Selasa, 11 Mac 2008

Tan Sri Khalid - Presiden FAS???

MENTERI Besar Selangor yang baru bakal dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Ia selaras dengan perlembagaan persatuan tersebut di mana jawatan presiden FAS secara automatik akan menjadi milik sesiapa yang dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.

Kelmarin, Dr. Khir gagal mempertahankan jawatannya selaku Menteri Besar Selangor dalam pilihan raya umum setelah Barisan Nasional (BN) gagal menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Ia sekali gus menyaksikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) yang menang kerusi DUN Ijok bakal dilantik sebagai presiden FAS yang baru kerana nama Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu disebut-sebut sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun, jika Abdul Khalid tidak berminat untuk menyandang jawatan tersebut, dia mempunyai pilihan untuk memberikannya kepada sesiapa yang mendapat mandat daripadanya.

Dr. Khir sebelum ini memegang jawatan selaku Presiden FAS sejak tahun 2004.

Sementara itu, kedudukan pengurus pasukan Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman dan penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal turut dikatakan bakal tergugat dengan ketiadaan Khir Toyo dalam pentadbiran FAS.

Ini kerana, biarpun Mohd. Satim dan Subahan menang di DUN Seri Serdang dan DUN Taman Templer, mereka bertanding sebagai calon BN sedangkan bakal Presiden FAS yang baru itu daripada parti pembangkang yang akan memerintah kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan: