama diharamkan adalah persatuan-persatuan yang bergabung di dalam Putera antaranya PKMM, API, AWAS dan banyak lagi. Seterusnya mereka yang bergabung di dalam AMCJA dan propaganda mengatakan mereka ini komunis telah disebarkan oleh British. Seramai 29,857 orang telah ditahan British tanpa bicara dan 10,000 daripadanya adalah orang Melayu. Dari peristiwa ini, UMNO telah berjaya diangkat sebagai jaguhan orang Melayu. Mereka telah memacu kebangkitan orang Melayu dan orang Melayu yang tiada pilihan (kerana naif di dalam isu politik dan kurang berpendidikan pada ketika itu) telah menyerahkan segala jiwa dan raga mereka kepada UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa. Apabila Perikatan berjaya mencapaikan kemerdekaan untuk Malaya, populariti UMNO pun terus naik sebagai satu-satunya pejuang bangsa Melayu. Dasar PAS sebagai sebuah parti Islam menyebabkan parti itu tidak dipandang sebagai tunjang kepada orang Melayu. Tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan orang Melayu bertambah kuat bersama UMNO kerana rusuhan kaum ini terjadi apabila Perikatan tewas dalam pilihan raya di Kuala Lumpur. Populariti UMNO kembali naik dan selepas pembentukan Barisan Nasional, PAS secara licik telah di'tekan' dan menyebabkan parti itu langsung tidak dipandang sebagai pembela bangsa Melayu. Berbalik kepada isu kini, mereka-mereka yang menjuarai isu perpaduan Melayu dan ketuanan Melayu ini adalah mereka yang lahir pada zaman atau waktu yang saya sebutkan di atas. Mereka ini secara ideologi politiknya telah diterapkan bahawa hanya UMNO yang selayaknya memperjuangkan nasib orang Melayu dan kewujudan PAS dan PKR dipandang sebagai perpecahan kepada orang Melayu. Oleh kerana usia yang semakin tua, maka ramai dari golongan di zaman 'kegemilangan' UMNO ini telah kembali menemui Allah. Secara tidak langsung undi-undi yang selama ini berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional semakin lama semakin berkurangan.



2- Pengundi muda Melayu, Cina dan India tidak mengundi UMNO dan Barisan Nasional - Fenomena ini terjadi kerana kebanyakkan mereka yang datang mengundi buat kali pertama adalah mereka yang lahir atau mula sedar mengenai politik di saat zaman 'kegelapan' UMNO dan Barisan Nasional. Di saat mereka ini terdedah kepada arus media alternatif terutamanya internet dan rakan-rakan, banyak kepincangan dan salah laku UMNO dan Barisan Nasional didedahkan. Tahap pendidikan yang semakin tinggi, kesedaran akan hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dan konsep kerajaan yang bersih dan adil kepada rakyat juga mempengaruhi ideologi pemikiran anak muda dalam memilih parti mana yang mereka ingin sokong dan akhirnya melihatkan banyak undi anak muda Malaysia berpihak kepada parti-parti Pakatan Rakyat.



3- Orang Melayu mula mengundi DAP - Parti pelbagai kaum, namun mempunyai majoriti ahli dari kaum Cina ini terkenal dengan propaganda 'Malaysian Malaysia'. Propaganda mereka ini ditafsirkan sebagai mengugat hak keistimewaan orang Melayu dan berjuang untuk hak dan peluang yang sama rata untuk semua kaum di Malaysia. Pada Pilihan Raya ke-12 yang lepas, orang Melayu, banyaknya di kawasan bandar atau mempunyai majoriti penduduk bukan Melayu telah bertindak memilih calon DAP pada pilihan raya itu. Fenomena ini dilihat sebagai satu 'ancaman' kepada orang Melayu. Oleh itu, para 'pejuang bangsa' (walau pada hakikatnya kita sendiri tidak tahu apa yang mereka perjuangkan) bertungkus-lumus memerah keringat dan otak bagaimana untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Inilah diantara pandangan saya dalam isu Melayu yang sedang hangat dicanang sekarang ini. Namun dalam kita sibuk membahaskan isu ini, mungkin adalah lebih elok jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih ilmiah dan berhati-hati agar tidak menguris hati dan perasaan saudara-saudara kita dari kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain. Buat 'pejuang-pejuang' bangsa saya yang telah dihujung usia ini, saya sarankan agar mereka berhenti dari terus mengemukakan idea-idea atau mewujudkan resolusi-resolusi yang tidak lebih dari sekadar omong kosong sahaja di kemudian hari (melainkan pemimpin-pemimpin Melayu di dalam UMNO sanggup untuk mengubah pemikiran dan sanggup berlaku adil kepada orang Melayu dari PAS, PKR dan DAP). Generasi muda hari ini bukan lagi hanya berfikir untuk orang Melayu tetapi untuk semua bangsa Malaysia, berfikir untuk rakyat yang miskin dan dinafikan hak mereka tanpa mengira bangsa atau agama. Kerajaan yang bersih, adil dan menjadi 'hamba' kepada rakyat adalah kerajaan yang menjadi tuntutan kami golongan muda anak bangsa Malaysia.


Jumaat, 2 Mei 2008

Anwar ke-85 paling berpengaruh di dunia..


Dato' Seri Anwar Ibrahim pada minggu ini mencipta dua sejarah baru buat dirinya di mana beliau kembali ke Parlimen selepas 10 tahun dinafikan hak beliau dan juga dipilih sebagai orang yang ke-85 berpengaruh di dunia oleh majalah Time. Beliau disifatkan sebagai seorang tokoh Islam yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia dan juga dipandang sebagai tokoh yang bertoleransi. Tahniah Dato' Seri!


Al-Fatihah buat Tan Sri S.M Nasimuddin


Allahyarham Tan Sri S.M Nasimuddin nama yang cukup gah di dalam industri korporat negara adalah salah satu contoh anak Melayu yang berjaya di dalam bidangnya. Allahyarham memulakan usaha membina Syarikat Kumpulan Naza dengan modal sebanyak RM80,000 pada tahun 1974. Sekarang beliau telah berjaya menjadikan Kumpulan Naza sebagai sebuah syarikat yang bernilai jutaan ringgit. Kumpulan Naza sekarang mempunyai 14 bahagian perniagaan termasuk perdagangan motor, motosikal, pembuatan, perkhidmatan pengangkutan, peralatan mesin/kelengkapan kejuruteraan, perladangan, pengedaran rokok, kredit dan pajakan, kraf air, hartanah, operasi perhotelan dan agensi insurans.

Beliau yang sedang menerima rawatan kanser paru-paru sejak Januari lepas di sebuah hospital di Los Angeles menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun kira-kira jam 9 pagi Khamis waktu tempatan di hadapan isteri beliau dan anak-anak.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia. Beliau yang tegas di dalam urusan perniagaan beliau wajar dicontohi oleh usahawan-usahawan muda Malaysia dalam mengembangkan sayap perniagaan masing-masing. Al-Fatihah buat Allahyarham dan moga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan bertakwa....Amin


Khamis, 1 Mei 2008

Kecewa....


Nyata saya kecewa dengan sidang Parlimen semalam di mana ahli parlimen bertelagah dan menggunakan bahasa-bahasa atau panggilan-panggilan yang tidak beretika. Tindakan melebihkan soalan dari pihak penyokong kerajaan dan mengenepikan suara ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga amatlah menjijikkan dimana BN masih lagi mahu meneruskan sikap lama mereka yang terus menekan dan tidak berlaku adil.