Selasa, 14 Oktober 2008

Jemputan Aidil Fitri Pakatan Rakyat Shah Alam...





Dewan Bola Tampar di Jalan Gelova 19/46 bersebelahan Persiaran Jubli Perak.


Isnin, 13 Oktober 2008

Benarkah Pak Lah PERCAYA??



"Saya tidak percaya Datuk Seri Najib mahu untuk salah guna kuasa, jika beliau seorang yang cenderung untuk menyalahguna kuasa, kalau begitu bagaimana beliau akan menjadi pengganti saya. Saya percaya dengan beliau, saya percaya beliau seorang yang baik dan akan menjadi Perdana Menteri yang baik dan mampu untuk memberikan kepimpinan yang baik, jadi saya tidak percaya beliau terlibat dalam salah guna kuasa."

-Abdullah Ahmad Badawi, Bernama, 13 Oktober 2008-


Kenyataan ini mula menimbulkan keraguan saya. Benarkah Pak Lah percaya pada bakal pengganti beliau ini? Fikiran nakal saya membayangkan bahawa Najib bakal dicantas menjelang Mac ini oleh Pak Lah dengan memberi 'lampu hijau' kepada berita-berita panas Najib disiarkan media dan menjadi pengetahuan khalayak umum. Namun itu semua hanya 'mimpi' nakal saya yang memang berharap setiap hari agar Najib gagal menjadi Perdana Menteri...


Jumaat, 10 Oktober 2008

Legasi Abdullah Badawi...


Abdullah Badawi atau lebih mesra dipanggil Pak Lah satu susuk tubuh yang begitu bertuah kerana berjaya mencatat nama sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia. Mempunyai susur galur ulama dan pejuang dalam salasilah beliau, Pak Lah hadir sebagai seorang ahli politik yang dianggap bersih hingga diberi jolokan "Mr. Clean". Buku tulisan Chamil Warya - 'Naik, Jatuh, dan Bangun Semula' menjadi mukadimah pengenalan saya terhadap kehidupan peribadi dan hayat politik Pak Lah.

Pak Lah hadir pada 2003 sebagai pengganti Mahathir telah memperlihatkan satu sinar perubahan yang menjanjikan. Pendekatan Islam Hadhari dan keterbukaan, menjelmakan Pak Lah dengan imej seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mudah didekati. Janji perubahan ke arah Cemerlang, Gemilang, Terbilang digendang ke seluruh negara ketika Pilihan Raya 2004.Hasilnya Pak Lah menang besar dengan mandat yang besar. Menghapus rasuah dijadikan misi utama Pak Lah dan kerajaan pimpinan beliau. Kebebasan untuk ruang demokrasi yang sihat juga mula diperlihatkan dalam pentadbiran Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Namun semua perubahan yang ingin dibawa Pak Lah, dari pengamatan peribadi saya, ianya telah memakan diri Pak Lah. Kebobrokan dan ketempangan parti yang diterajui Pak Lah mula dipertontonkan satu- persatu. Media yang mula mengecap nikmat kebebasan yang longgar juga ghairah melapor sehingga Pak Lah sendiri gagal mengawal rentak langkah perubahan yang ingin beliau bawa. Kecelakaan yang menimpa agenda perubahan Pak Lah ini bertambah buruk lagi apabila 'serigala-serigala' lapar disekeliling beliau gagal 'berpuasa' dari memuaskan nafsu meratah mereka yang meluap-luap. Janji-janji Pak Lah semakin sukar dilaksana dek kerana ada tangan-tangan ghaib yang berusaha keras mengagalkan gagasan perubahan Pak Lah semata-mata menutup noda-noda kejahatan mereka selama ini. Ternyata usaha ini bukan hanya berjaya menyelamatkan diri mereka tetapi juga telah berjaya menjatuhkan kredibiliti Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Skandal-skandal nakal dan sikap Pak Lah yang suka tukar-tukar cerita (baca:tipu) juga mencemar lagi status 'kebersihan' Pak Lah.

Sebelum Pilihan Raya lepas, Pak Lah sudah teruk 'dibelasah' hingga luka-luka. Luka parah Pak Lah bertukar nanah setelah Barisan Nasional gagal mencapai kemenangan yang memberangsangkan dalam Pilihan Raya lepas. Kekalahan ini menjadi buah keras yang dilempar kepada Pak Lah sebagai tuntutan beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Pak Lah ditekan dari dalam sambil jarang-jarang menepis terjahan dari luar. Ternyata Pak Lah di akhir hayat karier politik beliau, beliau menghadapi 'sakratul maut' keseorangan dan kesepian. Sesungguhnya legasi Pak Lah berakhir dengan tragis ibarat seorang tua yang dibuang dibiar mati keseorangan.

Sebagai rakyat yang rasional, kendatipun Pak Lah telah melakukan banyak langkah 'curang' selama menjadi Perdana Menteri, tidaklah semua kecurangan itu sahaja yang akan saya kenang. Pak Lah akan saya kenang sebagai seorang yang telah melonggarkan rantai-rantai zalim yang ditambat Mahathir pada tahun-tahun kediktatorannya. Demokrasi, kebebasan media dan nafas reformasi kembali berhawa oleh kerana keterbukaan longgar yang diamal Pak Lah dan tindakan beliau ini membolehkan rakyat berani bangkit dari 'kelembapan akal fikir' untuk melakukan satu anjakan paradigma demi satu ketamadunan bangsa Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Buat Pak Lah, terima kasih saya ucapkan dan moga Allah melindungi diri Pak Lah dalam limpahan keberkatanNya.



Rabu, 8 Oktober 2008

Pak Lah tidak bertanding Presiden UMNO Mac depan...


Penantian kepada teka-teki peralihan kuasa Pak Lah terjawab petang tadi apabila pengumuman mengenainya dibuat sejurus tamat mesyuarat majlis tertinggi BN. Panggilan telefon dan pertanyaan politik diajukan pada saya apakah implikasi kepada pengumuman Pak Lah ini. Dek kerana masih terkejut, saya sendiri gagal untuk mengeluarkan analisa saya sendiri. Saya hanya mampu menjawab "Entahlah!". Namun setelah menilai semula dan mendalami betul-betul langkah politik terbaru ini, saya mula teringat kembali kepada sebab asal mengapa saya terjun menyatakan pendirian dalam proses perjuangan politik tanah air - Reformasi.

Tidak kira samada Pak Lah, Najib atau Anwar sekalipun yang menjadi Perdana Menteri, sebab utama saya begitu mengambil berat akan hala tuju politik negara adalah semata-mata ingin menyaksikan satu reformasi total dalam sistem pentadbiran, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sosial masyarakat Malaysia. Saya mengimpikan menyaksikan masyarakat Malaysia akan menjadi sebuah masyarakt bertamadun yang bebas dan matang dalam pemikiran dan tindakan mereka. Semua ini akan hanya tercapai melalui satu usaha reformasi yang total dan merangkumi setiap aspek dalam kehidupan masyarakat.

Selagi hayat dikandung badan, usaha Reformasi ini akan tetap saya pegang dan terus perjuangkan....


Isnin, 6 Oktober 2008

Kita...


Siapa kita?
Kita siapa?

Hamba Tuhan yang berakal,

Berfikir merenung,

Mengapa kita?
Kita mengapa?

Lemah jiwa menaakul,

Ketakutan ditakutkan,


Bagaimana kita?

Kita bagaimana?

Bebas matang,

Gagah mengejar sinar,


Adakah kita?

Kita adakah?

Jaya menakluk ilmu,

Bodoh dalam kesombongan,


Bilakah kita?

Kita bilakah?

Dicerahkan mencerahi,

Merayakan akal fikir.


-Rfeev-

Eid Fitri yang malu-malu...


1 Syawal telah berlalu. Begitu juga dengan cuti seminggu yang aku penuhkan dengan membaca buku-buku pencerahan terbitan Institut Kajian Dasar dan MEGC. Tugasan akademik disiapkan sambil merungkai belenggu yang menghijab minda ini dari berfikir.

Raya ini menyaksikan beberapa isu menjadi bualan utama di ruang tamu rumah-rumah yang dikunjungi. Isu politik, ekonomi, masalah pendidikan hinggakan kepada cerita-cerita mistik Melayu turut dibicarakan. Namun masih ada unsur berlapik-lapik dalam perbualan apabila timbul isu-isu sensitif seperti politik dan perkauman. Sebagai anak muda saya lebih gemar mengambil langkah mendiamkan diri dan memerhati mereka yang lebih berumur berbicara walau kebanyakkan waktunya jiwa ini meronta-ronta ingin mengeluarkan hujah namun dek kerana memikirkan menjaga muhibah perayaan besar Islam ini, saya terus membisu dan mencelah dengan kadar suam-suam kuku sahaja.

Eid Fitri ini telah menjadikan saya malu-malu dalam berhujah...


Isnin, 29 September 2008

Salam Eid Fitri 1429H..



1 Syawal bakal menjelang. Anak perantau di kota-kota besar telah ramai pulang ke kampung halaman bagi merayakan Eid Fitri. Di penghujung Ramdahan ini, janji Lailatul Qadar dengan ghairah dicari mereka yang mengimpikannya. Inflasi lebih 8.5%, harga tiket bas mahal, kos minyak dan harga barang keperluan yang tinggi membelenggu majoriti kita pada musim perayaaan ini. Waima, ia akan membantut sambutan kita tahun ini, aku harap tidak. Semangat Eid Fitri itu bukanlah pada aspek material perayaan itu, tetapi yang penting adalah semangat muhibbah dan maaf-memaafi itu diraikan sebagai warga yang bebas dan matang. Moga segala perselisihan faham, keterlanjuran kata atau tabii yang menjengkelkan selama ini, aku dahului dengan ribuan maaf dan halalkan segala yang terlebih atau terkurang dalam selama kita berkenalan...



Salam Eid Fitri dan moga bergembira dalam limpahan kasih
sayang Allah dan keluarga hendaknya...